“DULU lagi aku suruh kau hantar
adik-adik kau tu dekat rumah kebajikan, tapi kau tak nak! Degil! Kepala batu!
Kononnya kau boleh bagi makan kat adik-adik kau! Tengok sekarang apa dah jadi?
Dia curi ayam-ayam aku! Adik-adik yang kau bagi makan sendiri ni curi ayam
aku!”
Marah Pak Samad, kuat. Atirah
tidak mengangkat muka ketika Pak Samad menyerangnya dengan kata-kata yang
menyakitkan hati di kedai Ah Sang. Dia yang sedang sibuk menimbang beras untuk
seorang pelanggan terkejut apabila namanya dilaung sekuat hati sebentar tadi.
Matanya pula terus terpaku pada tiga orang adik-adiknya yang berada
bersama-sama Pak Samad ketika itu.
“Adik-adik saya bukan pencuri, Pak
Samad! Arwah mak dengan ayah saya tak pernah ajar kami mencuri. Saya pun tak
pernah ajar adik-adik saya mencuri. Kami memang miskin Pak Samad, tapi kami
taklah sejahat tu!”
Balasnya, cuba membela
keluarganya. Walaupun adik-adiknya dituduh mencuri ayam lelaki tua itu, namun
dia tahu, sedegil adik-adiknya, mereka tidak pernah menimbulkan masalah atau
sengaja menyusahkan orang lain. Bukan juga hendak memburukkan Pak Samad, tetapi
lelaki tua, yang boroi dan berkulit gelap itu sering sahaja mencari kesalahan
adik-adiknya. Ada
sahaja yang tidak kena pada mata tua itu dan hari ini, kisah ayam pula yang
dibawanya.
“Mak ayah kau tak pernah ajar, ya?
Masa bila nak ajar? Mati pun masa muda. Anak-anak terbiar, jadi pencuri! Ni
ayam hutan ni? Aku tangkap adik-adik kau dekat kebun aku! Kalau tak percaya,
kau tanya sendiri adik kau tiga ekor ni!”
“Pak Samad, hormat lah sikit orang
yang dah meninggal. Adik-adik saya pun Pak Samad tolong hormat jugak!”
Balas Atirah, kian tertekan dengan
hinaan yang dilemparkan kepada keluarganya. Tambah memeritkan arwah emak dan
ayahnya turut disabitkan dengan kesalahan yang diyakini sengaja diperbesarkan
oleh lelaki tua itu.
“Atirah! Kau jangan nak ajar aku,
ya! Sedar sikit kau tu budak-budak lagi. Hingus pun hijau lagi. Kau tahu apa
pasal hormat? Aku tak kira! Aku nak kau selesaikan hal ni sekarang jugak! Kau
bertiga, aku nak kau orang mengaku sekarang jugak kat kakak kau orang ni apa
yang kau orang dah buat kat kebun aku. Kenapa kau curi ayam-ayam ni? Cakap
cepat!”
Tengking Pak Samad sambil menampar
kuat kepala Faizal. Firdaus juga turut menerima nasib yang sama. Mendidih
perasaannya ketika itu. Jika dia tidak punya kekuatan, mahu sahaja ditampar
lelaki tua itu semahu-mahunya.
“Pak Samad, budak bertiga ni
adik-adik saya, jangan sesuka hati nak buat mereka macam anak sendiri, pukul sana sini!”
Marahnya sambil menarik adik-adiknya
supaya dekat dengannya. Dia berlawan pandang dengan mata tua itu. Panas hatinya
apabila adik-adiknya dilayan seteruk itu. Tuan punya kedai yang baru sahaja
balik dari menghantar gas, melangkah pantas ke arah mereka. Dari raut wajah
keduanya, dia dapat meneka pertengkaran telah berlaku. Setiap kali wajah Samad
berada di kedainya, pertengkaran pasti akan berlaku. Penyudahnya, dia yang akan
sakit kepala dengan pertengkaran itu.
“Atilah! Apa hal? Lu bikin kecoh
lagi ka?”
Atirah menoleh sekilas ke arah
pemilik kedai runcit itu. Pada saat marahnya sedang memuncak, dia tidak mampu
lagi untuk menjawab pertanyaan yang datang dari tuan kedainya itu.
“Lu buang saja ini budak, Sang!
Dia dan keturunan dia sama pencuri. Esok lusa, kedai lu pulak kena kebas sama
ini budak,”
“Pak Samad jangan nak melampau!
