Berdebar-debar hati Katrina menunggu kehadiran madunya atau bekas madu.
Suami mereka sudah tiada. Sekarang mereka akan tinggal bersama di bawah satu
bumbung. Tidak perlu ada rasa cemburu kerana suami mereka sudah pergi
meninggalkan hati mereka sepi. Matanya asyik memandang ke arah pagar. Bagaikan
menyambut bakal suami sahaja. Katrina mula mundar-mandir. Jari-jemari bermain
sesama sendiri. Degupan jantung berdegup kencang.
Halijah gelisah di dalam bilik. Hatinya benci, namun
terpaksa. Rancangan menantu kedua ada baiknya. Sudah lama sakit di hati. Sudah
lama memendam rasa. Sengketa yang bersarang di dada menumbuk sehingga ke
jantung hati.
Langkah di atur menuju ke ruang tamu. Wajah menantu
keduanya ditatap sekali imbas. Wajah itu juga bagaikan membungkus seribu
masalah yang tidak selesai.
“Mereka masih tak sampai lagi, Rina?” Halijah duduk di
sofa kulit yang masih kelihatan baharu. Bukan ada sesiapa yang hendak lanyak.
“Belum, ibu. Entah kenapa lambat pula mereka sampai?”
Katrina mendekati ibu mertuanya. Dia melabuhkan punggung di sebelah. Mata
mereka saling bertemu.
“Macam mana rancangan kita? Dah atur seperti yang
dirancang?” Halijah bertanya bagaikan seorang pengurus.
“Dah tentulah, ibu. Perempuan tu harus terima balasan.
Kerana dialah Abang Ashraf meninggal. Belum sempat kami bersama, duka dah
memanggil. Sakit hati Rina. Dahlah dia merampas Abang Ashraf daripada Rina!”
Katrina mengapi-apikan perasaan ibu mertuanya. Tidak akan dibenarkan hubungan
madunya bersambung rasa dengan ibu mertuanya. Biar mereka menjadi musuh
selamanya sehingga ke akhirat. Dendam tetap membara dan membakar,
menyala-nyala.
Kereta Myvidipandu masuk ke laman rumah agam itu. Mastura melangkah
keluar. Maria didukung dan dibawa masuk. Rumah yang begitu asing bagi mereka
berdua. Buat hatinya berdebar-debar. Mampukah dia berlama di rumah itu. Rumah
yang penghuninya bersengketa dengan diri. Wajah Maria yang tenang dipandang
sekali imbas. Semoga ada bahagia buat anaknya di sini. ‘Abang Ashraf, semoga
kehilangan abang ada hikmahnya,’ detik hati kecilnya. Semakin hampir dengan
pintu semakin seram sejuk tubuhnya. Lututnya terasa lemah dan lambat sekali
kakinya melangkah.
Berdiri di muka pintu berwarna perang tua itu bagaikan
berdiri di pintu menuju ke neraka. Jauh pula anggapannya. Kalau sudah takut
menerjah diri itulah jadinya. Daun pintu diketuk perlahan. Dia memberi salam
dan menunggu dengan sabar. Daun pintu dibuka daripada dalam.
Dua wajah yang dikenali memandang dengan wajah manis.
Benarkah itu? Ibu mertuanya melemparkan senyuman manis menyambut kehadirannya.
Katrina menerpa menyambut Mastura dengan senyuman terukir
di bibir. Wajah pucat Mastura dipandang dengan kerutan di dahi. Apakah wanita
itu takut hendak ke mari? Kenapa harus takut? Adakah sudah dapat meneka apa
yang bakal berlaku? Dia menarik tangan Mastura masuk ke dalam rumah.
Halijah menarik tangan Maria turut dibawa masuk.
“Mas, selamat datang ke teratak Vila Cinta Bahagia,”
sambut Katrina.
Mastura mengangkat kening. Cantiknya nama Vila Cinta
Bahagia, harap penghuni di dalamnya mampu memberi kebahagiaan.
“Ibu gembira Mas sudi tinggal di sini.” Halijah
melemparkan senyuman. Maria yang di sebelah dibelai manja. Biarpun hanya
pura-pura, biar tampak nyata dan tidak kelihatan pura-pura. Sesekali memandang
wajah Katrina juga menjalankan aksi yang sama. Bagus sungguh menantu keduanya
berlakon, layak menjadi pelakon filem. Dia tersenyum bangga.
“Terima kasih kerana sudi terima kehadiran Mas di sini.”
Mastura masih berdiri. Kakinya bagaikan tidak memijak lantai. Terlalu bimbang
dan takut agaknya. Pelbagai rasa bermain di benaknya.
“Okey, bilik Mas di belakang. Mudah untuk bergerak.Lagipun
Maria tak sesuai turun naik tangga.” Katrina membawa Mastura menuju ke bilik
tempatnya menginap selama berada di rumah itu. Bilik yang terletak hampir
dengan dapur.
Berkerut wajah Mastura. Bukan masalah bilik tetapi apa
yang bermain di fikirannya, kenapa di dapur?
“Maaflah walaupun rumah ni besar, bilik tak banyak. Tak
kisah kan duduk di sini?” Katrina membuka pintu bilik.
Bilik itu luasnya 10 kaki x 10 kaki. Terdapat sebuah katil
bujang dan sebuah almari. Langsirnya begitu usang dan buruk. Kata rumah orang
kaya dan berada, kenapa keadaan bilik itu begitu daif kelihatannya. Kipaspun
tiada. Mahu mandi peluh dia dua beranak.
