Home Novel Keluarga SENYUM SEINDAH MONALISA
SENYUM SEINDAH MONALISA
SITI ROZILAH
28/9/2013 13:16:20
19,200
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2

2

Kini: “Perkahwinan adalah kubur sebuah percintaan. Benarkah?”

MASA terus bergerak. Jarum jam di ruang tamu telah menuding ke angka 8.30 malam. Anak-anakku yang sudah pun selesai makan malam, kini sibuk menyudahkan kerja rumah yang dibekalkan oleh guru-guru mereka. Aku memandang sekilas ke arah Nur Samira yang sudah boleh diharapkan untuk mengajar adiknya. Sebagai seorang ibu, aku wajar berasa bangga dengan Nur Samira. Dia sudah boleh memikul tanggung jawab sebagai seorang kakak. Pencapaiannya di sekolah juga amat memberansangkan.

“Sa, tolong ajar Danny okey. Kalau ada apa-apa, mama di bilik kerja.” Aku memaklumkan kepada Nur Samira sebelum melangkah laju ke bilik khas yang terletak di tingkat bawah yang telah dijadikan sebagai bilik kerjaku.

Aku menolak daun pintu bilik kerjaku dengan rasa bosan. Kupetik suis yang melekap di dinding dan serta-merta bilik itu menjadi terang-benderang. Kuhampiri meja kerja yang menempatkan laptop, beberapa helai kertas kajang dan sebuah buku nota kecil. Aku lemparkan pandangan kosong ke arah kertas kajang dan buku nota yang masih bebas daripada sebarang cakaran dan lakaran itu. Ia membawa makna si penulisnya ini masih kosong idea; masih tidak tahu apakah yang hendak dituliskan dalam naskhahnya kelak. Penulisnya juga masih belum menyediakan sebarang rangka juga watak dan perwatakan untuk naskhahnya itu.

Memang betul, aku masih belum memikirkan apakah cerita yang hendak kulakarkan dalam naskhah terbaruku ini. Penat menopang dagu, pen parker yang tergeletak di atas meja pula menjadi mangsaku. Pen berpenutup itu kuketuk-ketukkan ke atas meja seolah-olah hendak mencipta iramaku yang tersendiri.

Aku mula terlibat dalam bidang penulisan ini lebih kurang 10 tahun lalu. Itupun setelah aku meletakkan jawatanku sebagai seorang wartawan. Sejak bergelar isteri dan mengandungkan anak sulung, aku sudah tidak komited lagi dengan kerjayaku yang tidak menentu waktu dan sentiasa terkejar-kejar ke sana-kemari untuk mencari berita. Ditambah lagi dengan tahap kesihatanku ketika mengandung yang kurang mengizinkan.

Suamiku tidak pernah memaksaku berhenti kerja. Pun begitu, aku meletakkan jawatan dengan kemahuanku sendiri. Di awal penglibatanku dalam dunia penulisan ini, otakku tidaklah sebeku ini. Aku berjaya menyiapkan novel dewasa pertamaku dalam masa enam bulan sahaja. Kemudian, aku berjaya pula menyudahkan dua buah novel remaja dalam masa lapan bulan. Ini bermakna aku hanya mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan sebuah novel.

Aku akui lima tahun terawal penglibatanku dalam bidang ini, aku agak produktif. Idea datang tidak menentu masa. Kadangkala idea muncul ketika aku sedang menonton televisyen di ruang tamu. Kadangkala ia muncul ketika aku sekadar berbual-bual dengan jiran tetangga. Ketika itu aku begitu bersemangat menulis dan begitu seronok tatkala melihat karya-karyaku berada di pasaran.

Pun begitu, sejak tiga tahun kebelakangan ini, tiba-tiba sahaja aku diserang ini – sindrom kontang idea. Aku terasa amat susah hendak menyiapkan naskhahku. Kadang-kadang aku mengambil masa berjam-jam berada di depan laptop tetapi hanya mampu menyiapkan satu atau dua muka surat sahaja. Kadangkala, berhari-hari lamanya aku tidak menyentuh laptopku, seperti sekarang.

