19
“ISTERI wajib mentaati suami pada segala
yang dikehendaki oleh suami asalkan perkara-perkara itu tiada maksiat padanya.
Terdapat banyak riwayat hadis dalam menentukan hak suami terhadap isterinya.
Rasulullah s.a.w.
telah bersabda:
“Mana saja wanita yang meninggal dunia, sedangkan
suaminya redha terhadapnya maka ia akan masuk syurga.”
Sabdanya lagi:
“Apabila seorang wanita bersembahyang lima waktunya,
berpuasa sebulannya, memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya nescaya ia
akan masuk syurga yang disediakan oleh Tuhannya.”
Berkata Ibnu Abbas:
Telah datang seorang wanita dari Khats’am kepada Rasulullah s.a.w. lalu
berkata: Saya ini seorang wanita yang janda dan saya akan berkahwin. Apakah
haknya sebagai suami? Baginda menerangkan: Di antara hak suami ke atas
isterinya, ialah apabila dia mengingini serta memujuk isterinya supaya
menyerahkan diri sedang isteri suci dari haid, maka janganlah isteri
menolaknya.
Isteri juga tidak boleh
memberi apa-apa yang ada di dalam rumah kepada orang lain, melainkan dengan
izin suami. Jika ia melanggar juga maka berdosalah isteri itu manakala suami
mendapat pahala dari pemberian itu.
Isteri tidak boleh
berpuasa secara sukarela, melainkan dengan izin suami, jika isteri melanggar
juga, maka puasanya itu hanyalah lapar dan dahaga semata-mata, tanpa mendapat
apa-apa balasan dari Allah.
Jika si isteri
keluar dari rumah tanpa izin dari suaminya, maka malaikat akan melaknatinya
sehingga dia kembali ataupun bertaubat.
Selesai membaca artikel mengenai hak suami ke atas
isterinya, Badli menutup laman web yang dilawatinya itu. Jam di dinding
menunjukkan angka satu dua puluh pagi tetapi matanya masih cerah, secerah
bintang yang menyinari bentangan langit raya yang luas itu. Kemudian, Badli
membaca semula akan terjemahan al-Quran dari surah Al-Baqarah, ayat 187:
187. Dihalalkan bagi kamu, pada
malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) Dengan isteri-isteri kamu.
Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai
pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri
sendiri, lalu ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. maka sekarang
setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa Yang telah ditetapkan oleh
Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang
putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), Iaitu waktu fajar.
kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah
kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid.
itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. demikian
Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka
bertaqwa.
“Isteri-isteri kamu itu adalah
sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka…Maksudnya
suami dan isteri ini seharusnya saling melengkapi antara satu sama lain, harus
saling menjadi pendinding dan pelindung sesama mereka,”
Terjemahan ayat dari surah
Al-Baqarah itu cuba
difahaminya dengan betul tetapi dia bimbang jika mentafsirnya dengan salah.
Badli menghela nafas buat sekian kalinya. Mungkin sudah tiba masanya dia
mencari seorang guru agama yang dapat membimbingnya mengenai hal agama supaya
dia dapat menjadi seorang ketua keluarga yang baik yang dapat membimbing
isterinya pula.
“Seorang laki-laki pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya
Rasulullah! Apakah hak seorang isteri terhadap suami? Maka beliau menjawab:
engkau beri makan dia apabila engkau makan, dan engkau beri pakaian dia apabila
engkau berpakaian, dan jangan engkau menampar mukanya, dan jangan engkau
jelek-jelekkan, dan jangan engkau berpisah dengan dia melainkan dalam
rumah." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban)
Oleh kerana itu seorang suami muslim tidak dibenarkan mengabaikan masalah
nafkah dan pakaian isteri. Sebab Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:
"Cukup berdosa seseorang yang mengabaikan orang yang menjadi
tanggungannya."
(Riwayat Abu Daud, Nasa'i dan
Hakim)
Dan tidak dibenarkan seorang muslim menampar muka isterinya kerana tindakan itu
dianggap satu penghinaan, kerana muka ialah anggota yang menjadi pusat
kecantikan seseorang.
Dan apabila diperkenankan seorang muslim untuk memberikan pendidikan
terhadap isterinya yang derhaka, maka
dia tidak diperkenankan memukul pada bahagian yang menyusahkan atau menampar
muka atau tempat-tempat yang cepat membawa ajalnya.
Di samping itu tidak pula diperkenankan seorang muslim menjelek-jelekkan
isterinya, baik dengan mengata-ngata atau ucapan-ucapan yang tidak patut didengar,
seperti kata-kata: qabbahakillah (kamu orang jahat) dan sebagainya,”
Badli menutup matanya rapat-rapat. Bukan mudah memikul
tanggungjawab sebagai seorang suami. Rupanya terlalu banyak yang belum
diketahui berbanding apa yang terlalu sedikit dalam pengetahuannya. Tidak
sewenang-wenangnya juga dia boleh menggunakan kuasa sebagai seorang suami
terhadap isterinya hatta memberi didikan kepada isteri yang derhaka sekali pun.
Akhirnya Badli terlena tanpa mematikan suis komputer ribanya.
