Bump!
‘Aduh!
Habislah kereta! Siapa pula yang langgar? Tak nampak agaknya lampu merah!’
Mastura memicit dahi sendiri. Dia mematikan enjin kereta. Sudahlah dilanggar
berhampiran lampu isyarat, kenderaan semakin banyak pula itu. Dia melangkah
keluar menuju ke arah belakang keretanya. Tidaklah teruk tetapi lampu belakang
pecah. Dia mengeluh.
“Maaf, saya tak perasan tadi. Ingatkan lampu dah bertukar
hijau,” kata seorang lelaki yang berdiri berhampiran keretanya. Jalan mula
sesak apabila para pemandu ingin melihat apa yang berlaku.
“Kita ke tepi jalan. Kalau kita tunggu di sini, ganggu
kenderaan lain pula,” saran Mastura. Kurang selesa apabila diri menjadi
perhatian secara tiba-tiba. Dia sudah cuak. Baru bercadang hendak ke syarikat
milik arwah suaminya, sudah jadi begini pula. Nasib baik tidak bawa Maria
bersama. Harap dia selesa tinggal bersama pembantu rumah yang digaji untuk
menjaga Maria.
“Kita ke bengkel teruslah. Bengkel tu saya dah biasa,”
cadang lelaki itu tanpa memperkenalkan diri. Wajahnya berkerut seribu.
“Baiklah,” jawab Mastura, tidak banyak bertanya. Mereka
masuk ke dalam kenderaan masing-masing dan berlalu meninggalkan kawasan
tersebut.
“IniChong, tuan punya bengkel. Kawan saya. Biar dia baiki kerosakan
kenderaan awak. Saya bayar. Saya yang salah,” ujar lelaki itu, tetap lembut dan
penuh kerisauan.
“Tak apa sikit aje.” Mastura serba salah pula. Tidak
henti-henti lelaki itu meminta maaf. Sekali cukuplah. Nampak mengada-ngadalah
pula. Aduhai, tidak baik buruk sangka.
“Macam mana kau boleh langgar belakang kereta ni, Rian?
Lain kali, hati-hatilah,” kata Chong sambil memeriksa kereta Mastura.
“Tak nampaklah, Chong.” Adrian menyengih.
“Nasib baik lampu yang pecah, senang sikit mahu baiki.
Tunggu ya, puan,” kata Chong sebelum memanggil pekerjanya menukar lampu
belakang yang pecah.
Mastura menjauh sedikit daripada keretanya.
“Saya Adrian.” Lelaki itu memperkenalkan diri.
“Mastura.” Mastura hanya menundukkan kepala. Huluran
tangan Adrian tidak bersambut. Haram bersalaman dengan lelaki yang bukan
mahram.
Adrin menepuk dahi sendiri. Dia tersenyum. Malu pun ada.
“Sementara kita tunggu kereta awak repair, apa kata kita pergi minum
dulu?” pelawanya.
Mastura serba salah. Tidak manis dia keluar minum dengan seorang
lelaki. Dia masih dalam idah.
“Maaflah, saya tak haus lagi. Saya tunggu di sini aje.”
Mastura menolak dengan baik. Bukan sombong, tetapi kurang selesa. Apatah lagi
lelaki itu baru sahaja dikenali. Keluar minum? Hisy, bukan buruk sangka tetapi
berhati-hati. Manalah tahu lelaki itu ada niat jahat? Dia sendirian. Bukan kuat
mana pun. Tengok badanlah. Sudahlah kurus, kering pula itu. Dia senyum sendiri,
apa punya kes, kutuk diri sendiri. Lebih baik kutuk dari puji diri sendiri.
“Janganlah macam tu. Saya nak mohon
maaf atas kesalahan saya tadi. Takkan awak takut? Ramai orang di restoran tu.
Saya tak buat apa-apa kat awak.” Adrian memujuk lagi.
Mastura memandang wajah itu sekali imbas. Kacak juga.
Macam hero Hindustan pun ada. Ah! Tak penting. Jangan tergoda dengan paras
rupa. Lelaki seperti ini banyak di luar sana yang menggoda dan merayu wanita
yang kesepian.
“Lain kalilah, Encik Adrian. Kereta saya pun dah nak siap.
Terima kasih atas pelawaan awak tu.” Dia mendekati Chong yang sedang memeriksa
lampu keretanya. Sudah siap terpasang. Beberapa kali diuji untuk memastikan
pemasangannya betul.
“Tak apalah, orang tak sudi, nak buat macam mana,” rajuk
Adrian.
‘Merajuk pula? Macam budak-budak. Ingat aku akan
terpengaruh? Maaflah. Ini Mastura tidak layan rajuk-majuk ni. Dulu mungkin tapi
hanya arwah suami aku.’
“Lain kali, okey. Saya minta diri dahulu, rasanya bil
pembaikan awak yang perlu jelaskan. Sebab awak yang langgar saya.” Dia
tersenyum manis.
“Ya, saya yang bayar,” ujar Adrian dengan wajah kecewa.
“Janganlah buat muka tak sudah, Encik Adrian. Saya ada
sebab tersendiri kenapa saya tolak. Jumpa lagi.” Mastura masuk ke dalam kereta,
Dia menghidungkan enjin.
“Ini kad saya. Kalau ada apa-apa masalah, sila hubungi
saya.” Adrian menyerahkan kad bisnesnya kepada wanita itu.
Mastura menyambut sebagai menghormati orang yang baru
dikenali. Jangan ada sengketa. Nanti timbul rasa sakit di hati. Dia menekan
pedal minyak dan berlalu meninggalkan kawasan tersebut.
“Wah, Ah Moi baru ya, Rian? Mangsa ke berapa?” usik Chong.
“Apalah kau cakap tu macam, Chong? Itu lubuk emas tahu!”
kata Adrian lalu ketawa.
Chong mengerutkan dahi, kurang mengerti tetapi faham benar
dengan sikap lelaki di hadapannya. Tukar teman wanita bagaikan tukar baju.
Setiap hari ada sahaja wanita baharu di sisi lelaki hidung belang itu.
Perempuan tadi entah mangsa yang ke berapa?
“Itu dua biji lampu, RM200” kata Chong sambil menghulurkan
tangan.
“Kenapa mahal? Kuranglah sikit?” Adrian mengerut dahi.
“Harga untuk lu punya pelaburan, nanti untung banyakkan?”
sindir Chong.
Adrian mencebik. Ewah, ewah, ada niat permainkan dia
rupanya! Duit bertukar tangan. Senyuman terukir di bibir. Ini baru langkah
pertama. Tunggulah langkah seterusnya.
“Kenapa lu suka rosakkan orang lain? Cubalah lu cari
seorang perempuan yang baik, jadi lu punya bini, hidup bahagia sampai matilah.
Kalau lu buat ini macam, hidup tarak selamat,” nasihat Chong dengan loghat
Cina-Melayunya.
“Itu aku punya sukalah! Kau apa tahu? Itu minyak dengan
gris lu tahulah kan, Chong?” sindir Adrian. Dia meninggalkan bengkel itu dengan
hati berbunga riang. Semoga dia dapat mendekati Mastura. Jinak-jinak merpati,
tak mengapa. Dia akan berusaha sehingga berjaya.