Mastura melangkah masuk. Dia membuka tingkap. Habuk di
sana sini. Dia tidak boleh merungut. Duduk sahajalah di mana ditempatkan asalkan
ada tempat untuk merehatkan mata sudah cukup buatnya. Untuk sementara.
Maria duduk di birai katil sambil merenung wajah Mastura.
Katrina entah ke mana menghilang. Bayang mertuanya juga tidak kelihatan.
Tiba-tiba mereka menghilang.
“Kenapa kita tinggal kat bilik ni, mak?” Maria mula
bersuara.
“Jangan merungut. Esok kita ubah semuanya.” Mastura
mengerling manja.
Maria akur bagaikan mengerti maksud emaknya.
Mastura terus membersihkan apa yang patut sebelum keluar
membeli barang keperluan. Tidak mungkin dia tidur di dalam keadaan berhabuk dan
kotor begitu. Katil pun sudah hampir roboh. Sebelah dari pintu almari sudah
hampir tertanggal. Mastura menarik nafas panjang. Banyak kerja yang harus dia
lakukan. Kalau hendak selesa, kenalah usaha sendiri. Biar rumah orang, kenapa
tidak buat seperti rumah sendiri. Keselesaan untuk diri sendiri juga. Telefon
bimbit diambil dari dalam beg tangannya. Dia mahu menghubungi seseorang.
Katrina mundar-mandir di dalam bilik ibu mertuanya. Dia telah
mengatur rancangan bagaimana hendak memalukan madunya itu. Pertama sekali bagi
madunya tinggal di bilik pembantu rumah. Bukan tiada bilik lain, sengaja mereka
atur begitu. Biar Mastura tahu tahap dia hanya seorang pembantu rumah. Anak
kampung berangan hendak jadi orang kaya. Perasan! Jangan harap. Katrina
mencebik. Rancangannya pasti berjaya dengan kerjasama ibu mertuanya yang begitu
membenci madunya itu. Katrina ketawa di dalam hati.
“Ibu tengoklah nanti. Bila kita bagi dia duduk dalam
keadaan tak selesa, mesti dia akan memberontak. Melawan. Masa tu bolehlah ibu
maki, kata dia anak derhaka. Kuat melawan.” Katrina tersenyum riang.
Halijah turut tersenyum. “Betul kata Rina. Lebih-lebih
lagi kalau ibu marah depan orang. Ibu akan buat dia malu.” Semakin lebar
senyumannya membayangkan wajah Mastura apabila dia dimalukan.
“Apa dia sedang buat di bilik itu agaknya ya, ibu?”
Katrina membayangkan keadaan Mastura yang tidak selesa, tinggal di bilik
sempit, perabot yang rosak, katil dan tilam yang hanya sesuai dibuang sahaja.
Puas hati dia dapat mempermainkan madunya itu.
“Biarkan dia. Ibu nak tengok berapa lama dia tahan tinggal
di sini!” Halijah mengetap bibir. Selama ini arwah anaknya terlalu menyayangi
isterinya itu. Sanggup mengetepikan perasaannya sebagai seorang ibu demi cinta.
Bertahun-tahun anaknya tidak pulang berjumpa dengannya. Pasti Mastura telah
menghasut anaknya itu. Dia tidak akan dapat menerima keadaan itu.
Mastura sudah pun pulang. Walaupun dia baru sahaja berada di
kawasan perumahan itu namun tidaklah susah hendak keluar mencari barang-barang
keperluan. Bangi sahaja pun. Banyak rumah kedai dan banyak juga kedai perabot.
Apa yang penting, duitnya. Dia tersenyum sendiri.
“Mak, laparlah,” rengek Maria sambil mengusap perutnya.
“Jom, kita ke dapur. Tengok apa yang ada,” ujar Mastura.
Tangan Maria digapai. Terlupa pula hendak membeli makanan waktu keluar tadi.
Ketika di dapur, dia mengerutkan dahi. Apa yang dimasak? Apa
yang ada di rumah itu? Ke mana perginya ibu mertua dan madunya itu? Pembantu
rumah pun tiada. Rumah besar tetapi tiada pembantu rumah?
Dia membuka peti sejuk, banyak bahan mentah di dalamnya.
Ada telur. Badan masih letih. Takkan dia hendak masak pula? Nanti tersalah
masak marah pula tuan rumah. Dia membuka kabinet, mencari beras. Nasi juga
belum dimasak. Sudah hampir menjelang asar. Takkan ibu mertu dan madunya tidak
makan malam? Atau mereka ada rancangan untuk bawa dia makan di luar? Maklumlah
perkara biasa meraikan tetamu yang pertama kali berada di rumah itu. Kehadiran
tetamu membawa rezeki.
Dia mengambil sebiji telur dan sebungkus mi segera lalu
mula memasak. Hanya itu buat mengalas perut sementara menunggu makan malam. Bau
tumisan maggi menggamit rasa lapar. Mastura melemparkan senyuman kepada Maria
yang setia menunggu.
“Kita makan mi segera dulu. Malam nanti, kita makan nasi,”
pujuknya. Dia mengusap rambut ikal Maria. Persis rambut arwah suaminya. Bila
terkenangkan arwah buat hatinya sayu. Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula
tempat dia menerima kasih dan sayang. Semoga kehadiran dia dan anaknya
benar-benar diterima.