Home Novel Keluarga SENYUM SEINDAH MONALISA
SENYUM SEINDAH MONALISA
SITI ROZILAH
28/9/2013 13:16:20
19,197
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

4

Kini: “Kenapa diungkit semula semalam itu?”

SEMENTARA menunggu kepulangan anak-anakku dari sekolah ganti, aku memanjat tangga menuju ke bilik tidur. Aku ingin merebahkan badanku ke katil untuk seketika. Kuakui, sejak Waheeda membangkitkan semula nama Ilham ketika menghubungiku melalui telefon malam tadi, fikiranku jadi tidak ketentuan. Tidak tenteram!

Tiba-tiba sahaja aku diserang penyakit resah gelisah. Tiba-tiba sahaja fikiranku jadi ding-dong!Aku juga dapat merasai rintik-rintik debar membadai jiwaku yang lemah ini.

“Kau ni, Leya, bila dengar aje nama tu, terus gelabah semacam. Kau ada apa-apa dengan pemilik nama tu ke? Kau masih tak dapat lupakan dia?” Kata-kata yang terlontar dari mulut Waheeda malam tadi menerbak semula ruang ingatanku.

Apa perlunya Waheeda membangkitkan semula nama itu setelah ianya terpadam berkurun lamanya? Mengapa perlu dibongkar-bongkar semula kenangan semalam sedangkan semua tahu aku kini telah mempunyai kehidupanku sendiri? Aku bahagia dengan hidup yang kususuri kini. Aku mempunyai segala-galanya; kehidupan yang selesa, suami yang kucintai dan anak-anak yang teramat aku sayang.

Jadi, kenapa Waheeda mengungkit semula nama itu dalam perbualan telefon kami walaupun hakikatnya kami pernah berjanji untuk tidak menyentuh lagi tentang si dia? Membangkitkan semula nama itu seumpama menghidupkan semula orang yang telah mati. Apakah gelaran yang diberi terhadap orang mati yang hidup semula? Zombi?

Tidak! Aku tidak mahu membangkitkan semula kenangan yang telah mati itu. Aku tidak mahu ianya bangkit semula sebagai zombi yang kelak menghantui hidupku. Bukankah aku kini telah mempunyai kehidupan yang cukup selesa ditemani oleh suami dan anak-anakku? Aku tidak mahu kehilangan semua itu hanya kerana diganggu oleh zombi.

Bukannya rehat yang aku dapat, sebaliknya kepalaku pula yang berdenyut. Dengan hati yang geram, aku mencapai bantal guling lalu memeluknya erat-erat. Tetapi, entah mengapa tiba-tiba sahaja aku membayangkan seolah-olah aku sedang memeluk Ilham. Dia sedang merenung aku sambil tersenyum.

Isy! Kenapa ni? Tidak selesa dengan situasi itu, aku bingkas bangkit. Apa yang tak kena dengan aku ni? Kenapa fikiranku tergamak membayangkan wajah lelaki lain di kamar tidur yang sekian lama telah kukongsi bersama suamiku? Syaitan apakah yang telah merasukku hingga aku tega membayangkan yang bukan-bukan dengan dia?

Aku yang bernama Nur Aleya ini adalah seorang isteri yang setia pada perkahwinanku. Juga seorang isteri yang taat pada suamiku. Dan, menurut firasatku... aku adalah seorang muslimah yang baik; yang taat pada perintahNYA. Tapi kenapa fikiranku masih digasak oleh Syaitan? Kerja siapakah yang membawa fikiranku terlanjur jauh hingga aku membayangkan memeluk Ilham sedang hakikatnya aku sedang memeluk bantal guling, kalau bukan kerja Syaitan? Takkan itu kerja Malaikat pula?

Oh TUHAN, tidak cukup kuatkah perisai yang membentengi diriku selama ini?

Aku jijik dengan diriku kerana tergamak berfantasi sedang memeluk Ilham di kamar tidurku dengan suami. Apakah aku hendak menjadi replika seorang isteri yang curang seperti yang dipaparkan dalam filem berlatarbelakangkan peperangan pada tahun 1943, Hanover Street, yang dilakonkan oleh Harrison Ford dan Lesley Anne Down?

