Home Novel Keluarga Lantana Camara
Lantana Camara
Nina Rose
23/11/2012 02:43:49
14,248
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 3

BUNYI pinggan mangkuk yang ditangkup ke rak kedengaran berlaga-laga sewaktu dikendalikan. Ana tersenyum puas sebaik tugas membersihkan semua bekas yang mereka guna untuk makan malam itu selesai. Tuala pengelap pinggan yang sudah digunakan dicampakkan ke dalam bakul khas untuk dicuci esok. Sesudah itu dia bersandar ke kabinet yang bercantum dengan sinki. Ibunya yang sedang menyimpan baki lauk ke dalam peti sejuk dipandang. Dia ingin memberi tahu ibunya sesuatu.

“Mama,” panggilnya perlahan.

“Ya,” jawab Puan Sherly sambil menutup pintu peti sejuk.

“Ana fikir... mahu cari kerja. Bosanlah hari-hari terperap di rumah,” beritahunya separuh meminta izin.

Puan Sherly memandangnya dan berfikir seketika. Anak gadisnya itu sudah seharusnya bekerja dan menimba pengalaman kehidupan. Namun, keadaan mereka yang masih baru di tempat itu membuatkan dia kurang yakin melepaskan Ana keluar bekerja.

“Keinginan kamu tu bagus, tetapi mama bimbang kamu masih tidak cekap dengan tempat-tempat di sini,” ujar Puan Sherly melahirkan perasaan hati.

“Sebab itulah Ana kena keluar bekerja dan belajar. Lagipun inikan tempat lahir Ana, malulah Ana kalau tidak mengenalinya dengan baik. Sekurang-kurangnya Ana boleh belajar dan memahami cara kehidupan orang di sini. Ana juga perlukan kawan-kawan baru,” pujuk Ana sambil memancing keyakinan ibunya.

Puan Sherly mengeluh. Anak gadisnya itu memang sangat pandai menjawab. Begini dia berkata, begitu pula Ana membalas. Sekarang dialah ayah dan dia jugalah ibu, setiap keputusan yang dibuat harus difikirkan sebaiknya.

“Ana, mama bangga andai kamu bekerja, sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan bulanan kita. Mama memang mengharapkan kamu segera mendapat pekerjaan, tetapi sebagai pemulaan biarlah di tempat yang tidak jauh dari kawasan perumahan kita.”

Kening Ana terangkat.

“Mama mahu Ana bekerja sebagai pembantu kedai runcit ke?” terkelip-kelip Ana memandang ibunya. Setahunya hanya pasaraya dan kedai-kedai sahaja yang terdapat berhampiran kawasan perumahan mereka.

“Tidak semestinya, mungkin dengan kelayakkan yang ada kamu boleh bekerja di farmasi berdekatan. Farmasi di deretan rumah kedai di persimpangan utama kawasan perumahan kita ini baru sahaja dibuka dan mama ada terbaca iklan jawatan kosong yang dipamerkan,” jelas Puan Sherly mencadangkan.

“Tidak mahulah mama... buat sementara waktu Ana mahu mencari pekerjaan yang berbeza dari apa yang Ana pelajari. Ana mahukan pengalaman baru,” tolak Ana. Farmasi dan kesihatan memang tidak jauh dengan ijazah yang dimilikinya, tetapi dia semakin kurang berminat mempelajari perkara yang sama dalam kehidupan. Dia ingin mencipta sedikit kelainan dalam diari kehidupannya, barulah mencabar.

“Mama tidak yakin kamu boleh melakukannya.”

“Belum cuba, belum tahu,” balas Ana angkuh.

Puan Sherly sedikit mengeluh.

“Sudahkah kamu fikirkan pekerjaan apa yang ingin kamu cari?” tanyanya cuba berfikiran terbuka dan mengalah.

“Mikael cakap di tempat kerjanya ada jawatan kosong,” beritahu Ana.

“Mikael budak sebelah ni?”

Ana mengangguk.

“Eloklah tu, tidaklah mama bimbang sangat. Tapi jawatan apa?” Puan Sherly sedikit lega. Paling tidak anak muda yang berjiran dengannya itu dikenali dan keluarga anak muda itu juga semakin rapat dengan keluarganya.

Ana tersenyum.

“Belum tahu lagi. Esok bila sudah sampai syarikat yang dia bekerja tu, barulah Ana tahu.”

“Mama tidak kisah selagi itu pekerjaan yang baik.” Puan Sherly memberi kebenaran.

“Hati-hati, sayang,” pesannya kemudian.

Ana tersenyum sebaik mendapat keizinan ibunya.

