Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 26

Dahin melangkah perlahan ke beranda biliknya. Dia menoleh memandang ke rumah jirannya. Kelihatan pintu bilik Afiyah masih tertutup rapat. Dahin menarik nafas dalam. Teringat semula perbualannya dengan Daffa beberapa hari yang lalu.

***

“Saya akan datang Johor jumpa Fiyah. Saya masih tak terlewatkan?” soal Daffa dengan perasaan bersalah.

“Awak ada call Fiyah ke selepas awak pergi hari itu?” soal Dahin tanpa menjawab. Daffa terdiam mendengar soalan lelaki itu.

“Saya dah agak. Kenapa awak datang lagi kalau dari awal awak dah buang dia? Awak tak malu?” soalnya lagi dengan nada sinis. Daffa menarik nafas perlahan.

“Saya tak pernah buang Fiyah,” balasnya dengan nada tegas. Dahin tersenyum sinis.

“Yakin sangat nampak? Datang lah, saya nak tengok kesungguhan awak. Ingat, kalau awak tak berjaya, Afiyah akan jadi milik saya,” balasnya dengan nada keras separuh mengugut. Dia menggenggam erat telefon bimbitnya. Daffa menarik nafas lega.

“Afiyah bukan robot yang tak ada perasaan. Saya harap awak tak ulangi kesilapan lalu. Saya mengaku memang saya sayangkan dia. Tapi rupanya tak semudah itu. Saya bukan mengalah sebab awak. Saya sedar yang saya tak mungkin ada ruang di hati Fiyah. So, awak jangan sia-siakan peluang ini,” sambung Dahin dengan tegas.

***

Dahin mengeluh perlahan.

“Jauh termenung nampak,” tegur satu suara. Dahin menoleh. Kelihatan Afiyah sedang berpeluk tubuh memandangnya tanpa senyuman. Afiyah merenung dalam wajah lelaki dihadapannya itu. Sukar untuk dia percaya. Dahin Dahlan ada hati dengannya? Apa yang dia perasan selama ini lelaki itu ada hati dengan Aliya, bukan dirinya. Tanpa sedar perlahan senyuman terukir di bibirnya. Lelaki berlesung pipit itu adalah orang ketiga yang meluahkan rasa sayang kepadanya.

Terasa diri ini disayangi.

Dahin berdehem perlahan. Dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dadanya berdebar hebat saat melihat senyuman gadis itu.

“Jangan sampai malam ini juga saya pinang awak,” katanya dengan senyuman nakal sambil memandang gadis itu semula. Afiyah mencebik. Dia mendongak memandang langit.

“Terima kasih,” ucapnya ikhlas. Dahin terdiam mendengar ucapan gadis itu.

“Sebab dah sayang saya,” sambung Afiyah dengan nada perlahan. Dahin terkedu.

“Tapi saya minta maaf. Saya dah letih fikir pasal benda ini. Macam-macam yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Saya manusia biasa Dahin. Tak semua yang berlaku saya boleh terima dengan mudah,” kata Afiyah lagi tanpa memandang lelaki itu.

“Sorry Fiyah. Saya dah tambah masalah awak,” ucap Dahin dengan perasaan bersalah. Dia yakin yang gadis itu tentu sedang tertekan dengan pengakuannya beberapa hari yang lalu. Terangkat kening Afiyah memandang lelaki itu. Dia tersenyum hambar membalas pandangan Dahin.

“Saya masuk dulu,” katanya sebelum beredar masuk. Dahin hanya memandang gadis itu berlalu tanpa membalas. Dia meraup wajahnya perlahan.

Kenapa aku bodoh sangat?!

*****

“Kau nak apa lagi?” soal Eijaz keras. Aliya menggigit bibir.

“Eij please. Liya minta maaf,” ucapnya separuh merayu. Dia masih tidak percaya dengan perubahan sikap lelaki itu. Eijaz tersenyum sinis.

“Aku akan masuk meminang Fiyah lepas exam. Kita dah putus Liya. Kau tak malu merayu macam ini? Look Liya, kau itu langsung tak layak jadi suri hati aku. Sila sedar diri,” balasnya dengan nada keras. Aliya terkedu.

“Eij…”

“Aku minta maaf. Aku tahu aku dah lukakan kau. Tapi kau kena ingat Liya. Sebab kau lah aku jadi macam ini,” pintas Eijaz dengan perasaan kecewa bercampur marah yang sedang menguasai dirinya. Tanpa sedar air mata Aliya menitis perlahan.

“Liya…” panggil satu suara. Eijaz hanya memandang tajam ke arah Dahin yang sedang berjalan menghampiri mereka. Aliya tunduk sambil mengesat air matanya.

