DADA Hannah berdebar hebat. Dia tidak tahu
apa yang sedang Kamal lakukan. Di dalam kereta, Hannah hanya memerhatikan
tindak tanduk Kamal bersama sekumpulan lelaki. Mereka berbicara sesama sendiri
dan kadang-kala mata mereka memerhatikan Hannah dengan senyuman nakal. Hannah
semakin takut.
Ada seorang lelaki berwajah ganas memberikan
sejumlah wang kepada Kamal. Kamal pula mengambilnya lalu mencium wang tersebut.
Kemudian Kamal membuka pintu kereta di sebelah Hannah membuatkan Hannah
mengeletar hebat. Dia dapat menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku
kepadanya.
Tanpa sempat Hannah bertindak, dua orang
lelaki dalam kumpulan tersebut telah menarik tangan Hannah. Hannah tersentak
hebat. Dia sudah berada di dalam kelompok lelaki ganas itu. Mereka ketawa suka
hati apabila melihat wajah Hannah yang kelihatan takut.
“ Kenalkan ini Jimmy. Dia adalah bapa ayam di
sini dan ini adalah konco-konconya. Buat pengetahuan kau, aku dah jual kau
kepada mereka,” kata Kamal. Bicara Kamal itu disambut dengan tawa ria oleh
konco-konco Jimmy.
Hannah tersentak hebat. Dia cuba meronta
untuk melepaskan diri tetapi pegangan dua lelaki yang memegangnya cukup kejap. Dia
tidak menyangka yang bapanya sanggup memperlakukannya sebegini. Hannah semakin
ketakutan. Dia tidak sanggup memperdagangkan maruahnya sebegini.
“ Papa…tolong papa, jangan buat Hannah
begini. Hannah anak papa, tak kan papa sanggup buat Hannah begini,” tangis
Hannah cuba meraih simpati kepada Kamal.
Dia tidak tahu bagaimana mahu keluar dari kancah hina ini selain dari
meminta tolong daripada Kamal.
Kamal hanya ketawa mendengarkan rayuan Hannah
itu. Begitu juga dengan Jimmy dan konco-konconya.
“ Kau bukan anak aku. Kau anak haram!
Duduklah kau di sini mewarisi pekerjaan mak kau. Baru puas hati aku!” Kata
Kamal.
Segala dendam kesumat akhiratnya dapat di
balas juga. Walaupun Hanita mati sebelum sempat dia membalas dendam, namun
harta yang ditinggalkannya sudah menguntungkan Kamal. Zuriat Hanita juga telah
dihantarnya ke neraka dunia. Dia cukup berbangga dengan pencapaian dirinya ini.
Dan selepas ini dia akan pastikan Robert pula mendapat pembalasan sewajarnya
atas segala kesengsaraan yang telah terjadi kepadanya.
Hannah menangis. Persoalan yang bermain di
mindanya sejak dari dahulu lagi kini menjelma semula. Dia pandang kepada Kamal
dengan wajah hiba. Dia semakin benci dengan lelaki itu. Seumur hidupnya tidak
akan memaafkan lelaki jahat itu.
“ Jadi betullah saya ini anak haram?” Tanya
Hannah sebak. Wajah Mak Cik Norsiah bermain-main di layar ingatannya. Hanya
wanita itu sahaja yang ikhlas menyayanginya.
Jimmy dan konco-konconya ketawa mendengarkan
pertanyaan Hannah itu. Sesekali terdengar ejekan anak haram itu dari mulut mereka.
Ejekan mereka itu membuatkan Hannah semakin gerun.
“ Apa maksudnya kalau mak kau sendiri tidak
dapat pastikan siapa bapa kau yang sebenar? Bukankah itu maknanya kau tu anak
haram?”
Hannah menangis penuh sendu. Rupa-rupanya
kekejaman yang dilakukan oleh Kamal selama ini akhirnya terjawab juga. Nyata
dia bukannya berasal dari zuriat Kamal dan yang paling menyedihkan ibunya
sendiri tidak dapat pastikan siapakah bapanya yang sebenar. Sungguh betapa dia
merasakan dirinya begitu hina sekali.
“ Sudahlah, bawa dia pergi. Biar dia melayan
pelanggan kau puas-puas,” kata Kamal kepada Jimmy.
