Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 37

“Kau okay?” tanya Suha agak risau melihat wajah muram gadis itu. Afiyah diam membisu tidak membalas. Suha menarik nafas dalam.

“Fiyah,” panggilnya lembut.

“Dahin nak hantar keluarganya merisik bulan depan,” beritahu Afiyah dengan suara perlahan. Suha terkedu.

“Eij juga ada datang jumpa aku,” sambungnya lagi sambil melepaskan keluhan berat. Suha menggeleng.

“So? I mean, apa keputusan Fiyah?” soalnya dengan kening yang berkerut.

“Aku tak tahu,” balas Afiyah sambil meraup wajahnya.

“Okay. Suha nak tanya ini. Sekarang ini hati Fiyah milik siapa sebenarnya?” tanya Suha sambil meletakkan sudu di tangannya. Seleranya terbantut apabila mendengar cerita sahabatnya itu.

“Aku…, tak tahu. Aku tak tahu Suha. Aku kalau boleh…”

“Nak larikan diri lagi?” pintas Suha. Afiyah terdiam seolah mengiyakan kata-kata gadis itu. Suha menggeleng lagi.

“Jangan Fiyah. Aku tahu kau takut sebab masa lalu. Tapi dah tiga tahun Fiyah. Kali ini beri lah hati kau itu peluang. Aku yakin kau sayangkan Eij dan bukan Dahin. Tapi aku tak tahu apa yang menyebabkan kau biarkan Dahin dengan harapan dan tinggalkan Eij macam itu aje tanpa pernah berinya peluang,” nasihatnya separuh menyindir. Afiyah terkedu. Agak lama dia merenung wajah gadis itu.

“How did…”

“Aku teka aje,” pintas Suha dengan senyuman nakal. Afiyah menggigit bibir.

“Kau memang saja nak kenakan aku,” katanya perlahan.

“Tapi betulkan?” soal Suha dengan kening berkerut.

“Aku tak tahu Suha,” balas Afiyah sambil mengeluh lagi.

“Sebab Liya ke?” tanya Suha semula. Afiyah diam membisu.

“Fiyah, semua orang ada kisah silam masing-masing. Aku nak kau terus terang pada Eij dan Dahin. Nanti tak pasal-pasal ada orang kena kahwin paksa nanti,” nasihat Suha lagi. Berkerut kening Afiyah.

“Maksud kau?”

“Say yes to Eij and no to Dahin. Faham tak? Kau nak kahwin dengan Dahin or Eij?” balas Suha separuh menyoal.

“Aku tak nak kahwin dengan sesiapa lah!” kata Afiyah dengan nada tegas.

“Degil betul lah minah ini,” komen Suha dengan kening berkerut. Afiyah meraup wajahnya.

“Aku tak peduli. Kau kena juga beritahu mereka berdua. Kalau tak, kau akan terperangkap dengan Dahin. Fiyah tak kasihan ke dengan Dahin dan Eij? Mereka itu dah lama tunggu Fiyah. Masa kau kat Aus, mereka berdua asyik call aku tanya pasal kau. Mereka berdua sayangkan kau Fiyah. Aku sebagai kawan rapat kau dan faham dengan situasi kau, aku mohon. Be honest to them supaya tak ada yang terluka dan dilukai lagi,” nasihat Suha panjang lebar. Afiyah masih membisu mendengar nasihat gadis itu. Dia masih keliru.

*****

Dahin mengambil tempat di hadapan lelaki itu. Eijaz hanya memandang Dahin yang sedang duduk di hadapannya. Kedua-duanya saling berpandangan tanpa sepatah kata. Pelayan yang ingin mengambil pesanan tidak jadi menghampiri apabila melihat wajah tegang kedua-duanya.

“Aku sayangkan Fiyah,” kata Eijaz dengan nada tegas. Dahin tersenyum sinis.

“Bukan Liya ke?” sindirnya pedas. Eijaz tersenyum.

“Dia masa lalu yang aku dah lupakan. Kau jangan libatkan Liya dalam hal ini. Hubungan aku dan Fiyah tak ada kena mengena dengan Liya,” balas Eijaz dengan nada agak keras. Dahin tergelak kecil.

“Kau yakin? Fiyah dan Liya itu adik beradik. Dulu dengan Liya sekarang dengan Fiyah? Kau dah gila? Pernah tak kau cuba letakkan diri kau itu di tempat Fiyah? Pernah tak kau cuba selami hati Fiyah bila kau nak datang meminangnya dulu?” soal Dahin bertalu dengan senyuman sinis. Eijaz terdiam.

