4
SEHARIAN
dia mengelilingi pekan Sri Tanjung itu. Selama seharian itu, sudah puluhan buah
kedai dimasukinya, demi untuk mencari sebuah pekerjaan yang halal. Rata-rata
tuan kedai yang dijumpainya tidak bercadang untuk menambah bilangan pekerja
mereka. Bukan sekali dua pula dia berasa hampa tetapi dia tidak mahu cepat patah
semangat demi adik-adik tersayang. Akhirnya, dia mengheret basikal hingga
kakinya berasa penat untuk melangkah lagi. Ketika itu hari sudah beransur
gelap. Sekelilingnya terasa sunyi walaupun bingit kenderaan dan gema suara
manusia masih kedengaran. Wajah adik-adik di rumah terbayang di layar minda.
Kadangkala dia terasa mahu menyalahkan diri kerana tidak mampu memberikan
kesenangan kepada mereka. Hajat mereka untuk bermain bola di padang kampung mereka pun tidak dapat
ditunaikannya. Apa agaknya salah mereka hinggakan hendak bermain bola di
kampung pun tidak diizinkannya. Lebih memeritkan, hajat itu rupanya hajat yang
terakhir sebelum arwah Aiman menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tanpa
disedari, air matanya sudah gugur hingga mengalir laju di pipinya. Sudah lama
benar dia menahan air matanya dari mengalir tetapi dia tidak mampu menahan lagi
untuk kali ini. Terasa penat benar menahan kesedihan itu seorang diri tetapi
apalah dayanya. Dia insan kerdil yang tidak punya apa-apa. Dia hanya punya
kekuatan tetapi nampaknya kekuatan itu juga bagai hendak menjauhkan diri
darinya.
* * * *
* * *
ATIRAH membuang pandang ke luar tingkap. Dari
jauh dia dapat menangkap ketawa riang adik-adiknya. Dia ikut tersenyum walaupun
dia tidak tahu apa yang menggembirakan mereka ketika itu. Baginya, cukuplah
sekadar mendengar gelak ketawa mereka. Tidak ada apa yang lebih
membahagiakannya melainkan melihat senyuman terlukis pada wajah adik-adiknya.
“Along, abang dapat ikan keli. Nanti
abang panggang, kita makan sama-sama, ya?”
Atirah hanya tersenyum. Dia tidak mampu
menjawab kerana sebenarnya dia berasa sayu. Sudah hampir seminggu mereka tidak
menjamah nasi kerana duit simpanannya yang sudah habis. Selama ini,
adik-adiknya tidak pernah merungut tentang kesempitan hidup mereka malah di
sebalik kesukaran itu, masih ada senyuman dan gelak ketawa yang dapat dilihat
dan didengar olehnya. Mungkin dia yang tidak cuba menyelami keperitan
adik-adiknya. Ya, dia memang tidak berusaha mendengar suara hati adik-adiknya,
tetapi jika dia cuba
berbuat begitu, mampukah dia menjawab soalan demi soalan mereka?
Gelagat
adik-adiknya yang sedang menyusun kayu api tidak jauh dari rumah terus menarik
perhatiannya. Dia segera beredar dan melangkah menuruni anak tangga rumahnya
lalu menghampiri adik-adik yang sibuk menghidupkan api.
“Abang dengan angah makan dulu,
ya! Jangan tunggu along tau. Along nak pergi pekan kejap. Nak cari kerja,”
“Along makanlah dulu!”
“Along nak cepat ni, abang...kalau
lambat keluar nanti lewat pulak sampai rumah,”
Balas Atirah, menolak dengan
lembut. Kemudian, Atirah naik semula ke rumah untuk menukar pakaiannya. Dia
memilih sehelai baju kurung berwarna putih yang dibuat dari kain kapas. Ada corak bunga-bunga
kecil berwarna merah jambu menghiasi baju itu. Atirah membuka ikatan rambutnya.
