Bab
4
DEEP
melihat dirinya dalam cermin. Dia tersenyum, bangga dianugerahkan wajah yang
sempurna dan cukup sifat. Telapak tangan diraup ke muka sebagai tanda syukur
yang dipanjat dalam hati terhadap Tuhan yang Esa. Ditinggalkan cermin yang
melekap di dinding itu. Topi berwarna putih yang tersangkut di belakang pintu
diambil dan diletakkan atas kepala. Tombol pintu dipulas. Dia melangkah keluar
meninggalkan biliknya menuju ke tingkat bawah.
Di
ruang tamu rumah itu kelihatannya Ana sedang asyik menonton siri Inggeris
kegemarannya, The Three Musketeers
yang tersiar di siaran ABLO 123 sambil mengunyah pelbagai makanan ringan. Deep
yang baru melepasi anak tangga terakhir menghampirinya.
“Kak,
orang hendak keluar. Sebelum maghrib nanti orang balik,” beritahu Deep.
Tangannya menyentuh belakang sofa yang disandar Ana.
Ana
berpaling seketika sebelum matanya beralih ke kaca Televisyen semula.
“Nak
ke mana?”
“Berkenalan
dengan warga taman ni.”
Ana
tersenyum.
“Tak
ada kerja!” Protesnya.
“Lebih
baik dari duduk dan makan tidur,” balas Deep.
Ana
berpaling lagi.
“Perli
akulah tu.”
“Terasa?”
“Hurmmm...”
Ana berpaling semula. Mahu menghabiskan sedikit lagi tontonan yang tinggal dua
minit itu.
“Aku
nak ke gerai Pak Lid,” beritahu Deep lagi.
“Apa
yang menariknya?” tanya Ana berlagak.
“Lah,
bukan ke aku dah beritahu tadi, aku nak berkenalan dengan warga tempat ni. Pak
Lid tu orang popular di tempat ini. Mestilah ramai yang berkunjung ke gerainya
pada hari minggu macam ni.”
Ana
diam seketika. Siri yang ditontonnya baru sahaja habis dan akan bersambung ke
episod akan datang.
“Pak
Lid tu artis ke?”
Deep
tersengeh. Apa Ana fikir hanya golongan itu sahaja yang popular?
“Bukan.
Ayah kawan aku, Dahlia. Dia berniaga gerai di depan deretan rumah kedai kat depan
simpang tu,” jelas Deep.
Ana
tersenyum nakal.
“Kau
nak pergi pikat anak Pak Lid tu lah, kan?”
“Mana
ada!” Cepat-cepat Deep menafikan.
“Kalau
kau tak percaya, jomlah ikut aku,” ajak Deep mahu Ana melihat dengan mata
kepala sendiri.
Ana
tergelak kecil pula.
“Mahu memikat pun nak
suruh aku teman,” usiknya.
“Ana!”
Marah Deep.
Ana
ketawa lagi. Kini duduknya ditegakkan.
“Apa
yang Pak Lid tu jual?” tanyanya tanpa rasa bersalah.
“Yang
aku tahu, kuih.”
“Macam
sedap saja bunyinya.” Ana tersengeh.
“Kalau
mahu dibanding dengan makanan segera yang kau makan tu, elok lagilah makan kuih
yang Pak Lid jual,” sindir Deep.
“Amboi!”
Ana bangun dari duduk dan memandang Deep. Dia pura-pura marah. Sebenarnya dia
juga sudah jemu asyik menikmati jajan-jajan dari dalam bungkusan menarik itu.
Berpinar matanya menahan rasa pening di kepala kerana terlebih memakan bahan
perisa dan perwarna kimia yang terkandung dalam semua makanan ringan itu.
Deep
merengus. Geram sahaja hatinya melihat sifat pembuli Ana.
“Ada
duit?” tanya Ana.
“Ada.
Aku kumpul duit sekolah,” beritahu Deep.
Ana
mengangguk. Andai mahu diharapkan dia yang masih belum bekerja memang jangan
haraplah. Ibu mereka yang baru bekerja itupun tidak meninggalkan duit poket
untuk mereka. Semua keperluan rumah sudah dirapi sebelum ke tempat kerja. Hanya
dua keping not lima puluh ringgit sebagai wang kecemasan sahaja yang
diamanahkan kepada Ana. Selagi tidak ada hal berkaitan kecemasan jangan harap
wang itu dapat digunakan. Ana perlu selalu amanah walaupun kadang-kadang
terjentik juga naluri nakalnya untuk menghabiskan wang itu.