“Mama mahu naik ke atas dan berehat. Kamu tolong tutup semua lampu sebelum naik ke bilik,” pesan Puan Sherly. Dahi Ana dikucup mesra.

Ana mengangguk.

Sebaik ibunya hilang ke tingkat atas Ana menutup lampu dapur. Dia beralih ke ruangtamu. Alat kawalan jauh televisyen dicapai dari atas meja kopi. Sekejap kemudian televisyen sudah terpasang. Ana menekan lagi beberapa butang alat kawalan jauh itu, mencari siaran sesuai untuk ditonton. Setiap cerita yang tersiar dilihat seketika. Tidak kena sahaja dengan citarasanya, ditukar kesiaran lain. Hampir lima kali berbuat demikian dia mula jemu. Terus sahaja butang tutup ditekan. Ruang tamu ditinggalkan. Perlahan langkah kaki dihayun menuju ruang atas. Sambil itu fikirannya melayang mengisi kebosanan. Dia mengeluh sendiri, keliru melalui perubahan kehidupan seperti itu. Kenapa mereka tidak boleh terus hidup seperti dahulu? Lemah sahaja langkahnya. Sampai di tingkat atas punggungnya didaratkan ke atas sofa kecil yang berada di ruang tengah antara pintu-pintu bilik itu. Bantal empat segi yang terhimpit di bawah punggungnya ditarik dan dipeluk. Dia tersandar.

Wajah Michel dan Vee menjelma di ruang ingatan. Dia sangat merindui mereka. Itu teman rapat dan jirannya sejak berhijrah ke London pada usia lima tahun.

VEE yang datang bersama semangkuk salat buah menerpa ke sebelah Ana. Enak sekali tubuh kurusnya menghimpit sedikit tubuh Ana. Ana terdengih kesakitan. Bantal besar yang menjadi alas duduk mereka menjadi semakin tengelam menampung berat dua orang manusia itu. Ana membetulkan duduknya semula. Vee mensuakan mangkuk salat buahnya kepada Ana. Ana menggeleng tidak mahu. Matanya memandang kawasan persekitaran seketika, dia sedih. Aktiviti bersantai di halaman rumahnya bersama Vee dan Michel akan berakhir untuk satu jangka masa yang panjang.

Vee menyiku lengan Ana.

“Kenapa dengan kau?” tanya gadis kacukan Inggeris dan Cina itu.

Ana tersenyum tawar, berat mahu memberitahu masalahnya.

“Kau merindui papa kau?”

Ana mengeluh.

“Bukan...” mulutnya disengetkan ke tepi.

“Hei!” Terjah Michel dengan sepinggan besar sandwich yang sudah dipotong kecil dan dicucuk dengan lidi pencungkil gigi.

Ana dan Vee memandang Michel dengan muka yang manis.

“Apa gosip terkini?” tanya Michel dengan nada riang, terus sahaja dia mengambil tempat di sebelah kiri Ana. Menjadikan Ana duduk ditengah-tengah.

“Bukan gosip, tetapi berita sedih,” beritahu Ana perlahan.

“Kenapa?” Michel memandang Vee dengan pandangan resah. Kiranya Vee yang lebih dahulu bersama Ana di situ mungkin sudah mengetahui sesuatu.

Vee mengangkat bahu.

Michel memandang Ana semula.

“Aku dan keluarga akan kembali semula ke Malaysia,” beritahu Ana sayu.

“Apa?” jerit Vee dan Michel serentak. Berita itu membuatkan hati mereka berkocak. Sekian lama hidup bersama bagaikan kembar, tiba-tiba Ana akan pergi. Sakitnya perasaan.

“Tetapi kenapa?” tanya Vee tidak puas hati.

Michel menjatuhkan kepalanya dengan muka kecewa. Biar mereka berlainan bangsa dan agama tetapi mereka berkawan baik.

“Kami tidak punya pilihan. Sebelum semua wang simpanan papa habis, kami harus mencari alternatif segera,” beritahu Ana.

“Kau sanggup tinggalkan kami?” tanya Michel sayu.

Ana menggeleng. Andai sahaja mereka tahu bagaimana perasaannya berperang menerima semua itu. Dadanya sebak, rasa mahu menagis sahaja.

“Hey, biarkanlah mama dan adik kau sahaja yang ke Malaysia. Kau boleh terus tinggal di sini. Pekerjaan kau yang baru bermula itu pasti boleh menampung kos kehidupan kau di sini,” cadang Michel dengan wajah ceria. Dia tidak fikir masalah Ana itu terlalu besar. Ramai penghijrah di negara itu hidup sendirian tanpa keluarga.

