Aliya berjalan menghampiri Datuk Hashim yang berada di halaman rumah.
"Good morning pa," ucapnya sambil menarik kerusi yang berdepan dengan papanya. Datuk Hashim tersenyum.
"Good morning. Awalnya anak dara papa ini bangun," jawabnya separuh memerli. Aliya tersengih.
"Liya memang selalu bangun awal lah papa. Lebih awal dari anak papa yang lagi seorang itu. Mentang-mentang hujung minggu, tidur sampai tak ingat dunia," kutuk Aliya sambil mencapai potongan buah epal yang berada di atas meja. Datuk Hashim hanya diam mendengar kata-kata anaknya itu.
"Papa, sampai bila papa nak tahan dengan perangai minah itu? Kalau papa sakit, Liya lagi sakit tau bila tengok perangai biadab minah itu dengan papa. Papa tak boleh buat sesuatu ke? Contohnya hantar semula minah itu balik ke Melaka?" soal Aliya bertalu. Dia sangat tidak berpuas hati apabila papanya itu hanya mendiamkan diri apabila Afiyah bersikap kurang ajar dengannya.
"Tak boleh Liya. Di Melaka itu Fiyah dah tak ada sesiapa. Fiyah cuma ada papa dan Liya sekarang ini," jawab Datuk Hashim perlahan.
"Tapi minah itu dah melampau papa. Papa tak sakit hati ke?" soal Aliya geram. Dia mendengus perlahan. Buah epal yang ada ditangannya diletakkan semula. Hilang seleranya.
"Memang patut Fiyah buat macam itu kat papa. Papa dah buat Fiyah dan arwah mamanya menderita. Apa yang papa dah lakukan memang sesuatu yang sukar untuk dimaafkan," balas Datuk Hashim dengan perasaan bersalah. Aliya tersenyum sinis.
"Papa jangan fikir dalam soal ini hanya Fiyah dan mamanya yang terluka. Liya dan ibu juga terluka papa. Papa dah lupa? Papa kahwin dengan ibu dulu baru dengan perempuan itu. Papa tak tahu perasaan ibu bila terpaksa jadi isteri rahsia papa. Berapa tahun ibu bertahan sebab papa? Papa balik Johor masa Liya dah masuk umur 12 tahun. Ibu mengandung Liya pun papa tak tahu. Papa dapat rasa tak perasaan ibu masa itu?" soalnya mula sebak. Dia sebolehnya tidak mahu mengungkit kisah lalu. Namun dari cara papanya itu berkata seolah-olah dia dan arwah ibunya tidak terluka dengan apa yang berlaku. Datuk Hashim mengeluh perlahan.
"Maafkan papa," ucapnya dengan sayu. Dia sudah tidak tahu apa yang perlu dia katakan bila mana kata-kata gadis itu memang tidak ada silapnya.
Ya, memang semuanya salah aku.
"Liya tak nak jadi anak derhaka macam perempuan itu buat kat papa. Liya sayangkan papa. Sebab itu Liya mohon sangat supaya papa boleh fikirkan semula. Liya tak nak serumah dengan perempuan itu papa," kata Aliya dengan nada tegas sebelum bangun untuk beredar. Datuk Hashim menarik nafas berat.
Ya Allah.…,
*****
Dahin memandang ayahnya dengan perasaan berbaur. Datuk Jamal menarik nafas perlahan. Dia meletakkan beberapa keping kad kredit di atas meja.
"Ayah mungkin tak datang hujung minggu ini melawat Dahin. Mummy tak berapa sihat sejak akhir-akhir ini. Dahin jaga diri kat sini. Call aje ayah kalau Dahin perlu apa-apa," beritahunya dengan senyuman. Dahin tersenyum sinis.
