16
BADLI
mengemas semua barang-barang peribadi miliknya. Semuanya dimasukkan ke dalam
kotak yang diambil dari stor pejabat. Tidak mahu berhutang walau sesen pun
dengan syarikat, dia memasukkan sepuluh ringgit ke dalam tabung kebajikan
syarikat untuk beberapa kotak buangan itu.
“Kau serius nak berhenti, Bad?”
“Kau nampak aku tengah kemas
barang, kan?”
“Aku hairanlah Bad…kau bertelagah
apa dengan ayah kau sampai kena halau ni?”
“Aku nak kahwin!”
“Apa?”
“Aku nak kahwin! Do not repeat that question!”
Pesannya, tegas. Hakim dapat
menghidu ketegangan dalam diri Badli kerana Badli bukan manusia yang mudah
melatah. Berputus asa jauh sekali dari sifatnya.
“Dengan siapa? Sejak bila? Hei,
Bad! Kau serius ke? Kena jampi ke apa kau ni?”
Hakim duduk di atas bucu meja
sahabatnya itu. Terkejut dengan apa yang diluahkan oleh Badli, dia bagai sebuah
pistol, memuntahkan pelbagai soalan tidak henti-henti.
“Hari ni saja, ada lima puluh kali kau tanya
aku serius ke tak! Muka aku macam badut ke? Kau tengok muka aku, ada rasa nak
gelak tak?”
“Janganlah tegang sangat, babe! Aku tak pernah tengok kau marah
macam ni…Dahlah membabitkan hal yang kau tak pernah fikir pun seumur hidup. Kau
nak kahwin dengan siapa ni? Sampai bertegang urat dengan ayah sendiri,”
“Kau datang ke majlis akad aku
nanti ye, Hakim. My mother also couldn’t
get permission to attend my akad ceremony. Aku tak ada sesiapa lagi dah
sekarang ni! Ayah tak bagi aku balik rumah dah,”
“Hah! Nekadnya kau, Bad! Hal yang
serius macam ni, apa kata kalau kau pertimbangkan semula keputusan kau. Minta
maaf dengan ayah kau,”
“Pertimbangkan semula? Minta
maaf?! Aku rela keluar rumah lagi dari minta maaf dengan ayah. Untuk apa aku
minta maaf? Ayah cuma panggilan dari kecil, aku pun tak tahu apa sebenarnya
peranan dia sebagai ayah. Patutlah Azlan keluar rumah dulu lagi! Aku saja yang
bodoh!”
Badli meletakkan sebahagian kotak
yang telah siap dikemas di sebelah kerusi tetamu. Foto ketika hari graduasi
ditatapnya seketika. Dahulu, dia hampir menjadi jurutera marin tetapi
disebabkan ayah, dia mengorbankan cita-citanya sejak kecil. Syarikat yang
hampir lumpuh itu dibangunkan dengan susah payah selama tiga tahun, dan kini,
apabila empayarnya mula melebar, dia disisihkan dengan begitu mudah.
“Aku tak tahu apa sebenarnya
masalah kau dengan Tuan Rosli. Sama ada hal perkahwinan atau ada hal yang lain.
Rupanya dalam senyap banyak juga hal kau yang aku tak tahu. Patutlah sejak
akhir-akhir ni kau selalu menghilangkan diri,”
“Masalah
keluarga aku tolak ke tepi.Cuma aku mohon sangat jasa kau, tolong
ambil alih dua projek aku yang in
progress tu secara rasmi. Tapi jangan risau, walaupun tak lagi bekerja
dalam syarikat tu, aku akan tolong kau dari belakang.Macam mana
pun aku akan uruskan segala-galanya sampai siap,”
“Badli! Badli! Nekadnya kau! Tak
sangka aku,”
“Rupa aku pelbagai, Kim! Jangan
lupa datang ke majlis akad aku nanti, ya!”
Hakim mengangguk. Dia kemudian
membantu Badli mengangkat barang-barang yang telah siap dikemas hingga tiba di
kereta sahabatnya itu.
