Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 40

Afiyah menarik kerusi di hadapan Datuk Hashim. Dia agak berdebar melihat reaksi tenang papanya itu.

“Papa marah Fiyah?” soalnya perlahan. Datuk Hashim menarik nafas dalam. Dia menyentuh jemari Afiyah yang berada di atas meja.

“Papa tahu Fiyah tak bersedia lagi. Tak apa, masih ada masa. Papa harap Fiyah dan Eij gunakan masa itu sebaik-baiknya untuk kenal hati budi masing-masing. Apa pun keputusan kamu berdua selepas ini, papa tak akan masuk campur,” jawabnya dengan senyuman.

“Fiyah minta maaf,” ucap Afiyah dengan perasaan bersalah. Kad undangan majlis yang akan berlangsung dua minggu lagi memang sudah diedarkan. Banyak persiapan yang sudah diselesaikan. Afiyah mengeluh perlahan.

“Fiyah minta maaf papa,” ucapnya sekali lagi. Datuk Hashim menggeleng tersenyum.

“Mungkin dah rezeki papa dan aunty Bienda naik pelamin kot,” balasnya separuh bergurau. Perlahan senyuman terukir di bibir Afiyah.

“Papa setuju?” tanyanya dengan perasaan teruja.

“Sebelum papa jawab soalan Fiyah itu, papa nak tanya. Fiyah minta papa dan aunty Bienda kahwin bukan sebab nak selamatkan diri kan?” soalnya tepat memandang wajah gadis itu.

“Fiyah tak sejahat itu papa,” jawab Afiyah dengan kening berkerut. Datuk Hashim tergelak kecil.

“Kenapa mesti aunty Bienda?” soalnya lagi. Afiyah menarik nafas dalam.

“Papa tahu tak kenapa Fiyah ambil keputusan balik dari Australia?” Datuk Hashim terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Sebab Fiyah risaukan mama yang tinggal seorang diri kat Melaka. Mama tak ada keluarga selain Fiyah seorang. Rancangan ini sebenarnya daripada nenda. Nenda kata tak salah kalau calon yang Fiyah nak cari untuk mama itu adalah papa. Kebetulan papa pun single. So, Fiyah tak fikir panjang. Fiyah yakin mama pasti bahagia di samping papa. Fiyah juga yakin papa boleh jaga mama seperti mana papa jaga Fiyah dan Liya,” balas Afiyah dengan panjang lebar.

“Papa sebenarnya tak ada masalah. Fiyah dah bincang berdua dengan aunty Bienda?” soal Datuk Hashim setelah agak lama mendiamkan diri.

“Belum lagi. Nanti Fiyah jumpa mama lepas ini,” jawab Afiyah dengan senyuman hambar. Datuk Hashim mengangguk perlahan.

“Nenda kamu sihat? Papa sebenarnya dah lama tak hubungi nenda kamu. Papa masih rasa bersalah,” beritahu Datuk Hashim seiring dengan keluhannya.

“Nenda tak pernah salahkan papa dengan apa yang berlaku. Hati nenda dan arwah mama itu sama pa. Lembut dan mudah memaafkan. Tak seperti hati Fiyah,” balas Afiyah dengan perasaan agak sebak.

“Sebelum Fiyah balik hari itu, nenda pesan supaya sampaikan ucapan terima kasihnya pada papa sebab hadiahkan Fiyah untuknya. Walaupun arwah mama dah tak ada, nenda kata kehadiran Fiyah sudah cukup mengubati rindunya pada arwah mama,” sambungnya semula dengan senyuman hambar. Datuk Hashim mengangguk perlahan.

Maafkan Shim, Bonda.

*****

Bienda menarik nafas dalam sebelum berpaling memandang gadis itu.

“Mama sayang Fiyah tak?” soal Afiyah dengan senyuman.

“Mama memang sayangkan Fiyah. Tapi…,”

“Fiyah akan pastikan mama bahagia dengan papa. Fiyah dan Liya akan jadi anak yang baik untuk mama,” pintas Afiyah sambil berjalan mendekati wanita itu. Dia memeluk Bienda dengan erat.

“Sudikah mama jadi isteri papa dan ibu kepada Fiyah dan Liya?” soal Afiyah separuh meminta. Agak lama Bienda terdiam sebelum membalas pelukan gadis itu.