"She's not my mom. Lagi satu, Dahin langsung tak kisah lah kalau ayah tak datang. Dahin dah biasa hidup sendiri sejak ibu tak ada. Dahin juga dah cukup besar untuk jaga diri sendiri. Ayah tak perlu risaukan Dahin," balasnya sambil beredar untuk naik ke tingkat atas. Walaupun sudah hampir tiga tahun arwah ibunya pergi. Namun Dahin masih tidak mampu memaafkan papanya dengan apa yang berlaku. Papanya itu telah berkahwin dengan perempuan lain tanpa pengetahuan ibunya. Apa yang paling menyakitkan hati Dahin apabila papanya berkahwin semasa ibunya sedang sakit tenat kerana menghidap kanser payudara. Datuk Jamal mengeluh perlahan. Dia mencapai kunci kereta dan berlalu keluar dari rumah.
"Jamal," tegur satu suara. Datuk Jamal tidak jadi membuka pintu kereta apabila mendengar namanya diseru. Dia tersenyum melihat Datuk Hashim yang berdiri di sebelah pagar yang memisahkan rumah mereka.
"Hashim. Apa khabar?" tanyanya sambil berjalan menghampiri.
"Aku sihat. Aku dah lama tak nampak kau melawat Dahin. Sibuk sangat ke?" soal Datuk Hashim dengan senyuman.
"Biasa lah Shim. Kau kenal kan Maria itu macam mana," jawab Datuk Jamal sambil tersenyum pahit. Datuk Hashim mengangguk. Teringat dia akan bekas setiausahanya yang kini menjadi isteri rakannya itu. Semasa masih bergelar setiausahanya, Maria memang seorang yang peramah dan sopan orangnya. Namun selepas berkahwin sikap wanita itu berubah. Dia sendiri terkejut apabila Maria langsung tidak menegurnya semasa majlis perkahwinan mereka.
"Kau jangan sampai abaikan Dahin itu Jamal. Aku tak nak kau jadi macam aku. Aku dah buat kesilapan besar sampai aku sendiri tak boleh maafkan diri aku," nasihat Datuk Hashim dengan ikhlas.
"Aku tahu Shim. Aku pun masih berusaha untuk ambil hati Dahin semula. Maria dan Dahin memang susah nak berdamai. Aku pun kadang-kadang sampai tak tahu nak buat apa dengan mereka," balas Datuk Jamal sambil mengeluh lagi.
"Sabar lah. Lambat laun pasti Dahin boleh terima Maria. Dahin itu budak baik. Tapi kau jangan pula berhenti berusaha untuk pujuk dia," nasihat Datuk Hashim lagi.
"Insya Allah. Aku ada dengar pasal arwah isteri kau itu. Takziah Shim," ucap Datuk Jamal turut simpati dengan sahabatnya itu. Datuk Hashim hanya tersenyum hambar.
"Aku nak gerak dulu. Aku susahkan kau lagi Shim. Dahin masih tak nak ikut tinggal dengan aku," beritahu Datuk Jamal dengan perasaan agak kecewa. Dia risaukan anak bujangnya itu yang ingin tinggal sendirian di rumah besar mereka. Namun dia juga tidak ada pilihan lain kerana Dahin dan Maria memang tidak boleh tinggal bersama.
"Dia perlukan masa Mal. Aku dah anggap Dahin macam anak aku sendiri. Kau jangan risau lah, aku boleh tengok-tengokan dia," balas Datuk Hashim dengan senyuman. Datuk Jamal tersenyum mengangguk mendengar kata-kata sahabatnya itu. Afiyah beredar ke dapur apabila melihat kelibat sahabat papanya itu berlalu.
Anggap macam anak sendiri? Sibuk sangat nak jaga anak orang. Anak sendiri pun tak terjaga ada hati nak ramai anak! Huh!
Afiyah mendengus geram sambil mencapai cawan yang berada di atas meja.
*****
Eijaz mengeluh berat. Sudah banyak kali dia mencuba namun Aliya langsung tidak mahu menyambut panggilannya.
