Mastura sibuk memunggah barang-barangnya masuk ke bilik tetamu.
Dia tersenyum sendiri. Pandai-pandai mereka memberinya bilik kecil itu,
kemudian hendak jadikan dia pembantu rumah. Ingat zaman Ibu Mertua atau Antara
Dua Darjat? Dia pun sekolah juga. Entah berapa banyak novel yang telah
dibacanya kisah ibu mertua seksa menantu atau madu buli madu.
Dia akan pertahankan haknya sehingga ke titisan darah terakhir. Dia
bukan insan lemah yang mudah dikotak-katikkan. Kalau ikutkan hati, boleh sahaja
dia keluar dari rumah itu. Kalau tidak kerana memikirkan rancangan yang diatur
dengan pak longnya, tidak mahu dia berlama di rumah itu.
Kehadiran peguam keluarga itu membuatkan ketiga-tiga
penghuni rumah itu berkumpul di ruang yang sama. Masing-masing saling memandang
ke arah lain. Mastura mengulit dan membelai Maria yang duduk di pangkuannya.
Halijah menyilang kaki sambil duduk penuh bergaya. Katrina bermain dengan
jari-jemarinya menunggu dengan sabar apa yang bakal dibacakan oleh peguam
bernama Haji Arshad itu nanti.
“Lambat lagi ke, Tuan Arshad?” tanya Katrina tidak sabar.
Sampul surat yang hendak dibuka, bukannya payah mana pun. Sengaja hendak
melengah-lengahkan masa. Kalau dia dapat separuh daripada harta tersebut, dia
akan keluar dari rumah itu. Tidak sanggup serumah dengan madunya itu. Buat
sakit hati dan jiwa sahaja.
Bukan dia tidak sayang ibu mertuanya tetapi menjaga dan
membela bukan kerjanya. Orang tuanya sendiri dia tidak rawat, inikan pula hanya
bekas ibu mertua. Biar tarafnya sama dengan ibunya sendiri. Bukan dia tidak
hormat, tetapi tidak mungkin dia menghabiskan usia mudanya dengan menjaga orang
tua itu. Dia berharap biar madunya tidak dapat sesen pun. Sebelum majlis
pernikahan, wasiat harta arwah suaminya telah diubah atas permintaan ibu
mertuanya. Wasiat diberi nama agar tidak dituntut oleh orang lain terutama
isteri tua arwah suaminya.
“Sabarlah, Rina.” Halijah memujuk. Gelojoh sangat.
Macamlah harta itu hendak lari ke mana-mana. Atau dia sendiri yang hendak lari?
Wajah kelat menantunya ditatap seketika. Cantik, tetapi wajah yang tiada
serinya. Dia mengalihkan pandangan ke arah Mastura yang sedang mengulit Maria,
cucunya yang langsung tidak pernah dipegang dan disentuh, hanya pada hari
pertama dia berlagak baik. Konon meraikan kehadiran kedua-dua beranak itu. Di dalam
hati ada duri dan tanahnya tandus. Mana mungkin ada taman, berbunga mekar kasih
dan sayang kepada kedua beranak itu. Membiarkan benih-benih dendam dan
kebencian tumbuh subur tanpa siraman kasih dan sayang.
Dia lihat tiada reaksi teruja ingin mengetahui apa yang
ditinggalkan oleh arwah suaminya. Mungkin sudah banyak agaknya harta dia
sendiri? Kalau tidak, mana mungkin dia mengajikan tiga orang pembantu rumah?
Setakat ini kau menang. ‘Kau tunggulah. Kau ingat aku akan duduk berpeluk tubuh
aje?’ detik hati kecilnya.
“Baiklah, saya baca wasiat yang telah dibuat oleh arwah
Wan Ashraf Wan Kamarudin pada hari arwah ditemui meninggal di dalam keretanya.
Harap pihak Puan Hajah Halijah dan menantu bersabar dengan ujian yang menimpa.”
Haji Arshad memulakan bicara. Membacakan wasiat yang telah ditulis oleh
pelanggannya.
