Home Novel Keluarga Lantana Camara
Lantana Camara
Nina Rose
23/11/2012 02:43:49
15,901
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 1

BOEING 747-400 baru empat puluh minit mendarat. Kelihatan tiga orang penumpang penerbang MH3 yang di bawa terbang dari lapangan terbang Heathrow, London ke KLIA, Malaysia sedang duduk termagu di sebuah kafe. Gadis muda itu memandang adiknya dengan perasaan bercelaru. Kurang dua belas jam tadi mereka berada di Kota London dan sekarang mereka sudah berada di situ, di bumi tempat tumpah darah mereka yang serba asing.

Gadis itu mengalihkan pandangan. Telatah manusia pelbagai bangsa dilihat seketika. Dia berkira-kira sendiri, mampukah kehidupan baru itu dilalui? Kata-kata ibunya sebulan lalu menerjah ruang ingatan.

“Kita tidak punya pilihan, sayang. Ayah kamu sudah tidak ada. Mama juga tidak boleh meneruskan kehidupan di sini, kos sara hidup di sini terlalu tinggi. Elok rasanya kita pulang ke Malaysia dan belajar hidup di sana semula,” pujuk Puan Sherly tiga bulan setelah kematian Encik De Caprio. Hakikatnya bukan kos sara hidup yang tinggi, tetapi dia bimbang tidak dapat mengawal anak-anaknya setelah ketiadaan suaminya. Itu Kota London, pengaruh dan budayanya tidak punya kekangan. Semua boleh. Silap hari bulan, Ana yang tidak pernah berskirt pendek, akan berskirt pendek. Dip yang segan-segan mahu berkawan dengan perempuan boleh peluk perempuan sana sini pula. Huhuhu... itu Puan Sherly tidak sanggup.

Ana memandang ibunya seketika. Kemudian kepalanya tertunduk ke bawah. Dia mengeluh berat. Hampir dua puluh tahun membesar di kota mewah itu tiba-tiba keindahan hidupnya terhenti. Ayahnya kemalangan sewaktu mengikuti aktiviti berkelah anjuran sekolah tempatnya mengajar? Andai ayahnya tidak turut serta pasti dia masih ada dan nasib mereka tidak begitu.

‘Mati... bila-bila masa dan di mana pun jua boleh berlaku. Andai ajal sudah memjemput, tiada kudrat kuasa manusia yang mampu menghalang. Sembunyi dalam tembok batu pun boleh mati juga,’ bisik hati kecilnya. Akur akan ketentuan takdir. Bahunya dijatuhkan dan matanya dikedip beberapa kali. Dia menarik nafas.

“Terserah mama,” jawabnya ringkas.

Puan Sherly tersenyum senang. Dia tahu berat Ana hendak menerima keputusannya. Bahu Ana diusap lembut seakan berterima kasih dengan pengertian yang diberikan anak gadisnya itu. Deep, anak lelakinya tidak banyak ragam dan menurut saja. Remaja lelaki yang sedang meningkat dewasa itu sangat menyenangkan hatinya.

“Tadi kita terbang dari London pukul 12.00 tengah hari, sampai ke sini jam 7.30 pagi. Jauh sangat tempat kelahiran papa sudah kita tinggalkan,” omel Deep yang baru melentukkan kepalanya ke bahu Puan Sherly.

Puan Sherly tersenyum layu, tangan Deep dipangkuannya ditepuk mesra. Tuhan sahaja yang mengerti perasaannya saat itu. Walauapapun dia harus kuat, anak-anak masih memerlukan dirinya sebagai sokongan. Yang pergi tidak mungkin kembali tetapi cukup abadi dalam kenangan.

“Sebenarnya Deep, walaupun kita sampai sini, waktu tempatan jam 7.30 pagi, tetapi sebenarnya kita terbang cuma sebelas jam setengah sahaja. Jam mama yang mama betulkan sejak dari London baru menunjukkan angka 11.30 malam. Zon masa antara London dengan KL berbeza sebanyak 8 jam. Sebab itulah waktu jam mama berbeza dengan jam di sini.” Puan Sherly menerangkan hal sebenar supaya tidaklah anaknya itu fikir bahawa terlalu lama mereka berada dalam penerbangan.

“Tetapi perjalanan sebelas jam setengah itu tetap juga jauh, mama. Nampak gaya, entah tahun bila pulalah kita dapat balik ke London lagi,” keluh Deep.