Mujurlah aku masih mempunyai editor seperti Rasyidah yang sering membakar semangatku tatkala aku hilang semangat. Juga, teman baik seperti Waheeda yang sentiasa menadah telinga mendengar setiap aduanku. Juga peminat-peminat setiaku yang tidaklah seramai mana itu, yang seringkali meniupkan semangat padaku di dalam facebook.

Telefon bimbit yang terletak tidak jauh dariku tiba-tiba berbunyi. Nama Waheeda terpapar di skrin. Aku segera memberi salam kepada Waheeda. Di hujung talian, kudengar Waheeda menyambut salamku.

“Macam mana, Leya? Ilham dah turun dari langit ke belum?” Waheeda mengusik dan kemudian tergelak langsing ketika aku memberitahunya yang aku sedang duduk termenung menunggu idea yang tidak kunjung tiba, di depan laptopku.

“Sampai hati kau gelakkan aku. Kau tak kesiankan aku ke? Otak aku ni tengah blank... kosong. Serasa nak gantung pen aje.” Aku mula mengadu.

“Ala... relakslah, Leya. Takkan kau nak gantung pen dan jadi suri rumah sepenuh masa? Sekurang-kurangnya sekarang ni ada juga duit yang masuk ke dalam akuan kau, betul tak?”

“Hmm... betul kata kau tu.” Aku setuju dengan kata-kata Waheeda. Jadual pengiraan dan pembayaran royalti daripada penerbit kuterima setiap tiga bulan sekali. Ini bermaksud Sinar Kejora Sendirian Berhad akan memasukkan royalti yang aku terima untuk setiap novelku terus ke dalam akaun setiap tiga bulan.

Ini juga memberi makna yang aku tidak perlu terlalu bergantung kepada wang belanja yang dihulurkan oleh Zamarul setiap penghujung bulan. Aku juga tidak perlu meminta-minta wang daripadanya setiap kali hendak membeli barang-barang yang aku inginkan. Yelah, sebagai seorang perempuan kadangkala aku juga teringin kepada perhiasan tertentu ataupun alat solek tertentu.

Aku cuba sedaya upaya untuk meringankan beban kewangan suamiku. Malah, aku jarang meminta-minta daripadanya kalau dapur kami kehabisan beras atau sebagainya. Sebenarnya, aku masih bersyukur kerana walaupun pejabatku hanya terletak di dalam rumah, aku mempunyai penghasilanku sendiri.

“Bukannya sehari dua aku kenal kau, Leya. Otak kau memang selalu beku setiap kali nak hasilkan novel baru, tapi bila dah mula menulis tak boleh berhenti kan? Hmm... apa kata kalau kau ajak Zam temankan kau bercuti? Mana tahu kalau-kalau sekembalinya kau dari percutian nanti, otak kau akan cair semula?” cadang Waheeda.

“Pergi bercuti? Tapi Zam tengah sibuk sekarang ni sebab syarikat dia nak lancarkan dua buah majalah baru serentak.” Aku segera menjawab.

“Dah berapa lama kau dah Zam tak pergi bercuti, hah?”

Aku terkedu beberapa ketika sebelum menjawab, “hujung tahun lepas kami dah bercuti di Melaka dengan anak-anak.”

Melaka memang menjadi lokasi percutian utama kami kerana ditakdirkan kami berdua berasal dari negeri Hang Tuah itu. Selain bercuti, kami juga dapat menjenguk orang tua di kampung. Aku berasal dari Jasin sementara Zamarul dari Bukit Katil, Melaka.

So pergi dengan anak-anaklah ye? Bila pulak kali terakhir kau dan Zam bercuti berdua-duaan aje... tanpa diganggu oleh anak-anak?”

“Eh, ke situ pulak perginya! Mana boleh tinggalkan anak-anak? Nanti dia orang bising. Lagipun apa kena mengenanya writer’s block aku ni dengan pergi bercuti berdua-duaan dengan Zam?” aku menyoal.