Rambut yang lurus dan hitam lebat separas dada itu disikat lalu diikat kuda,
supaya nampak lebih kemas. Dia cuba
pula untuk mengukir senyuman di hadapan cermin buruk itu. Ada lesung pipit terlukis di kedua belah
pipinya. Manis juga! Dia ketawa kecil buat seketika tetapi akhirnya ketawanya
mati begitu sahaja. Sudah lama benar dia tidak ketawa begitu. Selalunya dia
hanya tersenyum sahaja. Itupun kerana mahu menutup rasa sedihnya dan
selebihnya, dia tidak mahu air mukanya menjadi persoalan dan kebimbangan buat
adik-adiknya. Dia tidak tahu bila sinar bahagia akan menyapa dirinya. Yang dia
tahu dan sedar, gelak ketawa adik-adiknya itulah yang sering menjadi pengubat
dukanya.
Setelah yakin dengan penampilannya yang serba ringkas itu, Atirah
keluar dari biliknya.
“Along dah nak pergi ke tu?”
“Emm,”
“Cantiknya along hari ni,”
Sapa Faizal pula. Seperti biasa,
hanya senyuman yang diukir buat mereka. Kemudia, rambut Faizal dielusnya dengan
rasa kasih.
“Along nak cari kerja, angah.
Kalaupun tak cantik, along kena nampak kemas kan, angah?”
“Siapa kata along tak cantik?
Along cantiklah! Cantik macam arwah mak!”
Celah Firdaus yang duduk di atas
anak tangga, menghadap Atirah dan Faizal. Tersentuh dengan pujian itu, Atirah
melorekkan senyuman lagi.
“Along, angah nak kerja jugak. Boleh
tak, along?”
Atirah yang baru hendak melangkah
tersentak dengan soalan yang diutarakan oleh Faizal. Seketika kemudian, dia
mengukir senyuman lagi.
“Angah pergi sekolah aje, along
uruskan yang lain. Kan
angah ada cakap kat along yang angah nak jadi doktor. Kalau kerja sekarang,
nanti angah tak boleh bagi perhatian pada pelajaran. Nanti keputusan periksa
angah jatuh. Tahun ni kan
angah nak ambil PMR. Kalau angah tak bagi perhatian betul-betul masa belajar,
macam mana nak buat yang terbaik masa periksa nanti? Macam mana nak masuk kelas
Sains? Macam mana nak jadi doktor?”
“Along, angah boleh bahagi masa
betul-betul. Angah cuma nak tolong along, angah kesian kat along,”
Balas Faizal, menyatakan
alasannya. Atirah menggosok bahu adiknya dengan lembut. Dia tidak perlukan
semua itu, yang dia mahu hanyalah kegembiraan adik-adiknya. Cukuplah dia
seorang yang tidak berupaya menyambung pelajaran. Dia tidak mahu adik-adik
mengikut jejak langkahnya yang satu itu walaupun mereka semua terpaksa mengikat
perut.
“Angah sayang along, kan? Angah kesiankan
along, kan?”
Angguk.
“Kalau macam tu, angah kena janji
dengan along, angah kena belajar rajin-rajin, angah mesti dapat 8A dalam PMR
nanti. Angah tak mahu semua orang gelakkan kita lagi, kan? Angah janji dengan along, ya?”
Jawab Atirah, cuba menolak dengan lembut. Lama
Faizal memandang wajahnya. Dia tahu adiknya mahu memberitahunya sesuatu tetapi
dia yakin juga adiknya yang seorang itu tidak pandai membantah. Akhirnya, hanya
air mata Faizal yang tumpah sebelum mulut adiknya mengiakan permintaannya. Pilu
rasa hati melihat air mata jantan Faizal
mengalir tetapi seperti selalu, dia perlu lebih tabah dan tenang. Sebelum
memujuk Faizal, dia perlu memujuk dirinya terlebih dahulu.