” Cepat masuk! Bawa dia
kepada bos!” Arah Jimmy kepada salah seorang konconya.
Hannah kaku. Dunianya
tiba-tiba jadi hitam pekat. Pandangan pula tidak beralih kepada Jimmy dan
konco-konconya.Ketakutan sudah menjalar diseluruh urat sendi anak gadis itu.
” Masuk sekarang!” Kata
salah seorang konco Jimmy sambil mengheret Hannah. Dia cuba melawan tetapi
dengan sekali tolakan sahaja tubuhnya sudah berada di dalam kereta tersebut.
Hannah terus memandang
kepada Kamal yang sedang mengira sejumlah wang yang diberikan oleh Jimmy
sebentar tadi.
” Papa, tolong Hannah
papa.. kasihanilah Hannah papa...tolong jangan buat Hannah begini, tolonglah
papa,” Jerit Hannah. Keempat-empat orang lelaki yang bertubuh sasa terus masuk
ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan. Manakala Jimmy dan saki baki
konco-konconya menaiki kereta lain.
Kamal hanya ketawa
mendengarkan rayuan itu. Dia sempat melihat Kamal melambai tangan dan tersenyum
mengejek sebaik sahaja kereta yang Hannah naiki meluncur laju menuju ke
destanasi yang tidak diketahuinya.
Hannah terus memeluk
tubuh. Apakah nasib dirinya pula kali ini. Takdir apakah yang bertandang bertimpa-timpa
ini? Atau ada rahmat yang tersembunyi dan terselindung di sebalik takdir
ini? Ya Allah..Kau kuatkanlah semangatku!
” Aku tak akan menangis
dan aku tak perlu takut. Allah pasti akan selamatkan aku,” Hannah cuba
meredakan keresahan hatinya. Namun ternyata ianya gagal. Selama lima belas
tahun dia tidak pernah bertemu dengan Kamal. Tiba-tiba hari ini lelaki kejam
itu membawanya pergi dan menjualnya kepada sindekit pelacuran. Adakah
penderitaannya akan bermula semula di sini? Badannya rasa lemah tidak berdaya.
Kepalanya sungguh berat sekali. Berdenyut-denyut serta terasa tegang di leher.
” Hannah kena kuatkan
semangat. Jangan lemah sama sekali. Jangan mengaku kalah dengan apa yang telah
tersurat untuk Hannah,” tergiang-giang kata-kata semangat dari Mak Cik Norsiah
kepadanya suatu masa dahulu.
Hannah cuba menyelaminya
dengan hati yang waja. Biar terpancar sedikit semangat juang Hannah untuk
melawan segala dugaan yang mendatang.
Deringan telefon
membuatkan Hannah terus memasang telinga. Ingin mendengar bicara mereka. Mana
tahu dia mendapat petunjuk tentang arah tuju mereka dengan panggilan telefon
itu.
” Hello..” kata seorang
lelaki yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu. Kepalanya botak dan tubuhnya
sasa. Dia memakai rantai besi di leher dan tangannya.
” Ha...kami dah on the way....setakat ini tak de
masalah. Dia tak melawan. Perempuan tu..”
Lelaki itu terus
berpaling ke belakang menghadap wajah Hannah sebaik sahaja perkataan perempuan
itu meniti di bibirnya. Kemudian lelaki itu tersenyum membuatkan Hannah
tersentak hebat.
” Cantik...cantik sangat.
Tak rugi kau membelinya. Pastinya business
kau akan bertambah untung lagi!”
Dada Hannah semakin
berdebar hebat. Dia terasa ingin menangis. Adakah dia sedang bermimpi saat ini? Ya Allah
tolonglah selamatkan hambaMu yang sungguh tidak berdaya ini. Dia berasa ngeri
untuk membayangkan kehidupan yang bakal dihadapinya kelak. Adakah dia akan
terus terjebak ke dalam lembah hina? Allah, aku tidak sanggup!
” Tolong lepaskan
aku..tolonglah...” bergegar hebat tubuh Hannah saat menuturkan kata-katanya.
Airmata sudah melurut keluar. Sungguh dia berasa begitu takut sekali.
