Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 4 - Pertemuan Yang Tidak Disangka

4

PERTEMUAN YANG TIDAK DISANGKA

Kelas tingkatan 5 Cempaka hampir kosong. Hanya tinggal beberapa orang pelajar sahaja lagi yang sedang sibuk mengemas beg dan meja mereka.

Malik berjalan beriringan dengan Marlina. Mereka menghampiri meja Natasha. Natasha menyedari akan kehadiran pasangan kekasih itu. Biarpun riak cemburu sudah terlihat di wajahnya, namun segaris senyuman kepura-puraan diukirkan jua.

“Natasha, mana buku tu?” soal Malik. Suaranya lembut.

Natasha memahami akan maksud putera idamannya itu. Lantas dua buah buku yang tidak tercatit namanya diserahkan kepada lelaki yang sedang dikepit lengannya oleh wanita yang sengaja mengukirkan senyuman mengada-ngada.

Malik menyerahkan sebuah buku kepada Marlina dan sebuah buku lagi disemaknya dengan penuh teliti. Setelah berpuas hati, dia tersenyum. Gembira benar hatinya setelah segala arahannya dituruti oleh Natasha.

“Bila you siapkan semua kerja sekolah ni?” soal Malik. Suaranya kian lembut.

Marlina yang tidak menyenangi akan intonasi yang digunakan oleh Malik, mencubit manja lengan kekasih hatinya itu. Sempat pula dia menjeling tajam ke arah Natasha.

Biarpun Natasha menyedari akan perlakuan Marlina itu, dia hanya mendiamkan diri. Malas dia hendak berbalah dengan wanita yang tidak berotak seperti Marlina itu.

“Malam tadi I siapkan,” jawab Natasha.

Thanks sebab siapkan semua kerja sekolah I dan Marlina. Nanti ada masa I belanja you makan,” ramah Malik.

“Buat apa nak belanja perempuan ni makan. Dia nikan ke balaci you. Jadi dia mesti sanggup lakukan apa sahaja untuk you. Betul tak Natasha?” sinis benar suara Marlina saat persoalan terakhir diutarakan.

Mahu sahaja rasanya Natasha menjerit dan menarik rambut kerinting milik Marlina. Namun disebabkan dirinya masih mempunyai kewarasan yang dibentengkan dengan kesabaran, maka dia mengabaikan sahaja kata-kata perempuan yang dianggapnya gila itu.

Malik menjadi serba salah. Seharusnya dia mempertahankan Natasha. Tetapi seandainya dia melakukan itu, pasti hubungan cintanya dengan Marlina tercalar.

“Emm… Natasha, I balik dululah. Anyway thanks.”

Habis menuturkan kata-kata itu, Malik menarik lembut jari jemari Marlina dan berlalu pergi. Sempat lagi Marlina menjeling sinis ke arah Natasha yang sudah tertunduk wajahnya tika itu.

Melihatkan kelibat pasangan kekasih itu sudah menghilang. Gugur lagi air mata Natasha dan perlahan mulutnya melahirkan kata-kata. “Aku bukan balaci!”


Natasha membaca sekali lagi mesej yang dihantar oleh mamanya sebentar tadi.

Hari ni mama lambat sikit jemput Natasha. Mama ada hal sikit.

Natasha mengeluh dan menebarkan pandangannya ke hadapan. Dari tingkat 3 ini dia dapat melihat dengan jelas pemadangan yang sungguh mendamaikan. Pokok-pokok yang menghijau masih setia mendamaikan hatinya yang kian keresahan.

‘Buat apa nak belanja perempuan ni makan. Dia nikan ke balaci you. Jadi dia mesti sanggup lakukan apa sahaja untuk you. Betul tak Natasha?’ Masih tengiang-ngiang di telinga Natasha akan kata-kata penghinaan daripada Marlina sebentar tadi.

Tanpa sedar Natasha menjerit “Aku bukan balaci!!! Aku bukan balaci!!! Tak guna!!!”