Jangan nak sabitkan keturunan saya pulak! Apa? Pak Samad baik sangat ke? Orang,
kalau mengaku diri baik, kalau datang dari keturunan mulia, tak ada nak serang
anak yatim, tak tergamak nak pukul anak yatim, tak ada nak hina anak yatim
depan orang ramai ni,”
“Eh, mulut tu jaga sikit, ya...jangan
nak kurang ajar dengan aku!”
Tegang suara Pak Samad memberi
peringatan namun tidak diendahkannya. Atirah sebaliknya merenung tajam wajah
Pak Samad ketika itu. Tidak ada sedikit pun rasa gentar di hatinya bila ada
orang memperlakukan adik-adiknya dengan teruk sesuka hati mereka.
“Haiya, Lu Samad, baliklah! Dengan budak pun lu mau gaduh ka? Bikin malu
la...Bikin wasusah hati kalau
ini macam hali-hali!”
“Atilah, lu pigi balik. Esok lu jangan datang sini lagi, manyak susah kalau
ini macam,”
Putus Ah Sang apabila melihat
Atirah dan Samad bagai hendak melancar perang saudara. Atirah kaget dengan
keputusan yang dibuat secara tiba-tiba itu. Di hadapan Pak Samad maruah yang
dijaga sekian lama bagai dipijak dengan keputusan itu. Atirah tidak mampu
mempertahankan dirinya lagi di saat pemilik kedai itu memecatnya dan
menyuruhnya pulang. Sedaya upaya dia cuba menahan air matanya dari
mengalir namun dia bersumpah tidak akan menitiskan air mata untuk lelaki
seperti Pak Samad.
“Baru puas hati aku! Tapi sebelum
kau balik, aku nak kau bayar ganti rugi pada aku dulu!”
Balas Pak Samad, meminta haknya.
Senyuman sinis lelaki tua itu amat menyakitkan hati namun dia tidak mahu
kelihatan lemah. Atirah tidak menjawab sebaliknya dia mencengkam lengan Faizal
dan Firdaus dengan kuat, melepaskan kemarahan yang tidak tertanggung itu. Tidak
cukup dengan apa yang dilakukan terhadap mereka berempat, lelaki tua itu
meminta ganti rugi pula. Pak Samad memang suka mengambil kesempatan.
“Lu amik ini luit Atilah! Wa
manyak soli, lu bikin wa susah hati...esok, lu tak payah mali ini kedai
lagi,”
“Lu Samad, lu punya pelangai
banyak teluk. Sama ini budak pelempuan pun lu mau gaduh jugak ka? Haiya, bikin
malu la,”
Bebelan taukeh kedai itu bagai
angin yang lalu, tidak diambil peduli, baik dirinya atau lelaki tua didepannya
itu. Atirah terus menyepikan diri di saat wang itu sudah berada di tangannya.
Wajah Ah Sang yang banyak membantunya sebelum ini dan wajah Pak Samad yang
ceria kerana dendamnya terbalas ditatap silih berganti.
“Terima kasih, taukeh! Atirah
kenang jasa taukeh sampai mati!”
Ucap Atirah, keras. Sedaya upaya
dia cuba
menuturkan ayat itu bersama sebuah senyuman. Benar, dia kalah secara zahir
namun dia tidak akan sekali-kali patah semangat di hadapan leaki tua berperut
boroi itu. Dia tidak akan sekali-kali menitiskan air matanya di hadapan lelaki
yang punya hati busuk itu.
“Wa manyak soli, Atilah!”
Dia mengangguk dan tersenyum walau
hakikatnya dia ingin menangis semahu-mahunya
dengan segala kepayahan yang
sedang dilaluinya ketika itu.
“Mana duit aku?”
Tanya Pak Samad dengan mata yang
bulat memandang ke arah duit yang berada dalam genggamannya ketika itu. Atirah
tidak menjawab. Sejak tadi dia cuba
mengumpul seluruh kekuatan untuk menentang lelaki tua itu dan akhirnya,
bibirnya menguntum senyuman sinis. Duit yang berada dalam genggamannya itu
dicampak ke dalam lopak kecil yang berada tidak jauh dari kedudukannya ketika
itu. Walaupun dia tidak mengira berapa banyak duit yang diterima dari Uncle
Sang, namun, demi maruah keluarga, dia lebih rela berikat perut dari terus
menjadi bahan cercaan lelaki itu. Biar kali ini dia berpuas hati di atas
kekalahan itu.
“Nak sangat duit tu, kan? Ambillah!”
“Kurang ajar punya budak!”
“Jom, balik!”
Atirah menarik lengan adik-adiknya
dengan kasar tanpa menoleh sedikit pun ke arah Pak Samad dan kedai itu lagi.