*
* * * * * * *
PERJALANAN
ke Pulau Mabul baru mengambil masa lima
minit. Atirah yang berada di sebelah hanya mendiamkan diri. Kerutan di dahinya
jelas terlukis. Dia tahu apa yang berlaku terhadap Atirah sehingga isterinya
memberi reaksi begitu. Bukan mudah hendak membiasakan diri dengan lambungan
ombak yang tidak menentu itu.
“Atirah pening ya?”
“Mmm,”
“Nak makan ubat tahan muntah ke?”
Geleng.
“Nak minyak angin?”
Geleng lagi.
“Habis? Nak sampai jeti lambat
lagi ni…boleh tahan ke?”
“Tak boleh tahan...”
Perlahan Atirah menjawab. Tidak
sempat mencari posisi terbaik, dia menghamburkan isi perutnya lalu mengenai
Badli.
“Apa ni kak?Kalau iya pun nak
muntah, tala ke lautlah,”
“Ee, gelilah…Kotor! Main
sembur-sembur aje,”
Atirah yang kepenatan langsung
tidak berani mengangkat mukanya. Tidak hanya mereka, Atirah juga tidak senang
dengan apa yang berlaku. Tetapi Badli hanya bersahaja. Badli mengambil air
mineral yang terselit di tepi beg galasnya. Terdetik di hatinya hendak membeli
beberapa botol besar air mineral sebelum bertolak tadi kerana dia tidak dapat
menjangka bagaimana keadaan Atirah setelah menaiki bot laju. Nyata nalurinya
tepat.
“Minta maaf ye, kakak
abang…harapnya ini pertama dan terakhir-”
Belum sempat dia membangunkan
Atirah, sekali lagi Atirah memuntahkan baki isi perutnya.
“Ee...bencilah macam ni!Gelilah!”
“Minta maaf kak, saya bawa isteri
saya ke belakang,”
* * * *
* * * *
ATIRAH
berbaring sahaja di atas katil setelah membersihkan diri. Rasa kagum terhadap
tempat penginapan mereka di Pulau Mabul berkubur begitu sahaja dek kepenatan
akibat muntah di tengah laut.
“Atirah nak makan?”
“Belum lagi, belum ada selera,”
“Janganlah macam tu …nanti jatuh
sakit pulak…Tadi dah keluar semua isi perut tau!”
Beritahu Badli, mengingatkan
Atirah kembali. Dia sendiri tidak mahu memaksa sebenarnya tetapi disebabkan
muntah, rasanya Atirah perlu mendapatkan kembali tenaganya yang hilang.
“Saya tak larat nak bangun…pusing
aje rasa kepala ni,”
“Saya order makanan dulu, lepas makan nanti Atirah boleh makan ubat dan
tidur, ya?”
“Bad, saya minta maaf ya! Kasihan
awak, kena marah atas bot tadi...pakaian pun kotor disebabkan muntah saya tu,”
“Saya maafkan, tapi dengan
syarat…Atirah kena cepat sihat supaya kita dapat berjalan-jalan, ada kampung
nelayan dekat sini tau…rugi sakit di tempat yang cantik ni,”
Atirah senyum sahaja. Benar kata
Badli, rugi jika dia menghabiskan masa bercuti mereka di atas katil akibat
terlantar sakit. Selama ini dia tidak berpeluang melihat tempat orang, bila
berpeluang sekali, dia patut menggunakannya dengan sebaik mungkin. Badli yang
baru selesai memesan makanan untuk santapan mereka malam ini mendekatinya.
Rambutnya diusap lembut. Ada
senyuman yang terlukis di bibir suaminya.
“Lepas makan nanti, Atirah
tidurlah ya..rehat secukupnya supaya pagi esok Atirah bertenaga semula,”
“Bad…”
“Mmm,”
“Macam mana rupa kampung nelayan
tu? Saya selalu dengar masa sekolah dulu, teringin nak ke sana
tapi tak ada peluang, tak ada duit…Boleh bawa saya ke sana?”
“Macam mana rupa? Pejam mata dan
bayangkan dalam kepala…Boleh kalau Atirah sihat, tak boleh kalau tak sihat,”
“Tapi saya teringin betul nak ke sana,”
“Kita tengok esok macam mana, ya?”
Pujuk Badli lagi. Dia tidak ingin
menjanjikan sesuatu yang tidak pasti tetapi permintaan Atirah tidak berat untuk
ditunaikan malah dia sendiri mahu ke sana.
Ada kenangan yang mencuitnya supaya ke sana dengan segera.
“Macam mana kalau esok saya tak
bernyawa lagi, Bad?”
“Buah kalau…banyak yang boleh kita
ceritakan tentang kalau, Atirah…Sesuatu yang diandaikan, yang belum tentu
kesahihannya…Jika benar apa yang Atirah duga, dah cukup semua ‘bekalan’ ke sana? Hutang suami yang
belum dibayar?”
“Hutang suami?”
“Iyalah, tuntutan batin suami…dah
diberi?”