Keempat-empat lelaki itu
hanya ketawa mendengarkan rayuan Hannah itu.
” Jangan takut. Lama-lama
nanti kau akan seronok dengan pekerjaan baru kau ini,” kata lelaki yang
menjawab panggilan telefon sebentar tadi. Kemudiannya mereka ketawa lagi
membuatkan Hannah semakin ketakutan.
Mata Hannah meliar
memandang ke sekeliling. Mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri. Dua
orang lelaki duduk di hadapan manakala dia diapit oleh dua orang lelaki
berbadan tegap. Terselit sepucuk pistol di pinggang salah seorang lelaki yang
berada bersebelahannya. Lelaki itu sengaja menunjukkan pistolnya itu kepadanya
untuk menakut-nakutkan Hannah.
” Tolonglah Encik.
Bebaskanlah saya. Tolonglah...” Rayu Hannah lagi setelah dia sendiri buntu
untuk mencari jalan keluar. Dia tidak malu untuk menagih simpati walaupun dia
tahu simpati tidak akan wujud di dalam diri mereka yang berhati binatang. Malah
mereka hanya ketawa mendengarkan rayuannya itu.
Entah berapa lama dia
berada di dalam kereta itu sehinggalah pemandu memberhentikan kereta di sebuah
deretan rumah kedai yang sangat sunyi. Tiada kelibat manusia yang lalu lalang
di situ. Kemudian Hannah dipaksa keluar dengan kasar sekali. Ada seorang lelaki
berbangsa cina sedang menunggu mereka di situ.
” Oh..cantik gadis ini,”kata
lelaki berbangsa cina sambil membelai-belai muka Hannah. Hannah dapat mengagak
inilah bos yang dikatakan Jimmy sebentar tadi. Rupa-rupanya lelaki inilah bapa
ayam yang akan menguruskan urusan pelacuran di sini.
Hannah yang marah terus
meludah ke muka lelaki tersebut. Biar dia tahu Hannah bukannya jenis perempuan
yang mudah disentuh.
Serentak dengan itu juga
Hannah dihadiahi penampar yang cukup kuat membuatkan dia terus tersungkur ke
tanah. Celah bibirnya berdarah. Ah...apalah sangat kesakitan ini. Dia sudah
merasai kesakitan yang lebih daripada itu.
” Bawa perempuan ini naik
ke atas!” Arah lelaki yang menampar Hannah.
Pantas salah seorang
lelaki itu menarik tangan Hannah kepadanya. Hannah cuba melawan. Namun gagal.
Lelaki itu lebih kuat darinya.
Hannah menjerit apabila
lelaki itu memusing lengannya ke belakang. Kesakitan menjalar ke seluruh
lengannya. Kemudian lelaki itu membawa Hannah ke sebuah bilik dan menolak
Hannah ke dalam bilik tersebut dan terus menguncinya di situ.
Dia terperangkap. Hannah
rasa mahu menjerit kuat. Dia mula rasa tegang. Ketakutan sudah mula sebati
dalam dirinya. Ketakutan yang paling dasyat yang tidak pernah dirasainya seumur
hidup.
Hannah perlu mencari
jalan keluar. Hannah memandang ke setiap sudut bilik yang dihuninya ini. Dia
memandang tingkap yang tertutup itu. Segera Hannah berlari ke arah tinggap
tersebut. Hatinya sudah mula memutik sebuah pengharapan kepada tingkap usang
itu. Namun dia hampa lagi apabila melihatkan jeriji yang telah dipasang di
tingkap tersebut. Malah tingkap itu tidak boleh dibuka walaupun sedaya upaya
dia menolaknya.
” Ya Allah...tolonglah aku,” doanya dalam
tangisan yang pilu. Hannah sedar tiada lagi jalan untuknya melarikan diri. Apa
yang mampu dilakukannya disaat ini hanyalah menangis, menangis dan menangis.
Hannah tersandar lemah.
Dunianya sudah terbalik. Dia tidak sanggup lagi menghadapi dugaan demi dugaan
yang cukup memeritkan. Kenapa hanya dia sahaja yang sentiasa ditindas?