Liya tak sihat ke? Atau…masih merajuk dengan aku? Tapi aku dah setuju. Aku dah setuju buat kerja bodoh itu sebab Liya.
Eijaz mendengus perlahan.
Kenapa Liya selalu buat Eij macam ini?
"Abang, tengok anak lelaki abang itu. Mesti sibuk dengan Aliya lah itu," kata Puan Sri Erma sambil memandang Eijaz yang sedang mundar-mandir di halaman rumah. Tan Sri Fakrul turut memandang anak lelakinya itu.
"Biasalah anak muda ma," balasnya tenang.
"Abang macam tak risau aje dengan Eij itu. Ma diam aje tau bila abang sokong Eij tak nak masuk universiti. Ma pun tak tahu lah apa yang dah masuk dalam kepala otak abang itu," kata Puan Sri Erma sambil mendengus perlahan. Geram dia dengan sikap suaminya itu yang terlalu memanjakan Eijaz. Tan Sri Fakrul tergelak kecil.
"Tak apalah, lagipun Eij ambil kos perniagaan juga kat kolej itu. Ma tak payah risau lah. Anak Ma itu bijak orangnya." Puan Sri Erma menggeleng mendengar kata-kata suaminya itu.
"Suka hati abang lah nak cakap apa. Sebut pasal Aliya, abang dah jumpa dengan Afiyah tak?" soalnya sambil memandang tepat wajah suaminya.
"Tak pernah lagi. Shim bukannya bawa Fiyah itu kat pejabat. Tapi Shim itu selalu juga mengadu dengan abang. Fiyah masih tak dapat terima kehadiran Shim dan Liya," beritahu Tan Sri Fakrul tanpa memandang wajah isterinya. Matanya tetap tertumpu pada helaian surat khabar di tangannya.
"Kalau ma pun memang ambil masa nak terima. Ma masih ingat bang. Bagaimana perasaan arwah Ain bila tahu suaminya dah lama kahwin lain. Shim pula tinggalkan arwah dan Fiyah macam itu aje," kata Puan Sri Erma sambil mendengus geram. Kalau ikutkan hatinya memang dia langsung tidak mahu bertemu dengan Datuk Hashim lagi. Tapi apabila kembali ke Johor, mereka tidak ada alasan untuk mengelak daripada sahabat mereka itu disebabkan urusan perniagaan. Puan Sri Erma mengeluh lagi. Tan Sri Fakrul memandang isterinya itu.
"Dah lah itu. Jangan nak lebih pula. Tak pasal-pasal si Shim itu dapat pahala percuma hari ini," nasihatnya separuh mengusik. Puan Sri Erma tersenyum hambar mendengar usikan suaminya itu sambil mengucap dalam hati.
*****
Daffa membalas pandangan Datin Isnawiyah dengan tenang. Datuk Ramli menepuk bahu anak terunanya itu perlahan. Derita yang ditanggung oleh anak lelakinya itu turut sama dirasainya.
"Daf, papa setuju kalau Daf nak jumpa Fiyah. Papa yakin Fiyah masih tak lupakan Daf," sokongnya. Daffa tersenyum hambar membalas pandangan Datuk Jamal. Sebenarnya dia lega mendengar kata-kata papanya itu. Cuma apa yang membuat dia risau adalah reaksi mamanya. Dia masih menanti jawapan daripada wanita itu. Datin Isnawiyah mendengus geram.
"Daf keluar aje dari rumah ini, Daf bukan anak mama lagi!" katanya keras.
"Kenapa susah sangat nak terima Fiyah? Abang tengok tak ada pun cacat celanya budak itu. Malah sangat hormat dengan orang tua. Kalau orang lain memang dah lama hasut anak kita ini bawa lari kahwin kat Thailand," balas Datuk Ramli yang kurang senang dengan sikap isterinya itu. Selama ini dia memang mengikut saja apa kata wanita itu. Namun kali ini dia tidak akan berdiam diri lagi apabila ia melibatkan anak tunggal mereka.