“Good luck, Bad!”
Ucap Hakim sambil memeluk erat
sahabat lama yang dikenali sejak mula-mula menjejakkan kaki menara gading.
“Nampaknya kau kena bersiap ke
Johor ni!”
Usik Badli, masih lagi ketawa.
Hakim turut ketawa walaupun rasa simpati lebih tebal ketika itu. Badli dibuang
keluarga sedang dia masih bekerja dalam syarikat keluarga sahabatnya itu. Pasti
sukar buat Badli dengan apa yang berlaku.
*
* * * * * * *
BADLI
terus memeluk Hajah Fatimah ketika wajah tua itu muncul dari belakang kaunter.
Hari-hari yang bakal dilalui pasti sukar selepas ini kerana jalan yang dipilih
ditentang habis-habisan oleh ayahnya.
“Umi dah ada pembantu?”
“Dah ada beberapa orang yang
datang bertanyakan kerja, cuma umi saja yang belum buat keputusan,”
“Umi kena jaga diri baik-baik, ya.
Jangan biarkan Dina pijak kepala umi lagi lepas ni!”
“Ayah cakap apa pada Bad?”
Badli senyum sahaja mendengar
soalan Hajah Fatimah. Dia duduk di atas sofa tetamu, begitu juga dengan Hajah
Fatimah. Kusut benar raut wajah anaknya itu.
“Tak ada apa yang penting, umi.
Cuma Bad takkan balik lagi ke rumah tu,”
“Badli!”
“Umi jangan risau, walau ke mana
pun Bad pergi, Bad akan selalu jenguk umi, ya?”
“Umi tak sangka begini kesudahan
anak-anak umi, semua ambil keputusan untuk keluar dari rumah,”
“Ayah tak bagi umi ke majlis akad
Bad dengan Atirah!”
Hajah Fatimah terus senyap apabila
Badli bercerita tentang keputusan ayah mengenai perkahwinannya. Kisah Badli
mengingatkannya akan kisah perkahwinannya tiga puluh tiga tahun yang lepas.
“Kenapa anak-anak umi mesti
berpecah, Bad?”
“Bad dah tak ada rasa hormat pada
ayah, umi! Lagipun Bad sakit hati dengan perangai Dina yang selalu campur urusan
Bad, selalu nak menang. Bad tak boleh tengok muka dia lagi, umi! Daripada
bergaduh hari-hari, lebih baiklah Bad keluar. Tambah pulak ayah dengan Dina tak
mahu terima Atirah,”
“Umi dah tua, Bad! Umi nak tengok
keluarga kita bersatu, aman, harmoni, bukan saling membenci, terutama pada
ayah. Walau buruk macam mana pun ayah, dia tetap ayah Bad,”
Badli termenung seketika.
Kata-kata umi tiada salahnya tetapi hati yang pernah lembut suatu ketika dahulu
mulai menjadi keras, mulai menjadi batu. Alangkah indah andai ayah juga mahu
memahami. Tidak menimbangkan sesuatu hanya bersandarkan kata-kata anak
kesayangannya.
“Betul ke keputusan Bad nak
mengahwini Atirah? Bad tak menyesal?”
“Kenapa, umi? Umi macam tak setuju
saja? Umi pun tak sudi terima Atirah dalam keluarga kita?”
“Bad
kena faham betul-betul. Walaupun umi sayang Atirah macam umi sayang anak
sendiri, tapi itu tak bermaksud umi menyokong semua tindakan Bad terutama bila
ayah marah Bad habis-habisan mengahwini Atirah. Restu ibu bapa tu penting,
Bad…Umi tak mahu nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.Keluarga dah ditinggalkan, rumah
tangga haru-biru,”
“Maksudnya umi pun tak setuju?”
*
* * * * * * *
SEMUA
pakaian dan barang peribadi yang difikirkan penting telah siap dikemas.