Tidak semena-mena
airmatanya mengalir laju dari kolam matanya. Hannah rasa ingin menjerit, meraung
sekuat hati dengan dugaan perit yang di hadapinya saat ini. Sungguh dia berasa
begitu ngeri sekali. Ngeri untuk memikirkan corak kehidupannya di lembah hina
ini.
“ Ya Allah, aku tak
sanggup Ya Allah. Aku tak sanggup menjadi pelacur! Tolonglah Ya Allah,
selamatkan aku!” Jerit Hannah dalam tangisan yang menggila.
Kemudian Hannah
bangun ke pintu. Menarik daun pintu yang berkunci. Dia menarik lagi dan lagi
dan lagi. Sehinggalah dia penat melakukannya.
“ Woiii..bukalah
pintu ini! Aku nak keluar. Lepaskan aku!” Jerit Hannah sendirian.
Namun jeritannya itu
tidak pernah dipedulikan oleh sesiapa. Malah Hannah semakin tertekan dengan
keadaan dirinya tatkala ini. Hannah menangis lagi. Menjerit dan menangis
sehingga dia keletihan. Namun semuanya tetap sama. Dia tetap terkurung di sini.
“ Aku tak nak jadi
pelacur. Aku tak nak jadi pelacur. Tolong lepaskan aku!” Kata Hannah dalam
tangisan yang mengila. Hanya perkataan itu yang meniti di bibirnya sejak sejam
yang lalu.
“ Hannah, kenapa
menangis begitu?”
Tiba-tiba satu suara
memanggilnya membuatkan Hannah terkejut. Dia segera bangun mencari suara
tersebut. Suara yang amat dikenalinya.
“ Mak,” kata Hannah
dalam linangan airmata.
Wajah Mak Cik Norsiah
kelihatan begitu berseri-seri sekali. Dia memakai telekung sembahyang sambil
tersenyum lebar kepada Hannah.
“ Kenapa anak mak
asyik menangis sahaja saat masalah menimpa? Menangis dan meratap sahaja tidak
akan menyelesaikan masalah,” nasihat Mak Cik Norsiah.
“ Habis tu Hannah nak
buat apa lagi mak? Hannah dah buntu. Mak boleh tolong selamatkan Hannah dari
neraka ini tak? Tolonglah Hannah mak. Hannah tak nak jadi pelacur,” tangis
Hannah.
Mak Cik Norsiah
menggeleng dalam senyuman.
“ Bukan mak yang
Hannah patut mohon pertolongan tetapi kepada Allah. Hanya Dia yang dapat
menyelamatkan kita dari apa jua rintangan yang mendatang,” kata Mak Cik
Norsiah.
“ Tetapi Hannah tak
berdaya. Hannah tak kuat nak melawan penjahat itu,” kata Hannah.
“ Yakinlah kepada
Allah sayang. Pasti ada jalan untukmu, sayang. Jangan lupa sebut nama Allah
pada setiap kesulitan yang akan Hannah tempuhi.”
Hannah tertunduk
lemah. Dia menyebut kalimah angung itu dan bibirnya tidak pernah berhenti untuk
melafazkan kalimah agung itu. Semakin di sebut hatinya semakin tenang dan dia
yakin Allah akan membantunya keluar dari kemelut ini.
Hannah memanggungkan
kepalanya. Ingin terus berbicara dengan ibunya yang tersayang. Namun hampa
apabila wajah penuh seri itu sudah hilang dari pandangan matanya membuatkan
Hannah tercari-cari sendirian.
“ Mak,” panggil Hannah
dalam sebak.
Namun wajah yang
cukup dirinduinya itu tidak juga muncul membuatkan Hannah sedar akan hakikat
sebenar yang ibunya itu sudah meninggal dunia. Hannah beristigfar panjang dan
segera menyedekahkan surah al-fatihah kepada arwah ibunya. Hannah sendiri tidak
faham apa yang sebenarnya berlaku kepada dirinya sebentar tadi tetapi dia yakin
Allah sedang bersamanya.
Kemudian Hannah bersembahyang
hajat meminta pertolongan daripada yang Maha Esa supaya diselamatkan daripada
kemelut yang cukup mengerikan ini. Inilah sahaja pengharapan terakhir yang
boleh disandarkannya dalam keadaan yang cukup genting ini.