Home Novel Keluarga Lantana Camara
Lantana Camara
Nina Rose
23/11/2012 02:43:49
15,912
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 5

GELAK tawa Puan Sherly dan Puan Maria yang sedang sibuk menyediakan menu makan malam memeriahkan suasa rumah itu. Kelihatannya dua orang wanita itu sangat serasi berjiran. Ana, Deep dan Mikael turut membantu menyediakan peralatan yang diperlukan di meja makan. Deep baru selesai meletakan semangkuk besar sup di atas meja makan. Mikael pula selesai meletakan beberapa mangkuk kecil buat menghirup sup sebentar nanti. Ana dengan sepinggan agar-agar yang baru dipotongnya ke meja. Sesudah itu mereka masuk ke dapur semula, membantu mengangkat hidangan lain ke ruang makan.

Puan Maria dan Puan Sherly yang sudah menanggalkan apron saling berpandangan. Mereka tersengeh.

“Dalam tak mahu saya makan di sini, sudahnya banyak pula menu kita malam ni,” ujar Puan Sherly sedikit malu.

Puan Maria ketawa kecil sambil menepuk bahu Puan Sherly.

“Tak apalah Sherly, hari ni awak dan anak-anak makan di sini. Minggu depan saya dengan Mikael pula buat sibuk kat dapur awak.”

Puan Sherly ketawa gembira. Bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan jiran sebaik itu.

“Kita ni single mother yang serasi. Dah lama saya duduk sini, baru sekarang dapat jiran yang sekepala macam awak,” tambah Puan Maria.

“Mungkin inilah juga sebabnya saya balik ke sini. Sebab nak jadi kawan awak,” balas Puan Sherly.

“Hari ni kita berkawan, manalah tahu esok lusa kita berbesan pula,” gurau Puan Maria sambil memaut lengan Puan Sherly, mengajak jirannya itu ke ruang makan untuk menjamu selera.

Puan Sherly ketawa riang. Ada-ada saja bicara Puan Maria yang menceriakan suasana hati mereka.

Ana yang baru meletakan sejag minuman ke atas meja mencebik mendengar perbualan dua orang wanita itu. Siapa nak jadi bini Mikael? Ampun!

Mikael memandang Ana. Dia hanya tersengeh dan menarik kerusi untuk duduk.

Deep yang sudah duduk terkekah sambil menekup mulut.

“Kau jangan nak lebih Deep, aku sekeh karang,” marah Ana.

“Ana, ceduk nasi tu masuk pinggan,” arah Puan Sherly sambil mengambil tempat.

Puan Maria sekadar memerhati sebelum duduk.

Ana akur. Malam itu dia kena jadi pelayan.

“Sekarang bacalah doa makan, semua orang dah lapar,” suruh Ana sebaik tugasnya selesai.

“Orang yang dah lapar ke kau yang lapar?” tanya Mikael.

Ana memandangnya.

“Kalau dah aku sebut semua tu, termasuk kaulah. Kalau kau tak lapar, jangan makan,” jawab Ana garang.

Puan Sherly mengecilkan mata memandang Ana. Geram saja mendengar tutur kata anaknya itu.

Ana tarik muka dan diam.

“Sudah. Mikael baca doa,” tegur Puan Maria perlahan. Dia menggeleng kepala melihat anjing dan kucing itu bila bertemu.

“Pandai ke?” sindir Ana perlahan.

“Ana!” Marah Puan Sherly perlahan.

Ana diam.

“Setakat doa makan aje kut. Bukan nak kena baca doa tahlil,” balas Mikael sebelum mula membaca doa.

Puan Maria menggeleng. Masing-masing tak mahu kalah.

Sebaik mengaminkan doa seisi makan malam itu berlangsung dengan tenang. Hanya Puan Sherly dan Puan Maria saja sesekali bertukar cerita. Ana, Deep dan Mikael diam memasang telinga.

Tiga puluh minit kemudian Mikael dan Deep sudah berpindah ke ruang tamu. Kenyang betul mereka malam itu. Ana pula membantu Puan Sherly dan Puan Maria berkemas.

“Sedap udang goreng butter tu,” puji Mikael.

Deep senyum.

“Orang kata kan bang. Kalau suka kat orangnya, semua yang tak sedap pun sedap.”

Mikael kerut dahi sambil menoleh kepada Deep. Wah, adik-beradik pembuli ni nak kenakan dirinya ke?

“Apa maksud kau?”

Deep tarik senyum lebih lebar. Meskipun dia budak mentah tapi dia tak bodoh dalam soal hati.

“Abang suka kat Ana, kan?” tanyanya tanpa selidung.

Dahi Mikael semakin berkerut. Dia suka udang yang dimasak Ana, bukan Ana. Ish, Deep ni pandai-pandai saja hendak mengkenen dia dan Ana yang selalu macam raja singa tu. Seketika kemudian Mikael tersengeh dan menggeleng.

Deep turut menggeleng. Dia tahu Mikael tak mahu mengaku.