“Penyelamat kau dah datang. Aku dah agak dah. Kenapa kau tak pernah nak orang tahu. Rupanya kau ada…”

Pangg!

“Cukup Eij! Memang Liya ini jahat. Tapi Liya tak pernah duakan Eij,” kata Aliya dengan nada keras sebelum beredar dengan pantas. Eijaz menyentuh pipi kirinya yang terasa perit. Dahin hanya memandang Aliya berlalu sebelum memandang Eijaz semula.

“Kau dah puas sakitkan dia?” soal Dahin sambil memandang tajam ke arah lelaki itu. Eijaz tersenyum sinis.

“Kau dengar sini Dahin. Liya aku boleh lepaskan. Tapi kalau Fiyah juga kau nak rampas dari aku, aku tak akan lepaskan kau!” Eijaz memberi amaran keras sebelum turut beredar. Dahin menarik nafas perlahan.

Aku pun tak akan lepaskan kau sekiranya ada di antara mereka berdua yang akan kecewa disebabkan kau Eijaz Elman!

*****

Datuk Hashim tidak sedap hati apabila menerima kunjungan wanita itu di pejabatnya.

“Rul tak ikut?” tanyanya sambil menghidangkan Teh di hadapan wanita itu.

“Dia ada kerja luar. Aku datang hari ini sebenarnya bawa hajat,” balas Puan Sri Erma dengan tenang. Dia sudah bersiap sedia menerima walauapapun reaksi sahabatnya itu nanti.

“Hajat? Hajat apa?” soal Datuk Hashim agak berdebar.

“Kami nak masuk meminang untuk Eij,” beritahu Puan Sri Erma sambil memandang tepat wajah lelaki di hadapannya itu. Datuk Hashim tergelak kecil.

“Ingatkan apalah tadi. Tak cepat sangat ke? Eij dan Liya masih belajar lagi,” balasnya agak risau. Puan Sri Erma menarik nafas dalam.

“Tapi Shim, bukan dengan Liya. Kami nak pinang Fiyah,” beritahunya dengan perasaan bersalah bercampur aduk dengan perasaan malu. Datuk Hashim terkedu.

“Aku pun tak tahu apa yang berlaku antara mereka Shim. Sebagai ibu bapa Eij, kami minta maaf. Aku dan abang Rul pun sebenarnya terkejut dengan keputusan Eij. Nak marah pun tak guna sebab dia tetap nak Fiyah juga,” sambung Puan Sri Erma sambil menundukkan wajahnya. Dia memang malu dengan kawan baiknya itu. Namun dalam masa yang sama, dia juga tidak mampu menolak keinginannya untuk menjadikan Afiyah sebahagian dalam keluarganya. Datuk Hashim menarik nafas panjang cuba menenangkan dirinya.

“Aku nak tanya Liya dan Fiyah dulu pasal ini. Aku tak nak hanya disebabkan perkara ini, hubungan Liya dan Fiyah juga kembali retak. Hampir setahun lebih aku berusaha untuk betulkan keadaan. Alhamdullillah sejak akhir-akhir ini Fiyah dah menunjukkan perubahan yang positif. Jujur aku beritahu Ma. Sampai saat ini aku masih tak yakin yang Fiyah boleh terima aku dan Liya sepenuhnya lagi. Tapi aku memang tak salahkan Fiyah. Apa yang berlaku memang salah aku. Aku harap kau dan Rul faham. Beri aku sedikit masa. Jangan risau. Aku tak akan salahkan Eij. Aku dah anggap Eij itu macam anak aku sendiri. Mesti ada sebab yang kita tak tahu berlaku antara mereka bertiga,” balasnya panjang lebar. Puan Sri Erma mengangguk tanda faham.

“Tak apa Shim. Aku faham. Kita bincang semula perkara ini bila semua dah okay. Apapun keputusan kau, kami terima dengan hati yang terbuka. Jangan risau pasal Eij. Dia pasti akan faham,” katanya dengan senyuman. Datuk Hashim mengangguk sambil tersenyum hambar. Dia mengeluh dalam diam.

Nak tanya siapa dulu lepas ini. Liya atau Fiyah?

*****

“Fiyah kena tengok ini. Jom,” kata Suha sambil menarik lengan gadis itu.

“Apa dia?” soal Afiyah dengan kening berkerut. Dia menurut dalam kebingungan.

“Tengok itu,” kata Suha sambil menghentikan langkahnya. Hampir sahaja Afiyah terjatuh apabila gadis itu tiba-tiba berhenti melangkah. Dia memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Suha. Afiyah terkedu. Kelihatan seorang pemuda tinggi lampai sedang berdiri di hadapan kolej dengan wajahnya yang tertutup oleh patung beruang besar yang sedang dipeluknya sambil tangan kirinya memegang belon yang bertulis namanya. Berkerut kening Afiyah.

