Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
95,490
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6- Berpindah Rumah.

 

Mastura mencari keikhlasan pada wajah Katrina yang tersenyum manis di hadapannya. Ragu mendatang. Cepat-cepat dihalau pergi. Tidak mahu berburuk sangka apatah lagi dengan wanita yang telah menjadi isteri arwah suaminya. Mungkin juga madunya itu ikhlas mengajaknya duduk bersama di banglo milik keluarga arwah suami. Berat juga hati ingin memenuhi kehendak Katrina yang datang secara tiba-tiba. Berkerut juga dahi memikirkannya.

Wajah ibunya yang asyik menggelengkan kepala menjadi perhatiannya. Kenapa pula ibunya bersikap begitu? Tidak setujukah dia dengan cadangan Katrina.

Sudah berubahkah ibu mertuanya? Mahu pula menerima kehadirannya? Benarkah wanita itu sudah buang rasa benci di hati terhadap menantu bukan pilihan di hatinya ini? Bolehkah dia menyesuaikan diri dengan ibu mertua yang langsung dia tidak kenali. Hanya mendengar nama dan sesekali bersua muka, tetapi tidak mesra. Hanya cacian yang bertapa di bibir. Mana mungkin dia sanggup menghadapinya?

“Jomlah, Mas. Sunyilah rumah tu. Tinggal Rina dan ibu aje. Kalau ada Maria dan Mas, riuhlah sikit.” Mata Katrina bersinar-sinar memandang wajah madunya. Berharap sangat-sangat semoga persetujuan diperoleh daripada Mastura.

“Berilah Mas masa untuk berfikir. Kalau ada jodoh kita untuk tinggal bersama, insya-ALLAH pasti dipermudahkan.”

“Jangan menolak pula. Rumah tu rumah Mas juga.” Katrina masih berkata manis demi sebuah keinginan.

“Terima kasihlah, Rina. Walaupun kita berkongsi suami, Rina masih sudi ke mari,” ujar Mastura. Senyuman dilemparkan tanda menghargai.

“Rina berasa bersalah kerana merampas arwah daripada Mas. Harap Mas boleh maafkan Rina. Tanda kemaafan adalah Mas tinggal dengan kami. Ibu juga dah berubah. Menyesal benci Mas. Ibu juga nak Mas ke sana. Nak tebus rasa bersalah di hatinya,” Katrina masih berkata manis. Bukan mudah untuk meyakinkan Mastura. Apatah lagi dengan orang yang dibenci oleh ibu mertuanya.

“Tak perlu rasa bersalah. Mas juga pernah rampas hak Rina.” Mastura menunduk. Dia sedar kehadirannya di dalam keluarga mertua bagaikan melukut di tepi gantang. Dia juga tahu Katrina adalah tunang arwah suaminya sebelum dia menjadi isteri lelaki itu.

“Biarlah. Tak usah dikenang cerita lama. Kita buka lembaran baru. Bina hidup baru.”

“Benar ke Rina nak Mas dan Maria tinggal sekali? Tak menyusahkan ke?” sampuk Mak Yam yang sejak tadi menjadi pendengar setia. Menunggu waktu yang sesuai untuk berbicara. Dia juga ingin tahu kerana di dalam hati, terbit rasa kurang percaya.

“Hish, takkanlah Rina nak berbohong mak cik. Mas dan Maria ahli keluarga kami juga.” Dalam hati terasa juga, kata-kata itu menghiris jiwanya. Bagaikan mereka dapat meneka, apabila terbit soalan berbau syak wasangka. Sabarlah hati.

“Bukan mudah hendak berjumpa madu dengan madu sama baiknya, Rina! Apatah lagi suami telah tiada. Sengketa tentang harta pula punya cerita.” Mak Yam menjeling manja. Senyuman terukir bagi melembutkan hati yang mendengarnya. Nanti kata dia menuduh pula. Sesama manusia janganlah ada sengketa.

“Insya-ALLAH, mak cik. Antara saya dan Mas pasti bahagia bila hidup bersama sama bawah satu bumbung. Lebih-lebih lagi adanya Maria. ibu mertua saya pasti gembira. Bukannya apa, hanya Maria pewaris keluarga.” Katrina memuji penuh makna, tidak mahu rahsia terbuka. Nanti habislah rancangannya. Bila tinggal bersama, bolehlah dia menjaga semua harta dan gerak-geri mereka.

“Tak apalah, Rina. Biarlah Mas fikirkan hal ini dulu,” ujar Mak Yam. Kalau tak datang lagi baik. Terbit kata-kata itu dari hatinya yang paling dalam.

“Kalau macam tu, Rina minta dirilah. Jangan tak jadi, nanti kecewa ibu mertua kita yang benar-benar mengharap kehadiran Maria dan Mas kat rumah tu,” tutur Katrina. Memujuk biar bersungguh-sungguh. Nanti orang tidak percaya melepaskan peluang yang ada.

“Insya-ALLAH. Kalau dah dapat keputusannya, Mas akan ke sana,” ucap Mastura. Jawapan tidak boleh diberi segera. Nanti terburu-buru buat keputusan, menyesal tiada gunanya.

“Kalau macam tu, Rina balik dulu. Jangan lupa beritahu jawapannya ya, Mas? Rina harap sangat.” Tangan Mastura diraih. Katrina senyum lebar. Manis.

Mastura dan Mak Yam menghantar Katrina hingga ke kereta.