Ana sedikit tersenyum.

“Tidak semudah itu kawan. Aku anak perempuan, anak sulung... tanggungjawab aku pada mereka besar.”

“Kita berada di zaman moden sekarang. Kita bebas menentukan hak kita. Ini bukan zaman anak harus membalas jasa lagi,” tekan Michel.

Vee menyokong dengan anggukan.

Ana tersenyum. Itulah sedikit perbezaan mereka. Perbezaan ketara dari pegangan agama yang berbeza. Walaupun berbapakan seorang mualaf, dia tetap dibesarkan dengan ajaran Islam. Maka, padanya setiap anak tidak kira lelaki atau perempuan harus mentaati dan membalas jasa ibu bapa mereka, biarpun tinggal dalam zaman apa sekali.

Michel dan Vee yang dibesarkan dalam arus moden tanpa pegangan agama yang kukuh selain mengikut agama ibu bapa mereka tanpa asas merasakan setelah dewasa kehidupan mereka tidak perlu dicampuri sesiapa lagi. Mereka manusia bebas yang berhak membuat keputusan tanpa merujuk ibu bapa atau ahli keluarga. Apalagi undang-undang di kota moden itu menyatakan setiap manusia dewasa berusia lapan belas tahun ke atas bebas memiliki kehidupan mereka tanpa melanggar undang-undang yang akan menyusahkan diri sendiri.

“Sayangnya, aku berfikir sedikit kolot Michel. Mama dan adik aku adalah harta yang tidak ternilai aku punya. Aku tidak boleh mementingkan diri.”

Michel dan Vee berwajah hampa.

“Tergamak kau mahu meninggalkan kami dan kembali ke tempat asal kau?” ujar Vee perlahan.

“Mungkin itu sebaik-baik takdir buat aku.”

“Kau tidak takut akan susah di sana? Paling kurang di sini ada kami.” Michel bersuara. Berusaha mempengaruhi Ana supaya menukar keputusan.

“Apa yang hendak aku takutkan, di mana-mana saja di dunia ini ada kesusahan. Aku yakin akan dapat menyesuaikan diri di sana.” Ana terus bertegas dengan keputusan yang sudah dipersetujui dengan ibunya. Dia tidak mahu saat kecewa yang sedang dilalui ibunya ditambah lagi dengan bantahan untuk kembali ke Malaysia.

“Hei, janganlah tinggalkan kami. Aku akan merayu pada mama kau supaya membenarkan kau tinggal dengan keluarga aku. Mama aku pun pasti tidak kisah kerana anak dia hanya ada aku sahaja,” pujuk Michel bersedia memberi tempat tinggal asalkan Ana tidak pergi.

Ana memandang temannya itu. Dia sangat berterima kasih dengan kesunguhan Michel tetapi tidak mahu menyusahkan.

“Janganlah begitu. Kita masih boleh berhubung, nanti akan aku kongsi cerita tempat baru aku dengan kau berdua. Bila kau orang punya masa lapang, bolehlah datang melihatnya sendiri,” pujuknya

Michel menarik muka masam. Semua cadangannya ditolak Ana. Dia menjeling.

“Aku tahu kau sengaja menolak kerana tidak mahu berkawan dengan kami lagi,” rajuk Michel.

“Tidak! Bukan begitu. Michel, Vee... tolonglah, fahami keadaan aku,” rayu Ana. Dia tidak mahu minggu akhir pertemuan itu membuat hubungan mereka menjadi keruh.

Vee tertunduk tanpa sepatah kata.

Michel merengus dan terus bangun dari duduknya. Tanpa lengah dia terus berlari pulang meninggalkan Ana dan Vee.

Ana tersentak dengan tindakkan Michel. Dia tahu kawannya itu merajuk dan bersedih. Vee di sebelahnya dipandang. Kelihatannya Vee yang penyedih itu sudah menangis. Tubuh Vee dipeluk erat.

“Aku janji Vee, walau di mana aku berada persahabatan kita takkan putus,” bisik Ana ke telinga Vee. Semakin erat pelukkan Vee dirasakan.

BERKERUT dahi Ana mengingatkan mereka. Tahukah mereka betapa dia sangat merindui aktiviti bergurau senda mereka di setiap petang hujung minggu? Ana menelan air liur di saat mengenangkan Michel yang merajuk panjang, tidak mahu menghantarnya kelapangan terbang pada hari terakhir dia di London. Hanya Vee dan Victor serta beberapa teman-teman lain mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

“Maafkan aku, Michel,” ucap Ana sambil bangun dari duduknya. Dia berpusing kebelakang. Cahaya lampu yang terpasang dari dalam bilik Deep kelihatan memancar keluar melalui daun pintu yang tidak ditutup rapat.