Semuanya sudah dimasukkan ke dalam bonet kereta. Mungkin itu kali terakhir dia
menjejakkan kaki ke dalam rumah itu. Rumah yang didiami oleh sebuah keluarga
yang porak-peranda. Keretakan secara senyap itulah yang menyebabkan dia juga
mengambil keputusan untuk keluar, mencari nafas sendiri untuk meneruskan hidup.
Mungkin itu kesilapannya yang paling besar kerana tidak berdikari dari awal.
“Ayah halau abang Bad, kan?”
“Kau sibuk kenapa?”
“Eh, yang halau abang tu
ayah…bukan Dina…yang abang Bad nak marah sangat dengan Dina ni kenapa?”
“Tak payah berpura-puralah…benci
aku! Patutlah Lan pun keluar dari rumah ni, rupanya dia pun benci tengok muka
kau!”
Beritahunya, jujur meluahkan
kemarahan. Dia tidak mahu memendam lagi kebencian pada Irdina. Hajah Fatimah
yang baru selesai menunaikan solat Asar, mendekati anak-anaknya.
“Cukuplah Irdina…Tak puas lagi ke?
Kenapa nak disakitkan lagi hati abang tu? Badli tu abang kandung Irdina, bukan
orang luar…dari dulu Dina tak pernah nak hormatkan abang-abang Dina. Jangan
besar kepala sangat! Jangan sampai esok kena melutut nak minta maaf. Ingat,
hidup kita ni tak ubah macam bola…sekejap di atas, sekejap di bawah!”
“Melutut? Oh, no! Melutut hanya sesuai untuk orang buangan saja,
umi...Dahlah, malas nak layan umi dengan abang, buat sakit hati saja...tanya
elok-elok pun kena marah jugak,”
Kata Dina lalu meninggalkan abang
dan emaknya. Hanya ayah yang sentiasa menyokong setiap keputusannya selama ini
sedangkan dua orang abang dan emaknya sentiasa membantah. Sebab itu dia tidak
betah berbaik dengan mereka bertiga.
“Umi jaga diri dan kesihatan ya!
Bad mungkin dah tak macan dulu dapat teman umi selalu,”
“Jangan khuatirkan umi...Bad nak
tinggal di mana lepas ni?”
“Tak tahu lagi…rasa macam nak
merantau...mungkin ke KL, mungkin ke Penang,”
“Doa umi sentiasa bersama Bad,”
“Terima kasih, tolong doakan juga
kebahagiaan rumah tangga Bad,”
Hajah Fatimah hanya membalas
dengan senyuman. Tidak mampu untuknya menjawab lebih dari itu kerana bimbang
air matanya tumpah di hadapan anak yang bakal meninggalkannya. Tidak menanti
jawapan dari uminya, Badli terus memeluk Hajah Fatimah.
*
* * * * * * *
“ALONG
nak ajak adik dan abang ikut along,”
Jelasnya ketika Faizal dan Firdaus
menghampirinya. Tiada senyuman dari raut wajah dua beradik itu untuk menyambut
kedatangannya ke situ.
“Kami tak mahu ikut along!”
“Kami tak mahu hidup susah macam
along…abang dengan angah dah penat hidup susah!”
Beritahu Firdaus, kuat. Badli yang
menanti dari jauh juga dapat mendengarnya dengan jelas. Baginya, belum sampai
masa untuknya mencampuri urusan keluarga Atirah.
“Busuk sangat ke along di mata
abang dengan angah?”
“Kenapa along tak tanya diri along
sendiri? Mana janji along pada emak dan ayah? Mana janji along nak jaga angah
dengan abang? Kami dah penat ikat perut bertahun-tahun. Along tak ingat dulu
kita empat beradik? Sebab along tak mampu bawa Aiman berubat, Aiman dah mati!
Along lupa tu? Atau along nak kami ikut along supaya kami pun mati macam Aiman
mati,”
“Kenapa abang dengan angah cakap
macam tu pada along? Selama ni along yang jaga abang dengan angah, kan? Takkan secepat tu
rasa hormat pada kakak hilang?”