“Mulut kau aje yang kata sayang. Tapi kau tak pernah cuba nak faham situasi Fiyah. Kau yakin ke yang kau sayangkan dia?” sambung Dahin lagi.

“Kau tak perlu tahu. Cukup Fiyah yang tahu dan faham perasaan aku,” balas Eijaz dengan nada tegas. Giliran Dahin yang terdiam.

“Aku jumpa kau hari ini bukan sebab nak gaduh dengan kau. Aku cuma nak beritahu yang aku tak akan mengalah,” sambung Eijaz kini tenang memandang lelaki itu. Dahin tersenyum sinis.

“Kau ingat aku juga akan mengalah macam itu aje? Tiga tahun aku tunggu Fiyah. Kali ini aku akan pastikan Fiyah jadi milik aku,” balas Dahin dengan nada keras sebelum berdiri dan terus berlalu. Eijaz menarik nafas dalam memandang langkah laju lelaki itu.

*****

Aliya melangkah masuk ke dalam bilik Afiyah dengan senyuman. Kelihatan gadis itu sedang sibuk mengemas buku-bukunya.

“Boleh Liya masuk?” tanyanya.

“Dah masuk buat apa tanya,” balas Afiyah separuh memerli. Aliya tergelak kecil. Dia mengambil tempat di hadapan gadis itu.

“Aunty Wiyah kirim salam. Dia minta maaf tak dapat ikut serta masa cuti keluarga nanti,” beritahunya lembut. Afiyah hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa.

“Fiyah,” panggil Aliya perlahan.

“Ermm,” jawab Afiyah tanpa memandang wajah gadis itu. Matanya masih tertumpu pada buku di tangannya.

“Masih marahkan aunty Wiyah?” soal Aliya perlahan.

“Fiyah dah tak nak sentuh lagi pasal itu Liya,” balas Afiyah tenang sambil mula memandang wajah gadis itu. Aliya tersenyum.

“Sorry, Liya tak berniat,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Afiyah menggeleng tersenyum.

“Fiyah pergi tak esok?” tanya Aliya lagi. Berkerut kening Afiyah memandang gadis itu.

“Pergi mana?” soalnya kembali.

“Majlis kat rumah Eij,” balas Aliya. Afiyah terdiam.

Aku baru aje nak tenang daripada memikirkan lelaki itu.

Tanpa sedar Afiyah mengeluh perlahan. Aliya berdiri dan duduk di sisi gadis itu.

“Kenapa ini?” soalnya dengan kening berkerut. Afiyah menoleh memandang wajah gadis itu.

“Tak ada apa. Liya pergi?” tanyanya pula.

“Mesti lah pergi. Mereka dah macam keluarga kita,” jawab Aliya dengan senyuman. Afiyah sekadar mengangguk.

“Fiyah dan Eij macam mana?” soal Aliya dengan perasaan agak berdebar. Afiyah terkedu mendengar soalan gadis itu.

“Macam biasa,” balasnya tanpa memandang Aliya.

“Sampai hati Fiyah,” kata Aliya dengan nada perlahan. Afiyah menoleh memandang gadis itu semula.

“Fiyah ingat Liya tak tahu?” soal Aliya dengan nada agak sebak. Afiyah meletakkan buku di tangannya ke atas meja. Kini sepenuh perhatiannya hanya tertumpu kepada Aliya. Jantungnya berdegup kencang.

“Liya,” panggilnya agak risau melihat wajah riang gadis itu bertukar muram.

“Tiga tahun yang lalu. Fiyah larikan diri ke Melaka dengan alasan nak jenguk arwah ibu. Tapi sebenarnya nak larikan diri dari Eij. Sepatutnya Eij akan pinang Fiyah. Tapi Fiyah larikan diri dan suruh papa buat syarat macam itu. Fiyah sendiri tahu yang Liya dan Eij dah putus. Kenapa Fiyah? Sebab kasihankan Liya?” soal Aliya dengan nada agak keras sambil berdiri lantas berjalan mundar mandir di hadapan Afiyah.

“Maafkan Fiyah. Fiyah tak berniat pun nak sakitkan hati Liya. Masa itu Fiyah masih rasa bersalah pada Liya. Oleh sebab nak hilangkan rasa bersalah, Fiyah tak sedar boleh bertindak sampai macam itu sekali. Maafkan Fiyah,” ucap Afiyah dengan perasaan bersalah. Langkah Aliya terhenti. Dia merenung gadis di hadapannya itu.