Ana menghampiri dan mengintai dari celah daun pintu yang sedikit terbuka itu. Kelihatannya Deep sedang asyik melihat sesuatu. Daun pintu ditolak perlahan. Dia melangkan masuk dan bantalempat segi ditangannya didaratkan ke atas punggung Deep yang sedang meniarap atas katil. Deep berpaling ke belakang. Alat pendengar muzik di cuping telinganya ditanggalkan.

“Akak ni, kacau saja!” Marah Deep tidak puas hati privasinya diganggu. Suka hati Ana sahaja masuk ke biliknya tanpa kebenaran.

Ana buat tidak peduli, punggungnya dihempas atas katil.

“Tadi aku nampak kau di rumah depan sana. Apa kau buat?” siasat Ana.

“Hurm...” Deep bangun dan duduk bersila. Komik di tangannya ditutup.

“Hantar basikal kawan. Basikal dia rosak,” beritahu Deep jujur.

“Budak tu perempuan, kan?” tanya Ana lagi. Bukan tadi dia tidak nampak tetapi sengaja mahu bertanya.

Deep mengangguk.

“Teman wanita kau lah tu?” duga Ana. Sengaja mahu menukar mod sedihnya dengan mengusik Deep.

“Bukanlah,” nafi Deep.

“Kalau bukan, tadi kau hendak jadi herolah tu.”

“Bukanlah...” bentak Deep begang dituduh begitu.

“Kalau bukan mahu menjadi hero yang menyelamatkan heroinnya. Kenapa kau baik hati sangat?” Ana sengaja membuat fikiran Deep bercelaru.

Namun Deep bukannya seorang yang mudah dibuli. Dia remaja yang bijak. Tuduhan Ana dijawab dengan baik.

“Bukankah dulu papa ajar kita supaya menolong orang yang dalam kesusahan. Sebagai balasan, di masa hadapan ketika kita susah Tuhan akan utus pertolongan buat kita. Apa kau sudah lupa?” persoalnya.

Ana menyengetkan mulutnya. Terasa disindir pula.

“Ingat...” jawabnya panjang.

“Kalau macam tu janganlah main tuduh-tuduh orang lagi,” ujar Deep sinis.

“Okey,” balas Ana dengan senyuman yang dibuat-buat.

“Eh, tapi ayah kawan aku itu baik, tahu? Dia pelawa aku makan kuih di gerainya,” beritahu Deep. Di matanya sudah terbayang wajah mesra Pak Lid.

“Ayah dia berminat mencalon kau sebagai menantu akan datanglah tu,” balas Ana sambil merebahkan badannya.

“Kau ni kalau bercakap memang selalu menyakitkan hati. Suka bersangka buruk. Budak-budak di sekolah aku panggil mulut longkang!” Ujar Deep geram.

Ana terkekeh ketawa.

“Istilah apalah tu? Mulut longkang!” Ana ketawa lagi.

Deep merengus geram.

“Sudahlah, kau pergilah masuk bilik kau. Aku mahu tidur sekarang!” Suruh Deep.

Ana bangun dari baringnya.

“Hati-hati, sayang. Bukan semua kebaikan manusia di dunia ini ikhlas,” ujarnya sambil menarik kuat kedua pipi Deep.

Sebaik pipi dilepaskan Deep menarik nafas menahan kesakitan. Bertambah sakit hati dirasakan dengan tindakkan Ana itu. Entah apa merasuk fikiran kakanya itu. Ada-ada sahaja yang mahu dicurigai.

“Kak!”

“Apa?” Ana yang sudah mahu menutup daun pintu bilik Deep menjengahkan kepalanya ke dalam semula.

“Agaknya Abang Mike tu pun suka kau,” ujar Deep membalas usikan Ana kepadanya tadi.

“Mike?” Ana bermuka pelik. Setahunya dia belum lagi mengenali sesiapa dengan nama itu.

“Alah, buat tidak kenal pula.”

“Bukan buat, tetapi memang tidak kenallah!” Marah Ana.

Deep tersengeh.

“Silap. Bukan Mike tetapi Mikael,” beritahu Deep dengan sengih yang masih ada di bibirnya.

“Mestilah, sebab aku lawa,” balas Ana bangga diri dan terus menutup rapat daun pintu bilik Deep.

Deep terkekeh sendirian mendengar jawapan Ana.

Ana berjalan dengan senyuman ke biliknya. Dia langsung tidak pernah memikirkan soal Mikael.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.