“Kalau
macam tu aku ikutlah. Kau tunggu aku naik atas pakai tudung kejap,” ujar Ana
bersetuju dan cepat-cepat ke tingkat atas.
“Cepat
sikit... aku tunggu depan rumah,” laung Deep sambil mengambil alat kawalan jauh
yang Ana tinggalkan di sofa. Televisyen dimatikan sebelum melangkah keluar.
Serentak
Deep dan Mikael membuka pintu pagar rumah masing-masing. Mikael terlebih dahulu
keluar dengan sebiji bola sepak di tangannya. Deep melemparkan senyuman buat
Mikael sebaik mata mereka saling berpandangan. Mikael membalas.
“Hendak
ke mana?” tanyanya sambil menghulur tangan dan berjabat salam dengan Deep.
“Gerai
Pak Lid.”
“Oh.
Elok juga tu sebab dalam banyak-banyak gerai kat sini, gerai Pak Lid saja yang
menepati kualiti masakan. Mak Cik Som memang pandai buat kuih,” seikhlas hati Mikael
mempromosi perniagaan Pak Lid.
“Saya
belum pernah cuba. Ini yang baru mahu mengajak kakak pergi ke situ.”
“Oh,
hendak pergi dengan Ana?” Mikael tersenyum meleret.
Deep
mengangguk dan tersenyum juga. Dia tahu makna senyuman Mikael itu.
“Kalau
abang nak ikut sekali, jomlah,” pelawa Deep biar padan muka Ana.
“Boleh
juga. Hendak main bola pun belum ada kawan. Masih awal.” Mikael menayangkan
bola ditangannya dan kemudian melihat jarum jam tangannya. Hampir 4.10 petang.
“Balik
nanti bolehlah saya ikut abang main bola?” pinta Deep.
Mikael
tersenyum dan mengangguk.
Ana
keluar dan berdiri disebelah Deep.
“Jomlah
kak, Abang Mike mahu ikut sekali,” beritahu Deep.
Kening
Ana dan Mikael terangkat serentak mendengar kesilapan Deep menyebut nama
Mikael.
“Abang
apa?” tanya Mikael.
“Mike,”
jawab Deep belum sedar kesilapannya.
“Mike
apa bendanya? Nama dia Mikael, bukan Mike atau Milk! Kau ni suka-suka saja nak ubah nama orang,” rungut Ana.
Muka
Deep berubah malu.
Mikael
pula sudah tersengeh.
“Salah
lagi.” Deep mengaru belakang kepalanya menahan malu.
Mikael
sudah terkekeh. Pelik juga memikirkan bagaimana namanya boleh bertukar Mike,
pasti ada sesuatu diumpatkan dua beradik itu yang melibatkan nama dan dirinya.
*
* * * *
LEBAR
senyum
Pak Lid menerima kunjungan Deep, Mikael dan Ana di gerainya. Dipelawanya mereka
untuk duduk di beberapa buah bangku yang tersedia di bawah pohon besar itu.
Kerana kawasan yang terhad Pak Lid hanya dapat membuka dua buah meja dan lapan
kerusi untuk melayan pengunjung mahu menjamu selera di situ. Tiga gelas minuman
berperisa anggur tiruan dihidangkan kepada mereka bertiga.
“Kalau
hendak makan kuih boleh pilih di sana. Ada piring di situ. Letak dalam tu dan
bawa ke sini. Kalau hendak bubur juga ada,” beritahu Pak Lid sambil
menyangkutkan tuala kecil di tangannya ke bahu.
Mereka
bertiga mengangguk.
“Jangan
malu-malu, Pak Lid belanja,” tambahnya sambil menepuk bahu Deep.
“Wah,
mana boleh begitu Pak Lid, tak untunglah Pak Lid hari ini,” tolak Mikael.
“Untung,
rugi tu rezeki daripada ALLAH, kadang-kadang jualan Pak Lid pun tidak habis
semua. Daripada membazir eloklah bersedekah sedikit kepada kamu bertiga. Lagipun
banyak manalah kamu semua makan, takkan habis semua jualan Pak Lid tu,” ujar
Pak Lid bersulam gurauan.
