Home Novel Keluarga Lantana Camara
Lantana Camara
Nina Rose
23/11/2012 02:43:49
14,243
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 4

Bab 4

DEEP melihat dirinya dalam cermin. Dia tersenyum, bangga dianugerahkan wajah yang sempurna dan cukup sifat. Telapak tangan diraup ke muka sebagai tanda syukur yang dipanjat dalam hati terhadap Tuhan yang Esa. Ditinggalkan cermin yang melekap di dinding itu. Topi berwarna putih yang tersangkut di belakang pintu diambil dan diletakkan atas kepala. Tombol pintu dipulas. Dia melangkah keluar meninggalkan biliknya menuju ke tingkat bawah.

Di ruang tamu rumah itu kelihatannya Ana sedang asyik menonton siri Inggeris kegemarannya, The Three Musketeers yang tersiar di siaran ABLO 123 sambil mengunyah pelbagai makanan ringan. Deep yang baru melepasi anak tangga terakhir menghampirinya.

“Kak, orang hendak keluar. Sebelum maghrib nanti orang balik,” beritahu Deep. Tangannya menyentuh belakang sofa yang disandar Ana.

Ana berpaling seketika sebelum matanya beralih ke kaca Televisyen semula.

“Nak ke mana?”

“Berkenalan dengan warga taman ni.”

Ana tersenyum.

“Tak ada kerja!” Protesnya.

“Lebih baik dari duduk dan makan tidur,” balas Deep.

Ana berpaling lagi.

“Perli akulah tu.”

“Terasa?”

“Hurmmm...” Ana berpaling semula. Mahu menghabiskan sedikit lagi tontonan yang tinggal dua minit itu.

“Aku nak ke gerai Pak Lid,” beritahu Deep lagi.

“Apa yang menariknya?” tanya Ana berlagak.

“Lah, bukan ke aku dah beritahu tadi, aku nak berkenalan dengan warga tempat ni. Pak Lid tu orang popular di tempat ini. Mestilah ramai yang berkunjung ke gerainya pada hari minggu macam ni.”

Ana diam seketika. Siri yang ditontonnya baru sahaja habis dan akan bersambung ke episod akan datang.

“Pak Lid tu artis ke?”

Deep tersengeh. Apa Ana fikir hanya golongan itu sahaja yang popular?

“Bukan. Ayah kawan aku, Dahlia. Dia berniaga gerai di depan deretan rumah kedai kat depan simpang tu,” jelas Deep.

Ana tersenyum nakal.

“Kau nak pergi pikat anak Pak Lid tu lah, kan?”

“Mana ada!” Cepat-cepat Deep menafikan.

“Kalau kau tak percaya, jomlah ikut aku,” ajak Deep mahu Ana melihat dengan mata kepala sendiri.

Ana tergelak kecil pula.

“Mahu memikat pun nak suruh aku teman,” usiknya.

“Ana!” Marah Deep.

Ana ketawa lagi. Kini duduknya ditegakkan.

“Apa yang Pak Lid tu jual?” tanyanya tanpa rasa bersalah.

“Yang aku tahu, kuih.”

“Macam sedap saja bunyinya.” Ana tersengeh.

“Kalau mahu dibanding dengan makanan segera yang kau makan tu, elok lagilah makan kuih yang Pak Lid jual,” sindir Deep.

“Amboi!” Ana bangun dari duduk dan memandang Deep. Dia pura-pura marah. Sebenarnya dia juga sudah jemu asyik menikmati jajan-jajan dari dalam bungkusan menarik itu. Berpinar matanya menahan rasa pening di kepala kerana terlebih memakan bahan perisa dan perwarna kimia yang terkandung dalam semua makanan ringan itu.

Deep merengus. Geram sahaja hatinya melihat sifat pembuli Ana.

“Ada duit?” tanya Ana.

“Ada. Aku kumpul duit sekolah,” beritahu Deep.