“Mama akan cuba,” balasnya dengan suara perlahan. Senyuman lebar terukir di bibir Afiyah. Dia melepaskan pelukannya sambil merenung wajah tenang wanita itu.

“Terima kasih mama,” ucapnya terharu.

“Mama yang patut ucapkan terima kasih. Terima kasih kerana sudi menerima mama,” balas Bienda dengan perasaan sebak. Afiyah tersenyum sambil menyentuh lembut wajah wanita itu.

“Fiyah sayangkan mama. Begitu juga papa dan Liya. Terima kasih kerana menjaga Fiyah dengan baik selama ini,” ucapnya turut sebak. Bienda tersenyum mengangguk.

“Fiyah tangguhkan majlis bukan sebab mama kan?” tanyanya agak risau. Afiyah tergelak kecil.

“Papa pun tanya soalan yang sama. Nampak sangat jodoh kat situ,” usiknya.

“Ishh, budak ini,” Bienda menepuk lembut bahu Afiyah.

“Fiyah tak bersedia lagi ma. Fiyah masih perlukan sedikit masa lagi,” kata Afiyah kini dengan senyuman hambar. Bienda mengangguk perlahan.

“Fiyah berhak buat keputusan. Tapi jangan tak bincang pula dengan Eij. Mama tengok Eij sayang sangat kat Fiyah. Dia tak sebut pun yang Fiyah nak tangguhkan majlis,” katanya separuh menasihati.

“Maksud mama?” tanya Afiyah kurang faham dengan ayat terakhir wanita itu.

“Eij beritahu kami yang dia nak tangguhkan majlis disebabkan masih tak bersedia lagi untuk memikul tanggungjawab sebagai suami. Dia langsung tak sebut nama Fiyah. Malah minta maaf dengan semua orang sebab terpaksa menangguhkan majlis. Setahun itu cukup lama bagi mama. Dalam tempoh masa itu macam-macam boleh jadi. Mama harap Fiyah dan Eij gunakan masa itu dengan sebaiknya. Cuba kenali lebih dalam hati masing-masing,” nasihat Bienda panjang lebar. Afiyah terdiam mendengar nasihat wanita itu.

Insya Allah, ma.

*****

Sebulan kemudian

“Morning sayang,” bisik Eijaz di telinga gadis itu. Afiyah yang terkejut dengan kehadiran lelaki itu pantas menjauhkan diri.

“Boleh tak jangan buat macam itu. Fiyah boleh mati terkejut,” balas Afiyah dengan geram. Bukan sekali malah berkali-kali lelaki itu suka menghampirinya secara diam-diam lalu berbisik dekat di telinganya.

“Sorry,” ucap Eijaz dengan senyuman. Lesung pipit di pipi kirinya jelas kelihatan. Afiyah berdehem perlahan sambil menghampiri meja kerjanya semula. Eijaz hanya mengekori langkah gadis itu dengan senyuman nakal.

“Nak apa?” tanya Afiyah akhirnya. Rimas dia dengan gelagat lelaki itu.

“Fiyah free tak petang ini?” tanya Eijaz tanpa menjawab. Matanya galak merenung wajah gadis kesayangannya itu.

“Kenapa?” soal Afiyah sambil membalas pandangan lelaki itu.

“Nak bawa Fiyah tengok rumah,” jawab Eijaz dengan senyuman.

“Rumah?” terangkat kening Afiyah memandang lelaki itu. Eijaz mengangguk.

“Rumah siapa?” tanya Afiyah tidak berpuas hati dengan reaksi lelaki itu.

“Kita,” jawab Eijaz ringkas seiring dengan senyumannya. Afiyah terdiam sejenak.

“Why?” soal Eijaz dengan perasaan bimbang.

“Okay,” balas Afiyah tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu. Pandangannya dialihkan semula pada skrin laptopnya. Eijaz mengangguk tersenyum. Dia bangun dari kerusi dan berlalu perlahan keluar dari bilik pejabat gadis itu. Afiyah menarik nafas dalam.

*****

“Kau ini jahat tahu. Sanggup keluar dengan aku dari keluar dengan tunang sendiri,” komen Suha sambil menggelengkan kepalanya.

“Petang nanti aku jumpa dia juga. Tak boleh jumpa selalu. Aku takut dengan mamat itu,” balas Afiyah selamba. Suha tergelak besar.

“Takut ke suka?” usiknya. Afiyah menepuk perlahan paha gadis itu.

“Mulut!” balasnya geram.