Deep
tersenyum.
“Saya
makan sedikit saja, tetapi kalau anak badak ni tak tahulah.” Deep memandang
Ana. Ketika itu juga kakinya yang di bawah meja dihentak kuat oleh kaki Ana.
“Adoi!”
Jerit Deep tiba-tiba membuatkan orang lain terpinga-pinga memandangnya.
“Kenapa?”
tanya Pak Lid kaget.
“Ada
kaki badak pijak kaki saya bawah meja ni,” beritahu Deep tanpa selindung.
Mikael
memandang Ana dan ketawa, diikuti dengan Pak Lid.
Ana
berwajah selamba seperti tiada apa yang berlaku.
“Sudah-sudah,
jangan duduk saja. Bangun pergi ambil apa yang kamu mahu makan, Pak Lid ada
pelanggan tu,” suruh Pak Lid yang kemudian mendapatkan gerainya yang baru
dikunjungi pembeli.
“Kau
hendak makan apa?” tanya Deep kepada Ana.
“Apa
yang kita tak pernah dapat di London,” jawab Ana.
Deep
menjuirkan bibirnya. Fikirnya semua masakan Malaysia ada sahaja di London,
hanya mereka yang tidak punya masa untuk mencari.
“Aku
cadangkan kau cuba bubur kacang merah yang dicampur dengan seketul ais. Sedap,”
celah Mikael.
“Okey
juga. Tetapi kalau tidak sedap, kaulah yang kena habiskan,” setuju Ana.
Mikael
senyum. Memang berlagak betul gadis itu.
“Kenapa
kau senyum?” tanya Ana tidak puas hati. Terasa seperti disindir pula. Atau
mungkin Mikael mahu mengenakannya.
“Salah
ke aku senyum?”
“Tak
salah. Tapi aku rasa banyak manapun kau tersenyum, bekas tapak kaki Neil
Armstrong yang tertinggal di muka kau tu tetap takkan hilang,” ujar Ana agak
keterlaluan.
Mikael
terpinga tidak faham akan maksudnya. Dia diam untuk berfikir.
Deep
membesarkan matanya memandang Ana. Tiada sebab untuk Ana menghina Mikael begitu.
Biar wajahnya tidak licin tetapi Mikael masih boleh disenaraikan sebagai lelaki
ada rupa. Cantik, menarik dan tetarik.
“Kau
maksudkan Neil Amstrong yang naik ke bulan tu?” tanya Mikael sebaik menangkap
sesuatu dari kata-kata Ana.
Ana
mengangguk.
“Maksud
kau muka aku macam bulan?” tanya Mikael lagi.
Ana
menjungkit bahu dan tersenyum sedikit. Parut-parut jerawat yang berbekas di
muka Mikael sangat jelas di mata siapa sahaja.
“Kau
kata Neil Armstrong pijak muka aku?” Mikael tidak marah tetapi terkekeh ketawa.
Lucu sekali dirasakan pemikiran Ana itu.
Ana
mengkerutkan dahinya.
“Kenapa
kau gelak? Nak marah, marah sajalah,” tegur Ana kurang senang melihat Mikael
tenang menerima kata-katanya.
“Buat
apa aku marah... Kau dah berlaku sejujurnya, mencermin aku dengan pandangan
sebenar. Walaupun cara kau beritahu muka aku tidak tampan dan macam bulan itu
agak unik,” beritahu Mikael sebelum mencuit bahu Deep dan mengajak remaja itu
ke gerai Pak Lid.
Ana
menjeling geram. Sakit hatinya ditinggalkan terhukum dengan perasaan bersalah
kerana mengata Mikael sesedap rasa.
“Ambil,
ambil... apa yang kamu mahu makan, ambil saja.”
Ana memerhatikan
keramahan Pak Lid melayan Mikael dan Deep. Dia termenung sendiri. Fikirnya, di
London masih adakah lelaki separuh umur versi Pak Lid yang bermurah hati
menyedekahkan sedikit dari barang jualannya kepada jiran yang hanya dikenali
baru beberapa hari itu? pasti sahaja tidak ada. Ana mengeluh sendiri, bertapa
makmurnya tanah kelahirannya itu.
Sebaik
terlihat Mikael dan Deep datang menghampirinya, Ana mengalih pandangan dan
minuman dihadapannya diteguk.