Jeritan Natasha menggemakan bangunan yang sudah lama dibiarkan kosong di dalam Sekolah Menengah Kenanga Indah itu dan tanpa disedarinya ada sepasang mata yang sedari tadi memerhatikan tingkahnya itu.

Tubuh tinggi lampai itu kian menghampiri Natasha. Kini diriannya betul-betul di belakang gadis yang masih belum puas melontarkan kata-kata amarah ke atas insan yang bernama Marlina.

“Tak guna kau Marlina! Kalau aku ada kuasa ajaib dah lama aku ghaibkan kau!!! Lagi sekali kau panggil aku balaci, siaplah kau!!!” Berombak dada Natasha menghamburkan kemarahannya.

“Dah puas menjerit dah?”

Natasha tersentak dan semerta dia menoleh ke belakang untuk melihat milik siapakah suara yang memeranjatkannya itu.

Membulat terus mata Natasha dan hatinya pula terus menghadirkan persoalan. ‘Bila pulak mamat ni ada dekat belakang aku?’

“Kenapa? Terkejut?” soal lelaki itu lagi.

Dia tersenyum. Senyumannya begitu manis dan menggoda, namun entah mengapa senyuman itu kian meresahkan jiwa Natasha.

“Siapa Marlina?” soal lelaki itu kemudiannya setelah melihatkan kebisuan Natasha.

Natasha menjadi serba salah. Hendak menjawab atau tidak persoalan lelaki itu.

“Tak nak jawab tak apa. Itu hak awak, tapi lain kali janganlah menjerit. Jeritan awak tu mengganggu orang lain.” Bersahaja lelaki itu berkata-kata.

“Ada orang lain ke dekat bangunan lama ni?” soal Natasha, polos.

“Habis tu saya ni bukan orang ke?”

“Tak… maksud saya… saya tak sangka yang awak ada dekat sini. Selalunya saya seorang je yang datang ke tempat ni.” Sedikit tergagap Natasha menjawab.

Lelaki itu beralih kedudukan. Kini dia berdiri bersebelahan dengan Natasha dan pandangannya juga sudah dihalakan ke hadapan.

“Selalu ke awak datang ke sini?” soal lelaki itu untuk memecahkan kesunyian. Entah mengapa dia senang untuk berbicara dengan gadis polos seperti Natasha.

“Selalu juga. Kalau mama lambat jemput saya… saya suka datang ke sini.” Biarpun Natasha berasa tidak begitu selesa dengan kehadiran lelaki itu, namun dia tetap juga menjawab persoalan lelaki itu.

Dia tahu akan pengaruh lelaki itu di sekolah ini. Siapa tidak kenal dengan lelaki kacak di sebelahnya ini. Namanya sahaja sudah menggambarkan akan ‘kuasa’ yang ada padanya, apatah lagi orang tua lelaki itu merupakan orang yang menyumbang dana paling besar di sekolah ini saban tahun.

“Tempat ni tenang, kan?”

“Emm… tenang. Sebab tu saya suka datang sini,” jawab Natasha.

Lelaki itu menarik nafasnya dalam dan dihembuskannya perlahan. Dari raut wajah insan di sebelahnya itu, Natasha tahu yang lelaki itu juga sedang memikul beban seperti dirinya atau mungkin bebannya lebih berat.

“Awak marah bila budak perempuan tu panggil awak balaci?”

Natasha tersentak sekali lagi. Tidak disangkanya yang lelaki itu masih mahu mempersoalkan perkara tersebut.

“Kalau saya jadi awak. Saya tumbuk muka perempuan tu. Biar padan muka dia. Siapa nama perempuan yang panggil awak balaci tu?”

“Marlina.” Sepatah jawapan Natasha.

“Emm… Marlina. Saya akan ingat nama tu.”

“Kenapa awak nak ingat?” soal Natasha kehairanan.

“Sebab saya nak cari siapakah gerangan perempuan jahat yang panggil awak balaci tu dan saya pun nak tahu apa yang hebat sangat tentang perempuan tu sampai awak takut nak tumbuk muka dia.” Selamba lelaki itu menjawab.

