Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
95,422
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 4

astura memandang sepi kereta milik suaminya berlalu meninggalkan laman rumah emaknya. Luka hatinya berdarah selambak. Tidak mudah ditutup dengan pujuk dan rayu. Janji manis ibu mertuanya bolehkah diguna pakai? Dia tidak percaya janji manis ibu mertuanya itu.

Mak Yam di sisi hanya menepuk bahu anaknya tanpa berkata apa-apa. Dia tidak mahu memaksa anaknya. Biarlah mereka sama-sama membuat keputusan sendiri. Maria pula masih menangis kerana ingin mengikut ayahnya.

“Nanti ayah baliklah. Kejap lagi kita ke kedai, beli ais krim. Maria suka ais krim, kan?” Mastura menarik tangan Maria dan cuba memujuk. Hatinya masih marah. Masih geram. Apa yang terjadi benar-benar mencabar kesabarannya. Dia tahu benar sikap ibu mertuanya. Tidak berkenan dia menjadi menantu. Sejak awal lagi hubungan dia dan suaminya tidak disukai. Namun mereka degil. Tetap juga ingin berkahwin. Natijahnya sehingga ke hari ini kehadirannya dengan Maria tidak direstui. Dia reda. Buat apa paksa orang yang tidak menyukai dirinya? Biarlah.

“Kenapa tak ikut Ashraf balik tadi?” tanya Mak Yam.

Mastura memandang wajah emaknya. “Balik ke mana, mak? Rumah kami kan dah tak ada lagi? Dah hangus jadi abu!” Hatinya sebak. Sudahlah kehilangan rumah dan harta benda, kini dia kehilangan suami pula. Musibah yang bertimpa-timpa. Dia tidak boleh menyerah kalah. Dia perlu bersabar dengan apa yang terjadi. Semoga ada hikmah di sebalik kejadian yang terjadi kepadanya.

“Jadi, apa cadangan, Mas?” Mak Yam mengusap lembut rambut Maria yang sudah pun lena di pangkuan Mastura.

“Masih tidak fikir apa-apa lagi, mak. Otak ni dah kosong, tak tahu nak fikir apa lagi. Masalah yang datang buat fikiran Mas buntu,” keluh Mastura.

“Sabarlah, Mas.”

Mastura kesal. Kalaulah suaminya menolak untuk berkahwin lagi... Selama ini pun ibu mertuanya tidak pernah suka kepadanya. Ada dia kisah? Selama mereka berkahwin, tidak pernah sekali pun dia pulang menjenguk ibu mertuanya. Amaran orang tua itu sendiri. Jijik benar dirinya. Maria langsung tidak pernah tengok neneknya di sebelah suami. Maria hanya tahu yang Mak Yam sahajalah neneknya.

Mastura mengesat air mata yang mula menitis di pipinya. Dia sedar siapa dirinya. Gadis kampung yang tidak berpelajaran tinggi. Kalau tidak kerana permintaan pak longnya, tidak mungkin dia sanggup menjadi menantu Halijah. Tidak mungkin dia memikat suaminya. Semuanya kerana rancangan pak longnya.

Bukan dia kesal dengan jodoh yang dirancang namun itulah ketentuan ILAHI. Rancangan pak longnya hanya sebab pertemuan jodoh antaranya dengan suaminya. Hati benar-benar tertawan dengan kebaikan Ashraf yang jauh berbeza dengan ibu mertuanya. Tapi hari ini dia dikecewakan oleh lelaki yang sama. Lantaran mendengar pujuk rayu ibu mertuanya.

Dia benar-benar kecewa dengan suaminya. Mudah sahaja menerima cadangan ibu mertuanya. Sanggup berkahwin lagi atas alasan supaya ibu mertuanya menerima kehadirannya. Benarkah? Sampai sekarang tiada langsung orang tua itu menelefon bertanyakan khabarnya. Terimakah itu? Sengaja ingin memisahkan dia dan suaminya. Lelaki... kata mulut tidak, dalam hati mahu.

Ketenangannya dirampas dengan begitu mudah. Semuanya kerana suaminya yang gatal ingin bernikah lagi. Bila disuakan oleh ibu mertuanya, terus setuju.

Dia keluar dari rumah emak mertuanya sudah lewat petang. Ashraf terbayangkan wajah Mastura yang lesu dan marah. Tiada langsung senyuman di bibir isterinya. Dia tahu dia bersalah. Tidak mahukah Mastura diterima oleh ibunya. Maria diakui cucunya. Sukar sangatkah hendak berkongsi kasih dengan perempuan lain? Orang perempuan selalu tamak. Ashraf mendengus sendiri.