"Abang jangan nak buat lawak pula. Wiyah kata tak boleh. Memang tak boleh. Abang jangan tanya Wiyah kenapa Wiyah tak suka budak perempuan itu. Abang lupa? Kita dah buat perjanjian dengan Tan Sri Fahim mengenai pertunangan Daf dan Ayumi. Abang tak beritahu Daf lagi ke?" balas Datin Isnawiyah dengan kening berkerut. Daffa mengeluh berat.
"Daf dah tahu ma. Tapi Daf tak nak kahwin dengan sesiapa pun selain Fiyah. Ma, Daf dah 25 tahun. Boleh tak beri Daf peluang untuk tentukan hidup Daf sendiri? Daf bukan tak sayang mama. Daf sayang mama. Kalau tak, Daf tak akan putuskan hubungan dengan Fiyah. Daf dah tunjukkan yang Daf dah ikut cakap mama sebab Daf sayangkan mama. Tapi ma, Daf dah cuba. Tapi Daf tak mampu nak lupakan Fiyah. Mama tak kasihan dengan Daf ke? Daf tak mampu hidup tanpa Fiyah ma," kata Daffa dengan perasaan sayu.
Kenapa mama tak faham perasaan Daf?
Daffa bangun dari sofa dan beredar meninggalkan kedua-dua orang tuanya itu. Dia sangat kecewa dengan sikap mamanya itu. Datuk Rahim mengeluh perlahan melihat langkah lemah Daffa berlalu ke tingkat atas. Dia memandang wajah isterinya semula. Datin Isnawiyah sekadar mengangkat bahu seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Wiyah ini sebenarnya tak sayang anak. Ingat Wiyah, abang tak pernah pun setuju dengan perjanjian itu. Awak dan Puan Sri Shasa yang nak mereka disatukan. Wiyah ingat abang diam aje selama ini sebab abang setuju? Abang nak Wiyah jumpa keluarga Tan Sri Fahim dan beritahu mereka yang kita tak jadi nak berbesan dengan mereka. Kalau Wiyah tak nak, jangan sampai abang kahwinkan Daf dan Fiyah tanpa pengetahuan Wiyah," arah Datuk Rahim separuh mengugut. Dia berdiri dan terus beredar. Datin Isnawiyah mendengus geram.
"Wiyah tak akan sesekali batalkan perkahwinan itu bang," balasnya separuh menjerit.
*****
Terangkat kening Rina mendengar pertanyaan sahabatnya itu.
"Kenapa tiba-tiba tanya pasal Eijaz Elman pula?" soal Rina sambil melangkah ke beranda bilik. Malam ini dia terpaksa bermalam lagi di rumah Suha disebabkan kedua ibu bapanya masih belum kembali dari Negeri Sembilan atas urusan kerja.
"Saja nak tahu. Kau kan sekelas dengan dia," balas Suha dengan senyuman kecil. Rina berpaling memandang Suha semula.
“Kau minat dengan dia ke? Kau jangan Suha. Aku tak nak masuk campur kalau si Liya itu tiba-tiba meroyan,” katanya separuh meneka.
“Bukan lah. Aku tanya aje,” nafi Suha agak berdebar. Rina menarik nafas perlahan.
Macam aku tak kenal kau Suha.
"Aku pun tak tahu sangat pasal romeo itu. Kerja aku bukannya perhati romeo itu kat kelas. Cuma aku perasan yang romeo itu tak bergaul sangat dengan pelajar perempuan. Kalau tak dengan buku, biasanya romeo itu melepak dengan kawan-kawan lelakinya. Hah! Aku dengar dari pelajar lain yang dia itu kalau bukan kat perpustakaan mesti ada kat gelanggang. Dia kan ahli pasukan bola keranjang kat kolej kita. Itu aje. Tak menarik pun," beritahunya ringkas. Suha tergelak kecil.