“Along sayang angah. Along nak
tengok angah berjaya. Angah jangan jadi macam along, belajar tak pandai, kerja
pun tak lekat. Hidup kita pun terumbang-ambing sebab along tak kerja,”
“Along dah banyak korbankan masa along
untuk angah dengan abang sedangkan along tak ada apa-apa untuk diri sendiri
pun. Orang lain yang sebaya along, ada yang masuk universiti, ada yang belajar
dekat kolej tapi along? Dua puluh empat jam masa along, along korbankan untuk
angah dengan abang. Kenapa along tak hantar angah dengan abang dekat rumah
kebajikan aje?”
Soal Faizal lagi. Atirah membuang
pandang ke arah lain. Bimbang benar jika air matanya tumpah. Dia memejam
matanya untuk seketika. Entah jawapan apa yang patut diberikan buat adiknya
yang seorang itu.
“Along pernah cakap pada angah
dengan abang yang along sayang sangat pada angah dan abang. Along ada tenaga, along
kan muda
lagi. Selagi along hidup, along akan jaga angah dengan abang macam mana arwah
mak dengan ayah jaga abang dengan angah. Along tak kan biarkan siapa pun usik angah dengan
abang. Along janji!”
Atirah mengangkat tangan kanannya
sebagai isyarat berjanji dengan Faizal. Air mata Faizal disekanya dengan lembut
dan apabila dilihatnya air mata itu semakin laju mengalir di pipi adiknya,
Atirah segera memeluk Faizal.
“Along, angah, ikan panggang dah
si-...errr,”
Laung Firdaus, memanjat mata
tangga itu sekali lagi namun laungannya terhenti sebaik melihat Faizal dan
Atirah saling berpelukan. Atirah hanya melempar senyuman apabila laungan
Firdaus menyapa telinganya. Firdaus yang serba salah dengan situasi itu hanya
mengangkat mukanya sekali, tanda bertanya apa yang terjadi kepada abangnya.
Atirah hanya menggeleng dalam senyuman.
“Kita makan, ya! Kejap lagi along
dah nak keluar,”
* * * *
* * *
“BUTIK
MELAYU SRI TANJUNG!”
Sebaris nama kedai itu dibacanya
perlahan. Harapannya hanya satu, semoga kali ini ada rezeki yang berpihak
kepadanya. Sebelum menolak pintu butik itu, Atirah membaca Bismillah dan
berdoa, moga ada kerja yang bakal diperolehinya.
“Cari apa cik? Baju baru ke?”
Seorang gadis yang berusia lebih kurang
dua puluhan menyapanya dengan sebuah senyuman, yang dikiranya hanya
dibuat-buat. Raut wajah itu nyata tidak menyenangi kehadirannya di situ. Atirah
menggeleng sambil tersenyum.
“Saya datang nak tanya, ada kerja
kosong tak di sini?”
“Kerja kosong? Minta maaf la, ya.
Butik ni tempat jual baju aje. Kerja kosong tak jual. Buang masa aje, ingatkan
datang nak beli baju. Dahlah, malas nak layan!”
Balas gadis itu, kasar. Atirah
tersentak dengan jawapan yang diberi namun cepat-cepat dipujuk hatinya supaya
bersabar sahaja mendepani layanan seperti itu.
“Dina, kenapa kasar sangat ni
cakap dengan orang? Umi dah pesan banyak kali, kan? Sesiapa yang datang, tak kira nak beli
baju ke, nak minta derma ke, atau apa sekali tujuannya, layan dengan baik. Dina
tak pernah nak dengar cakap umi!”
Belum sempat dia hendak meminta
diri, ada satu suara menegur sikap gadis tadi di belakangnya. Gadis yang
dipanggil Dina itu pula hanya menjeling dan mendengus sebelum bergerak ke
kaunter. Atirah tidak mahu memanjangkan cerita, lalu dia segera mengundur diri.