Susah betul hendak menjaga hati seorang wanita. Ada sahaja rajuknya. Kalau tidak kerana hal besar, hal kecil-kecil pun mereka ambil kira. Entah berapa lama Mastura hendak merajuk. Entah berapa lama Mastura harus ambil masa untuk bertenang dan menerima perkahwinan keduanya. Biarlah… biar berapa lama pun. Mastura berhak. Jangan sampai mereka berpisah sudahlah.

Bunyi deringan telefon, Ashraf terus menjawabnya. Suara perempuan di sebalik sana amat dikenalinya.

“Ada apa, ibu?”

“Kau di mana?”

“Dalam perjalanan balik, ibu.”

“Kau pergi jumpa Mastura ke?”

Suara ibunya kedengaran agak kasar.

“Yalah, ibu. Dia kan isteri Ashraf juga?”

“Kalau aku tidak suka, sampai bila pun aku tak suka!”

“Ibu! Bukan ke ibu dah berjanji akan terima Mastura sebagai menantu kalau Ashraf kahwin dengan pilihan ibu?” Ashraf benar-benar terkejut. Ibunya sanggup menipu dirinya.

“Kalau ibu tak buat seperti itu, Ashraf akan setuju ke?”

“Sampai hati ibu!” Ashraf sedih mendengar kata-kata ibunya.

“Kau lupakan sahaja isteri kau tu. Baik kau layan isteri baru kau yang setia menunggu di rumah ibu ni.”

“Ibu kejam! Kejam!” Ashraf mematikan talian tersebut. Dia menghentak-hentak stereng kereta. Geramnya hati hanya ALLAH yang tahu. Bagaimana mungkin dia melupakan Mastura dan anaknya, Maria? Apa yang ada di dalam fikiran ibunya?

Dia kesal. Dia terlalu mempercayai ibunya. Dia ingatkan ibunya benar-benar telah berubah. Ibunya sudah boleh menerima kehadiran Mastura. Itu sebab dia bersetuju berkahwin lagi. Rupa-rupanya ini hanya sandiwara ibunya sahaja. Kepalanya berat. Dia pening secara tiba-tiba. Jantungnya berdegup kencang. Pedal brek ditekan kuat namun tidak berfungsi. Ashraf panik. Dia tidak tahu apa harus dibuat. Kereta di kiri dan kanan bersimpang-siur. Dia masih lagi cuba mengawal stereng agar tidak terbabas. Bimbang dan takut silih berganti. Tidak henti-henti dia berdoa agar dirinya selamat dan tidak ditimpa bala bencana. Tiba-tiba...

Mastura hampir pengsan apabila menerima panggilan telefon memberitahu yang suaminya sudah meninggal dalam kemalangan. Air matanya laju mengalir.

Mak Yam memeluk erat anak perempuannya. Dia sendiri sedih dengan apa yang berlaku. Tidak disangka sama sekali. Pertemuannya dengan menantunya siang tadi adalah yang terakhir. Maria masih enak dibuai mimpi. Bagaimanalah nanti reaksi anaknya apabila terjaga nanti.

“Mak, Abang Ashraf dah tinggalkan Mas!” Mastura menangis sayu di bahu Mak Yam.

“Sabarlah, Mas,” pujuk Mak Yam. Dia sendiri tidak mampu menahan sedih. Kehilangan menantu secara tiba-tiba. Masih terasa kehangatan bibir menantunya bersalaman dengannya tadi. Pergi tanpa pesan, membawa terus hati yang lara. “Mas nak ziarah jenazah Ashraf ke?” tanya perlahan.

Mastura memandang wajah emaknya tidak berkutik. Dia termenung jauh. Haruskah dia pergi? Dia tidak berani berhadapan dengan keluarga mertuanya. Kalau dia tidak pergi... Argh! Sakitnya kepala memikirkan semua ini.

Masturamelangkah perlahan. Dia masih berkira-kira sama ada hendak masuk atau tidak ke dalam rumah itu. Rumah di mana jenazah suaminya masih ada. Dia isteri. Itu arwah suaminya. Dia berhak menziarahi arwah suaminya. Akhirnya, dia memberanikan diri. Dia ingin melihat wajah arwah suaminya buat kali terakhir.

“Buat apa kau datang ke sini? Kerana kaulah anak aku mati!” jerit Halijah sebaik sahaja melihat kelibat Mastura.