“Sudahlah, jangan fikirkan lagi perkara yang lepas. Kita mulakan semuanya sekali lagi dengan gembira di sini. Perut pun sudah lapar, mari kita bersarapan dahulu sementara menunggu pak cik kamu datang,” ujar Puan Sherly memujuk anak-anaknya. Nasi lemak yang masih panas sudah terhidang di hadapan mata. Mereka menikmati masakan asli Malaysia buat pertama kalinya di tanah air sendiri setelah sekian lama merantau di negara salji.

♫ ♫ ♫ ♫ ♫ ♫

“ANA,Deep...ingat pesan mama. Jangan tunjuk perangai berlagak dan menyombong di sini. Jika kamu bersikap seperti itu, orang akan ‘pulau’kan kamu,” nasihat Puan Sherly sebaik mereka selesai bersarapan.

Ana dan Deep mengangguk.

“Satu lagi, biasa-biasakan bercakap dalam Bahasa Melayu, jangan tunjukan sangat yang kamu berdua ‘orang putih celup’. Nanti orang meluat dan mengata.”

Pesanan kedua Puan Sherly membuatkan Ana dan Deep saling berpandangan. Mereka hairan, tempat apa telah ibu mereka bawa mereka itu? Pelik. Di London, tempat mereka membesar, ada pelbagai bangsa dari berbagai-bagai negara tetapi bahasa Inggeris tetap menjadi bahasa pengantara. Jadi, mereka beranggapan, semua orang di dunia menggunakan bahasa Inggeris tanpa masalah. Tetapi kenapa tidak di situ?

“Faham ke tidak?” Puan Sherly memandang mereka.

“Faham,” jawab mereka serentak.

“Bagus. Itu pak cik kamu sudah sampai,” beritahu Puan Sherly sambil melambai tangan.

Mereka berdua yang duduk berhadapan Puan Sherly turut berpaling kebelakang melihat lelaki hampir separuh abad membalas lambaian ibu mereka.

“Ingat, jangan lupa bersalam dengan pak cik kamu dan jangan tunjukkan perangai tidak elok,” pesan Puan Sherly lagi.

Ana mencebik dan mengeluh rimas. Dia bukan anak kecil yang harus diajar. Jiwanya seakan mahu pergi dari situ.

Puan Sherly berdiri menyambut kedatangan abangnya dengan senyuman.

Doktor Sufian menyambut huluran salam Puan Sherly, mereka berdakapan mesra setelah sekian lama tidak berjumpa. Kemudian giliran Ana dan Deep berjabat salam dan mencium tangan.

“Apalagi, marilah kita ke kereta. Pak cik tidak boleh lama di sini. Tengah hari nanti pak cik ada tugas di hospital,” ujar Doktor Sufian sambil membantu mereka mengangkat beg.

“Kita hendak ke mana?” tanya Deep kepada Puan Sherly.

“Rumah kita.”

“Rumah? Di sini kita ada rumah sendiri?” tanya Ana separuh teruja sambil mereka berjalan membuntuti Doktor Sufian.

“Ada. Sewaktu awal perkahwinan mama dan papa dulu, papa kamu ada membeli rumah di sini. Pak cik kamu yang tolong jagakan,” beritahu Puan Sherly. Mujur saja arwah suaminya telah membuat pelaburan awal pada waktu dahulu, saat-saat tidak terduga seperti ini mereka masih ada alternatif untuk meneruskan kehidupan.

♫ ♫ ♫ ♫ ♫ ♫

DUAminggu berlalu...

Ana duduk bersila di balkoni bilik tidurnya. Matanya sekadar memerhatikan panorama alam dan keadaan sekeliling. Hatinya sebu menahan kebosanan. Pandang kanan sepi, pandang kiri juga begitu. Dengan siapa dia hendak berbual? Dia belum kenal sesiapa di kejiranan barunya itu. Puan Sherly sudah memulakan tugasnya di tempat baru, Deep pula bersekolah. Entah bagaimana cara Deep menyesuaikan diri di sekolah baru agaknya? Entah bagaimana pula dia sendiri hendak melayari sepi?

Letih menyemakan fikirannya dengan semua itu, dia tersandar di jeriji besi yang menjadi penghadang keselamatan balkoni itu. Dia merindui kehidupan di London, rindu teman-temannya. Baru sahaja dia hendak tersenyum kerana mengimbau kenangan lalu yang mencuit hati, seseorang menyapanya dari balkoni rumah sebelah.

“Helo,” tegur pemuda itu.