“Kakak kau tu sebelum ni ada boyfriend ke?” tanya Mikael berminat juga mahu tahu. Ada ke lelaki yang minat perempuan macam tu? Kalau bercakap memang tak perlukan tapis. Pakai redah saja. Berlubang besar ke gegendang telinga orang dia tak peduli. Selalu guna pakai istilah, mulut aku, aku punya sukalah!

Deep pandang Mikael. Dalam hati dia rasa nak gelak. Mulut saja cakap tak mahu tapi hati lelaki itu tetap saja sudah terpikat.

“Setakat ni dia masih ada boyfriend. Kat London,” beritahunya.

“Wow.” Mikael pamer muka teruja. Ada juga lelaki yang meminati Ana. Lelaki bagaimalah agaknya itu?

“Anak mat saleh?”

Deep mengangguk.

“Victor Bloom.”

“Wow, adik-beradik dengan Orlando Bloom,” ujar Mikael sebelum mereka sama-sama ketawa.

“Lebih kuranglah tu,” balas Deep dengan tawa yang masih bersisa.

“Kalau dah Ana kat sini, Orlando Bloom tu kat sana. Macam mana hubungan dia orang?” selidik Mikael.

Deep ketawa lagi mendengar Mikael mempersendakan nama kekasih Ana.

“Gajet.”

“Gajet?”

Deep angguk kepala.

“Selalu Victor yang akan call dan masej Ana. Ana pulak rajin e-mail dan skype dengan dia. Kalau nak suruh Ana yang call, memang mengamuklah mama kami,” beritahunya sambil membayangkan bil telefon mungkin mencecah ribuan ringgit sebulan kalau Ana dan Victor bergayut di telefon.

Mikael tahu cinta jarak jauh memang memerlukan kos yang tinggi untuk berkomunikasi. Nak jumpa pula kena menabung duit. Dia pernah lalui semua itu dan sudahnya dia tarik diri sebab tak boleh bersabar melalui semua itu. Paling tidak dia tidak curang hanya jujur tidak boleh menerima cara bercinta begitu dalam hidupnya saja. Sekarang dia sendiri, lebih senang menentukan hala tuju kehidupan.

“Alah, jangan risaulah. Saya yakin Ana dan Victor takkan bertahan lama,” ujar Deep seakan dapat membaca apa yang berada di fikiran Mikael.

Mikael tersenyum. Itu dia tak pasti. Lain orang, lain cara.

“Kau orang mengumpat aku ke?” sergah Ana yang baru datang dari dapur.

Deep dan Mikael saling berpandangan sebelum sama-sama tersengeh.

“Mana ada, kita orang cerita fasal bola. Aku ajak Deep tengok perlawanan bola hujung minggu ni,” dalih Mikael.

Deep angguk-angguk kepala.

Anak kecilkan mata memandang mereka. Langsung tak percaya. Dia dengar nama Victor disebut tadi.

“Deep...” Ana memandang adiknya dengan amaran.

“Ish, kau ni. Ingat Victor tu ada seorang saja ke dalam dunia? Pemain bola pun ada nama Victorlah. Sensetif sangat. Dah kemaruk rindulah tu,” cemuh Deep dengan muka selamba.

Ana tarik muka. Geram saja mendengar dalih Deep. Tapi hatinya mula rasa tak selesa mendengar nama Victor. Sudah hampir seminggu mereka tidak berhubung. Sibuk ke Victor di sana?

“Suka hati kau oranglah,” marahnya dan terus menuju ke luar. Mencari tempat selesa untuk menyendiri.

Deep dan Mikael saling berpandangan.

Mikael jungkit kening ingin tahu kenapa Ana sensetif mendengar nama Victor.

Deep jungkit bahu.

“Aku pergi tengok kakak kau kejap,” beritahu Mikael sambil bangun. Dia rasa tak senang hati pula membiarkan Ana menyendiri.

Deep membiarkan saja Mikael pergi sambil tangannya pantas mencapai senaskah majalah yang tersusun dia atas meja kopi itu.

Ana duduk berayun atas buaian yang terletak di tepi kawasan lapang rumah Puan Maria. Malam itu sedikit sejuk kerana hujan sempat turun petang tadi. Bunyi katak-katak yang menyanyi dalam longkang dan semak berdekatan menjadikan malam tidak sunyi. Cengkerik juga riang mengalunkan melodi indah mengiringi nyanyian sang katak.

“Kau ada masalah?” sapa Mikael sebaik berdiri di tepi buaian yang diduduki Ana.

Ana memberhentikan ayunan dan menjeling. Dia tidak suka Mikael menyibuk. Dia mahu sendiri.

“Kalau nak kongsi apa-apa, aku sedia menjadi pendengar. Masalah kalau simpan dalam hati lama-lama tak elok. Apa lagi kau perempuan, nanti jadi gemuk,” ujar Mikael.

Ana herotkan mulut. Dia memandang badannya sebelum memandang Mikael.