“Petang ini pergi mana pula?” tanya Suha setelah tawanya reda. Afiyah mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Issh! Minah ini nak kena lah. Takkan tak tahu kot,” balas Suha tidak berpuas hati. Afiyah mengeluh perlahan. Suha menggeleng lagi melihat telatah gadis itu.

“Fiyah, ada yang aku tak tahu?” tanyanya sambil tepat memandang gadis itu. Afiyah membalas pandangan sahabatnya itu.

“Aku takut Suha,” katanya dengan nada perlahan. Berkerut dahi Suha memandang gadis itu.

“Dari tadi kau kata takut. Takut apa? Takut Eij? Kau biar betul Fiyah,” balasnya agak keliru.

“Aku takut tak mampu jadi isteri yang baik untuk Eij,” jelas Afiyah dengan senyuman hambar. Suha terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

“Begini ke perasaan bila kita akan jadi isteri orang?” tanya Afiyah dengan keningnya yang berkerut. Suha tersenyum. Dia menyentuh jari jemari gadis itu.

“Jangan risau. Fiyah dan Eij masih ada masa sebelas bulan lagi untuk memahami antara satu sama lain. Fiyah itu bukan setakat kena berikan Eij peluang. Fiyah juga kena beri peluang pada diri sendiri untuk rasa bahagia itu,” nasihatnya ikhlas. Afiyah tersenyum hambar. Bibirnya terkunci untuk membalas kata-kata gadis itu.

*****

Eijaz membuka pintu kereta bahagian penumpang. Afiyah keluar perlahan sambil memandang banglo mewah tiga tingkat di hadapannya.

“Jom,” ajak Eijaz dengan senyuman manis. Afiyah teragak-agak mengekori langkah lelaki itu. Eijaz berpaling semula memandang Afiyah.

“Sayang,” panggilnya lembut apabila melihat Afiyah masih berdiri di tepi keretanya. Afiyah menarik nafas dalam sebelum melangkah perlahan menuju ke arah lelaki itu.

***

Agak lama Afiyah merenung taman mini yang berada di halaman rumah. Sangat serupa dengan taman mini milik arwah mamanya yang berada di Melaka.

“Fiyah suka tak?” bisik Eijaz di telinga gadis itu. Afiyah berpaling memandang lelaki yang sedang tersenyum membalas pandangannya.

“Kenapa awak buat macam ini?” soalnya dengan perasaan sebak. Eijaz tersenyum sambil menyentuh kedua-dua tangan gadis itu dan mengenggam jari jemarinya.

“Supaya Fiyah tak rasa jauh dengan arwah mama,” jawabnya dengan nada perlahan.

“Fiyah, I love you,” ucapnya dengan senyuman. Afiyah hanya membalas pandangan lelaki itu tanpa berkata apa-apa.

“Eij janji akan jadi suami yang baik untuk Fiyah. Eij nak hidup bahagia dengan Fiyah hingga nafas terakhir Eij,” sambung Eijaz sambil mengucup lembut jari jemari milik gadis itu. Afiyah menarik lembut tangannya.

“Terima kasih,” ucapnya dengan perasaan berdebar. Eijaz tersenyum dengan perasaan gembira.

“Kasih diterima,” balasnya dengan senyuman nakal. Afiyah ikut tersenyum.

Ya Allah. Seandainya dia adalah yang terakhir buatku. Maka kuatkan lah ikatan ini sehingga sampai saat aku menjadi miliknya yang sah.

*****

Datin Isnawiyah menghidangkan minuman dan sedikit kuih muih untuk Datuk Hashim dan Bienda.

“Maaf lah saya tak sempat masak. Shim itu datang tak beritahu,” katanya dengan kening yang berkerut.

“Tak apa Wiyah. Kami datang ini bukannya semata-mata nak makan,” balas Datuk Hashim sambil tergelak kecil.

“Maaf jika menyusahkan,” celah Bienda pula.

“Issh, mana ada. Saya ini memang suka masak. Cuma hari ini tak sempat nak masak apa-apa,” balas Datin Isnawiyah sambil tergelak kecil.

“So, bila majlis Daf? Hari itu Wiyah beritahu dua bulan lagi,” tanya Datuk Hashim.

“Betul lah itu. Tapi semuanya dah siap. Tinggal nikah dan sanding aje lagi,” jawab Datin Isnawiyah.

“Tak sempat nak menolong,” celah Bienda.