Ana berpaling, dilihatnya pemuda itu dengan pandangan kurang senang.

“Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakahtuh,” sindirnya kemudian.

Pemuda itu mengaru kepala dan tersipu malu. Gadis di rumah sebelahnya ini sangat menjengkelkan. Dia perlu lebih berhati-hati menutur kata.

“Maaf,” ucapnya kerana tidak memberi salam.

Ana tersenyum paksa. Meluat sahaja dia melihat sikap orang Islam seperti pemuda itu yang sering mengabaikan ucapan sejahtera buat saudara seagama mereka.

“Kau baru berpindah ke sini?” tanya pemuda itu meramahkan diri dengan wajah bersahaja.

Ana sekadar mengangguk acuh tidak acuh untuk menunjukkan sedikit kesombongannya. Dia perlu menjaga sahamnya sebagai seorang perempuan, dari dipandang murah oleh lelaki yang baru dikenali.

“Nama aku Mikael.” Pemuda itu memperkenalkan diri. Sebagai jiran, sewajarnya mereka saling bertegur sapa dan mengenali.

Ana sedikit tersenyum.

“Sedap nama kau. Nama yang gagah dan garang seperti nama malaikat. Tetapi sayang, cara kau tegur orang tadi kurang manis,” puji Ana sambil menyindir. Kalau sudah pemuda itu seorang yang ramah-tamah, tidak salah rasanya dia melayan dengan hemah.

Mikael tersengeh. Bahaya sungguh tutur bicara gadis itu. Pandai dia bermain kata. Ada pontensi untuk berjaya jika menceburi bidang kerjayanya.

“Memang nama malaikat pun,” jelas Mikael sedikit berlagak. Tanpa sedar dia sudah mempamerkan rasa tersindirnya.

Ana mengangguk kecil.

“Aku Ana,” beritahunya.

“Em, sedap juga nama kau. Rasa macam makan jagung manis dalam cawan,” ujar Mikael memuji. Belum masanya dia membalas sindiran tadi. Dia mahu kelihatan sopan di hadapan gadis itu.

Ana tersengeh. Adakah patut namanya disamakan dengan jagung manis? Nanti kalau Mikael tahu nama penuhnya pasti pemuda itu akan pengsan.

“Lama rumah ini tidak berpenghuni. Hanya pak cik doktor itu sahaja yang sering datang membersihkannya,” beritahu Mikael berkenaan rumah yang didiami Ana dan keluarganya.

“Ooo... Doktor itu pak cik aku, nama dia Sufian. Mama aku amanahkan dia jaga rumah ini,” jelas Ana.

Mikael mengangguk sebagai tanda mengerti.

“Sebelum ini kau tinggal di mana?”

Ana tersenyum kelat, berkira-kira dalam hati hendak bercerita atau diam sahaja.

“Jawablah kalau tidak menyusahkan kau,” pinta Mikael sebaik sedar pertanyaannya seakan menyinggung.

Ana memandangnya, kurang senang mahu bercerita lebih banyak. Tetapi andai pertanyaan seremeh itupun dia hendak mengambil hati. Dia juga yang akan kerugian nanti. Rugi kerana melepaskan peluang untuk mengenali jiran barunya itu. Lagipun mereka kelihatan hampir sebaya. Pasti selesa untuk berkongsi cerita sebagai kawan.

“Sebelum ini aku tinggal di London,” beritahu Ana dalam nada hampa.

Bulat bersinar mata Mikael memandang Ana, dia semakin teruja mahu mengenali gadis itu. ‘London? Hanya orang bertuah sahaja mampu ke sana,’ fikirnya.

“Patutlah kau nampak seperti berdarah kacukan.” Mikael memandang kulit muka Ana yang putih kemerahan.

Ana senyum lagi.

“Aku masuk dulu, lain kali kita sembang lagi,” dia tidak mahu berbual panjang. Fikirnya, mereka masih punya banyak masa lagi untuk lebih mengenali dan berkongsi cerita.

Mikael tiada pilihan selain memandang Ana masuk ke biliknya semula.

♫ ♫ ♫ ♫ ♫ ♫

INI bukan skesta drama popular di kaca TV yang selalu mempamerkan wajah-wajah tampan sebagai hero. Tetapi dalam drama realiti ini, itu jugalah perencah yang melazatkan sebuah kisah. Empat hari menjadi pelajar di sekolah barunya, Deep sudah mula dikenali ramai. Dengan berwajah pan-asianya dia merai carta teratas sebagai remaja lelaki paling tampan dalam sekolahnya. Berebut-rebut rakan perempuan yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat. Suasana berbeza dilalui sewaktu di London dulu. Deep tersenyum, bukan bangga tetapi lucu dengan fenomena baru itu. Seorang gadis berkaca mata bernama Laila duduk di bangku hadapan Deep dalam kelas. Sambil menoleh ke tempat duduk belakangnya, dia tersengeh.

