Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
95,421
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 13

Ibu...” rengek Katrina. Hatinya sudah cukup panas ketika ini. Lain yang dirancang, lain pula yang jadi. Bertimpa-timpa urusannya gagal di tengah jalan. Orang yang hendak diseksa bertambah bahagia dan senang lenang, dia juga yang putih mata dan makan hati. Dia tidak boleh duduk berpeluk tubuh memandang sahaja harta arwah suaminya jatuh ke tangan madunya. Dia perlu buat sesuatu. Dia tidak boleh berdiam diri. Kedua-dua orang tuanya sudah mula menambah sakit di kepala. Meminta duit yang dijanjikan kepada mereka. Mana dia hendak peroleh duit ratusan ribu itu? Wasiat sudah diumumkan. Sedikit pun tidak menjadi haknya.

“Ibu nak berehat. Kepala rasa hendak pecah.” Halijah angkat kaki dan berlalu ke biliknya. Malas hendak bising lagi. Kesakitan di kepala buat dia tidak mampu berfikir ketika itu. Biarlah perempuan itu bersuka ria seketika. Nanti tahulah dia hendak buat apa. Harta arwah suaminya yang diserahkan kepada arwah anaknya telah jatuh ke tangan perempuan itu. Apalah yang telah merasuk arwah anaknya ketika membuat keputusan tersebut? Halijah menyembamkan tubuh di katil.

“Apa kena dengan orang tua ni? Dahlah harta jatuh ke tangan orang lain, sia-sia aje aku berkahwin dengan arwah anak dia. Ingatkan bila arwah sudah mati, semua harta akan jadi milik orang tua itu. Mudahlah aku nak sebat. Rupanya!” Katrina menggaru kepala yang tidak gatal. Dia mencapai telefon bimbitnya, mahu menghubungi seseorang. Seseorang yang sangat dirindui dan kasihi. Kerana terpaksalah dan kerana harta dia berkahwin juga dengan arwah suaminya yang telah pernah menolaknya mentah-mentah. Dia tebalkan muka mendekati ibu mertuanya untuk menyelamatkan perniagaan kedua-dua orang tuanya yang hanya menunggu masa menyembah bumi. Gara-gara asyik bercuti sehingga lupa tanggungjawab sendiri. Sekarang dia sendiri terpaksa menanggung akibat kegelojohan sendiri.

KATRINA menghempaskan punggung di kerusi mewah yang menjadi tempat para pelanggan restoran mewah itu berehat dan bersantai. Wajah lelaki ala-ala hero filem Hindustan itu ditatap lama. Rindu menyapa hati.

“Macam mana? Wasiat dah dibaca?” Lelaki itu mengerutkan dahi. Teruja ingin mengetahui, di hadapannya janda berhias yang kaya-raya itulah harapan di hatinya.

“Dah! Semuanya hampeh!” rungut Katrina dengan wajah mencuka. Geram masih berbaki, benci menadah berkali-kali. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia membunuh madunya itu. Biar harta itu jatuh ke tangannya pula.

“Kenapa? Apa dah jadi? Bukan ke Rina kata hari itu semua harta dah dibahagi dua dengan ibu mertua? Takkan tiba-tiba berubah orang tua itu? Kata sayang sangat dengan awak?” Lelaki itu mengangkat kening.

“Dahlah! Jangan nak perli pula!” Katrina tidak suka dirinya diperli. Mana dia tahu jika arwah suaminya akan berubah laku secara tiba-tiba. Dia sendiri melihat arwah suaminya menulis wasiat tersebut. Dia sendiri telah membaca wasiat tersebut disaksikan oleh ibu mertuanya. Tidak mungkin peguam itu tukar wasiat tersebut. Tandatangan suaminya masih asli begitu juga tulisan di dalam wasiat tersebut disahkan oleh ibu mertuanya adalah tulisan arwah suaminya.

“Apa sebenarnya berlaku? Cuba awak ceritakan pada Rian,” kata Adrian lembut menusuk kalbu. Suara yang sengaja dilunakkan agar janda dan merangkap kekasih gelapnya itu tertawan.

“Semua harta diserahkan kepada anak arwah suami Rina. Madu Rina pula dijadikan pemegang amanah. Rina hanya diberi RM1500 sebulan aje. Ibu mertua Rina pula tak punya hak terhadap harta-harta tersebut. Dia juga kena meminta!” Sakit benar hati Katrina. Semuanya sia-sia! Penipu! Wajah terkejut Adrian dipandang sekali imbas.

“Terkejut? Kami lagi terkejut, tahu tak?” Jeling Katrina.

“Habis tu macam mana? Orang tua Rina dah tahu ke?” Adrian terkedu seketika. Habislah peluang dia hendak bersenang-lenang dengan harta milik janda berhias tersebut. Rancangan yang diatur sudah berjaya kali pertama. Ingatkan langkah seterusnya menyebelahi diri, rupa-rupanya tidak.

“Macam mana apa? Semua dah gagal. Dia pula tidak boleh keluar dari rumah tersebut. Kalau keluar, kami tidak akan dapat apa-apa!” Kalau ikutkan hati amarahnya, mahu sahaja dia menghalau perempuan dan anaknya itu keluar dari rumah. Buat menyemak sahaja. Ingatkan boleh halau, rupa-rupanya arwah suami sudah dapat membaca apa yang bakal berlaku. Pakai ilmu ghaibkah apa? Dia mendengus kasar.

“Masalah tu.” Adrian menyandar pada kerusi. Matanya menatap wajah Katrina yang dikenali waktu dia belajar di Australia. Hubungan kawan biasa sehingga membawa kepada hubungan cinta. Dia bukan benar-benar cinta, dia cintakan harta Katrina.