Aku masih ingat dengan jelas tentang filem yang diterbitkan pada tahun 1979 itu. Bagiku, filem itu cukup romantik. Ianya memaparkan tentang Leftenan David Halloran yang telah bertemu secara tidak sengaja dengan Margaret Sellinder, seorang jururawat British, di sebatang jalan yang bernama Hanover. Mereka tertarik antara satu sama lain dan akhirnya jatuh cinta walau hakikatnya Margaret telahpun berkahwin.

Di akhir cerita ini, pasangan itu terpaksa berpisah. Halloran mencintai Margaret cukup untuk melepaskannya semula ke pangkuan suaminya.

Atau, meletakkan diriku sebagai Katharine Clifton, si isteri yang bermain kayu tiga dalam novel The English Patient karya Michael Ondaatje?

Hakikatnya, baik dalam Hanover Street mahupun The English Patient, seorang isteri yang berlaku curang dalam rumah tangganya tidak pernah aman daripada digasak rasa bersalah. Persoalannya, mahukah aku menjadi seperti Margaret Sellinder dan Katharine Clifton?

Tidak! Tidak mungkin aku menjadi seperti mereka.

Denyut di kepalaku semakin parah. Aku mengalih posisiku dan duduk di birai katil. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi menandakan aku menerima satu mesej. Rupa-rupanya daripada Waheeda.

“Leya, kau ok, ke? Sorrylah aku terungkit nama Ilham. Aku dalam perjalanan balik KL ni. Nanti kita jumpa, okey.”

Geram aku membaca mesej daripada Waheeda itu. Di sebalik membalas SMSnya, aku terus menghubunginya. Di hujung talian, kudengar dia memberi salam kepadaku. Aku segera membalas ucapan salamnya.

“Kau marah ke? Sorry yek...”

“Banyaklah sorry kau! Kau dah lupa ke pada janji yang kita buat dulu?”

“Janji apa?” Isy, Waheeda ni... betul-betul lupa atau sengaja buat-buat lupa?

“Yang kita tak akan sebut atau bangkitkan semula tentang dia?”

“Tentang dia? Siapa ‘dia’ tu?”

Isy, Waheeda ni, sengaja mahu menaikkan darahku, atau apa?

“Kenapa kau ni, Eda? Kau sengaja buat-buat tak faham kan?”

Waheeda sanggup ketawa setelah menyelar hatiku.

“Kan aku dah tulis dalam SMS aku tu... aku terungkit. Kau faham maksud, ‘ter’ tu kan? ‘Ter’ tu maksudnya tak sengaja!” terangnya setelah tawanya terhenti.

“Dah berbelas tahun kita tutup fail tu, Eda. Kenapa kau bangkitkan semula?” Aku masih tidak puas hati dengan jawapan Waheeda. Aku rasa dia sengaja hendak mengenakan aku.

“Leya, kan aku dah kata... aku tak sengaja. Aku dah minta maafkan. Lagipun aku tak faham kenapa kau nak padamkan kenangan kau bersama Ilham. Benda yang dah berlalu tu, biarkanlah berlalu. Ilham bukannya pernah buat jahat pun dengan kau sampai kau tergamak nak padamkan kenangan yang kau kongsi bersamanya?” Waheeda berhujah.

“Tapi apa gunanya kita ungkit hal yang dah berlalu tu?”

“Kenapa? Kau rasa tak selesa?”

“Dah tentu.”

Di hujung talian, Waheeda tergelak besar. “Ni aku nak tanya sikit, kau masih simpan perasaan pada Ilham ke?”

“Isy, apa punya soalan ni?”

“Jawab ajelah soalan aku tu.”

“Tak! Aku tak ada simpan apa-apa perasaan pun pada dia. Puas hati?”

“Habis tu, apa yang kau nak risaukan sangat? Okeylah, Leya, nanti kita berbual lagi. Bye.” Sepantas kilat jugalah perbualanku dengan Waheeda terputus.

Aku tak ada simpan apa-apa perasaan pun pada dia. Benarkah? Kalau benar, kenapa aku perlu resah gelisah mengenangkannya? Dan kalau benar, kenapa aku perlu berilusi yang bukan-bukan tentangnya?

Argh... denyut di kepalaku semakin mencengkam.

AKU memasukkan ke mulutku dua butir Panadol sebelum melalukannya dengan air. Sambil menunggu anak-anakku pulang, aku merehatkan fikiranku di ruang tamu sambil mendengar lagu-lagu dari cakera padat yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman. Kebetulan pula aku dan suamiku begitu meminati lagu-lagu yang dinyanyikan oleh allahyarham.