Mak Yam yang turut bersama Mastura memandang wajah besannya dengan penuh tanda tanya. Kenapa begitu benci besannya terhadap anak perempuannya itu?

“Ibu!” Seorang wanita muda menahan Halijah.

Mastura memandang wajah itu tidak berpaling lagi. Tentu isteri muda arwah suaminya.

“Masuklah, Mas,” pelawa perempuan muda itu.

Mastura mengangguk lemah. Air mata berjujuran.

“Kenapa kau benarkan dia masuk, Rina? Dia pembawa malang!” jerkah Halijah.

“Ibu, Mastura tetap isteri Abang Ashraf. Biarlah Mastura tengok arwah buat kali terakhir. Jangan bising-bising macam ini. Malu didengar dek jiran,” nasihat Katrina.

Puan Halijah menjeling tajam. “Kau pun nak menentang aku, Rina?!” Melengking suaranya! Tidak menghiraukan kehadiran para tetamu yang datang menziarahi. Dia benar-benar benci menantunya itu. Langsung tiada sedikit pun perasaan sayang atau kasih. Kerana Masturalah, Ashraf langsung tidak balik menjengahnya bertahun-tahun.

“Ibu!” Rina menarik tangan Halijah jauh dari situ.

“Lepaskan ibu! Biar ibu marah perempuan tu puas-puas!”

“Kenapa dengan ibu ni? Mastura tu kan isteri arwah Abang Ashraf? Kalau kejam sekalipun, janganlah sampai tak beri peluang langsung Mastura melihat arwah,” ujar Katrina.

Halijah memeluk tubuh. Dia mendengus kasar. Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Daun pintu ditutup kuat.

Katrina kembali ke ruang tamu. Para tetamu masuk dan pergi seorang demi seorang menziarahi jenazah. Mastura dan Mak Yam masih berteleku di hadapan jenazah yang sudah dikapankan. Maria menangis di sisi emaknya.

Katrina menghampiri. “Mas, saya Rina… isteri muda arwah Abang Ashraf. Maafkan ibu, ya? Terima kasih kerana sudi datang.” Katrina menghulurkan tangan ingin bersalaman.

Mastura menghulurkan tangan. Mereka saling berkenalan. Dia menatap seketika wajah madunya. Cantik. Memang sesuai dengan suaminya yang kacak.

Dia menunggu sehingga jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Selama itulah juga ibu mertuanya tidak keluar dari bilik. Hiba benar hatinya. Hancur lulur jiwanya dengan sikap ibu mertuanya. Buruk sangatkah dia sehingga begitu sekali kebencian ibu mertuanya terhadap dirinya.

“Jomlah kita balik, Mas. Orang tak suka kita berlama di sini. Tak ada gunanya lagi kau di sini,” ajak Mak Yam. Sebal hatinya dengan sikap besannya. Membenci sehingga ke tulang hitam agaknya.

“Janganlah, mak cik. Tunggu sehingga majlis tahlil malam ni,” tahan Katrina.

Mak Yam tersenyum.

“Tak apalah, Rina. Dapat melihat arwah buat kali terakhir pun sudah cukup buat kami. Terima kasih kerana melayan kami dengan baik,” kata Mastura.

Katrina mengeluh. Kenapalah ibu mertuanya keras hati sangat? Tentu arwah tidak tenang di alam sana. Sudahlah arwah anak tunggal, dia pula baru sahaja berkahwin dengan arwah. Mereka belum dapat bersama. Marialah satu-satunya zuriat arwah suaminya. Tidak mahukah ibu mertuanya memeluk satu-satunya pewaris keturunannya?

“Mas, jangan ambil hati dengan sikap ibu ya? Sesekali bawalah Maria ke mari. Hanya dia anak arwah,” ujar Katrina.

“Insya-ALLAH, Rina. Mas balik dulu. Rina jemputlah datang ke rumah Mas. Ini nombor telefon dan alamat Mas. Semoga hubungan kita terus kekal selama-lamanya.” Mastura menghulurkan sekeping kertas yang tercatat nombor telefon dan alamat rumah emaknya. Biarlah arwah suaminya bersemadi dengan aman. Biar bagaimana buruk pandangan ibu mertuanya terhadap dirinya, dia akan tetap menghormatinya.

Dia berlalu dari rumah tersebut dengan hati yang tenang, ‘Semadilah abang dengan tenang,’ detik hati kecilnya. Air mata mengalir laju. Semua kenangan bersama arwah akan tersimpan kemas di hatinya.

Previous: BAB 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.