“Kau nak cakap aku ni gemuklah, kan?” marahnya.

“Tak...” jawab Mikael serius.

Ana menjeling. Tak suka Mikael tak mahu mengaku apa yang tersimpan dalam hati lelaki itu.

“Maksud aku, orang perempuan kalau stress akan kuat makan. Jadi boleh jadi gemuk mendadak,” jelas Mikael malas mahu bersoal jawab dengan Ana.

Ana diam dan terus menghayun buaian.

“Tak nak kongsi apa yang terpendam dalam hati tu ke?” tanya Mikael masih menunggu.

Ana pandang tempat lain.

“Kenapa kau suka menyibuk?” tannya kurang senang.

“Bukan nak sibuk. Tapi nak ringankan masalah dalam hati kau saja.”

“Tak payahlah. Aku tak perlukan pakar kaunseling.”

Mikael jungkit bahu sebelum masuk ke dalam. Sudah orang tidak mahu bercerita buat apa dia menyibuk. Mungkin itu cara orang perempuan lepaskan masalah. Bersendiri dan berbicara dengan alam. Dia lelaki, kalau ada masalah harus disuarakan saja, baru masalah selesai. Tak pandailah nak pendam-pendam sampai jadi jeruk dan berfungus.

Ana terus melayan perasaan. Dia langsung tak tahu kenapa Victor semakin kurang menghubunginya. Sibukkah doktor muda itu kebelakangan ini? Ataupun memang lelaki itu sudah menemui gadis lain? Dia sedar hubungan mereka memang berisiko tinggi. Kalau bukan kerana jarak, kerana perbezaan peganggan agama. Memang dia kena bersedia untuk menerima berita sedihlah tak lama lagi. Itu rasa hatinya.

“Ana... apa lagi yang kamu berangan tu? jom kita balik,” laung Puan Sherly daripada pintu. Dia dan Puan Maria masih belum habis berbual.

Deep dan Mikael sudah berjalan hingga ke pintu pagar.

Ana bangun mendapatkan Puan Sherly dan Puan Maria. Dia menghulur tangan sambil berpelukan mesra dengan Puan Maria.

“Terima kasih, auntie. Selamat malam,” ucapnya sebaik meleraikan pelukan.

Puan Maria tersenyum. Suka dia melihat sifat sopan santun Ana walau terkadang mulut gadis itu celupar.

Ana berjalan lebih dulu meninggalkan Puan Sherly yang masih belum habis bercakap dengan Puan Maria. Sebaik tiba depan pintu pagar rumahnya yang sudah dibuka Deep, dia berehenti. Deep sudah melangkah masuk menuju ke dalam rumah. Hanya Mikael yang masih terpacak di situ.

“Selamat malam,” ucap Ana sebelum melintasi Mikael.

“Ana,” sapa Mikael.

Ana berhenti melangkah namun tidak menoleh.

“Aku tahu kau perlukan kawan sebagai pendengar. Percayalah, aku sedia menjadi kawan baik kau.”

Ana diam dan terus melangkah ke dalam.

Mikael tersenyum dan kembali ke rumahnya.

Sebaik masuk ke bilik Ana duduk berpusing di kerusi meja tulisnya. Dia separuh termenung. Dalam dunianya yang punya Puan Sherly, Deep, Puan Maria dan Mikael pun dia rasa kosong. Apa yang kurang? Atau sebenarnya dia rindukan Michel dan Vee? Keluhan kecil dilepaskan. Sebenarnya dia lebih merindui Victor.

Perhatian beralih ke komputer riba. Halaman muka buku didaftar masuk. Pantas jari menaip.

roinnt rudaí sa saol a dhéanann freezes an croí

Mikael : Alamak nak marah aku pun janganlah guna bahasa yang aku tak faham.

Deep De Caprio :Rilekslah. Hati dia tengah tumbuh duri tu.

Ana kerut dahi. Menyibuk betul dua orang manusia itu. Dia sekat nanti baru tahu.

Ana De Caprio :Jangan nak buat perangai sengallah.

Mikael : Deep, kakak kau maki abang apa tu?

Ana muncung bibir. Itu bahasa ibunda ayah merekalah.Mana ada dia maki orang.

Deep De Caprio : Hahaha... dia cakap, dia sakit perut makan kari kepala ikan yang abang cuba masak tadi.

Ana naik kening. Hampeh punya adik.

Mikael : Kesiannya. Nak aku bawa pergi klinik ke Ana?

Ana De Caprio : Tak payahlah nak mengarut. Aku taip dalam bahasa Irish tu. Kalau dalam bahasa Inggeris, some things in life makes the heart freezes. Faham!

Mikael : Kalau dalam bahasa Melayu apa? Aku faham yang peti ais tu saja. Kau nak aku belikan peti ais ke?

Ana menjeling geram. Buat-buat bodoh pulak. Terus dia mendaftar keluar. Buat rosak statusnya saja.

Previous: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.