Wanita yang berusia lebih kurang Hajah Asmah itu dihadiahkan sebuah senyuman
sebelum dia menarik pintu untuk keluar.
“Tunggu dulu, anak ni cari apa
sebenarnya? Cari baju ke? Umi minta maaf ya pasal tadi. Dina tu anak umi tapi
dia ni manja sikit. Tak reti nak layan orang,”
“Umi ni kenapa? Kenapa nak minta
maaf pada orang yang umi tak kenal ni. Dahlah
tu, umi cerita pula yang bukan-bukan pasal Dina. Kalau dia datang nak mencuri
macam mana, umi?”
Atirah hanya tersenyum. Sudah lali
benar perkataan mencuri itu dilemparkan ke arahnya dan adik-adik. Wanita yang
membahasakan dirinya sebagai umi itu pula melempar pandangan tajam ke arah anaknya,
barangkali tidak senang dengan sikap anaknya namun bukan urusannya untuk ikut
campur.
“Dina! Umi bagi satu peluang aje
lagi. Kalau sekali lagi umi dengar Dina cakap bukan-bukan lagi pada siapa-siapa
pun depan umi, semua kemudahan yang umi bagi pada Dina, umi tarik balik. Jangan
berangan nak keluar ke mana-mana pun. Umi serius kali ni. Jangan ingat umi tak
berani sebab Dina anak emas ayah,”
“Dina tak hairanlah dengan ugutan
umi tu! Kalau umi nak tarik, umi tariklah semuanya!”
“Irdina!”
“Minta maaf puan, saya mengganggu.
Saya balik dulu ya, puan,”
“Tunggu!”
Panggil wanita tua itu, kuat. Atirah
tidak jadi melangkah apabila tangannya dipegang erat oleh umi. Wajah wanita di
pertengahan abad itu direnungnya sekali, menyejukkan hati.
“Umi minta maaf lagi sekali, ya? Anak
ni siapa nama? Datang sini sebab nak cari kerja, ya?”
“Atirah....tak apalah puan. Saya faham.,Agaknya
saya dah salah tempat. Saya balik dulu ya, puan. Terima kasih banyak-banyak,”
Balas Atirah, mengundur diri
sekali lagi sebelum terus melangkah keluar dari butik itu. Kelu lidah Hajah
Fatimah bila melihat langkah Atirah yang lesu keluar dari butiknya. Dia ingin
menahan lagi tetapi dia tidak berdaya melakukannya. Entah mengapa, hatinya sayu
melihat wajah gadis yang baru beberapa minit ditatapnya itu. Perlahan, Hajah
Fatimah melangkah ke arah anaknya.
“Dina tak pernah bersyukur kan ada harta bertambun.
Tak pandai nak hargai anugerah Allah sampai jadi bongkak macam ni. Umi kesal
betul dengan Dina. Umi kesal betul!”
“Takkan nak layan semua orang baik
sangat, umi? Nak buat baik pun berpada-padalah! Butik kita ni bukan rumah kebajikan.
Orang nak derma, bagi, nak cari kerja pun, bagi,”
Balas Dina, bersahaja. Hajah
Fatimah menggeleng kesal. Anak itu terlampau dimanjai suaminya sehingga menjadi
manusia yang pentingkan diri sendiri. Akhirnya, yang menjadi mangsa, insan yang
lemah seperti Atirah. Tak terbayar penghinaan yang dilempar oleh Dina kepada
anak gadis itu. Hajah Fatimah menarik nafasnya dalam-dalam. Akhirnya, dia
membuat keputusan untuk keluar dari butik itu.
“Umi harap, satu hari nanti Dina
kesal dengan perbuatan Dina sekarang. Masa tu, baru Dina tahu langit ni tinggi
ke rendah,”
“Umi ni, suka besar-besarkan benda
yang kecil lah!”