Apabila pulang ke Malaysia dia ingatkan hubungan mereka akan terputus begitu sahaja, rupanya tidak, jodoh mereka masih panjang. Bertemu secara kebetulan. Hubungan bersambung kembali sehinggalah dia mendapat tahu Katrina berkahwin dengan bekas tunangannya semula. Mahu patah hati juga jadinya tapi rupanya Katrina hanya pura-pura berkahwin kerana harta.

“Pening dah kepala ni, Rian. Tidak tahu apa yang harus Rina lakukan. Mama dan papa dah desak minta duit. Mereka masih tak mahu pulang ke Malaysia. Masih mahu berseronok. Rina yang terpaksa bertungkus lumus sendirian. Kejamnya mereka!” rungut Katrina. Matanya memandang wajah kacak Adrian seperti Han Issac. Siapalah yang tidak tertawan? Romantik dan bergaya sakan.

“Apa rancangan Rina sekarang? Kita kahwin ajelah lepas Rina habis idah,” saran Adrian.

“Kahwin? Rian kahwin dengan Rina? Biar betul?” Katrina ketawa.

“Apa masalahnya?” Adrian mengerutkan dahinya. Kalau tak nak, sudah! Dia sendiri pun tidak sudi. Setakat bercakap dan berjanji, mudah sahaja. Siapa hendak berkahwin dengan janda berhias dan miskin seperti Katrina? Ada yang lebih layak menjadi isterinya. Ini Adrian, buaya tembaga Kuala Lumpur. Tidak pernah ada gadis atau isteri orang yang menolak kehadirannya. Dia tersenyum sendiri. Dia sudah ada agendanya tersendiri. Katrina... tempat dia bersuka ria.

“Kalau Rina berkahwin, ingat perempuan itu nak bagi ke duit kepada Rina?” Semakin berombak dada Katrina. Semakin membara hatinya.

“Pasal duit, jangan fikir sangat. Mesti ada cara untuk mengambil semula hak Rina,” pujuk Adrian. Matanya bulat menatap wajah Katrina yang berambut perang ala minah salih itu. Hidung mancung bagaikan anak seludang. Tulang pipi sedikit tinggi bagaikan dicucuk botox. Dagu tajam begitu menawan hati. Matanya yang bulat membuat hati tertawan.

“Rina mesti dapatkan kembali harta arwah Wan Ashraf!” Katrina menumbuk tapak tangannya sendiri. Dia tidak mahu mendiamkan diri. Perempuan itu harus dinyah dari muka bumi ini. Bagaimana caranya dia akan fikirkan kemudian. “Kita lupakan sebentar apa yang berlaku. Dah lama kita tidak bertemu. Tak rindu ke pada diri Rina?” sambungnya tersenyum manja.

Dari kejauhan sepasang mata memerhati dengan hati yang sebal. Dia mencebik dan tersenyum sinis. Tidak salah perkiraannya. Bisikan di hati benar belaka. Dia berlalu pergi meninggalkan pasangan itu memadu kasih. Di dalam hati sesal berlagu riang.

Halijahmelunjur kaki di katil. Dia memeluk bantal peluk. Kepalanya menerawang jauh, memikirkan apa yang berlaku sebentar tadi. Kenapa anaknya serahkan harta kepada satu-satunya cucu yang dia ada. Dan Mastura dijadikan pemegang amanah? Bukankah harta-harta itu juga miliknya? Dia masih tidak faham, bila waktunya anak tunggalnya itu menukar wasiat? Tapi kenapa? Persoalan itu dibiarkan tidak berjawab kerana dia tidak mempunyai jawapannya. Hanya arwah anaknya yang mampu menjawab soalan yang sedang bermain di benaknya. Atau mungkin disebabkan dia tidak menerima kehadiran Mastura dan Maria, maka Ashraf benar-benar mengubah wasiat itu kembali?

Entah ke mana Katrina pergi? Simpati juga dengan menantu keduanya itu. Sudahlah jadi janda berhias, harta pula tidak menjadi miliknya. Dia ingatkan hendak memberi separuh daripada hartanya kepada Katrina, itulah janjinya sebelum arwah anaknya mengahwini menantunya itu.

Menantu yang seorang lagi bolehlah menarik nafas lega. Dirinya tidak boleh diapa-apakan. Mudah sungguh dia terlepas. Hendak dijadikan pembantu rumah, rupa-rupanya dia lebih bijak dengan menggajikan pembantu rumah. Dia juga yang gigit jari menahan rasa sakit di hati. Harta entah ke mana, bala yang ditinggalkan di sini. Menyesal pula mengikut kata-kata Katrina. Kalaulah dia tidak pelawa Mastura kemari pasti aman hidupnya sehingga kini.

Bala apalah yang menimpa? Sudahlahlah kehilangan anak, kini kehilangan harta pula. Peguam keluarganya Haji Arshad bagaikan orang lain dengannya. Langsung tidak memberitahu sudah ada perubahan dengan wasiat sebelum ini. Kalaulah dia tahu senanglah dia mengatur rancangan. Kini, dia bagaikan hidup dibawah jagaan menantu sulungnya itu. Resah dan sesal memanjat di hati. Kenapalah anaknya sekejam ini.

Dia terpaksa meminta untuk belanja sendiri. Sudahlah menantu sulung tidak pernah ada di hati. Alih-alih kena minta duit daripada perempuan itu. Halijah meraup wajah. Mata kantuk tapi tidak boleh terlena pula. Sakit kepala semakin menjadi-jadi. Jangan darah tingginya naik sudahlah.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.