“Tapi rancangan Fiyah itu tak berjaya. Eij sendiri yang datang jumpa Liya sebelum dia berangkat ke London semula. Dia minta maaf sebab tak jadi masuk meminang kerana bakal pengantin bukan orang yang dicintainya. Fiyah sengaja nak malukan Liya kan?” soal Aliya seiring dengan keningnya yang terangkat. Afiyah menggeleng.

“No Liya. Fiyah tak…” kata-kata Afiyah terhenti apabila tiba-tiba Aliya tergelak besar. Berkerut kening Afiyah memandang gadis itu. Aliya duduk semula di sisi gadis itu. Jemari gadis itu digenggam erat.

“Jadi tak lakonan Liya?” soalnya sebelum tergelak kecil.

“Budak ini!” Afiyah mengetuk dahi gadis itu.

“Auccc! Sakit lah!” balas Aliya sambil mengusap dahinya perlahan. Afiyah pula tergelak besar.

“Padan muka!” balas Afiyah sebelum menyambung gelaknya semula. Aliya hanya tersenyum memandang gadis itu. Ini merupakan pertama kali dia melihat Afiyah tergelak seperti itu.

“Sukanya dia,” komen Aliya. Afiyah berdehem perlahan.

“Pasal tiga tahun yang lalu, Fiyah minta maaf,” ucapnya semula. Aliya tersenyum sambil menarik gadis itu ke dalam pelukannya.

“Ingat tak kita seri? Tak ada siapa yang betul. Dua-dua buat silap,” katanya sambil melepaskan pelukannya. Afiyah tersenyum hambar.

“Listen, Liya dan Eij dah lama move on. Kalau Fiyah tak selesa sebab hubungan Liya dan Eij dulu, Liya minta maaf. Kita semua dah mulakan hidup baru. Apa kata kita lupakan masa lalu yang pernah menyakitkan kita semua?” sambung Aliya separuh mencadangkan. Afiyah hanya membisu tidak berkata apa-apa. Lidahnya kelu untuk membalas.

*****

Agak lama Dahin merenung nombor gadis itu sebelum mengambil keputusan untuk mendailnya. Lama menunggu akhirnya panggilannya bersambut.

“Why?” tanya Afiyah dengan nada suara perlahan.

“Dah tidur?” soal Dahin dengan senyuman. Afiyah mendengus perlahan.

“Dah jam 3 pagi mesti lah orang dah tidur,” balasnya dengan nada marah.

“Sorry,” ucap Dahin dengan perasaan bersalah.

“Nak apa? Esok tak boleh cakap ke?” soal Afiyah semula.

“I miss you,” ucap Dahin perlahan. Afiyah menyentuh dahinya.

“Dahin please,” katanya sebelum menekan punat merah. Dia menarik selimut sehingga menutupi seluruh tubuhnya. Dahin masih merenung telefon bimbitnya. Dia mengeluh perlahan sebelum melangkah masuk ke dalam biliknya semula. Selepas bertemu dengan Eijaz dia sentiasa rasa gelisah dan bimbang. Bagaimana dia tidak punya perasaan sedemikian jika sedari dulu lagi Afiyah sudah menolaknya secara terang-terangan?. Dahin merebahkan tubuhnya di atas katil.

Apa yang perlu aku lakukan?

*****

Eijaz melangkah ke beranda biliknya dengan langkah perlahan. Selepas malam ini berlalu, dia redha walauapapun yang akan berlaku. Dia percaya rancangan Allah adalah yang terbaik buatnya.

“Eij,” panggil Puan Sri Erma sambil melangkah masuk ke dalam bilik anak lelakinya itu. Eijaz berpaling memandang wanita itu.

“Fiyah sekeluarga datang tak malam ini?” tanya Puan Sri Erma ingin tahu.

“Mungkin. Uncle Shim dan Liya datang kot. Cuma Fiyah yang Eij tak yakin,” jawab Eijaz sambil mengeluh perlahan. Puan Sri Erma menarik nafas perlahan.

“Boleh mama tanya?” soalnya lagi. Eijaz mengangguk perlahan.

“Pagi tadi mama ada dengar Eij cakap dengan seseorang melalui telefon. Mama dengar Eij sebut pasal cincin,” kata Puan Sri Erma dengan kening berkerut. Dadanya berdebar menunggu jawapan lelaki itu.

“Eij nak lamar Fiyah malam ini ma. Mama rasa malam ini sesuai tak?” beritahu Eijaz separuh menyoal. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sebenarnya dia agak segan dengan wanita itu.

“Alhamdullillah. Doa mama dimakbulkan. Sesuai sangat Eij. Yang ini mama sangat sokong. So, maknanya Eij dah beli cincin?’ tanya Puan Sri Erma dengan teruja. Eijaz mengangguk tersenyum.