“Bubur
ni macam sedap.” Deep meletakkan dua mangkuk bubur di tangannya ke atas meja.
Mikael juga berbuat
demikian. Dua piring berisi kuih diletakkan ke tengah meja.
“Cubalah,
nanti hari-hari kau mahukannya lagi,” ujar Mikael yang sudah duduk.
Ana
hanya diam sambil mengambil bubur yang diberi Deep. Di sudunya ke mulut sekali.
Ternyata bubur itu memang sedap tetapi malu mahu mengakuinya.
“Makan
perlahan-lahan, kalau hendak lagi boleh tambah,” ujar Pak Lid yang sudah
berdiri di sebelah Deep. Pelanggan terakhirnya untuk waktu itu baru selesai
membuat pembelian.
“Kamu
berdua ini anak orang putih, ya? Tetapi pandai pula cakap Melayu,” tanya Pak Lid
sebaik melabuhkan punggung atas sebuah bangku kosong.
Deep
tersenyum.
Mikael
memberi tumpuan. Dia juga mahu mengetahui sedikit cerita dua beradik itu.
Ana
memandang Deep, membiarkan adiknya itu sahaja membuat penjelasan. Bimbang,
andai dia yang bersuara lain pula jadinya.
“Ayah
kami berketurunan Irish, ibu kami Melayu,” beritahu Deep ringkas.
Pak
Lid mengangguk.
“Patutlah.
Ini banyak ambil darah sebelah ayahlah, kan? Kulit putih, muka lawa,” puji Pak
Lid suka melihat dua beradik itu. Tidak ubah seperti pasangan adik-beradik
Sasha Saidin dan Zain Saidin.
Ana
tersenyum.
“Eh,
tapi kenapa aku tak pernah nampak ayah kau orang?” celah Mikael.
Wajah
dua beradik itu bertukar sedih.
“Papa
kami sudah meninggal. Sebab itu kami pulang ke sini,” beritahu Deep perlahan.
“Oh,
maaflah aku tak tahu,” pinta Mikael simpati.
“Kalau
tidak bertanya macam mana kau hendak tahu,” marah Ana pada Mikael.
Pak
Lid tersenyum. Garang sungguh anak gadis itu di pandangannya.
“Tidak
mengapa, setiap orang akan mengalami kitaran hidup yang sama. Hidup dan mati,”
balas Deep perlahan.
Pak
Lid tersenyum lagi. Dia suka dengan jawapan Deep. Anak muda itu cukup bijak
dalam menyusun kata. Berhemah dan sopan.
“Semua
orang memang panggil kamu Deep, ya?” tanya Pak Lid.
Deep
mengangguk. Nama itu lebih selesa dengan dirinya berbanding nama panjangnya.
“Apa
nama penuh kamu?” tanya Pak Lid, teringin sangat mahu tahu. Biasanya anak-anak
kacuk ini memiliki nama yang berbelit-belit untuk disebut.
“Johnny
Deep,” sampuk Ana dengan gelak kecil.
“Nama
orang putih?” Pak Lid dan Mikael bertanya serentak.
Deep
menjeling Ana.
“Bukan.
Nama saya, Johan Adib,” beritahu Deep memperbetulkan kesilapan yang dibuat Ana.
Pak
Lid mengangguk.
“Sedap
nama tu. Yang ni, apa pula nama kamu?” Pak Lid beralih kepada Ana.
Ana
menelan bubur dalam mulutnya. Itulah yang dia paling tidak suka dipersoalkan
dalam hidup. Namanya yang indah disebut tetapi buruk maksudnya. Ana menjeling
Deep memberi amaran supaya tidak suka-suka menyebut namanya.
“Ana...
nama saya Ana.”
“Ana
saja?” Pak Lid sedikit terkejut.
Mikael
mempamerkan muka tidak percaya.
Deep
menelan air liur dan tidak berani mahu menyampuk.
Ana
mengangguk.
“Pendek
sangat. Tetapi eloklah, tidak susah bakal suami hendak menyebutnya semasa akad
nikah nanti,” ujar Pak Lid sudah mahu bangun dari duduknya kerana gerainya
dikunjungi pelanggan lagi.
Ana
tersenyum kelat. Kita tengoklah nanti, bisik hatinya.