“Beberapa minggu lepas aku ada terbaca sebuah buku motivasi perkahwinan. Pengarang buku tu berkata, pasangan yang dah lama berkahwin kadangkala perlu semarakkan semula perkahwinan mereka. Anak-anak memang tak boleh diabaikan. Tapi apa salahnya kalau sekali-sekala pasangan itu mengulangi semula keromantisan bulan madu mereka? Mungkin sekarang ni kau terperuk aje dengan rutin harian kau kat rumah tu dan Zam pula asyik tenggelam dengan kerjanya. Akhirnya, hubungan suami isteri menjadi semakin dingin, tak bersemangat lagi macam mula-mula kahwin dulu. Kadangkala, kuasa cinta juga penting untuk seseorang tu lebih bersemangat dalam kerjaya dan kehidupan sehariannya. Setuju tak, Leya?” getus Waheeda.

“Setuju!” sahutku. Memang benar kata-kata yang baru saja meluncur keluar dari mulut Waheeda itu, tetapi kata-katanya itu tidak semestinya dapat dipraktikkan dalam kehidupan sebenar.

Di hujung talian, Waheeda ketawa kecil.

“Aku dah lama kenal dengan kau, Leya. Nur Aleya yang pernah aku kenal adalah seorang yang kental semangat. Tak pernah lembik, tak pernah lemah dan tak mudah mengaku kalah. Atau, kau mahu aku temukan kau semula dengan Ilham supaya kau bersemangat macam dulu balik?”

“Ilham?” terpancut soalan itu dari bibirku.

“Iye, Ilham. Dan, Leya... Ilham yang aku maksudkan di sini ‘i’nya dieja dengan huruf besar, bukannya dengan huruf kecil. Kau faham maksud aku, kan?” Selepas menuturkan kata-kata yang membuatkan emosiku berkocak itu, Waheeda ketawa pula.

“Aku tau sebagai seorang pengarang, kau sentiasa ternanti-nantikan kemunculan sesuatu yang dinamakan ‘ilham’. Tapi bukan ilham tu yang aku maksudkan.” Sambungnya sambil terus-terusan ketawa.

Ketawanya yang memanjang itu ternyata membuatkan emosiku semakin goyah. Benar kata Waheeda, sebagai seorang pengarang, aku memang tertunggu-tunggu kehadiran sesuatu yang dinamakan ‘ilham’ ke dalam ruang fikirku. Ilham yang diturunkan oleh YANG MAHA ESA itulah yang menggerakkan aku untuk terus berkarya. Ilham yang turunnya tidak menentu waktu. Ilham yang kini sedang bermain sorok-sorok denganku.

Tapi, jauh di sudut hatiku... kutahu yang aku juga sentiasa merindui kemunculan Ilham; yang ‘i’nya dieja dengan huruf besar. Sebagai seorang isteri, maafkan aku, Zam! Kalaulah kau mengetahui hakikat kenapa aku selalu menyebut ‘ilham’ itu sebagai idea, apakah egomu sebagai lelaki merangkap suamiku akan tercalar?

Sememangnya, kalau boleh aku tidak mahu mengingatinya lagi dengan menyebut perkataan keramat itu.

AKU sendiri tidak sedar bilakah masanya aku menamatkan perbualanku dengan Waheeda. Aku juga tidak ingat apakah perkataan terakhir yang aku ataupun dia ucapkan sebelum kami memutuskan hubungan seketika tadi. Kata-kata yang meluncur keluar dari mulut Waheeda tadi, benar-benar mengganggu emosiku. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dadaku diserbu debaran yang menggerutup.

Nama itu sudah lama tidak muncul dalam perbualan kami. Mungkin sejak aku diijabkabulkan dengan Zamarul lagi. Baik aku mahupun Waheeda, kami seolah-olah telah melupakan tentang jejaka yang memiliki nama itu, dan masih mampu meneruskan kehidupan kami seperti biasa. Pun begitu, hakikatnya baik aku mahupun Waheeda... kami sama-sama kenal rapat dengan pemilik nama itu.

Ilham Arief...

“Ma, papa dah balik!” Pintu bilik yang terkuak dan suara Muhammad Daniel yang agak kuat itu memancung terus khayalanku.

“Iye, ke? Terima kasih, Danny. Danny dah siapkan homework?