“Saya, Wan Ashraf Wan Kamarudin, ketika membuat wasiat ini
dalam keadaan sedar, sihat dan tiada penyakit nyanyuk atau ada orang lain yang
mempengaruhi keputusan yang dibuat. Segala harta peninggalan saya, saham
syarikat di dalam dan luar negara, rumah yang diduduki oleh ibu saya semuanya
saya serahkan kepada penama Wan Mastura binti Wan Harun sebagai pemegang amanah
harta yang akan diwariskan kepada anak saya, Wan Maria binti Wan Ashraf.
Kepada isteri kedua saya, Katrina yang sememangnya
dilahirkan dari keluarga yang berada dan berharta rasanya tidak memerlukan
semua warisan saya. Kepada ibu saya, dia boleh terus tinggal di rumah itu. Wan
Mastura binti Wan Harun dilantik sebagai
penjaga harta ini.
Mastura tidak boleh keluar dari rumah yang diduduki
sekarang sehinggalah Maria berusia 21 tahun dan mampu berdikari. Katrina pula
akan diberi alaun sebanyak RM1500 sebulah sahaja. Ehsan dari saya sebagai
suaminya.
Saya harap tiada sebarang pertikaian berlaku. Keputusan
yang dibuat adalah muktamad. Sebarang pemindahan harta tidak akan dibenarkan
berlaku. Jika itu berlaku segala harta ini akan diserahkan kepada Baitulmal.
Tidak dibenarkan juga ditukar milik jika perkara itu
berlaku, seperti perkara di atas, seluruh harta akan diserahkan kepada pihak
Baitulmal.” Haji Arshad menarik nafas panjang. Selesai tugasan pertama. Dia
pasti ada yang akan berkicau, meraung dan mengaum bagaikan singa lapar kerana
harta itu hanya diserahkan kepada Maria seorang sahaja, Mastura sebagai
pemegang amanah menjaga harta tersebut.
Apa lagi? Menyirap darah Halijah dan Kartina ketika Haji
Arshad membaca wasiat itu.
“Kau silap baca ke, Arshad?!” jerit Halijah, tidak percaya
dengan apa yang dia dengar tadi. Dia tidak pekak. Telinganya bersih, tiada
sebarang kekotoran. Jelas di pendengarannya.
“Rina tak dapat apa-apa? Hanya RM1500 sebulan? Nak makan
apa? Baju Rina sehelai aje dah harga beribu-ribu ringgit. Ibu! Mana aci?”
rengek Katrina, marah dan geram. Lain yang diharapkan, lain yang jadi. Mahu
sahaja dia tembak peguam yang sudah lama menjadi peguam keluarga ibu mertuanya
itu. Buat sakit mata dan sakit telinga sahaja mendengar butiran wasiat.
Bila pula arwah suaminya tukar wasiat tersebut? Takkan
sebelum meninggal? Hisy, bila? Katrina mengetap bibir. Rasa mahu digigit
lidahnya biar putus. Janji sudah dibuat dengan kedua-dua orang tuanya untuk
memberi beberapa ratusan ribu ringgit. Dalam keadaan begini bukan ratusan ribu,
ratusan ringgitpun belum tentu.
“Puan hajah... Puan Katrina. Inilah yang telah ditulis
oleh arwah sebelum dia menemui ajal pada hari yang sama. Harap puan hajah dan
Katrina terima dengan hati yang terbuka. Kerja saya sudah selesai. Puan Mastura
tolong tandatangan di sini tanda penyerahan harta ini kepada puan sebagai pemegang
amanah kepada Maria, anak puan yang merupakan waris tunggal harta-harta ini,”
kata Haji Arshad.
Mastura terdiam. Segala keputusan arwah suaminya pasti
disanggah oleh kedua-dua insan yang berada di hadapannya. Api kebencian sedang
marak menyala di mata masing-masing. Kalau mereka harimau atau binatang buas
sudah pasti dia dan Maria ditelan hidup-hidup tidak tunggu lagi. Biar lenyap di
muka bumi.
