Bab 2
JAM hampir dua
petang, kesemua pelajar sekolah seisi pagi berpusu-pusu meninggalkan
perkarangan sekolah untuk pulang ke rumah masing-masing. Deep salah seorang
daripadanya. Dia terus mengayuh pedal basikalnya terhenyot-henyot memberatkan
badannya kekiri dan kekanan kerana agak sukar mengayuh menaiki bukit. Cuaca
petang itu agak panas. Sesekali rintik peluh yang terbit di dahinya dilap
dengan belakang tangan. Dia menyusuri laluan khas untuk basikal dan pejalan
kaki di tepi jalan raya itu menuju ke kawasan perumahannya. Sambil menyanyi
kecil dia terus mengayuh. Semakin jauh, semakin sunyi laluan itu. Tiba-tiba
pandangan matanya tersorot pada susuk tubuh seorang pelajar perempuan yang
sedang menyorong basikal. ‘Mungkin basikal gadis itu mengalami kerosakkan,’
bisik hatinya. Kayuhan dipercepatkan. Sebaik tiba dekat dengan gadis itu,
basikalnya diberhentikan.
“Assalamualaikum?”
sapa Deep.
Gadis yang
kelihatan letih dan bermuka tegang itu memandangnya.
Sangka Deep
siapalah tadi.
“Waalaikumsalam,”
jawab Dahlia lemah.
“Kenapa dengan
basikal awak?” tanya Deep.
“Masalah
rantai,” keluh Dahlia dengan muka yang berubah kecewa. Matanya memandang rantai
basikal yang dari tadi asyik terlucut selepas dibetulkan dan dikayuh.
“Oh, masalah
kecil sahaja tu. Biar saya tolong,” tawar Deep.
“Bagaimana?
Rantai ni akan terlucut lagi sebaik saya mengayuh.” Dahlia memandang dengan
muka pelik.
Deep
tersenyum. Dia mengerti akan situasi itu, basikalnya juga pernah mengalami
keadaan yang sama.
“Awak jangan
risau, serahkan sahaja basikal awak tu kepada saya,” arah Deep.
Dahlia masih
memandangnya dengan perasaan tidak faham.
Melihat
Dahlia begitu Deep menyambung bicaranya lagi.
“Awak balik
dulu dengan mengunakan basikal saya. Nanti basikal awak, saya akan hantarkan ke
kedai. Lepas siap dibaiki, saya akan hantar ke rumah awak,” jelas Deep satu per
satu akan niatnya. Lebih baik berterus terang supaya tidak disalah sangka.
Lebih dalam
renungan mata Dahlia memandang Deep. Dia serba salah.
“Tapi....”
Dahlia mengaru kepalanya yang ditutupi tudung putih itu.
“Awak
perempuan, tidak elok menyorong basikal bersendirian,” ujar Deep sambil melihat
kawasan persekitaran yang semakin lengang.
“Elok awak
guna basikal saya sahaja untuk pulang. Saya bukan mahu mencuri basikal awak.
Kalau apa-apa jadi pada basikal awak, awak boleh ambil terus basikal saya,”
pujuk Deep. Dia bukan mahu menunjuk baik, tetapi ingin mempermudah keadaan.
Dahlia
semakin serba salah.
“Saya
bimbang akan di marah ayah,” jelasnya.
“Cakaplah
perkara yang benar,” nasihat Deep.
Dahlia diam.
“Kalau awak
takut juga. Nanti lepas hantar basikal awak, saya sendiri akan beritahu ayah
awak apa yang berlaku,” cadang Deep bersungguh.
Dahlia
berfikir seketika. Sepertinya dia tidak punya pilihan. Keselamatan dirinya perlu
diutamakan juga.
“Baiklah,”
setuju Dahlia akhirnya.
Deep
tersenyum dan segera turun dari basikalnya. Basikal itu diserahkan kepada
Dahlia.
“Eh, tapi di
mana awak tinggal?” tanya Deep sebaik Dahlia sudah duduk di atas basikalnya.
“Rumah
nombor 34, Jalan Palma 2A, kawasan perumahan Tropicana.”
“Oh! Kalau
begitu kita berjiran.”
“Betul?”
bulat mata Dahlia. Dia seperti tidak percaya.
Deep
mengangguk.
“Rumah saya
nombor 23. Deretan berhadapan rumah awak,” beritahunya kemudian.
“Jika begitu
tidak ada masalahlah,” ujar Dahlia lega.
Deep
tersenyum lagi.
“Terima
kasih,” ucap Dahlia.
“Sama-sama.”
Dahlia
berlalu pergi meninggalkan Deep yang mengantikannya menyorong basikal sehingga
ke kedai untuk dibaiki.