Memang nama aku lah, Ainun Afiyah!

Afiyah menoleh memandang Suha.

“Fiyah pergi lah jumpa orang itu. Patung itu nampak comel sangat,” kata Suha sambil tergelak kecil. Afiyah mendengus perlahan. Walaupun hatinya berat namun kakinya tetap melangkah menghampiri gerangan yang masih rahsia itu. Kelihatan beberapa pelajar mula berkumpul melihat drama yang tidak berbayar itu. Afiyah mendengus perlahan. Dia mempercepatkan langkah.

“Siapa?” soalnya tidak sabar apabila sampai sahaja di depan pemuda tersebut. Dia sebenarnya agak berdebar.

Mustahil dia.

Perlahan-lahan patung beruang tersebut dialihkan. Sekali lagi Afiyah terkedu. Daffa tersenyum manis.

“Hai,” ucapnya tenang.

“Awak memang suka sangat buat drama,” kata Afiyah dengan nada mendatar.

“Maaf kalau Fiyah tak selesa,” balas Daffa dengan perasaan bersalah. Berkerut kening Afiyah membalas pandangan lelaki itu.

Buat tak tahu pula. Memang aku tak suka kot dari dulu.

Afiyah mendengus geram.

“Saya tak nak cakap dengan awak kat sini,” katanya dengan nada agak keras. Dia berlalu melangkah menuju ke arah taman yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Daffa mengeluh perlahan. Dia tersenyum hambar memandang Suha yang berdiri tidak jauh memerhatikan mereka.

*****

Afiyah menarik nafas dalam.

“Fiyah boleh tak berikan Daf peluang kedua?” pinta Daffa separuh merayu.

“Kenapa Daf susah sangat nak terima kenyataan? Kita tak ada jodoh Daf. Tolong jangan buat Fiyah macam ini,” balas Afiyah tanpa memandang lelaki itu. Daffa memandang lama gadis yang sedang berdiri membelakanginya itu.

“Daf minta maaf,” ucapnya dengan nada perlahan hampir tidak kedengaran. Afiyah berpaling memandang lelaki itu.

“Masa kita dah berlalu Daf. Saya dah letih fikir semula benda yang menyakitkan. Cukup lah apa yang berlaku antara kita. Lagi satu, saya dah lama maafkan awak. Cuma terus terang saya nak beritahu awak, saya tak mampu nak terima awak lagi. Maafkan saya,” ucapnya tepat memandang wajah lelaki itu.

“Kalau Fiyah risau pasal mama…”

“Daf please,” pintas Afiyah sambil memandang ke arah lain. Matanya mula terasa pedih.

“Daf dah lama tunggu saat ini Fiyah. Daf tak pernah berhenti berdoa supaya Allah bukakan pintu hati mama untuk terima kehadiran Fiyah. Bila doa Daf dimakbulkan, Fiyah pula yang tak boleh terima Daf. Apa…” Daffa berhenti seketika. Rasa sebak mula menyelubungi diri.

“Apa pilihan yang tinggal untuk Daf?” soalnya dengan suara serak. Afiyah menggigit bibirnya kuat.

“Balik lah Daf. Awak jangan cuba nak mengemis kasih kat sini. Saya dah buang awak dan kenangan kita. Maafkan saya,” balas Afiyah sebelum mula beredar.

“Pastikan awak betul-betul dah buang saya dari hati awak Ainun Afiyah,” kata Daffa dengan nada tegas. Afiyah yang sempat mendengar kata-kata lelaki itu langsung tidak membalas malahan mempercepatkan lagi langkahnya untuk beredar dari situ. Daffa hanya memandang langkah laju Afiyah. Dia melepaskan keluhan berat.

Adakah ini pengakhiran antara kita Fiyah?

*****

Afiyah merenung lama foto lelaki itu dengan perasaan sebak.

“Pastikan awak betul-betul dah buang saya dari hati awak, Ainun Afiyah,”

Afiyah memejamkan mata sebelum melemparkan foto tersebut ke lantai. Kedengaran bunyi kaca yang pecah. Afiyah mendengus perlahan.

“Kenapa Fiyah?” soal Datuk Hashim yang sudah tersembul di muka pintu. Berkerut dahi Afiyah.

“Papa dengar ada bunyi benda pecah tadi,” kata Datuk Hashim sambil melangkah masuk. Langkahnya terhenti. Datuk Hashim memungut foto yang sudah terkeluar dari bingkainya yang pecah. Dia memandang Afiyah semula.