Biarlah dia yang menanggung sendirian hati yang sedang terluka itu.
* * * *
* * *
ATIRAH
duduk di bawah pohon rambutan sejak matahari mula menampakkan wajahnya lagi.
Dua hari yang lalu, berkali-kali adik-adiknya memohon maaf dan meminta
pengertian darinya bahawa mereka bukan seperti yang diceritakan oleh Pak Samad.
Dia pula hanya mendiamkan diri sahaja. Bukan dia tidak simpati melihat
kesungguhan adik-adiknya yang cuba
membuatkan dirinya membuka mulut tetapi itu satu pengajaran buat mereka.
Walaupun dia yakin dengan gerak hati yang menyatakan bahawa adik-adiknya tidak
bersalah, namun dia mahu adik-adiknya mengambil iktibar dari apa yang telah
berlaku.
Sudah
beribu kali dia mengulang pesan yang sama. Dia tidak pernah melarang
adik-adiknya bermain apatah lagi menghiburkan diri sendiri tetapi dia tidak
mahu mereka melilau sehingga masuk ke kawasan penempatan penduduk kampung ini.
Selain Hajah Asmah, memang tidak ada orang yang menyukai keluarganya. Dia
maklum akan hal itu sejak dahulu lagi kerana bukan sekali dua orang menabur
fitnah kepada adik-adiknya. Telinganya sendiri sudah lali menangkap sindiran
dan cercaan mengenainya mahupun adik-adiknya. Dia akan cuba
mempertahankan keluarganya selagi yang boleh. Andai menjawab dapat mengurangkan
bebanan yang ditanggung maka itulah yang akan dilakukannya kelak.
“Along, angah dengan adik datang
nak minta maaf pada along, kami janji akan ikut cakap along lepas ni, kami
janji takkan ke mana-mana lagi lepas ni. Angah menyesal, tapi angah berani
sumpah, along, kami tak pernah curi pun ayam hutan tu! Ayam tu bukan ayam Pak
Samad! Ayam tu-“
“Dahlah, Along tak mau dengar
apa-apa lagi. Tak apalah, yang dah lepas tu, biarkanlah,”
“Adik minta maaf, along!”
Ucap si bongsu bersama tangisan
ketika memeluknya. Atirah yang tidak menjangka tindakan adiknya itu terus
menggosok lembut belakang Aiman. Hatinya tersentuh dengan gerak laku si kecil
itu namun digagahkan juga dirinya supaya tidak menitiskan air mata di hadapan
adik-adiknya. Tangan Faizal digenggamnya, mesra. Sebuah senyuman diukir buat
Faizal.
“Adik jangan menangis lagi! Along
dah maafkan adik, angah dan abang, ya?”
“Hari tu Pak Samad tampar muka
adik. Lepas tu dia marah along pulak! Adik sedih,”
Tersentuh perasaannya mendengar
aduan Aiman. Selama ini, dia tidak pernah menjentik adik-adiknya tetapi Pak
Samad sudah melampaui batas seorang manusia. Anak-anak yatim ini yang dicerca dan dipukulnya.
“Adik kan lelaki, adik tak boleh menangis! Lagipun
hari tu kan
along dah marah dia balik,”
“Atirah!”
Dia mendongak ke arah tuan empunya
suara saat namanya diseru. Hajah Asmah menghampiri mereka bertiga.
“Makcik apa khabar?”
Tanyanya, menghulur sebuah
senyuman. Hajah Asmah sekadar mengangguk. Berita yang diterimanya malam semalam
yang menggamitnya ke situ. Keluarga yatim piatu itu tidak pernah terlepas dari
cercaan orang kampung. Ada
sahaja yang mengambil kesempatan terutamanya Samad. Entah apa salah empat
beradik itu terhadap mereka semua pun dia tidak tahu.
“Kenapa pulak si Aiman ni
menangis?Aiman!”
Panggil Hajah Asmah, lembut. Bahu
si bongsu itu dipegangnya namun tidak sedikit pun Aiman mengangkat mukanya.
“Mm...along, makcik, angah nak
masuk dulu ni, kejap lagi angah nak ambil abang dekat sekolah,”
Atirah dan Hajah Asmah hanya
mengangguk dan menghantar langkah Faizal dengan ekor mata masing-masing.
Seketika kemudian, mereka saling berpandangan dan akhirnya pandangan mereka
jatuh ke arah Aiman yang masih berada dalam dakapan Atirah. Hajah Asmah menarik
tangan Aiman dan ketika si kecil itu berdiri di hadapannya dengan esakan yang
masih belum berkesudahan, Hajah Asmah menyeka air mata si kecil itu.