“Berhati-hati di jalan raya,” pesan Mastura sebelum kereta itu berlalu pergi, meninggalkan laman rumah yang sepi itu. Anak-anak jiran entah ke mana, mungkin masih di sekolah. Hanya lambaian menjawab kata-katanya. Menunggu sehingga kenderaan itu menghilang dari pandangan mata.

Mak Yam menarik tangan Mastura masuk ke dalam rumah. Bagaikan ingin menyampaikan satu rahsia.

“Mak ni kenapa?” Gelenggan Mastura semakin laju. Pelik memikirkan sikap emaknya, bagaikan takut orang tahu sesuatu. Apa yang rahsia sangat itu.

“Mak tak setuju kau ke sana, Mas. Mak tak sedap hati. Mungkin mereka nak balas dendam. Kita tak tahu hati mereka. Kau kena berhati-hati.” Nasihat diberi oleh Mak Yam agar anaknya sedar diri. Kalau sekali orang benci, susah perasaan suka terbit di hati. Lebih-lebih lagi mertua sendiri.

“Hisy, mak ni! Tak baik berburuk sangka. Mungkin betul ibu mertua Mas dah berubah. Kehilangan seseorang atau sesuatu kadang-kadang boleh mengubah manusia. Siapa yang tahu, mak,” balas Mastura. Rasa mahu ketawa terbit di bibir, namun tidak mahu emaknya tersinggung pula. Dipendam ketawa dalam hati.

“Itulah... rancangan kat TV tak mahu tengok langsung. Cuba tengok dan kaji. Apa yang dipaparkan bukan sebarangan. Pesan mak tolonglah kau dengar, Mas. Mak tak nak kau dipermainkan kerana dendam kesumat di hati mereka. Benci tetap benci. Takkan secepat itu mereka suka? Memang pelik,” tekan Mak Yam yang tidak berpuas hati. Baru sahaja beberapa hari arwah Ashraf meninggalkan dua orang isteri dan seorang ibu serta seorang anak. Dia tahu anak perempuanya tidak disenangi oleh mertua sendiri kerana darjat. Kalau dari dulu lagi dia tahu besannya ada rancangan tersendiri, sudah pasti dia tidak akan mengizinkan Mastura berkahwin dengan arwah menantunya.

“Mak jangan terpedaya. Tak semua yang dipaparkan di televisyen betul.”

“Bukan terpedaya, tapi mak bimbang. Mak lebih dahulu merasa sejuknya air... panasnya matahari... masinnya garam.” Mak Yam bercakap perkara yang benar, boleh pula dipersendakan oleh Mastura. Dia cuma bimbang anaknya menjadi mangsa dendam, sedangkan mereka juga berdendam. Apa bezanya?

“Mas tahulah jaga diri, mak. Terima kasih mak masih ambil berat,” ujar Mastura. Tubuh Mak Yam yang sedikit berisi dipeluk erat. Aura sayang tidak pernah luput.

“Mak tak mahu kau kecewa lagi Mas. Ini melibatkan Maria juga,” kata Mak Yam. Semakin erat pelukan. Dia perempuan, anaknya juga perempuan. Dia pernah jadi menantu dan sekarang mertua. Sedikit sebanyak, sudah faham hati seorang ibu mertua. Walaupun bukan semua mertua berlaku kejam dengan anak menantu namun masih ada yang bersikap begitu.

“Insya-ALLAH, mak. Tahulah Mas jaga diri. Mungkin ini jalan terbaik untuk Mas baiki hubungan dengan mertua Mas. Mana tahu kalau duduk serumah, kami boleh selami hati masing-masing. Sambil itu kita jalankan misi pak long. Mak dah lupa ke?” Mastura memandang wajah Mak Yam. Dia menaruh harapan tinggi sebagai menantu terhadap mertua yang begitu membencinya. Dia mengharapkan kehadirannya nanti mampu memperbaiki hubungan mereka yang retak sejak dari mula. Dalam masa yang sama, ada misi yang ingin dijalankan terhadap ibu mertuanya.

“Itu jugalah harapan mak, Mas. Mak teringin sangat tengok hubungan kau orang berdua baik demi Maria. Halijah tu bukan orang lain dengan Maria. Nenek dengan cucu. Kalau hubungan mereka jauh, Maria macam tak ada keluarga sebelah arwah ayahnya. Pasal pak long kau tu, pandai-pandailah kau bincang nanti dengan dia.” Mak Yam menepuk lengan Mastura.

“Entahlah, mak… itu jugalah harapan Mas. Abang Ashraf dah tak ada. Takkanlah ibu mertua Mas masih simpan dendam?” Hati Mastura tergores luka. Orang lain ada mertua, dia langsung tidak boleh menumpang kasih lantaran perkahwinan tidak direstui. Dahulu ada suami bolehlah bertukar cerita. Sekarang dia ditinggal pergi sepi sendiri.

Hatinya masih menganyam harapan terhadap ibu arwah suaminya. Biarlah dia diterima demi anaknya. Hanya Maria satu-satunya zuriat dan penyambung warisan keluarga arwah. Biarlah Maria menikmati kasih sayang seorang nenek. Adakah kehadiran Katrina mampu mengubah segalanya? Harapan tinggi seorang menantu yang kehilangan kasih suami. Mata ditutup serapat-rapatnya biarlah derita berlalu, bahagia menggamit datang. Itulah harapannya.

Dendam ibu mertuanya satu hal. Dendam di hati juga satu bab lain yang perlu dirungkai. Dia tidak akan berpeluk tubuh melihat sahaja. Dalam kepala masih tercari rancangan yang sesuai. Semoga berjalan lancar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.