Ana mengangguk. Andai mahu diharapkan dia yang masih belum bekerja memang jangan haraplah. Ibu mereka yang baru bekerja itupun tidak meninggalkan duit poket untuk mereka. Semua keperluan rumah sudah dirapi sebelum ke tempat kerja. Hanya dua keping not lima puluh ringgit sebagai wang kecemasan sahaja yang diamanahkan kepada Ana. Selagi tidak ada hal berkaitan kecemasan jangan harap wang itu dapat digunakan. Ana perlu selalu amanah walaupun kadang-kadang terjentik juga naluri nakalnya untuk menghabiskan wang itu.

“Kalau macam tu aku ikutlah. Kau tunggu aku naik atas pakai tudung kejap,” ujar Ana bersetuju dan cepat-cepat ke tingkat atas.

“Cepat sikit... aku tunggu depan rumah,” laung Deep sambil mengambil alat kawalan jauh yang Ana tinggalkan di sofa. Televisyen dimatikan sebelum melangkah keluar.

Serentak Deep dan Mikael membuka pintu pagar rumah masing-masing. Mikael terlebih dahulu keluar dengan sebiji bola sepak di tangannya. Deep melemparkan senyuman buat Mikael sebaik mata mereka saling berpandangan. Mikael membalas.

“Hendak ke mana?” tanyanya sambil menghulur tangan dan berjabat salam dengan Deep.

“Gerai Pak Lid.”

“Oh. Elok juga tu sebab dalam banyak-banyak gerai kat sini, gerai Pak Lid saja yang menepati kualiti masakan. Mak Cik Som memang pandai buat kuih,” seikhlas hati Mikael mempromosi perniagaan Pak Lid.

“Saya belum pernah cuba. Ini yang baru mahu mengajak kakak pergi ke situ.”

“Oh, hendak pergi dengan Ana?” Mikael tersenyum meleret.

Deep mengangguk dan tersenyum juga. Dia tahu makna senyuman Mikael itu.

“Kalau abang nak ikut sekali, jomlah,” pelawa Deep biar padan muka Ana.

“Boleh juga. Hendak main bola pun belum ada kawan. Masih awal.” Mikael menayangkan bola ditangannya dan kemudian melihat jarum jam tangannya. Hampir 4.10 petang.

“Balik nanti bolehlah saya ikut abang main bola?” pinta Deep.

Mikael tersenyum dan mengangguk.

Ana keluar dan berdiri disebelah Deep.

“Jomlah kak, Abang Mike mahu ikut sekali,” beritahu Deep.

Kening Ana dan Mikael terangkat serentak mendengar kesilapan Deep menyebut nama Mikael.

“Abang apa?” tanya Mikael.

“Mike,” jawab Deep belum sedar kesilapannya.

“Mike apa bendanya? Nama dia Mikael, bukan Mike atau Milk! Kau ni suka-suka saja nak ubah nama orang,” rungut Ana.

Muka Deep berubah malu.

Mikael pula sudah tersengeh.

“Salah lagi.” Deep mengaru belakang kepalanya menahan malu.

Mikael sudah terkekeh. Pelik juga memikirkan bagaimana namanya boleh bertukar Mike, pasti ada sesuatu diumpatkan dua beradik itu yang melibatkan nama dan dirinya.

* * * * *

LEBAR senyum Pak Lid menerima kunjungan Deep, Mikael dan Ana di gerainya. Dipelawanya mereka untuk duduk di beberapa buah bangku yang tersedia di bawah pohon besar itu. Kerana kawasan yang terhad Pak Lid hanya dapat membuka dua buah meja dan lapan kerusi untuk melayan pengunjung mahu menjamu selera di situ. Tiga gelas minuman berperisa anggur tiruan dihidangkan kepada mereka bertiga.

“Kalau hendak makan kuih boleh pilih di sana. Ada piring di situ. Letak dalam tu dan bawa ke sini. Kalau hendak bubur juga ada,” beritahu Pak Lid sambil menyangkutkan tuala kecil di tangannya ke bahu.

Mereka bertiga mengangguk.

“Jangan malu-malu, Pak Lid belanja,” tambahnya sambil menepuk bahu Deep.

“Wah, mana boleh begitu Pak Lid, tak untunglah Pak Lid hari ini,” tolak Mikael.

“Untung, rugi tu rezeki daripada ALLAH, kadang-kadang jualan Pak Lid pun tidak habis semua. Daripada membazir eloklah bersedekah sedikit kepada kamu bertiga. Lagipun banyak manalah kamu semua makan, takkan habis semua jualan Pak Lid tu,” ujar Pak Lid bersulam gurauan.