“Kalau
nak apa-apa lagi, ambil saja. Jangan segan.” Pak Lid bergegas mendapatkan
pelanggannya.
“Betul
ke nama kau Ana saja. Kenapa nama dia panjang, nama kau pendek?” Mikael tidak
puas hati.
“Sebab
masa mama aku namakan aku, fikiran dia blur!
Tiga huruf itu saja yang terlintas dalam kepala dia. Sikit ini sajalah nama
aku,” ujar Ana geram tidak semena-mena.
Mikael
mengkerutkan dahi. Langsung tidak mahu percaya alasan Ana itu.
“Deep,
apa nama penuh kakak kau?” tanyanya seakan memaksa Deep menjawab.
Ana
merenung Mikael. Penyibuk!
Deep
tersenyum.
“Ana De Caprio.”
Ana
tersenyum. Deep baru sahaja menyelamatkannya. Yang penting Deep tidak menipu,
hanya tidak jujur sahaja.
“Aku
ingat Anabella. De Caprio tu macam nama hero filem Titanic, Leonardo Di
Caprio.” Mikael menggeleng sambil ketawa dihujung kata-katanya. Nama itu sangat
unik padanya.
Pak
Lid datang lagi bersama sepinggan keropok lekor pula.
“Cuba
keropok ni, sedap. Makanan orang-orang Pantai Timur,” suruh Pak Lid.
“Pak
Lid nak balik solat asar sekejap lagi,” beritahunya kemudian sambil duduk.
“Kalau
Pak Lid balik, siapa yang akan menjaga gerai tu?” tanya Deep ingin tahu.
“Isteri
Pak Lid, Mak Cik Som dengan anak Pak Lid, Dahlia.”
“Pak
Lid tidak ada anak lain selain Dahlia?” tanya Deep.
“Ada.
Anak sulung dan nombor dua Pak Lid masih belajar di universiti. Mereka ada
semasa cuti atau bila mereka lapanglah,” jelas Pak Lid.
“Kamu
boleh makan makanan pedas, Ana?” tanya Pak Lid sambil memerhatikan Mikael
mengambil satu dari keropok yang dibawanya tadi.
Ana
mengangguk. Ibunya biasa menyediakan masakan pedas sewaktu mereka tinggal di
London dahulu. Ayahnya juga sangat mengemari masakan yang pedas-pedas.
“Cuba
kamu rasa popia ni.” Pak Lid menolak piring berisi popia itu kepada Ana.
Mikael
membayangkan Ana akan terjerit kepedasan dan meminta air. Sebelum hal itu
terjadi hatinya sudah terkekeh dahulu.
*
* * * *
PERUT
mereka
bertiga memang sudah kekenyangan. Sesekali kedengaran Deep sendawa besar dan
setiap kali itu juga Ana menyikunya. Mikael berjalan termengah-mengah. Banyak
sangat yang sudah dimakan tadi. Entah boleh bermain bola lagi, entahkan tidak.
Kurang mereka dua beradik menikmati apa yang diberi Pak Lid, dia yang lebih.
Sekarang dia yang menangung akibat. Benarlah pesan Rasulullah supaya kita makan
ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Kalau terlalu kenyang menyeksa diri.
“Aku
ingat kau akan menangis sebab popia tu pedas,” ujar Mikael.
Ana
tersenyum sambil mengangkat kening beberapa kali. Bangga. Ingat ini cerita di
TV ke? Gadis asing yang selalu mengelupur kepedasan. Itu cerita zaman nanny-nya sahaja. Zaman dia tidak
begitu. Vee dan Michel pun boleh makan pedas, terbiasa dengan hidangan di
rumahnya.
“Tengok
oranglah,” balas Ana kemudian. Ada sahaja sifat belagaknya itu.
Mikael
tersenyum.
“Kak,
kau baliklah dulu. Aku nak ikut Abang Mikael main bola,” beritahu Deep sebaik
padang bola sudah kelihatan tidak jauh dari mereka.
“Baliklah
solat dulu. Kau hendak aku beritahu mama yang kau tidak solat sebab nak main
bola?” ugut Ana.
Deep
mengetap bibir serba-salah.
“Haah,
baliklah dulu. Abang pun nak balik dulu,” sokong Mikael. Perutnya tiba-tiba
sahaja mengulas.
Deep
tersenyum.