1
Kini: “Idea – di manakah kau bersembunyi?”
SEKSA! Ya, cukup terseksa rasanya. Setiap kali hendak mengusahakan sesebuah
naskhah, setiap kali itulah juga aku akan diserang oleh penyeksaan ini.
Kadang-kadang aku sering tertanya-tanya sendiri apakah petua yang diamalkan
oleh beberapa orang teman-teman penulisku yang lain, yang mampu menyudahkan
naskhah mereka dalam masa tiga atau empat bulan sahaja? Sedangkan aku
kadangkala terpaksa mengambil masa bertahun untuk menyempurnakan sesebuah
naskhahku?
Kenapakah idea
mereka mengalir laju bagaikan aliran sungai melompati batu-batu licin nun di
rimba yang terpencil? Sedangkan idea bagiku alirannya terlalu lesu; selesu arus
Sungai Klang yang merentasi ibu kota, yang rona airnya menyamai kepekatan teh
susu itu? Idea bagiku bagaikan biskut; sekejap ada sekejap tiada. Terkadangkala
ia seolah-olah sengaja mempermainkan aku dengan menyembunyikan dirinya entah di
mana.
Apakah aku
sedang berdepan dengan sindrom ketandusan idea? Kolam fikirku kering kontang
sebagaimana kontang dan gersangnya Gurun Sahara yang setiap hari dipanah terik
mentari.
Wahai idea,
kenapakah kau bersembunyi tatkala dicari?
Apabila aku
mengadukan hal ini kepada teman baikku, Waheeda, diriku sering pula
ditertawakannya. Temanku itu kini sedang bercuti selama tiga hari di rumah
keluarganya di Kota Tinggi, Johor.
Kata
Waheeda, “...apalah kau ni, Leya! Agaknya kau yang tak fokus kot? Apa kata
kalau kau cuba buat jadual waktu. Cuba kau bahagi-bahagikan masa yang tertentu
untuk menulis dan melakukan urusan rumah tangga. Sebelum tu kau kena pastikan
bila masanya kau paling produktif menulis, barulah senang.”
“Aku faham tugas
sebagai suri rumah ni memang tak pernahnya habis. Ada-ada aje yang nak
diperbuat. Tapi aku rasa kalau kau pandai membahagi-bahagikan masa, kau akan
jumpa ruang untuk terus berkarya.”
Waheeda
memang begitu. Dia akan sentiasa muncul dengan idea bernasnya setiap kali
kupinta. Namun begitu, ada juga idea-ideanya yang hanya sesuai untuk dijadikan
santapan telinga sahaja.
Selama lebih
kurang 10 tahun bergelar penulis, aku telah berjaya menghasilkan enam buah
novel dewasa dan dua buah novel remaja selain turut aktif menghantar cerpen ke
beberapa buah majalah.
Novel aku
yang keenam sudah beberapa bulan berada di pasaran. Menurut Rasyidah, editor
yang telah menyelaraskan penerbitan lima buah daripada enam novel-novelku,
sambutan yang diberikan khalayak terhadap novel keenamku memang
memberansangkan.
Semasa
menghubungiku melalui telefon tiga minggu lalu, Rasyidah sempat bertanya
bilakah aku akan menghantar manuskrip yang seterusnya. Perbualan kami pada pagi
Jumaat itu masih aku ingat dengan jelas.
Kata Rasyidah,
“...feedbackyang kami terima melalui
facebook tentang novel ‘Cinta
Pertama’ memang hebat. Malah peminat-peminat akak dah mula bertanya bilakah novel
terbaru kakak akan diterbitkan.”
“Hai,
entahlah Syidah. In fact akak belum
pun fikir apa-apa lagi untuk manuskrip terbaru kakak. Otak kakak sekarang ni
tengah blank... kosong! Asyik sibuk
dengan urusan anak-anak dan rumah tangga aje. Silap hari bulan mungkin novel
Cinta Pertama itu akan menjadi novel cinta terakhir kakak.” Aku menjawab.
“Eeiii...
ruginya kak! Nama akak sekarang ni sebaris dengan penulis-penulis top seperti
Aisya Sofea, Haiza Najwa, Aina Emir dan Norhayati Berahim. Janganlah gantung pen
sekarang, kak.”
“Ah, engkau
ni Syidah! Memandai-mandai aje kau samakan kakak dengan penulis-penulis
tersohor tu. Kakak ni penulis tersahur aje. Kata orang, penulis suam-suam
kuku.” Aku menjawab pantas dan telingaku mendengar Rasyidah mengelekek di hujung
talian.
Mungkin
Rasyidah sengaja berkata begitu untuk menaikkan semangatku. Atau, Rasyidah
sendiri yang telah menjadi peminat setiaku setelah ditugaskan untuk mengedit
dan memperkemaskan lima buah daripada enam naskhahku yang dihantar ke syarikat
Penerbitan Sinar Kejora, tempat dia bekerja itu.
“Kak Leya
yang terlalu merendah diri. Saya serius ni, kak. Bukannya saya sengaja
reka-reka cerita. Novel Cinta Pertama sekarang ni berada dalam senarai Top Ten
novel-novel terlaris di Popular Bookstore. Akak... pleaselah, teruskan berkarya. Janganlah gantung pen dulu.”