♫ ♫ ♫ ♫ ♫
MIKAEL menutup
rapat pintu rumahnya sebaik saja dia melangkah keluar. Hari itu sengaja dia
mengambil cuti. Bosan pula seharian di rumah. Kakinya melangkah beberapa tapak
kehadapan. Matanya memandang kawasan sekeliling. Pandangannya terhenti di
halaman rumah jiran barunya.
“Eh, awak,”
sapanya sebaik terlihat Ana sedang duduk sambil membaca sebuah buku.
“Ya!” Balas
Ana acuh tidak acuh.
“Assalamualaikum,”
ucap Mikael sebaik teringat sindiran Ana dulu.
“Waalaikumsalam,”
balas Ana sambil menoleh sekilas sebelum menyambung bacaanya.
Mikael
tersengeh.
“Hampir sebulan
kita berjiran, aku perhatikan kau ada sahaja di rumah,” tegurnya dari sebalik
tembok batu separas pinggang dan pagar besi setinggi kepala yang menjadi
pemisah kawasan rumah mereka.
“Kenapa?”
tanya Ana, matanya masih melekat di halaman buku.
“Kau minat
hendak bekerja? Di tempat aku ada jawatan kosong, mungkin kau sesuai
mengisinya,” beritahu Mikael.
“Ana menutup
buku di tangannya. Dia memusingkan duduknya menghadap Mikael.
“Kerja apa?”
“Bergantung
pada kelayakkan yang kau ada.”
“Kalau ikut
layak, aku rasa jawatan sebagai bos kaulah,” ujar Ana berlagak.
Mikael
tergelak.
“Patutlah
kau masih petik buah anggur,” sindirnya.
Ana
mengkerut dahi.
“Maksud
kau?”
“Mudah. Ada
pelajaran, cari pengalaman dari bawah, meningkat naik setapak demi setapak
mengikut kemampuan dan akhirnya jadi bos,” ujar Mikael terperinci.
“Aku tak
faham.”
“Hurmm...
Zaman sekarang Cik Ana, walau setinggi manapun kau belajar, ada ijazah tetapi
tidak berkemahiran, tidak ada syarikat yang akan mengaji kau. Faham!” Jelas
Mikael.
Ana
mengeluh, itu yang dia tidak suka dengar. Penat membuang masa belajar
bertahun-tahun. Akhirnya, kena bekerja dari bawah. Bukankah elok andai dia
terus menjadi bos?
“Apa
pekerjaan yang mahu kau tawarkan tu?” tanya Ana separuh berminat. Tetapi
hatinya terjentik mahu mencuba.
“Apa
kelulusan yang kau ada?”
“Ijazah.”
“Jurusan
apa?”
“Kau ni
banyak tanyalah. Nanti aku hantar resume
kau bacalah,” marah Ana rimas ditemuduga lebih awal.
“Aku tanya
sebab hendak tolong dapatkan jawatan yang sesuai. Kalau tidak mahu cakap, tidak
mengapalah.”
“Yang
penting aku boleh membaca, mengira dan menulis. Bukan buta huruf,” balas Ana
sombong.
Mikael
menggeleng dengan sikap Ana.
“Suka hati
kaulah. Hari isnin depan ikut aku. Kita pergi tempat kerja aku.”
“Tidak ada
masalah. Asal kau tidak tawarkan aku pekerjaan yang haram,” ujar Ana bersetuju.
Mikael
hampir hilang sabar mendengar bicara Ana yang tidak berlapik itu.
“Masya-Allah,
kau ni memang dari spesis besar kepalalah!” Tegurnya sambil menggeleng. Naik
muak pula dirasakan melayan ego Ana.
“Aku bukan
besar kepala tetapi fikirkan keselamatan diri,” balas Ana membela diri.
“Zaman ni,
jiran pun tidak boleh dipercayai,” tambahnya sinis.
“Helo, Cik
Adik... kalau bercakap tu tolong pandang kiri dan kanan, okey. Aku bukan buaya,
jauh sekali bapak ayam!” Balas Mikael tidak puas hati.
Ana
menjeling.
“Kalau kau
buaya, lama dah kau tak ada di sini. Kau tinggal dalam zoo atau habitat
sebenar. Kalau kau bapak ayam pula, mesti sekarang kau dalam reban. Buat apa
kau di sini? Buat bulu ayam yang berhama tu berterbangan masuk lubang hidung
aku ni sahaja,” jawab Ana tidak mahu kalah.
Mikael
menepuk dahi. Sah-sah anak dara mat salih celup di hadapannya itu tidak faham
Bahasa Melayu.
Ana
mengherutkan mulutnya dan bangun dari duduk. Dia tidak mahu melayan Mikael lagi.
Sebaik berdiri matanya terpandang kepada susuk tubuh Deep yang sedang menekan
loceng sebuah rumah, tidak jauh dari rumah mereka. ‘Rumah siapa tu?’ hati Ana
bertanya.
“Apa yang
kau tengok?” Mikael turut memandang ke arah yang sama.
“Adik aku.”
“Yang mana?”
