Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 2 - Puan Sarlina, Si Wartawan Bergerak!

2

PUAN SARLINA, SI WARTAWAN BERGERAK!

Bun’s Girl Bakery House seperti biasa dipenuhi dengan penggemar roti dan kek. Natasha bagaikan tidak menang tangan membantu papa dan mamanya menguruskan para pelanggan.

“Terima kasih. Datang lagi.” Senyuman sentiasa terukir di bibir Natasha dan ada kalanya lambaian tanda mesra diberikan juga.

“Dahlah tu Natasha. Natasha pergi rehat dulu. Sejak balik dari sekolah sampailah sekarang, tak henti-henti tolong papa dan mama.” Lembut Bakri mengarahkan anaknya itu.

“Tak apalah papa. Lagipun tadi Natasha dan tambah energy dah.”

Berkerut dahi Bakri. Tidak mengerti dengan kata-kata akhir anaknya itu.

“Anak kesayangan awak tu dan bulun habis dah roti coklat dekat dapur tu. Tu yang dia bersemangat sangat tu,” omel Sarlina.

Semerta senyuman terukir di bibir Bakri. Dia sudah faham benar dengan fiil anaknya itu.

“Patutlah tadi papa tengok dekat dapur, habis satu doh roti coklat tu lesap. Rupa-rupanya ada orang tu makan senyap-senyap,” gurau Bakri.

“Mana ada. Papa jangan nak tipu ya. Natasha makan 6 ketul je tau roti coklat tu. Mana ada sampai satu doh.”

“6 ketul? Ya Allah… Natasha, papa bukannya nak larang tau. Tapi, Natasha kena ingat-ingat sikit makan roti coklat tu. Jangan nanti badan Natasha tu jadi macam badan mama dahlah.”

“Amboi… sedapnya mengata orang. Macamlah badan dia tu kurus sangat.” Jelingan tajam Sarlina lemparkan kepada suaminya itu.

Namun seperti biasa hanya senyuman yang dibalas oleh Bakri dan Natasha pula sudah lali dengan gurau senda serta rajuk sayang kedua ibu bapanya itu. Melihatkan telatah kedua orang tuanya itu, hilang sebentar bebanan perasaannya pada Malik.

Ting… Tong… Ting… Tong…

Loceng berbunyi. Tanda ada pelanggan yang masuk ke Bun’s Girl Bakery House. Semerta Sarlina beriak natural. Menyembunyikan sakit hatinya. Bakri pula sudah sibuk di kaunter pembayaran.

Natasha menghampiri lelaki bertubuh tinggi lampai itu. Senyuman tidak lupa dihadiahkan kepada pelanggannya itu. Namun senyuman dan kemesraan bagai tidak diendahkan oleh lelaki itu.

“Boleh saya tolong. Encik nak cari apa?” mesra Natasha.

Diam. Lelaki itu langsung tidak bersuara. Mukanya juga masih masam mencuka.

“Encik nak cari kek hari jadi ke?” soal Natasha kemudiannya.

“Tak.” Sepatah jawapan lelaki itu.

“Habis tu, encik nak cari apa?” Masih lembut suara Natasha.

“Kawan saya cakap dekat kedai ni ada jual roti yang boleh buatkan seseorang itu menjadi gembira. Betul ke?” Kali ini lelaki itu memusingkan tubuhnya. Memandang tepat ke arah Natasha.

Semerta mata Natasha membulat. Dia kenal! Dia kenal dengan lelaki itu.

“Kenapa diam?”

Mendengarkan persoalan itu, Natasha membetulkan semula emosinya. “Emm… boleh saya tahu, roti yang kawan encik maksudkan tu… macam mana ya bentuknya?”

“Roti tu berbentuk empat segi. Perasa coklat.”

Agak lama Natasha mendiamkan diri, sambil otaknya ligat berputar dan akhirnya... “Ooo… roti coklat tu. Maaflah encik, roti tu dah habis dijuallah.”

Terdengar keluhan dari bibir lelaki itu dan semerta wajahnya menjadi sayu.

“Tak apalah kalau macam tu.” Lelaki itu berpaling dan ingin memulakan langkah. Namun langkah sulungnya terhenti saat terdengar kata-kata Natasha.

“Nanti dulu. Tak silap saya, ada lagi seketul roti coklat tu.” Natasha pantas memboloskan dirinya ke dalam dapur.

Bakri hanya membiarkan sahaja tindakan anaknya itu dan Sarlina pula tidak henti-henti mengerling ke arah pelanggannya itu. Ada gosip yang hendak disampaikan kepada suami dan anaknya sebentar lagi.

“Nah. Ambillah.” Natasha menghulurkan plastik yang mempunyai logo Bun’s Girl Bakery House kepada pelanggannya itu.

“Dalam tu ada seketul lagi roti coklat yang encik mahukan,” maklum Natasha.

Lelaki kacak itu menerima huluran Natasha dan melihat sebentar isi di dalam plastik tersebut sebelum pembayaran dilakukan.

Hilang sahaja kelibat lelaki itu…

“Natasha, budak tu anak Dato Sri Jasir, kan? Dia satu sekolah dengan kamu, kan? Betul ke pasal gosip yang tersiar dalam surat khabar tu?” Bertalu-talu soalan diutarakan kepada Natasha. Namun tiada satu pun yang dijawab anaknya itu.

“Awak ni… dah mengalahkan wartawan bergerak dah saya tengok perangai awak tu. Cubalah jangan nak jaga tepi kain orang sangat.” Peringatan Bakri sampaikan kepada isterinya itu.

“Awak diamlah. Awak tu bukannya tahu apa. Saya hantar si Natasha ni ke sekolah private tu sebab nak suruh dia ni bergaul dengan anak-anak orang kaya tu. Biar minda dia ni terbuka sikit. Taklah macam awak tu… macam katak bawah tempurung,” bidas Sarlina.

Bakri hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Malas dia hendak bertengkar dengan isterinya itu. Natasha pula masih mendiamkan dirinya. Jawapan terhadap persoalan mamanya sebentar tadi juga masih belum diberikan.

“Natasha, dengar tak mama tanya ni?”

“Dengar.” Sepatah jawapan Natasha.

“Jadi betul ke yang budak tu anak Dato Sri Jasir?”

“Betul.” Masih malas Natasha hendak melayan mulut becok mamanya itu.

“Pasal gosip tu pula, betul ke?”

“Manalah Natasha tahu mama. Natasha datang ke sekolah tu untuk belajar. Bukannya nak jaga tepi kain orang.” Biarpun lembut bicara Natasha, tetapi ada sedikit perlian berbaur ingatan ‘dihadiahkan’ kepada mamanya itu.

Sarlina yang mendengarkan jawapan akhir anaknya itu mencuka wajahnya. Sikap tidak suka ambil peduli anaknya itu saling tak tumpah seperti suaminya. Malas hendak melayan perangai suami dan anaknya, dia akhirnya melangkah ke dapur.

Natasha pula kian melayang fikirannya memikirkan perihal gosip yang menimpa Danish, pemuda kacak yang menjadi buah mulut mamanya sebentar tadi. Rasa simpatinya terhadap anak Dato Sri Jasir dan Datin Sri Mastura itu kian menggunung. Siapa sangka sebuah keluarga ahli korporat yang ternama di Malaysia ini dilanda juga dengan gosip yang luar biasa impaknya. Namun persoalannya, benarkan seperti apa yang diadu dombakan oleh wartawan di dada akhbar tentang keluarga yang tampak bahagia itu?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.