“Dah.” Muhammad Daniel menjawab.

Aku meninggalkan meja kerjaku sambil berusaha mengenyahkan wajah yang tiba-tiba sahaja mengganggu ketenanganku seketika tadi. Aku melangkah ke ruang tamu dan melihat suamiku sudah pun duduk di kusyen sambil membelai-belai rambut panjang Nur Samira. Zamarul menoleh ketika menyedari kemunculanku.

“Abang dah makan kat luar tadi. Leya tak payahlah susah-susah.” Dia memberitahu sebelum sempat aku bertanya.

Aku senyum nipis. “Petang tadi Leya ada buat bubur kacang. Abang nak ke?”

“Bubur kacang? Hmm... bolehlah.”

“Nanti Leya panaskan kejap, ye.”

“Hmm...”

Aku menuju ke dapur untuk memanaskan bubur kacang kegemaran suamiku. Walaupun aku cuba menyengahkan wajah serta memori yang pernah kukongsi bersama Ilham, tetapi kesemuanya semakin mengasak untuk memenuhi ruang fikirku.

“Ma, aunty Eda call!

Aku tersentak apabila mendengar suara Nur Samira di belakangku. Aku segera menoleh dan melihat Nur Samira menghulurkan telefon bimbit ke arahku. Anak gadisku itu merenungku dengan renungan peliknya. Tapi tanpa berkata apa-apa, dia terus meninggalkan aku di dapur.

“Ye, Eda?” Aku menggumam.

“Eh, kenapa kau tamatkan perbualan kita macam tu aje? Kau marah ke?”

“Err... sorry! Aku tak sengaja.”

Waheeda ketawa. “Kau ni, Leya... bila dengar aje nama tu, terus gelabah semacam. Kau masih ada apa-apa ke dengan pemilik nama tu ke? Kau masih tak dapat lupakan dia?”

Aku semakin gusar. Aku tidak selesa membincangkan tentang hal yang aku anggap sensitif itu di rumahku sendiri; lebih-lebih lagi ketika suamiku kini sedang berada di ruang tamu menunggu aku menghidangkan semangkuk bubur kacang untuknya.

“Kau ni, Eda, janganlah cakap yang bukan-bukan. Kenapa kau kata aku masih ada apa-apa dengannya sedangkan kau pun tahu kan, aku dah ada suami. Err... Eda, aku minta maaf tapi Zam ada kat luar tu. Dia tengah tunggu bubur kacang aku ni.” Sahutku dengan nada berlucu.

Waheeda ketawa. “Oh, suami dah balik ke rumah rupanya. Patutlah tiba-tiba aje jadi macam tikus terjatuh dalam beras!”

Sakit hatiku mendengar sinis sindirannya. “Iye, Cik Eda, oi! Eh, bila kau nak balik ke sini, hah?”

“Esok aku baliklah. Nanti kita jumpa, okey. Eh, Leya, kau jangan malas-malas tau. Cepat cari idea untuk novel terbaru kau tu. Bila dah siap nanti, macam biasalah... aku boleh tolong editkan sebelum kau hantar ke penerbit.” Waheeda menawarkan jasa baiknya.

“Yelah, Cik Eda. Bye.” Jawabku lalu menuju ke ruang tamu dengan menatang dulang kecil berisi semangkuk bubur kacang dan segelas air suam buat suamiku.

Aku pasti dia mendengar langkahku yang sedang menghampirinya. Namun, dia langsung tidak menoleh ke arahku. Malah, langsung tidak mempedulikan aku ketika kuletakkan dulang di atas meja. Kalaulah dia tahu betapa aku merindui renungan matanya yang pernah dilemparkan ke arahku suatu masa dahulu; seolah-olah akulah perempuan tercantik yang pernah hadir dalam hidupnya... argh! Saat-saat itu walaupun telah berlalu daripada kehidupanku, tapi dapat kurasakan kehadiranku di sisinya ketika itu benar-benar dihargai.

Aku tersenyum sendiri. Ada orang pernah berkata, perkahwinan adalah kubur sebuah percintaan. Benarkah?


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.