“Dia tidak berhak dapat harta ini!” jerkah Halijah.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa, puan hajah. Tidak boleh
ada pemindahan. Kalau itu berlaku, semua orang tidak akan dapat apa-apa. Itulah
yang telah tertulis di dalam wasiat ini,” terang Haji Arshad.
“Apa dah kau buat, Ashraf?!” jerit Halijah seperti orang
hilang akal. Wajah Mastura ditenung dengan kejam. “Apa yang kau bagi anak aku
makan, hah?! Sampai semua harta dia beri kepada kau dan anak kau aje?”
Melengking suaranya bagaikan halilintar memecah bumi. Kalah kilat jika
terdengar pancaran suara Halijah itu.
“Mas mana ada buat apa-apa?” Mastura membela diri. Dia
tidak akan mendiamkan diri jika dihina. Bukan dia gila harta. Bukan dia
mengemis dengan suaminya. Itu adalah hak Maria, anaknya.
“Berani kau jawab, ya?!” Halijah mengangkat tangan, namun
pantas ditahan oleh Haji Arshad.
“Puan Hajah Halijah! Mastura menantu awak. Mulai sekarang
dialah yang menguruskan segala keperluan puan. Lagi satu, puan tidak boleh
menghalau dia dari rumah ini. Kalau dia keluar dari rumah ini, puan dan Katrina
tidak akan dapat apa-apa,” terang Haji Arshad. Kecewa dengan sikap wanita yang
sudah berumur itu.
“Semua ini tipu! Bohong!” Macam orang hilang akal, Halijah
tidak tentu arah. Bagaimana mungkin semua hartanya jatuh ke tangan menantu yang
dibencinya itu? Kenapa Ashraf sekejam itu, sanggup menyerahkan harta kepada
isteri tuanya? Dia dan Katrina gigit jari?
Dia mundar-mandir mencari jalan. Wajah Haji Arshad
dipandang dengan berang. Kalau Gunung Berapi Kelud meledak hebat, lebih hebat
letusan hatinya ketika itu.
“Puan hajah,wasiat ini ditulis sendiri oleh arwah. Saya
tidak mampu berbuat apa-apa. Tugas saya sudah selesai. Saya mohon diri dahulu.
Jika ada sebarang masalah datanglah ke pejabat.” Haji Arshad menunduk hormat.
Beg bimbit dicapai terus berlalu keluar. Tidak mahu berlama, nanti lain
jadinya. Biarlah mereka mengamuk sesama sendiri. Kerjanya hanya menyampaikan
kehendak pelanggannya. Walaupun sudah lama menjadi peguam keluarga itu, sikap
wanita itu tidak pernah berubah. Suka mengarah dan memberontak. Menyerang tanpa
berfikir diri itu sudah cukup tua untuk mengamuk bagaikan orang muda.
Halijah mengetap bibir. Wajah Mastura yang duduk di
hadapannya terasa bagaikan kecil sahaja. Mahu sahaja dia menerpa dan bergomol
dengan menantunya itu.
“Ibu! Apa Abang Ashraf dah buat? Semua harta diserahkan
kepada Mastura! Apa semuanya ni? Sia-sia aje kahwin dengan Abang Ashraf, habuk
aje yang tinggal!” amuk Katrina.
“Suti!” panggil Mastura.
“Ya, puan?” Suti berlari anak mendekati majikannya.
“Bawa Maria masuk bilik. Buka televisyen untuknya,” arah
Mastura.
Suti akur. Dia mendukung Maria dan masuk ke dalam bilik.
Dia keluar semula untuk menjalankan kerja di dapur.
Mastura memandang wajah kedua-dua insan yang menjadi teman
serumahnya itu. Teman serumah? Mahu tergelak pun ada. Seorang madu dan seorang
lagi ibu mertua. Entah apa ujian yang bakal dihadapinya nanti. Kenapalah arwah
meninggalkan semua harta di bawah seliannya? Boleh pusing kepala 360 darjah.