“Semua benda kecil pada Dina. Tak
apalah. Kita tengok ajelah nanti, benda apa yang kecil, benda apa yang besar.
Umi keluar dulu. Kalau umi lambat, Dina tolong tutup kedai ni. Kita jumpa dekat
rumah aje nanti. Assalammualaikum!”
Belum sempat dia hendak bertanya,
uminya sudah melangkah keluar dari butik itu. Akhirnya, dia duduk keseorangan
di butik itu.
* * * *
* * *
ATIRAH
duduk di bawah pokok ketapang yang ditanam di tepi jalan itu. Perutnya sudah
terasa pedih, minta diisi dengan makanan tetapi apalah yang ada pada dirinya.
Kerja pun tidak ada, bagaimana dia hendak mengisi perutnya dengan nasi?
Bagaimana dia hendak menyara adik-adiknya jika dia sendiri tidak punya apa-apa?
“Belum rezeki aku lagi agaknya,”
“Assalammualaikum!”
“Waalaikumussalam...”
Jawab Atirah, perlahan. Siapa
agaknya? Atirah segera berpaling apabila dirasa dirinya sedang didekati. Wanita
separuh umur yang membahasakan dirinya sebagai umi tadi sedang duduk di
sebelahnya. Atirah hanya tersenyum, selebihnya dia masih berasa terkejut dengan
kehadiran wanita itu ketika ini.
“Syukurnya! Dapat jugak umi jumpa
Atirah lagi sekali,”
“Apalah sangat jumpa saya ni,
puan,”
“Setiap pertemuan tu, mesti ada
makna kan,
Atirah?”
“Orang miskin macam saya ni puan,
tak beri makna pada sesiapa pun, hidup pun cuma menyakitkan mata yang memandang
aje,”
Perlahan sahaja Atirah menjawab.
Memang itu yang dirasakannya sejak dahulu lagi. Selain Hajah Asmah, tidak ada
sesiapa yang menyenangi kehadiran dia dan adik-adiknya di tempat tinggal mereka
sekarang ini.
“Atirah...”
“Puan, terima kasih sebab sudi
duduk dengan saya. Saya undur diri dulu ya, puan, Assalammualaikum,”
“Waalaikumussalam,”
Atirah terus meninggalkan wanita
yang membahasakan dirinya sebagai umi itu dan dia segera menaiki basikalnya
untuk pulang ke rumah. Hajah Fatimah tidak mampu berkata. Dia hanya mampu
memerhatikan tindakan Atirah menjauhinya walaupun nalurinya mahukan anak itu
berada di hadapannya ketika itu.
* * * *
* * *
ATIRAH
mengheret basikalnya apabila sudah hampir dengan tangga rumahnya. Ketika itu,
rembang senja semakin menghilang. Rumahnya terang dengan nyalaan pelita.
Mungkin adik-adiknya sudah bersiap sedia untuk menunaikan solat maghrib.
“Assalammualaikum!”
Ucapnya, lembut. Cukup untuk
memberitahu kepulangannya. Tidak sampai beberapa saat, salamnya bersahut dan
adik-adiknya pun terjengul di muka pintu. Atirah terus menghadiahkan senyuman
buat mereka.
“Along dah balik? Macam mana,
along?”
“Along bersiap dulu, ya? Dah lewat
ni. Along tak solat pun lagi,”
Atirah terus berlalu, cuba berlengah
dari menjawab soalan adiknya. Sebolehnya dia tidak mahu mengecewakan adik-adiknya
dengan kegagalan lagi tetapi entah sampai bila dia mampu bertahan seperti itu.
“Malam ni kita makan ikan panggang
lagi ya, along. Abang dengan angah dah bakar siap dah tadi,”
Atirah hanya mengangguk dan
menggosok bahu kedua-dua adiknya. Tidak tahu perkataan apa yang patut diucapkan
buat mereka.
* * * *
* * *