“Kau ini mesti anak orang kaya,” ujar Laila meneka.

Deep memandangnya sambil mengangkat kening. Dahlia, gadis comel dan bertubuh kenit merangkap penolong dalam tingkatan lima Atom sekadar memasang telinga.

“Taklah, keluarga saya biasa-biasa sahaja.” Deep merendah diri. Andai sahaja hatinya jahat, dia pasti boleh menipu Laila tetapi untuk apa? pembohongan pasti akan terbuka juga kerana Tuhan memurkainya.

Dahlia di sebelah Laila tersenyum. Ternyata Deep tidak bangga diri dan mengambil kesempatan dengan kelebihan yang ada pada diri.

“Humm... Tak percayalah aku.” Laila merenung Deep.

Tidak suka direnung begitu, Deep bangun dari tempatnya dan terus berlalu keluar kelas, meninggalkan Laila terkulat-kulat di situ.

Laila berpusing kehadapan semula, mulutnya diherutkan. Hampa!

“Lupakan saja, lupakan diriku ~ Kita di bangku sekolah lagi... kita dibangku sekolah lagi,” nyanyi Dahlia perlahan. Sengaja menyindir Laila dengan bait-bait kata dari lagu Kawan nyanyian Ruhil Amani.

Laila menjeling geram.

“Hei! Jangan main api. Nanti membakar diri. Ilmu... harus kita cari. Kelak, kita takkan rugi...” Dahlia meneruskan lagunya penuh perasaan diikuti dengan gerakan tangan menujukan lagu itu untuk Laila.

“Suka hati aku lah!” marah Laila yang terasa hati.

Dahlia tersenyum. Semoga Tuhan akan membimbing kawannya itu kembali kepada tujuan asal mereka ke sekolah. Bukannya untuk bercinta, tetapi mengejar cita-cita.

♫ ♫ ♫ ♫ ♫ ♫

PASARAYA yang dikunjungi mereka kelihatannya tidak ubah seperti pasaraya yang berada di London. Mungkin sememangnya konsep pasaraya direka bentuk sebegitu. Ketika Puan Sherly sibuk membelek barangan penjagaan peribadi, Ana dan Deep lesap ke bahagian pakaian.

Ana mengambil sehelai baju, dia melihat saiz yang tertera pada baju itu. Kelihatannya baju itu tidak berjenama. Namun, dia suka rekaannya.

“Deep, tunggu sekejap. Akak hendak mencuba baju ini.” Ana terus berlalu ke bilik percubaan. Beberapa minit kemudian dia mendapatkan Deep semula. Baju di tangannya disangkut ke tempat asal dengan perasaan hampa.

“Kenapa? Tidak muat ke?” tanya Deep kehairanan.

Ana mencebik.

“Tidak kena saiz,” jawabnya mendatar.

“Samalah tu. Takkan kau sudah gemuk?”

Ana memandang Deep.

“Ei, tolong sikit. Bukan aku yang sudah gemuk tetapi pakaian-pakaian dari China ini yang memang kecil. Orang Cinakan comel-comel.” Ana menafikan kata-kata Deep dalam nada geram.

Deep tersengeh.

“Mengaku sajalah, semenjak papa pergi kau semakin kuat makan. Dari bersaiz M, kau sudah semakin berisi,” ejek Deep.

Ana mengherotkan mukanya. Dia mengeluh dan kemudian memandang tubuhnya. Betul juga apa yang dicakapkan Deep, tubuhnya yang berangka besar itu sudah nampak berisi. Perempuan bertubuh besar sepertinya memang cepat berisi andai terlebih mengikut nafsu makan. Dia harus segera mencari pekerjaan dari duduk sendirian di rumah dan makan sahaja. Tetapi dia tidak mahu pekerjaan biasa-biasa saja. Deep dipandang.

“Mama tadi hilang ke mana?”

Deep jungkit bahu.