Deep tersenyum.

“Saya makan sedikit saja, tetapi kalau anak badak ni tak tahulah.” Deep memandang Ana. Ketika itu juga kakinya yang di bawah meja dihentak kuat oleh kaki Ana.

“Adoi!” Jerit Deep tiba-tiba membuatkan orang lain terpinga-pinga memandangnya.

“Kenapa?” tanya Pak Lid kaget.

“Ada kaki badak pijak kaki saya bawah meja ni,” beritahu Deep tanpa selindung.

Mikael memandang Ana dan ketawa, diikuti dengan Pak Lid.

Ana berwajah selamba seperti tiada apa yang berlaku.

“Sudah-sudah, jangan duduk saja. Bangun pergi ambil apa yang kamu mahu makan, Pak Lid ada pelanggan tu,” suruh Pak Lid yang kemudian mendapatkan gerainya yang baru dikunjungi pembeli.

“Kau hendak makan apa?” tanya Deep kepada Ana.

“Apa yang kita tak pernah dapat di London,” jawab Ana.

Deep menjuirkan bibirnya. Fikirnya semua masakan Malaysia ada sahaja di London, hanya mereka yang tidak punya masa untuk mencari.

“Aku cadangkan kau cuba bubur kacang merah yang dicampur dengan seketul ais. Sedap,” celah Mikael.

“Okey juga. Tetapi kalau tidak sedap, kaulah yang kena habiskan,” setuju Ana.

Mikael senyum. Memang berlagak betul gadis itu.

“Kenapa kau senyum?” tanya Ana tidak puas hati. Terasa seperti disindir pula. Atau mungkin Mikael mahu mengenakannya.

“Salah ke aku senyum?”

“Tak salah. Tapi aku rasa banyak manapun kau tersenyum, bekas tapak kaki Neil Armstrong yang tertinggal di muka kau tu tetap takkan hilang,” ujar Ana agak keterlaluan.

Mikael terpinga tidak faham akan maksudnya. Dia diam untuk berfikir.

Deep membesarkan matanya memandang Ana. Tiada sebab untuk Ana menghina Mikael begitu. Biar wajahnya tidak licin tetapi Mikael masih boleh disenaraikan sebagai lelaki ada rupa. Cantik, menarik dan tetarik.

“Kau maksudkan Neil Amstrong yang naik ke bulan tu?” tanya Mikael sebaik menangkap sesuatu dari kata-kata Ana.

Ana mengangguk.

“Maksud kau muka aku macam bulan?” tanya Mikael lagi.

Ana menjungkit bahu dan tersenyum sedikit. Parut-parut jerawat yang berbekas di muka Mikael sangat jelas di mata siapa sahaja.

“Kau kata Neil Armstrong pijak muka aku?” Mikael tidak marah tetapi terkekeh ketawa. Lucu sekali dirasakan pemikiran Ana itu.

Ana mengkerutkan dahinya.

“Kenapa kau gelak? Nak marah, marah sajalah,” tegur Ana kurang senang melihat Mikael tenang menerima kata-katanya.

“Buat apa aku marah... Kau dah berlaku sejujurnya, mencermin aku dengan pandangan sebenar. Walaupun cara kau beritahu muka aku tidak tampan dan macam bulan itu agak unik,” beritahu Mikael sebelum mencuit bahu Deep dan mengajak remaja itu ke gerai Pak Lid.

Ana menjeling geram. Sakit hatinya ditinggalkan terhukum dengan perasaan bersalah kerana mengata Mikael sesedap rasa.

“Ambil, ambil... apa yang kamu mahu makan, ambil saja.”

Ana memerhatikan keramahan Pak Lid melayan Mikael dan Deep. Dia termenung sendiri. Fikirnya, di London masih adakah lelaki separuh umur versi Pak Lid yang bermurah hati menyedekahkan sedikit dari barang jualannya kepada jiran yang hanya dikenali baru beberapa hari itu? pasti sahaja tidak ada. Ana mengeluh sendiri, bertapa makmurnya tanah kelahirannya itu.