“Tak apa. Saya memang dah selesaikan awal-awal lagi semua persiapan. Oh ya, maaf lah sebab tak sempat datang membantu masa majlis kamu hari itu. Yelah, angin tak ada tiba-tiba dengar berita kamu berdua nak kahwin,” balas Datin Isnawiyah sambil tergelak lagi.

“Jodoh yang tidak dirancang,” kata Datuk Hashim dengan senyuman.

“Terima kasih sebab sudi menerima saya dalam keluarga besar ini,” ucap Bienda dengan ikhlas.

“Alhamdullillah bertambah lagi keluarga kita Shim. Jaga Bie baik-baik Shim,” balas Datin Isnawiyah separuh menasihati.

“Insya Allah,” jawab Datuk Hashim sambil menyentuh lembut bahu isterinya. Bienda membalas senyuman suaminya itu dengan perasaan sebak. Allah maha merancang. Dia sendiri tidak pernah terfikir akan menjadi isteri kepada bekas suami arwah rakannya sendiri.

*****

“Kau okay?” tanya Aliya sambil tersenyum memandang lelaki yang sedang menikmati air kelapanya. Dahin tersenyum hambar.

“Nak jawapan jujur ke tipu?” tanyanya kembali. Aliya tergelak kecil.

“Whatever,” balasnya.

“I’m back. Maknanya aku okay,” balas Dahin kini dengan senyuman manis. Aliya mengangguk perlahan.

“Aku kena teruskan hidup Liya. Mungkin bukan jodoh aku dengan Fiyah,” sambung Dahin sambil menarik nafas dalam.

“Kau jangan lah bawa diri lagi. Hidup aku sunyi bila kau tak ada,” kata Aliya separuh bergurau. Dia mahu sahabatnya itu tersenyum seperti dulu.

“Kau pula jangan lah asyik berkepit dengan aku. Nanti kau tak kahwin sampai bila-bila,” balas Dahin sambil tergelak kecil.

“Ini yang aku malas. Kau ingat aku tak laku ke?” balas Aliya sambil mencebik geram.

“Uncle Shim sihat?” tanya Dahin setelah agak lama terdiam.

“Papa sihat. Aku tak risau sangat bila mama Bie dah ada jaga papa,” jawab Aliya.

“Maaf tak datang hari itu. Aku masih tak mampu nak berdepan dengan Fiyah dan Eij masa itu,” ucap Dahin perlahan.

“Tak apa. Papa faham situasi kau. Bila kau nak balik rumah? Atau kau dah ambil keputusan nak tinggal dengan keluarga kau?” soal Aliya bertalu. Dahin menarik nafas dalam.

“Tak juga. Tapi buat masa ini aku akan tinggal dulu dengan papa,” jawabnya dengan senyuman hambar. Aliya mengangguk perlahan faham dengan perasaan lelaki itu.

*****

“Awak buat apa?” tanya Eijaz di talian sebelah. Afiyah menarik nafas perlahan.

“Dah nak tidur,” jawabnya sambil menarik selimut.

“Nak saya nyanyikan lagu untuk awak?” tanya Eijaz dengan senyuman nakal. Afiyah mendengus perlahan.

“Tak payah lah. Awak itu tak nak tidur ke?” soalnya dengan kening berkerut.

“I miss you,” ucap Eijaz tanpa menjawab soalan gadis itu. Afiyah terkedu sejenak.

“I love you,” ucap Eijaz lagi.

“Eij,” panggil Afiyah perlahan.

“Saya takut nanti lepas ini saya tak ada peluang lagi nak ucap perkataan itu dengan Fiyah,” kata Eijaz dengan perasaan sebak. Entah mengapa perasaan takut tiba-tiba menyelubungi dirinya. Kehilangan Afiyah adalah perkara yang paling ditakutinya.

“Apa yang awak merepek ini?” tanya Afiyah kurang senang dengan kata-kata lelaki itu.

“Tuhan tolong lembutkan hati dia untuk terima ku seadanya…,kerana ku tak sanggup, kerana ku tak mampu hidup tanpa dia disisiku…,”

Perlahan senyuman terukir di bibir Afiyah.

“Suka tak?” soal Eijaz dengan senyuman nakal.

“Good night,” ucap Afiyah sebelum menekan punat merah. Eijaz masih tersenyum memandang telefonnya.

How can I live without you…,Fiyah.



Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.