Badli yang dari tadi hanya
mendengar mula mendekati tiga beradik itu. Mungkin dia bukan penasihat terbaik
tapi dia tidak mahu Atirah juga menerima nasib yang sama dengan dirinya,
dibuang keluarga.
“Abang cakap senanglah…Kami yang
merasa, kami yang menanggung! Selama ni kalau tak kami yang cari ikan, kalau
tak kami yang cari pucuk-pucuk tepi jalan tu, abang ingat kami dapat hidup
macam hari ni? Nak harapkan along? Apa yang along tahu? Abang, angah…kenapa
balik lewat ni? Lain kali, kalau nak keluar beritahu along dulu ye?”
Ejek Firdaus, mengimbau kembali
kenangan ketika bersama. Saat itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa pedih
hatinya kerana terpaksa melukakan hati Atirah. Rindu? Jika tidak kerana
perjanjian dengan Faizal, sudah lama dia memeluk dan menangis di dalam dakapan
Atirah. Dia rindu dengan Atirah. Kerinduan yang sangat dalam tetapi perlu
dikuburkan demi kebaikan Atirah.
“Betul adik, along yang salah!
Tapi tolonglah beri along satu peluang lagi supaya kita dapat bersama macam
dulu…Along rindukan adik-adik!”
“Sudahlah along. Along dah besar,
boleh pilih hidup sendiri.Kami pun dah pilih kehidupan kami. Dan
pilihan kami, kami takkan patah balik untuk hidup macam dulu, hidup yang penuh
kegelapan, penuh ketakutan.Kami nak masuk ke dalam, dah sampai masa untuk minum petang.
Assalammualaikum!”
Atirah tunduk. Tidak mampu melihat
saat kaki-kaki itu melangkah meninggalkannya. Jika diberi pilihan, dia juga
mahukan kehidupan sempurna, dia juga inginkan kesenangan tetapi bukan semudah
itu mendapat apa yang dihajati. Jika ditanya kenapa dikorbankan usia remaja
begitu sahaja, adik-adiklah jawapannya!
*
* * * * * * *
SEPANJANG
perjalanan itu, tidak banyak perbualan antara dirinya dan Badli. Menjalani
beberapa hari kebelakangan ini dengan pelbagai kesusahan tidak menjadikan
dirinya seorang yang ramah. Tetapi dia hairan tentang Badli. Selama ini lelaki
itu riuh bertanya atau bercerita tetapi hari ini riak wajah lelaki itu nampak tegang
sahaja.
“Kita cuma ada satu sama lain
saja…Saya ada Tirah, Tirah ada saya,”
Jelas Badli, seakan mengerti apa
yang bermain di fikiran Atirah. Banyak yang bermain di mindanya.
“Keluarga awak tak dapat terima
saya, kan?”
“Saya pun tak diterima juga,”
“Kenapa awak nekad, Bad?”
“Bila sampai satu tahap, tak ada
siapa pun yang dapat mengubah keputusan yang kita buat,”
Jelas Badli. Dia cuba mencari
kata-kata terbaik untuk diterangkan kepada Atirah. Jika diberitahu kebenaran,
bimbang Atirah terluka tetapi dalam keadaan kedua-dua mereka menjadi buangan
keluarga, dia tidak pasti penerimaan Atirah tentang hal itu.
“Umi tak dapat hadir majlis akad
kita nanti,”
“Umi pun marah jugak?”
“Tak,
tapi tempat umi di sisi suaminya,”
Seakan faham dengan apa yang
disampaikan oleh Badli, Atirah kembali menyepi. Dia sebenarnya tidak tahu
perasaan yang bagaimana harus ditonjolkan untuk perkahwinan yang bakal
ditempuhinya nanti. Melihat Badli, rasa sayang dan cinta masih belum hadir,
lalu bagaimana alam itu nanti? Dapatkah dia melalui alam itu nanti dengan
perasaan yang penuh pura-pura. Perasaan ingin mempergunakan sebenarnya.