Aku
tersengih sendiri ketika teringatkan rayuan Rasyidah itu. Dia memang
bersungguh-sungguh cuba menaikkan semangatku yang sering terjuntai layu
bagaikan bunga kembang pagi yang telah dicabut akarnya. Dan, Dijentik dek
rayuannya itulah maka aku terus tertonggok di meja kayu rona coklat tua ini;
mengadap laptop yang terasa menjemukan serta beberapa helai kertas kajang dan
sebuah buku nota kecil yang masih kosong daripada sebarang contengan.
OTAKKU masih beku. Laptop langsung tidak kubuka. Kertas kajang dan buku notaku
masih kosong daripada sebarang contengan. Kutoleh jam bulat yang tergantung di
dinding. Jarum jam itu menunjukkan tepat ke pukul 5.30 petang. Aku segera
menyusun kertas-kertas kajang dan memperkemaskan meja tulisku sebelum melangkah
keluar dari bilik kerjaku itu. Beberapa minit lagi anak-anakku, Nur Samira dan Muhammad
Daniel akan pulang dari sekolah agama.
Sementara
menunggu mereka sampai, aku sempat menyiram tiga pasu pokok bunga ros dan dua
pasu besar pokok bunga kertas yang sedang galak berbunga di depan rumah. Hatiku
menjadi tenang melihat pokok-pokok bungaku itu.
Sebaik
sahaja terlihatkan kelibat kereta jiranku, Kak Zaiton, aku segera membuka pintu
pagar. Aku tersenyum lebar menyambut kepulangan anak-anakku. Setelah
mengucapkan terima kasih kepada jiranku itu, aku menghambat anak-anakku masuk.
“Sa, mama
ada buat bubur kacang. Ada atas meja makan.” Aku memaklumkan hal itu kepada
anak gadisku, Nur Samira, yang berusia sepuluh tahun. Nur Samira sangat suka
makan bubur kacang, sama seperti papanya.
Cuma Muhammad
Daniel yang berumur lapan tahun itu sahaja yang kurang gemar makan bubur
ataupun pengat. Selera Muhammad Daniel lain. Kalau aku sediakan bubur ataupun
pengat sebagai hidangan petang, sesudu pun tidak disentuhnya. Kuih-muih pun dia
memilih. Dia hanya suka makan donut, kuih keria dan karipap. Selain daripada
itu, jarang disentuhnya.
“Iye ke, ma.
Sayang mama!” Nur Samira berteriak gembira. Dia sempat mencium pipi kananku
sebelum berlari ke dapur untuk mengambil mangkuk dan sudu.
Aku menoleh
pula ke arah Muhammad Daniel yang sudah terperonyok di kusyen. Mungkin
keletihan. Siapa kata dunia seorang pelajar sekolah rendah tidak meletihkan?
Jadual mereka sentiasa terisi. Bayangkan, jam enam pagi sudah terpaksa bangun
dari tidur dan kemudian bersiap-siap hendak ke sekolah. Mulai jam tujuh
setengah hinggalah ke pukul satu tengah hari mereka terpaksa berdepan dengan
buku-buku, guru-guru dan kerenah teman sebaya.
Kemudian
pulang ke rumah seketika untuk makan dan menukar pakaian sebelum menuju pula ke
sekolah agama hinggalah ke pukul enam petang. Di malam harinya pula mereka
terpaksa mengadap kerja rumah yang dibekalkan oleh guru-guru.
“Danny letih
ke?” Aku menyoal. Danny adalah gelaran manja kami sekeluarga untuk anak itu.
“Hmm...” Itu
sahaja yang meluncur keluar dari mulutnya... hmm...
“Tak nak
rasa bubur kacang?” Aku sekadar bertanya walaupun aku tahu hakikatnya Muhammad
Daniel memang tidak suka makan bubur kacang. Aku tergelak kecil melihat dia
menjuihkan bibirnya. “Kalau macam tu pergilah mandi. Dah mandi nanti senang.”
“Letihlah,
ma.” Dia menyahut.
“Mama tahu.
Nanti dah mandi segarlah sikit badan tu.” Aku terus memujuknya. Muhammad Daniel
tidak membantah. Dia segera mendaki tangga menuju ke biliknya.
Mataku
kemudiannya beralih pula ke arah Nur Samira yang kelihatan khusyuk menyudu
bubur kacang ke mulutnya. Betapa aku menyayangi kedua-dua orang permata hatiku
itu. Sebagai seorang ibu, aku sanggup berkorban apa sahaja untuk mereka berdua.
Hatta berkorban nyawa sekalipun!
Petang
semakin larut. Waktu dirasakan berlalu dengan pantas. Seketika nanti senja akan
menyerkup. Aku segera mengunci pintu utama sebelum ke belakang pula. Gril dan
pintu belakang kukunci rapat. Hidup di kota sentiasa harus berwaspada.
Selepas itu
aku segera mendaki tangga menuju ke bilikku. Aku mahu membersihkan diri sebelum
mengadap Ilahi di tikar sembahyang.