Sebaik terlihat Mikael dan Deep datang menghampirinya, Ana mengalih pandangan dan minuman dihadapannya diteguk.

“Bubur ni macam sedap.” Deep meletakkan dua mangkuk bubur di tangannya ke atas meja.

Mikael juga berbuat demikian. Dua piring berisi kuih diletakkan ke tengah meja.

“Cubalah, nanti hari-hari kau mahukannya lagi,” ujar Mikael yang sudah duduk.

Ana hanya diam sambil mengambil bubur yang diberi Deep. Di sudunya ke mulut sekali. Ternyata bubur itu memang sedap tetapi malu mahu mengakuinya.

“Makan perlahan-lahan, kalau hendak lagi boleh tambah,” ujar Pak Lid yang sudah berdiri di sebelah Deep. Pelanggan terakhirnya untuk waktu itu baru selesai membuat pembelian.

“Kamu berdua ini anak orang putih, ya? Tetapi pandai pula cakap Melayu,” tanya Pak Lid sebaik melabuhkan punggung atas sebuah bangku kosong.

Deep tersenyum.

Mikael memberi tumpuan. Dia juga mahu mengetahui sedikit cerita dua beradik itu.

Ana memandang Deep, membiarkan adiknya itu sahaja membuat penjelasan. Bimbang, andai dia yang bersuara lain pula jadinya.

“Ayah kami berketurunan Irish, ibu kami Melayu,” beritahu Deep ringkas.

Pak Lid mengangguk.

“Patutlah. Ini banyak ambil darah sebelah ayahlah, kan? Kulit putih, muka lawa,” puji Pak Lid suka melihat dua beradik itu. Tidak ubah seperti pasangan adik-beradik Sasha Saidin dan Zain Saidin.

Ana tersenyum.

“Eh, tapi kenapa aku tak pernah nampak ayah kau orang?” celah Mikael.

Wajah dua beradik itu bertukar sedih.

“Papa kami sudah meninggal. Sebab itu kami pulang ke sini,” beritahu Deep perlahan.

“Oh, maaflah aku tak tahu,” pinta Mikael simpati.

“Kalau tidak bertanya macam mana kau hendak tahu,” marah Ana pada Mikael.

Pak Lid tersenyum. Garang sungguh anak gadis itu di pandangannya.

“Tidak mengapa, setiap orang akan mengalami kitaran hidup yang sama. Hidup dan mati,” balas Deep perlahan.

Pak Lid tersenyum lagi. Dia suka dengan jawapan Deep. Anak muda itu cukup bijak dalam menyusun kata. Berhemah dan sopan.

“Semua orang memang panggil kamu Deep, ya?” tanya Pak Lid.

Deep mengangguk. Nama itu lebih selesa dengan dirinya berbanding nama panjangnya.

“Apa nama penuh kamu?” tanya Pak Lid, teringin sangat mahu tahu. Biasanya anak-anak kacuk ini memiliki nama yang berbelit-belit untuk disebut.

“Johnny Deep,” sampuk Ana dengan gelak kecil.

“Nama orang putih?” Pak Lid dan Mikael bertanya serentak.

Deep menjeling Ana.

“Bukan. Nama saya, Johan Adib,” beritahu Deep memperbetulkan kesilapan yang dibuat Ana.

Pak Lid mengangguk.

“Sedap nama tu. Yang ni, apa pula nama kamu?” Pak Lid beralih kepada Ana.

Ana menelan bubur dalam mulutnya. Itulah yang dia paling tidak suka dipersoalkan dalam hidup. Namanya yang indah disebut tetapi buruk maksudnya. Ana menjeling Deep memberi amaran supaya tidak suka-suka menyebut namanya.

“Ana... nama saya Ana.”

“Ana saja?” Pak Lid sedikit terkejut.

Mikael mempamerkan muka tidak percaya.

Deep menelan air liur dan tidak berani mahu menyampuk.

Ana mengangguk.

“Pendek sangat. Tetapi eloklah, tidak susah bakal suami hendak menyebutnya semasa akad nikah nanti,” ujar Pak Lid sudah mahu bangun dari duduknya kerana gerainya dikunjungi pelanggan lagi.

Ana tersenyum kelat. Kita tengoklah nanti, bisik hatinya.