“Err…”
“Buah kalau Atirah...jangan
bercerita kalau tak bersedia...buah kalau juga,”
Nasihat Badli, perlahan lalu
meninggalkannya bersendirian di dalam bilik itu. Giliran Atirah pula bangun,
mendekati jendela kaca lalu membuang pandang ke arah bentangan air laut di
sekeliling penginapan mereka. Tercuit dengan soalan Badli, dia sendiri
ragu-ragu dengan persediaannya. Nyata dan pasti, dia belum mampu menerima Badli
yang baru dikenali beberapa ketika sebagai suami.
*
* * * * * * *
LANGKAHNYA
mati pada deretan rumah usang seperti kepunyaannya di Kampung Sri Tanjung.
Hanya beza pada lautan air yang mengelilingi rumah-rumah itu sedangkan rumah
usangnya didirikan di atas tanah. Bunyi riuh sekumpulan kanak-kanak bermain
menggamit memori zaman kecilnya. Dahulu, dia juga seperti mereka, bermain,
bersenda, bergelak ketawa dengan kawan-kawan tetapi kini, dia hanya bersendirian.
Cuba
meniti kehidupan baru bersama orang asing yang baru dikenali tetapi punya
pertalian yang cukup rapat dengan dirinya. Sang suami.
Ketawa? Melodi ria itu telah lama
hilang dari kepunyaannya.
“Bagi jajan aku!”
Rebut seorang kanak-kanak perempuan
sambil melompat-lompat, mahu mencapai sesuatu dari tangan abangnya, mungkin,
yang sengaja ditinggikan untuk mencuit marah si adik, barangkali. Atirah
mengalih tumpuannya pada suara kecil yang kedengaran lantang itu.
“Kalau kau mahu, cubalah ambil
dari tangan aku,”
“Kau tinggi, aku rendah...”
“Bukan salah aku, siapa yang suruh
kau jadi budak ketot!”
“Kaulah yang ketot!”
“Liza ketot! Liza ketot! Liza ketot!”
“Kaulah ketot! Aku beritahu mak
kau ejek aku!”
“Beritahulah…tak takut pun!”
Giat si abang, menambah marah sang
adik. Rasa tercuit dengan perbalahan adik beradik itu, Atirah mendekati mereka
perlahan-lahan. Bahu si perempuan kecil yang mungkin berusia enam tahun itu
dicuitnya lembut. Berhenti melompat, dia menoleh ke arah Atirah.
Abangnya juga begitu. Pertelingkahan
kecil itu mati begitu sahaja kerana masing-masing menjadi bisu bila terpandang
wajah insan yang tidak dikenali, mungkin.
“Siapa nama adik?”
“Nama dia Liza,”
“Sibuk aje...kakak ni tak tanya
kau pun,”
“Ikut akulah...mulut aku,”
Atirah ketawa kecil. Dapat dilihat
jelingan si kecil itu, tajam menyilau pandangan.
“Siapa nama abang?”
“Nama dia Amad,”
“Hah, kau jawab untuk aku tak apa
pulak?!”
“Siapa suruh kau jawab untuk aku
dulu?”
“Kau ni memang ketotlah!”
“Amad dengan Liza janganlah
gaduh-gaduh...rugi bergaduh dengan saudara sendiri tau...nanti tak ada kawan,”
Pesan Atirah, lembut sambil
memegang kedua-dua belah tangan Liza. Kesan hitam pada pipi gebu si comel itu
dikesatnya perlahan.
“Amad bukan saudara saya,
kakak...Amad ni abang saya,”
Atirah mahu ketawa tetapi dia
menekup mulutnya dengan cepat. Bukan salah Liza jika maksud yang ingin
disampaikan tidak difahami. Dia mengusap lembut rambut panjang yang mencecah
bahu itu. Teringat akan getah rambut biru yang sentiasa dibawa ke mana-mana,
dia mengambilnya dari saku seluar denim pemberian Badli.
“Jom kita duduk di sana!”
Pelawa Atirah sambil menunjukkan
sebuah bangku panjang yang sudah usang. Letaknya di luar sebuah gerai kecil.
Tidak membantah, gadis kecil yang comel itu mengikut langkah kakinya.
“Kakak ikatkan rambut Liza, ya?”
Si kecil itu cuma mengangguk.
Helaian rambut itu disatukan dengan cermat sebelum diikat. Kemudian dia
menguis-nguis anak rambut yang menutupi mata ke belakang telinga. Sebuah
senyuman dihadiahkan buat si kecil itu.
“Atirah di sini rupanya?!”
Mereka berdua memandang ke arah
datangnya suara menyapa. Badli melepaskan penat lalu duduk di sebelah Atirah.
Krekkk.
Bunyi itu membuatkan mereka
bertiga saling berpandangan. Tidak sempat bangun, kaki bangku itu patah lalu
mereka bertiga jatuh. Atirah memegang punggungnya yang terasa sakit sedang
bunyi ledakan tawa bergema di sekeliling mereka.
“Opps..sorry!”
Ucap Badli, pendek lalu ketawa
bersama kanak-kanak yang lain. Atirah tidak menjawab sebaliknya dia menjeling
geram sebelum mencubit lengan suaminya.
*
* * * * * * *