“Ini Daffa kan?” tanyanya inginkan kepastian. Afiyah diam membisu tidak menjawab. Datuk Hashim menarik nafas perlahan sebelum meletakkan foto tersebut di atas meja solek Afiyah. Wajah muram gadis itu agak membimbangkan dirinya.

“Ada yang papa boleh bantu?” tanyanya dengan lembut. Afiyah mengeluh perlahan.

“Fiyah…”

“Tak apa saya okay,” balas Afiyah sambil tersenyum hambar memandang papanya. Datuk Hashim menarik nafas dalam.

“Kalau Fiyah perlukan papa, papa boleh jadi pendengar yang baik,” katanya dengan senyuman. Afiyah hanya mengangguk perlahan.

“Biar papa bersihkan dulu lantai ini. Nanti tak pasal-pasal tapak kaki anak dara papa ini berparut pula,” sambungnya separuh mengusik. Afiyah hanya tersenyum hambar memandang Datuk Hashim yang mula membersihkan serpihan kaca di atas lantai.

Ya Allah aku mohon padamu. Bukakan lah pintu hatiku sepenuhnya untuk menerima papa.

Doanya dalam hati dengan perasaan sebak.

“Aunty Erma ada datang jumpa papa,” beritahu Datuk Hashim sambil memasukkan serpihan kaca ke dalam tong sampah kecil milik Afiyah yang terletak di sisi katilnya. Afiyah mula berdebar.

“Eij nak masuk meminang,” sambung Datuk Hashim sambil tersenyum memandang Afiyah. Dia berjalan semula menghampiri gadis itu.

“Papa tak tahu apa yang berlaku antara kamu bertiga. Tapi Fiyah jangan risau pasal Liya. Papa akan bincang dengan Liya pasal hal ini,” katanya sambil menepuk lembut bahu gadis itu. Afiyah mengeluh lagi.

“Fiyah dan Eij tak ada hubungan yang istimewa pa. Eij cuma salah faham. Papa kena tolak pinangan itu. Fiyah tak akan terima,” balasnya sambil mula memicit dahinya yang terasa berdenyut.

“Fiyah nak rehat dulu pa,” katanya sambil berdiri menuju ke katil. Datuk Hashim menarik nafas dalam. Dia agak bimbang apabila melihat wajah pucat gadis itu. Afiyah terlalu berahsia. Namun dia juga sedar yang dia belum layak untuk bertanya mengenai kisah peribadi gadis itu. Afiyah masih belum bersedia untuk berkongsi dengannya.

“Selamat malam Fiyah,” ucapnya sebelum beredar keluar dari bilik Afiyah dengan perasaan bimbang yang tiada kesudahan. Afiyah memejamkan matanya rapat.

Apakah yang akan menantinya esok hari…?

*****

Dahin menyentuh bahu gadis yang sedang termenung itu.

“Liya memang bodoh. Nak menyesal pun dah tak guna,” kata Aliya perlahan.

“Liya terlalu baik untuk Eij,” balas Dahin yang simpati dengan gadis itu.

“No Dahin. Liya mula sedar. Liya memang tak layak untuk Eij. Mungkin dah tiba masanya Liya kena belajar untuk terima kenyataan ini. Biar lah Liya sakit. Memang patut Liya terima akibatnya,” kata Aliya dengan perasaan sebak. Dahin menarik nafas dalam mendengar kata-kata gadis itu.

“Liya dah fikir masak? Nak mengalah macam itu aje?” soalnya agak tidak berpuas hati dengan keputusan gadis itu.

“Eij nak pinang Fiyah. Dahin nak Liya buat apa lagi? Nak melutut depan Eij?” soal Aliya pula sambil mendengus perlahan. Dahin terkedu.

Pinang Fiyah?

“Tapi kenapa? Saya tak percaya mamat itu benar-benar nak kahwin dengan Fiyah. Saya yakin yang dia cuma nak sakitkan hati Liya. Ini tak boleh jadi. Liya kena buat sesuatu. Saya tak benarkan Liya mengalah macam itu aje,” balas Dahin dengan riak wajah yang resah. Aliya menoleh memandang lelaki itu.

“Awak sebenarnya risaukan Fiyah. Betul tak?” soalnya dengan nada perlahan. Dahin terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Awak tahu tak, saya selalu terfikir andai kata Fiyah tak datang sini. Mesti semuanya baik-baik saja. Mesti semua ini tak berlaku. Liya juga mesti tak jadi macam ini,” sambung Aliya dalam nada kesal. Dahin mengeluh dalam diam mendengar kata-kata gadis itu. Lidahnya kelu untuk membalas. Namun hatinya menepis kuat kenyataan Aliya. Baginya kehadiran Afiyah sangat bermakna buat dirinya.



Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.