“Kalau nak apa-apa lagi, ambil saja. Jangan segan.” Pak Lid bergegas mendapatkan pelanggannya.

“Betul ke nama kau Ana saja. Kenapa nama dia panjang, nama kau pendek?” Mikael tidak puas hati.

“Sebab masa mama aku namakan aku, fikiran dia blur! Tiga huruf itu saja yang terlintas dalam kepala dia. Sikit ini sajalah nama aku,” ujar Ana geram tidak semena-mena.

Mikael mengkerutkan dahi. Langsung tidak mahu percaya alasan Ana itu.

“Deep, apa nama penuh kakak kau?” tanyanya seakan memaksa Deep menjawab.

Ana merenung Mikael. Penyibuk!

Deep tersenyum.

“Ana De Caprio.”

Ana tersenyum. Deep baru sahaja menyelamatkannya. Yang penting Deep tidak menipu, hanya tidak jujur sahaja.

“Aku ingat Anabella. De Caprio tu macam nama hero filem Titanic, Leonardo Di Caprio.” Mikael menggeleng sambil ketawa dihujung kata-katanya. Nama itu sangat unik padanya.

Pak Lid datang lagi bersama sepinggan keropok lekor pula.

“Cuba keropok ni, sedap. Makanan orang-orang Pantai Timur,” suruh Pak Lid.

“Pak Lid nak balik solat asar sekejap lagi,” beritahunya kemudian sambil duduk.

“Kalau Pak Lid balik, siapa yang akan menjaga gerai tu?” tanya Deep ingin tahu.

“Isteri Pak Lid, Mak Cik Som dengan anak Pak Lid, Dahlia.”

“Pak Lid tidak ada anak lain selain Dahlia?” tanya Deep.

“Ada. Anak sulung dan nombor dua Pak Lid masih belajar di universiti. Mereka ada semasa cuti atau bila mereka lapanglah,” jelas Pak Lid.

“Kamu boleh makan makanan pedas, Ana?” tanya Pak Lid sambil memerhatikan Mikael mengambil satu dari keropok yang dibawanya tadi.

Ana mengangguk. Ibunya biasa menyediakan masakan pedas sewaktu mereka tinggal di London dahulu. Ayahnya juga sangat mengemari masakan yang pedas-pedas.

“Cuba kamu rasa popia ni.” Pak Lid menolak piring berisi popia itu kepada Ana.

Mikael membayangkan Ana akan terjerit kepedasan dan meminta air. Sebelum hal itu terjadi hatinya sudah terkekeh dahulu.

* * * * *

PERUT mereka bertiga memang sudah kekenyangan. Sesekali kedengaran Deep sendawa besar dan setiap kali itu juga Ana menyikunya. Mikael berjalan termengah-mengah. Banyak sangat yang sudah dimakan tadi. Entah boleh bermain bola lagi, entahkan tidak. Kurang mereka dua beradik menikmati apa yang diberi Pak Lid, dia yang lebih. Sekarang dia yang menangung akibat. Benarlah pesan Rasulullah supaya kita makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Kalau terlalu kenyang menyeksa diri.

“Aku ingat kau akan menangis sebab popia tu pedas,” ujar Mikael.

Ana tersenyum sambil mengangkat kening beberapa kali. Bangga. Ingat ini cerita di TV ke? Gadis asing yang selalu mengelupur kepedasan. Itu cerita zaman nanny-nya sahaja. Zaman dia tidak begitu. Vee dan Michel pun boleh makan pedas, terbiasa dengan hidangan di rumahnya.

“Tengok oranglah,” balas Ana kemudian. Ada sahaja sifat belagaknya itu.

Mikael tersenyum.

“Kak, kau baliklah dulu. Aku nak ikut Abang Mikael main bola,” beritahu Deep sebaik padang bola sudah kelihatan tidak jauh dari mereka.

“Baliklah solat dulu. Kau hendak aku beritahu mama yang kau tidak solat sebab nak main bola?” ugut Ana.

Deep mengetap bibir serba-salah.

“Haah, baliklah dulu. Abang pun nak balik dulu,” sokong Mikael. Perutnya tiba-tiba sahaja mengulas.

Deep tersenyum.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.