Perlahan-lahan pil paracetamol yang aku telan tadi mula menunjukkan kesannya. Pening kepalaku mula berkurangan dan akhirnya hilang terus. Fikiranku juga tidak lagi seberat tadi. Mungkin lagu-lagu yang didendangkan oleh Sudirman itu juga mempunyai kesan sebagai penenang jiwa.

Konsentrasiku yang sedang menghayati lagu Milik Siapakah Gadis Ini terganggu apabila telefon bimbitku tiba-tiba berbunyi. Aku segera menoleh ke skrin dan mendapati satu nombor baru tertera. Dalam tertanya-tanya siapakah yang menelefon, kupekapkan juga telefon kecil itu ke telingaku lalu segera memberi salam. Agaknya, kalau yang menelefon itu orang yang bukan beragama Islam, tentu serba salah hendak meneruskan perbualan.

“Waalaikumussalam. Ni Nur Aleya ke?” Suara seorang lelaki.

“Iye, saya Nur Aleya. Siapa ni?”

“Leya, kau dah tak kenal aku ke? Ni akulah... Nazim.”

Ingatanku mengimbas semula wajah itu. “Ya, ALLAH, Nazim! Lama tak jumpa ye? Mana kau dapat nombor telefon aku ni?”

“Daripada siapa lagi, kawan baik kaulah... Eda. Semalam aku terserempak dengan dia kat Kota Tinggi. Nombor telefon kau ni dialah yang bagi.”

Isy, Eda ni... ikut suka dia aje nak jaja nombor telefon aku pada orang. Gerutu hatiku.

“Kau tak kisah aku hubungi kau ni kan, Leya?”

“Err... tak! Tak kisah. In fact aku gembira kau hubungi aku hari ni. Kita kan kawan lama. Banyak cerita pernah kita kongsi bersama kan? Aku pun dah lama tak dengar cerita tentang kau ni.” Aku sedikit teruja.

“Leya, apa kata kalau senang-senang nanti kita jumpa? Aku bercadang nak kumpulkan balik kawan-kawan kita yang dah lama terpisah. Eda dah setuju. Apa pendapat kau?”

“Maksud kau nak buat reunion?

“Iye.”

Sepantas kilat wajah Ilham menerpa ke ruang ingatanku.

“Bagus jugak cadangan kau tu. Kau menetap kat mana sekarang, Nazim?”

“PJ.”

Telingaku menangkap bunyi kereta jiranku memasuki perkarangan rumahnya. Kemudian terdengar pula suara anak-anakku.

“Okeylah, Nazim. Nanti kita bincang balik tentang hal ni, ye. Anak-anak aku dah balik dari sekolah ganti, tu.”

“Berapa orang anak kau, Leya?” Nazim bertanya.

“Sepasang.”

“Iye? Baguslah tu. Okey, Leya, nanti kita jumpa. Bye.

“Bye.”

“MA, telefonlah papa!” Muhammad Daniel menggesa lagi.

Aku menalakan pandanganku ke arah jam yang melekap di dinding. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul 3.30 petang.

“Ma! Mama dengar tak ni? Telefon papa!!” Suara Muhammad Daniel yang seolah-olah sengaja beradu dengan lagu Hindi yang sedang berkumandang di televisyen, menyakitkan telingaku mendengarnya.

“Cubalah Danny SMS papa.” Aku memberikan cadangan. Sebenarnya, aku tidak suka menelefon suamiku di tempat kerjanya. Mungkin dia sedang sibuk, dan aku tidak mahu panggilanku kelak dianggap sebagai pengganggu.

“Dah dua kali Danny SMS papa. Tapi papa tak jawab pun!”

Aku menoleh ke arah Muhammad Daniel. Wajahnya yang mendung itu membuatkan aku jadi belas memandangnya. Sebagai anak lelaki tentu Muhammad Daniel mahukan lebih perhatian daripada papanya yang sentiasa sibuk itu. Pun begitu, aku masih enggan menelefon Zamarul.

“Apa kata kalau Danny cuba telefon papa pula?”

“Mamalah telefon!” Suara Muhammad Daniel keras.

“Masa papa hantar Sa dan Danny ke sekolah tadi, Danny dah cakap dengan papa nak pergi Restoran KFC petang ni. Papa dah setuju.” Nur Samira mencelah.