"Ramainya cctv si Eijaz itu. Tapi aku pelik satu benda," katanya perlahan.
"Apa lagi?" soal Rina malas.
"Kalau dia tak bergaul dengan pelajar perempuan, kau rasa siapa agaknya perempuan itu? Alah, pelajar perempuan yang dikatakan buah hatinya itu," soal Suha cuba untuk mengingatkan Rina akan gosip yang tersebar di kolej mereka mengenai Eijaz Elman.
"Kau percaya ke dengan gosip itu?" soal Rina dengan kening berkerut. Suha terdiam seketika.
Memang aku percaya. Dan aku yakin sangat yang orang itu adalah Fiyah. Cuma aku tak cukup bukti aje.
"Tapi aku pun macam percaya juga dengan gosip itu. Beruntungnya gadis itu. Dah lah Eij itu handsome, ada duit, lepas itu..."
"Dah, dah, dah. Good night," ucap Suha tanpa memberi peluang kepada Rina untuk menghabiskan ayatnya.
"Minah poyo," balas Rina dengan jelingan. Suha hanya tergelak besar sambil menarik selimutnya. Rina menarik nafas dalam.
Apa yang buat Suha nak tahu sangat pasal Eijaz?
*****
"Boleh saya tahu pelajar yang bernama Ainun Afiyah? Saya Kamal kawan romeo. Saya ada pesanan untuk awak daripada romeo."
Terkedu Afiyah mendengar kata-kata lelaki yang sedang berdiri di hadapan kelas. Suasana kelas sunyi seketika. Semua mata tertumpu ke arahnya. Suha yang duduk disebelah Afiyah pantas mengangkat tangan.
"Awak ke?" soal Kamal dengan senyuman. Suha menggeleng dan menunjuk ke arah Afiyah. Kamal berlari anak menghampiri mereka. Dia berhenti di depan meja Afiyah.
"Untuk awak," beritahu Kamal sambil meletakkan sampul surat di atas meja gadis itu.
"Kalau ya pun tak payah lah nak guna mic," celah Suha geram memandang lelaki itu. Kamal sekadar tersengih.
"Sorry. Saya pergi dulu," katanya sambil melangkah untuk berlalu. Afiyah yang masih terkejut memandang Suha apabila gadis itu menyentuh lembut bahunya. Suasana kelas mula riuh semula. Masing-masing berbisik sesama sendiri. Dapat tengok drama percumalah katakan.
"Are you okay?" soal Suha apabila melihat wajah sahabatnya itu yang agak pucat. Afiyah mengangguk sambil mencapai sampul surat tersebut lantas memasukkan ke dalam begnya.
"Saya rasa macam nak cekik aje leher Eijaz sekarang ini," marahnya dengan suara yang ditahan-tahan. Suha tergelak kecil.
"Suha," berkerut kening Afiyah memandang gadis itu.
"Tak nak buka sekarang ke? Suha pun nak tengok lah," usik Suha.
"No! Never," balas Afiyah geram. Suha menggeleng perlahan. Dia ingin tergelak lagi namun bila melihat wajah masam Afiyah dia batalkan sahaja niatnya itu. Senyuman Suha perlahan menghilang apabila pandangannya bersatu dengan Dahin.
Wait, dia bukan pandang aku tapi pandang Fiyah.
Berkerut kening Suha. Dia menoleh memandang Afiyah yang sedang membuang pandang ke luar tingkap. Kerusi gadis itu memang berhampiran dengan tingkap kelas. Suha menggeleng perlahan apabila dia beralih memandang Dahin semula. Lelaki itu masih leka merenung Afiyah dari jauh. Keluhan berat dilepaskan.
Fiyah, Eijaz, Dahin…, dan Liya. Dah macam cerita drama pula.
Detik hati kecil Suha.