Wajah Ana berkerut. Dia memerhati kawasan sekeliling, kalau-kalau terlihat ibu mereka. Tiba-tiba matanya lebih tertumpu kepada dua orang kanak-kanak yang sedang berebut bola. Yang kecil berada dalam troli ditolak bapanya dan yang sedikit besar berada di luar troli, sengaja menyakat adiknya. Dia tersenyum kelat, teringat arwah ayahnya. Rindu.

Namun, rindunya melayang pergi sebaik melihat anak kecil dalam troli itu tertonggeng dan hampir jatuh ke lantai. Dalam detik cemas yang membuat dadanya berderau itu, bapa budak itu sempat menyambut tubuh anak itu. Ana menarik nafas lega, bersyukur kerana Tuhan masih melindungi anak itu dari terjatuh dan pecah kepala. Dari pemerhatian Ana kedua kanak-kanak lelaki itu memang sangat aktif dan nakal.

Ana menggeleng dan hendak berlalu dari tempat dia berdiri. Tetapi kehadiran seorang wanita dengan gaya rambut kerinting yang disanggul tinggi ke atas kepala membuatkan langkah Ana terhenti. Hatinya tercuit mahu gelak tetapi ditahan juga. Dia memerhatikan wanita dengan gincu merah menyala di bibir dan tahi lalat besar di dagu itu sedikit berlari mendapatkan anak kecil yang sudah menangis kerana terkejut. Belum sempat dia mengambil anak itu untuk dipujuk. Prakkk... Tumit kasut setinggi lima inci di kakinya patah. Tubuh langsingnya hilang kawalan dan jatuh ke lantai, bedebuk bagaikan nangka busuk.

Tidak semena-mena juga ketawa Ana meledak. Dia ketawa tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Deep turut tergelak. Namun, gelaknya masih dalam kawalan. Deep sedar, Ana seandainya dapat tergelak memang payah mahu berhenti.

“Kak, sudahlah. Perempuan itu jeling kau lah,” tegur Deep yang sudah berhenti dari tergelak. Dia memandang wanita yang jatuh itu, kini sudah dipapah bangun oleh suaminya. Anaknya yang menangis juga sudah terdiam akan hal itu, tidak perlu dipujuk lagi.

Puan Sherly yang berada di kawasan berhampiran tercari-cari suara orang yang tergelak itu, kerana dia mengenalinya. Seketika kemudian dia terlihat Ana yang sudah mencangkung sambil terbongkok-bongkok ketawa.

Astafirullahalazim... anaknya itu jika dibiarkan boleh berguling-guling dilantai bagaikan sudah dirasuk hantu. Memang sudah azali sifatnya begitu. Sudah banyak kali dinasihat, tetapi masih juga tidak dapat mengawal diri.

“Ana, apa ini?” tegur Puan Sherly sambil menarik lengan Ana untuk berdiri.

Ana tidak membantah. Dia memandang ibunya. Sebaik terpandang wanita tadi, dia gelak lagi. Membuatkan Puan Sherly tertunduk malu kepada wanita itu.

“Maaf,” ucap Puan Sherly.

Wanita itu menjeling dan terus memaksa keluarganya untuk pergi dari situ. Sudahlah dia malu kerana terjatuh, diketawakan pula tanpa simpati oleh gadis muda itu. Awas! Kalau sampai mereka bertemu lagi.

“Ana... sudah!” Marah Puan Sherly. Pinggang Ana dicubit.

Mengeliat Ana kesakitan.

“Mama ni... ketawa gelihati mana boleh berhenti tiba-tiba,” protesnya dengan tawa masih bersisa.

“Tak baik ketawakan orang begitu. Cubalah hormat perasaan orang sikit. Hari ini hari dia, esok hari kita, bagaimana?” tegur Puan Sherly dengan mata yang dibesarkan.

“Orang lain pun tengok dan gelak jugalah mama,” jawab Ana tidak mahu mengakui sikap buruknya.

“Betul! Tetapi mereka tidak mentertawakan perempuan itu seperti kamu. Kamu sudah menambah malu dia dan buat malu mama juga. Tidak pernah mama ajar anak mama berperangai seperti ini,” ujar Puan Sherly geram.

Ana mengangkat kening. Dia rasa tidak salah menonton aksi spontan itu dan ketawa, kerana padanya semua orang yang melihat kejadian itu juga turut ketawa. Begitulah pegangan moral hidup Ana yang terpengaruh dengan prinsip ‘keputusan majoriti selalunya betul’. Persekitaran tempatnya membesar dalam suasana masyarakat yang tidak Islamik di barat, sedikit sebanyak turut mempengaruhi peribadinya.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.