“Macam mana? Maksud mama, betul ke saiznya?” soal Puan Sri Erma lagi.

“Pasal itu Liya dah tolong Eij,” beritahu Eijaz dengan senyuman.

“Liya? Look Eij, mama nak Eij pandai jaga hati semua pihak dalam hal ini. Terutama Fiyah,” nasihat Puan Sri Erma dalam penuh makna.

“Saya faham ma. Insya Allah tidak ada yang akan terluka lagi selepas ini. Mama tolong doakan Eij malam ini ya,” balas Eijaz separuh meminta. Puan Sri Erma tersenyum mengangguk.

“Insya Allah.”

*****

“Kalau Dahin nak kami datang minggu depan pun elok juga. Perkara macam ini tak elok dilambatkan. Betul tak bang,” kata Maria sambil memandang Datuk Jamal yang duduk di sebelahnya.

“Ya Dahin. Papa setuju dengan aunty Maria. Nanti papa beritahu dengan uncle Shim kamu. Minggu depan papa dan aunty datang merisik Fiyah,” kata Datuk Jamal dengan senyuman. Dahin tersenyum hambar memandang kedua-duanya.

“Sebenarnya Dahin nak beri Fiyah masa lagi,” katanya dengan suara perlahan.

“Kenapa pula?” soal Maria dengan kening berkerut. Dahin mengeluh. Dia bangun dari sofa.

“Dahin balik dulu. Apa-apa nanti Dahin call,” katanya sebelum berlalu keluar dari Vila mewah milik papanya. Datuk Jamal melepaskan keluhan perlahan.

“Kenapa bang?” soal Maria semakin hairan.

“Abang tak tahu. Malam ini kita ke rumah Dahin. Abang rasa tak sedap hati,” kata Datuk Jamal dengan nada agak tegas. Maria hanya mengangguk turut risau dengan keadaan Dahin. Dia sudah menganggap Dahin seperti anaknya sendiri sejak doktor mengesahkan yang dia tidak akan memiliki anaknya sendiri akibat kemalangan yang dialaminya tiga tahun yang lalu. Dia sebenarnya sangat bersyukur apabila Dahin akhirnya mampu menerima dirinya.

“Tak nak berkemas ke?” tanya Datuk Jamal apabila melihat isterinya itu yang masih duduk termenung di sebelahnya. Maria tersenyum sebelum bangun menuju ke tingkat atas. Datuk Jamal mengeluh lagi. Risau dia memikirkan keadaan Dahin yang kelihatan seperti tidak bermaya sebentar tadi.

*****

Semua mata tertumpu pada pasangan itu. Afiyah terkedu. Datuk Hashim memandang Aliya yang tersenyum memeluk lengannya.

“Will you marry me?” tanya Eijaz sekali lagi dengan senyuman. Riak wajahnya tenang namun dadanya berdebar hebat. Afiyah hilang kata-kata. Hanya matanya yang tajam memandang lelaki itu yang sedang duduk berteleku di hadapannya dengan tangannya yang masih setia menghulurkan sebentuk cincin.

“You…,” Afiyah menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya. Puan Sri Erma menyentuh lengan suaminya dengan kening berkerut. Dia agak takut melihat wajah tegang Afiyah. Tan Sri Fakrul menarik nafas perlahan apabila melihat wajah terkejut Datuk Hashim.

“Ini rancangan siapa?” soalnya separuh berbisik kepada isterinya. Puan Sri Erma berdehem perlahan sebelum tersengih memandang suaminya itu. Tan Sri Fakrul menggeleng perlahan.

“Fiyah, tak ada paksaan. Tapi Eij nak peluang itu. I love you, Fiyah,” ucap Eijaz dengan senyuman.

“You crazy,” balas Afiyah separuh berbisik sebelum menyambut perlahan huluran lelaki itu. Suasana sunyi sebentar tadi kini bertukar meriah dengan siulan dan tepukan gemuruh daripada para tetamu yang hadir. Eijaz bangun dan berjalan ke arah Datuk Hashim. Dia memeluk orang tua itu.

“Eij janji tak akan kecewakan anak uncle lagi. Eij janji,” bisiknya tanpa sedar dia mengalirkan air mata. Datuk Hashim tersenyum membalas pelukan itu. Melihat Afiyah tersenyum dari jauh membuatnya lega.

“Papa. Sekarang Eij kena panggil papa,” katanya sambil melepaskan pelukan lelaki itu. Dia mengesat air mata lelaki itu.

“I trust you,” katanya dengan penuh harapan. Eijaz mengangguk dengan senyuman.

Syukur ya Allah.



Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.