Mempergunakan supaya dia tidak lagi dipandang rendah selepas ini, tambahan pula
Badli ada karisma yang boleh memayunginya kelak.
“Kenapa tengok saya?”
“Hah...err...bila pulak saya
tengok awak?”
“Tak sabar, ya?”
“Tak sabar?”
“Iyalah,
tak sabar nak mencintai dan dicintai,”
“Ish, karut!”
Tolaknya, cepat. Badli
menyambutnya dengan tawa yang meletus kecil. Jika tadi lelaki itu banyak
mendiamkan diri, kini angin lelaki itu telah berubah. Sesekali keriuhan
tercetus gara-gara usikan Badli.
*
* * * * * * *
KALI
pertama menjejakkan diri di dalam kondominium sewaan Badli itu, Atirah
menghamparkan rasa kagum dengan hiasan dalamannya yang ringkas tetapi sungguh
moden. Teringat akan rumah yang ditinggalkan di kampung. Jika dibandingkan
dengan kondominium itu, seribu kali ganda bezanya. Di rumah itu, yang ada hanya
tikar mengkuang yang menjadi alas tidur dia dan adik-adiknya. Di dapur pula,
hanya ada dapur arang. Barang harian seperti garam dan gula hanya diletakkan di
atas para. Pinggan pula hanya dilapik dengan plastik. Itupun diletakkan di atas
lantai sahaja.
“Saya minta maaf ya, Atirah…hanya
setakat ini yang mampu saya sediakan untuk kita,”
“Minta maaf? Awak ni biar betul?
Semua dah lengkap, cukup selesa,”
Badli ketawa sahaja. Dia tahu
kenapa Atirah memberi reaksi seperti itu. Atirah tidak pernah merasai
keselesaan dan kesenangan. Tiada apa yang ada di rumah usang gadis itu, hatta
bekalan air dan elektrik sekalipun. Kehidupan yang sangat daif dan menyentuh
hati sesiapa sahaja yang melihatnya.
“Saya pun sedang mencari kerja
yang sesuai…kalau ada rezeki, adalah yang akan berubah nanti…Jom kita pusing
rumah. Ada apa
yang tak tahu boleh saya tunjukkan,”
Pelawa Badli, menarik tangannya.
“Kalau tak tarik tangan saya, tak
boleh ke?”
Badli ketawa lagi, lalu melepaskan
tangannya sebelum memeluk pinggangnya pula. Atirah memandangnya, meminta
jawapan.
“Dah biasa!”
“Dah biasa? Dah biasa menggatal?”
“Dah biasa peluk umi,”
Usik Badli, bersahaja. Atirah yang
geram, cepat-cepat meleraikan pegangan Badli di pinggangnya sebelum menolak
lelaki itu supaya jauh darinya. Seperti selalu, hanya ketawa lelaki itu yang
kedengaran.
“Garangnya!”
“So, ni bilik utama...Suis semua ada dekat sini. Kita tengok apa
yang akan berlaku...okay...ni suis aircond...Bila Atirah masuk bilik ni, onkan suisnya. Tekan butang ni, nak
sejuk, nak panas, Atirah kena adjust
pada remote control ni ya...Kalau nak
tutup suis, tekan saja butang ni,”
Beritahu Badli panjang lebar,
sambil mendemonstrasikan cara penggunaan alat kawalan jauh. Atirah mendengar
sambil cuba
mengingat fungsi butang-butang kecil pada alat kawalan jauh itu.
“Nah, cuba!”
“Hah?”
“Cubalah, nanti saya nak
tinggalkan Atirah seorang susah pulak kalau tak belajar awal-awal,”
“Nak tinggalkan?”
“Kenapa? Tak sanggup berpisah ke?
Sabarlah sayang, hujung minggu ni saja,”
“Tak sanggup berpisah? Mimpi ke
apa awak ni? Nak pergi, pergilah…berbulan bertahun pun tak apa!”
“Aik?!”
*
* * * * * * *