Duit simpanan dan saham syarikat yang diletakkan atas namanya sejak dia
berkahwin dengan arwah suami sudah jauh lebih daripada cukup. Aduhai, bagaimana
dia hendak menghadapi dua insan yang sedang memandangnya bagaikan singa lapar?
Bila-bila masa sahaja mereka akan menerkam. Dirinya bagaikan mangsa sahaja di
mata mereka.
“Mas tak tahu-menahu pasal harta ini ibu... Rina,”
ujarnya, memandang wajah mereka silih berganti. Seram pun ya juga. Mereka
berdua, dia hanya sendirian.
“Jangan nak pura-pura tak tahu! Entah-entah kau pujuk
Abang Ashraf tukar semua harta atas nama kau! Bukan ke arwah meninggal selepas
berjumpa kau!” Tinggi nada suara Katrina.
“Betul, Rina. Saya tak tahu-menahu.” Mastura meyakinkan
mereka. Siapa yang harus disalahkan? Arwah suaminya atau peguam yang menurut
sahaja kehendak pelanggannya. Semua ini membingungkan dirinya sendiri. Kenapa
pula suaminya meletakkan dirinya sebagai pemegang amanah? Bukan ibu mertuanya?
“Dasar perempuan tak sedar diri!” marah Halijah
berapi-api. Memang hatinya sedang marah, panas dan menggelegak.
“Ibu!” Mastura benar-benar kecewa. Dia sedar dirinya
tetapi janganlah dirinya dihina. Kenapalah mereka tidak mahu memahami keadaan?
Arwah suaminya sendiri yang membuat keputusan, bukan dia yang memaksa. Kalaulah
dia tahu semua harta diletakkan atas namanya sebagai pemegang amanah, sudah
pasti dia menolak. Biarlah sebahagian sahaja menjadi milik anaknya. Itu sudah lebih
dari cukup. Dia masih kuat. Masih boleh bekerja. Masih boleh berdikari. “Mas
cuma menjadi pemegang amanah sahaja ibu, Rina. Harta yang ada semuanya milik
Maria, anak arwah.”
“Samalah tu! Kau kan mak Maria?!” Katrina bercekak
pinggang. “Dasar perempuan pisau cukur!” tuduhnya.
“Hei, aku sudah cukup bersabar dengan perangai pura-pura
kau itu, Rina! Jangan sedap hati aje menuduh aku pisau cukur? Kalau aku pisau
cukur, dah lama rambut kau aku cukur bagi botak! Main sedap mulut aje. Kau
ingat bila aku berlembut dan diam, kau boleh tuduh dan buat sesuka hati. Okey,
nak main kasar, ya? Mulai hari ini, segala perbelanjaan aku yang tentukan!
Faham?!” kata Mastura agak kasar. Sedap sahaja menuduh dia pisau cukur? Faham
ke tidak apa makna pisau cukur? Dia isteri arwah yang sah dan Maria adalah anak
arwah dan sememangnya layak mendapatkan sebahagian daripada harta arwah. Tapi
kalau semuanya diserahkan kepada Maria, apa yang hendak dikata?
“Amboi, garangnya? Dah tunjuk tembelang ya?” Halijah
menjegilkan mata.
“Bukan itu maksud Mas, ibu!” Mastura merenung wajah ibu
mertunya yang kelat. Dia mengangkat kaki berlalu dari situ. Kalau berlama,
pasti ada yang hilang akal nanti. Silap hari bulan ada yang mati katak kejap
lagi. Pasal harta, masing-masing hilang arah nanti. Dia melangkah masuk ke
dalam biliknya. Daun pintu dikunci dari dalam.
Dia memandang wajah Maria. Rasa mahu melonjak gembira
lantaran semua harta diletakkan atas nama anaknya. Apatah lagi namanya
diletakkan sebagai pemegang amanah. Hisy, tadi itu bukan ayat pura-pura. Jangan
salah faham pula. Dia memang tidak meminta harta arwah suaminya diletakkan
namanya, tetapi jika sudah diberi, takkan dia hendak menolak? Bak kata orang
tua-tua, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Dapat harta, musuh juga
tiba bersama.