“Budak
lelaki tu,” beritahu Ana. Matanya terus memerhati Deep yang tercegat di depan
pintu pagar rumah itu.
“Takkan adik
kau tersalah pintu rumah?” teka Mikael.
“Ish, tak
mungkinlah. Mungkin itu rumah kawan dia... tetapi kenapa basikal dia lain?” omel
Ana pelik.
♫ ♫ ♫ ♫ ♫
DAHLIA muncul
dengan senyuman.
“Basikal
awak sudah siap dibaiki,” beritahu Deep.
Dahlia
tersenyum lagi sambil melihat basikalnya.
“Terima
kasih.”
“Hal kecil
sahaja.”
“Awak tunggu
sekejap, saya ambil basikal awak.” Dahlia berpusing ke belakang dan berlari ke
dalam, mendapatkan basikal Deep. Seketika kemudian basikal itu disorong keluar
dan ditongkat tidak jauh dari tempat Deep berdiri.
“Awak
cubalah dulu,” pinta Deep. Dia mahu Dahlia berpuas hati dengan keadaan basikal
yang sudah dibaiki itu.
“Oh, tidak
mengapa. Bukan ke awak sudah mengayuhnya dari kedai sehingga ke sini. Itu
maknanya basikal itu sudah tidak bermasalah,” ujar Dahlia yakin kepada
keikhlasan Deep.
Deep
tersenyum.
“Betullah
tu. Baiklah, saya dah lapar, nak balik makan. Saya minta diri dulu,” pinta
Deep.
“Eh,
tunggulah sekejap. Saya belum bayar upah yang sudah awak keluarkan untuk
membaiki basikal saya ini,” tahan Dahlia.
“Bayar
sahaja upah itu dengan doa.”
“Bayar
dengan doa?” terkelip-kelip Dahlia memandang Deep.
“Budi tidak
semestinya kita bayar dengan kebendaan, tetapi boleh juga dibayar dengan
mendoakan kesejahteraan saya,” jelas Deep.
“Ooo...”
Dahlia tersenyum dan mengangguk. Pertama kali dia mendengar orang membalas budi
dengan doa.
Tiba-tiba
mereka terdengar suara orang berdehem dari belakang Dahlia.
“Ayah,”
tegur Dahlia. Dia mendapatkan lelaki separuh usia itu untuk diperkenalkan
kepada Deep. Dalam hati berdebar juga takut dimarah kerana membiarkan kawan
lelaki bertandang ke rumah. Tetapi hatinya kembali lega melihat raut wajah
mesra ayahnya menyambut kedatangan tetamu kecil itu.
“Ini ayah
saya, orang-orang di sini panggil Pak Lid,” perkenal Dahlia sambil memeluk
lengan ayahnya.
Deep menghampiri
Pak Lid dan mereka berjabat salam.
“Apa khabar Pak
Lid? Nama saya Deep, kawan sekelas Dahlia”
“Alhamdulillah,
sihat,” balas ayah Dahlia senang hati.
“Kamu lah yang
tolong Dahlia tadi ya?” tanya Pak Lid ingin mengesahkan kawan yang dimaksudkan,
seperti yang telah diceritakan anaknya itu tadi.
“Ya, Pak
Lid,” jawab Deep sopan.
“Terima
kasih banyak, Deep. Jauh juga kamu kena sorong basikal Dahlia ke kedai tadi.”
ucap Pak Lid penuh penghargaan bercampur simpati. Dia bangga melihat remaja
lelaki yang seakan berbangsa asing itu mempunyai jiwa murni. Jarang dia dapat
menemui anak muda yang berbudi pekerti seperti itu di kawasan bandar tempat
mereka tinggal. Rata-ratanya agak kasar dan kurang ajar.
Deep
tersenyum. Kembang hatinya diberi penghargaan oleh orang dewasa seperti Pak
Lid. Dia ingin merendah diri, namun tidak dapat menafikan jarak yang dilalui ke
bengkel itu. Walaupun jauh, namun penghargaan yang diterima sudah cukup
bermakna dan mampu melenyapkan kepenatannya.
“Kamu
tinggal di mana?”
“Sana tu.
Rumah nombor 23.” Deep menunding jari ke arah rumahnya.
Pak Lid
memandang dan mengangguk.
“Dekatlah.
Emm, kalau lapang nanti datanglah ke gerai Pak Lid di kawasan rumah kedai depan
tu. Boleh Pak Lid belanja kamu makan kuih-muih. Hari ni Pak Lid tidak berniaga,
cuti setiap hari jumaat,” beritahu Pak Lid.
“In
syaa-Allah. Saya sudah lewat, elok rasanya saya pulang.” Deep melihat jarum jam
dipergelangan tangannya.
Pak Lid
mengangguk.
“Balik dulu
Pak Lid, Dahlia... Assalamualaikum.” Deep mendapatkan basikalnya dan terus
berlalu pergi.