“Kenapa sedih sangat ni? Aiman
menangis sebab apa ni?”
“Adik sedih! Hari tu Pak Samad
tampar adik. Pak Samad cakap adik curi ayam dia tapi adik tak curi pun! Lepas
tu Pak Samad bawa adik dengan abang pergi kedai Uncle Sang...”
“Pak Samad marah along!”
Jelas Aiman, tersekat-sekat dan
sesudah menghabiskan ceritanya, tangisan Aiman menjadi lagi. Hajah Asmah segera
menarik Aiman ke dalam dakapannya. Hatinya hiba mengenang nasib yang menimpa
empat beradik itu tiga tahun kebelakangan ini.
“Samad tu melampau betul! Dia
tuduh anak-anak aku ni curi ayam dia?! Tak masuk akal betul! Aku jumpa dia
nanti, nahas dia!”
“Biarlah dia makcik...Tirah dah
marah dia pun! Dah penat esok, dia berhentilah ganggu Tirah adik-beradik,”
Pujuk Atirah sambil meletakkan
tangannya di atas peha Hajah Asmah. Sebenarnya dia cuba memujuk diri sendiri, mengawal
rasa marah dan pilu yang mengusik tangkai hatinya.
“Orang macam tu tak boleh biar,
Tirah!”
* * * *
* * *
“HATI
kau ni busuk betul, Samad!”
“Eh, yang kak Mah nak mengamuk tak
tentu pasal ni kenapa? Salam tak bagi, apa pun tak...tiba-tiba nak serang saya.
Apa hal ni?”
Samad yang sedang menukar minyak
hitam motornya mendongak ke arah tetamu yang tidak diundang itu. Hajah Asmah
tersenyum, sinis.
“Salam? Tak payahlah, buat tambah
dosa aku je...yang kau sakit hati sangat dengan anak-anak arwah Hamidon tu kenapa?
Besar sangat dosa dia orang pada kau sampai kau buat macam tu kat anak-anak
yatim tu?”
Soalan Hajah Asmah tidak
dipedulikan sebaliknya dia sibuk mengelap motor kesayangannya itu. Bukan dia
tidak tahu apa tujuan Hajah Asmah datang mencarinya pagi itu tetapi sengaja
pula dia berbasa basi dengan Hajah Asmah.
“Padan sangatlah dengan muka
budak-budak tu! Siapa suruh mencuri?”
“Kau cakap sikit dengan aku, benda
apa yang budak-budak tu curi dari kau?”
“Dia curi ayam hutan saya! Takkan
kak Mah tak dengar cerita ni lagi?”
“Sejak bila pulak kau pandai bela
ayam ni, Samad? Setahu aku, anak-anak ayam pun kau tak pernah pegang, ini pulak
nak bela?! Tiba-tiba pulak ada bela ayam hutan! Ayam yang liar tu?!”
Sergah Hajah Asmah. Bulat matanya
memandang Samad yang tidak ada sedikit pun rasa bersalah itu.
“Mana akak tahu saya tak ada bela
ayam hutan? Akak jaga tepi seluar saya ke selama ni? Yang akak sibuk sangat
bela budak-budak jahat tu buat apa? Bukan anak akak pun!”
“Budak jahat kau panggil? Kau tu
lagi jahat, Samad! Sudahlah kau tuduh budak-budak tu mencuri benda yang bukan
hak kau. Lepas tu kau ambil pulak duit anak yatim tu! Esok-esok kau pandailah
jawab dengan Allah, Samad! Kau dah aniaya anak-anak yatim tu...dosa besar kau,
Samad!”
“Dahlah. Akak jangan nak bersyarah
pulak dengan saya! Kubur kita masing-masing
kak. Hah, ada satu lagi! Kalau akak suka sangat bagi ceramah, tu, forum perdana
tu, akak jadilah ahli panel kat situ! Bangga jugak saya, orang kampung Seri
Tanjung masuk tv!”
“Budak-budak tu dah tak boleh nak
ajar lagi. Tunggulah, saya nak telefon orang Kebajikan Masyarakat. Tahulah
nasib budak-budak tu!”
Hajah Asmah tidak membalas
kata-kata Samad sebaliknya nafasnya turun naik dengan kencang. Berkali-kali dia
mengingatkan diri supaya tidak menyimpang dari jalan yang sepatutnya.
“Kau jangan cuba sekali
pun, Samad! Kau jangan cuba
pun!”
“Akak peduli apa?! Sudahlah, saya
naik dulu!”
* * * *
* * *