“Kejap, mama telefon papa.” Kataku sambil mencapai telefon bimbitku lalu bergerak menjauhi anak-anakku yang sedang menonton filem Hindi yang entah apa tajuknya, di televisyen.

Aku terpaksa mendial nombor telefon suamiku sebanyak dua kali sebelum dia menjawab panggilanku. Itupun aku terpaksa menunggu lama sebelum dia menjawabnya.

“Leya ni, bang. Maaflah mengganggu abang, tapi anak-anak tengah tunggu abang balik ni. Mereka kata abang dah setuju nak bawa mereka ke KFC. Betul ke?”

“ALLAH! Memang abang ada berjanji dengan Danny dan Sa nak bawa mereka keluar jam 5.00 petang ni, tapi abang dah terlupa. Jam 4.00 nanti abang ada meeting dengan bos dan bahagian marketing. Leya ajelah bawa anak-anak keluar. Lagipun bukannya jauh Restoran KFC tu dengan rumah kita.”

“Jauh atau dekat tu bukan persoalannya, bang. Anak-anak hanya nak abang luangkan masa dengan mereka.” Terluah kata-kata itu dari mulutku. Kata-kata yang membuatkan aku menyesal kemudiannya.

“Leya, tolonglah faham! Abang keluar ni bukannya untuk suka-suka. Abang ni sedang mencari rezeki untuk kita anak-beranak. Leya suka tengok abang duduk aje kat rumah macam sesetengah suami tu? Nanti bukan setakat KFC, dapur kita pun tak berasap tau.” Zamarul menempelak. Sengit.

Terasa luruh jantungku disergah begitu oleh suamiku sendiri. Aku menalakan pandanganku ke arah anak-anak. Mujurlah bukan Muhammad Daniel yang menelefon papanya, hatiku berbisik.

“Okeylah, bang, Leya faham abang sibuk. Abang tak usahlah risau. Leya akan uruskan anak-anak. Assalamualaikum, bang.” Aku masih memberikan ucapan salam sejahtera padanya, walau kata-katanya seketika tadi membuatkan airmataku menubir.

AKU mengambil sedikit masa untuk bertenang sebelum menghubungi Waheeda.

“Kenapa ni, Leya? Lain macam aje suara kau?”

“Tak ada apalah. Eh, kau ada jumpa Nazim di Kota Tinggi, ye?” Aku segera mengalih topik perbualan kami supaya kesedihanku tidak dapat dihidu Waheeda.

“Iye. Aku terserempak dengan dia malam tadi semasa aku bawa emak, ayah dan adik-adik aku keluar makan kat sebuah restoran di bandar Kota Tinggi. Dia ada telefon kau?”

“A’ah! Terkejut aku bila dia perkenalkan diri. Rupa-rupanya dia tinggal di Petaling Jaya aje.”

Waheeda ketawa kecil. “Nanti bila lapang bolehlah kita jumpa dia. Emm... apa hal kau telefon aku ni, Leya?”

“Kau dah sampai KL, ke?”

“A’ah. Aku tengah berehat depan tv ni.”

“Aku nak bawa budak-budak turun KL petang ni. Danny sibuk nak makan KFC. Terlanjur tu aku teringin nak jumpa kau. Aku singgah ambil kau kat rumah, ye. Boleh kita sembang.”

“Aku no hal! Zam ikut?”

“Zam kat office lagi.”

“Heh! Dah pukul 4.00 petang ni... dia tak balik lagi? Kau kena ingatkan sikit suami kau tu, Leya, dia sekarang ni bukannya bujang lagi. Dia dah berkeluarga, ada isteri dan anak-anak. Sepatutnya petang Sabtu macam ni, dia kenalah luangkan masanya untuk keluarga. Bukan asyik berkampung di office. Lagipun, office tu bukan dia yang punya! Dia hanya bekerja aje kat situ.” Waheeda mula menceceh.

“Zam sibuk, kot.” Suaraku kedengaran longlai di telingaku sendiri.

“Boleh kalau nak sibuk. Tapi kenalah ingat juga pada keluarga. Okeylah, Leya, pukul berapa kau nak ambil aku?”

“Dalam pukul 5.30?”

“Okey. Aku tunggu di rumah, ye.”

“Okey, Eda, bye.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.