“Saya tak takut. Cuma…” Natasha sudah menundukkan wajahnya.

“Cuma apa?” Saat ini lelaki itu sudah memandang tepat ke arah Natasha. Dia menyedari akan perubahan di wajah Natasha. Ternyata kesedihan sedang kuat menakluki jiwa gadis itu.

“Kenapa mesti nak tundukkan wajah? Kalau awak berada di pihak yang benar dan tidak mahu terus dibuli, awak harus bangkit dan bukannya terus-terusan menundukkan kepala awak tu.” Ikhlas lelaki itu menasihati.

Entah mengapa saat terdengarkan kata-kata nasihat itu, semacam ada satu perasaan yang menjalari jiwanya. Natasha terus mengangkat wajahnya dan kini mata mereka bertembung buat seketika. Biarpun bibir lelaki itu tidak lagi melahirkan kata-kata, namun pandangannya sudah cukup untuk memberitahu Natasha akan makna ‘ketabahan’.

“Dalam dunia ni ada macam-macam jenis manusia. Ada yang suka membantu. Ada pula yang suka dibantu. Ada yang suka mengukirkan senyuman dan ada pula yang suka melahirkan kekejaman. Awak faham apa yang hendak saya sampaikan?” soal lelaki itu saat dia mengalihkan semula pandangannya ke hadapan.

“Tak.” Satu patah kata sudah menggambarkan betapa polosnya diri Natasha.

Sekali lagi lelaki itu tersenyum. Dia menjadi semakin senang berbicara dengan gadis seperti Natasha. Baginya Natasha begitu suci pemikirannya sehingga sukar untuk memikirkan yang bukan-bukan tentang insan lainnya.

“Macam nilah. Kalau awak nak tahu apa yang saya cuba maksudkan, esok kita jumpa dekat tempat ni lagi. Boleh?”

“Tak.” Sepatah kata yang sama menjadi jawapan Natasha seperti sebelumnya.

“Kenapa pulak?” soal lelaki itu hairan. Baginya penolakan gadis itu begitu mencalarkan egonya. Inilah kali pertama ajakannya ditolak mentah-mentah oleh seorang perempuan. Selama ini begitu ramai perempuan ‘plastik’ yang hendak mendekati dirinya. Tetapi semuanya ditolak dan kini, saat ini… dirinya pula yang harus berdepan dengan penolakan!

“Emm… esokkan hari Sabtu. Cuti…”

“Ooo… saya lupa.” Lelaki itu tersenyum lagi dan terasa lapang semula dadanya. Kini dia berasa senang kerana ‘penolakan’ masih belum ‘memanahi’ dirinya.

“Kalau macam tu… hari Isnin lepas sekolah kita jumpa. Okey?” ajakan disuakan sekali lagi.

Baru sahaja Natasha hendak menjawab, handphonenya berdering. Segera dia menjawab panggilan daripada mamanya itu. Seminit berbual, Natasha menamatkan perbualan itu.

“Mama saya dah sampai. Saya kena balik sekarang.” Natasha segera mengambil beg galasnya.

So… macam mana dengan Isnin ni? Lepas tamat waktu sekolah, saya tunggu awak dekat sini.”

Natasha tidak terus menjawab. Otaknya masih berkira-kira untuk menolak atau menerima.

“Tak kira awak datang atau tak, saya tetap tunggu awak dekat sini Isnin depan.” Putus lelaki itu.

Natasha mengeluh. ‘Anak orang kaya ni memang degil! Nak ikut kepala dia je!’ cemuh Natasha di dalam hati.

“Kalau macam tu, saya balik dulu.” Habis menuturkan kata-kata, Natasha memulakan langkahnya. Namun baru 3 langkah diatur…

“Nanti dulu… siapa nama awak?” soal lelaki itu.

“Natasha,” jawab Natasha.

“Saya Danish,” riang lelaki itu menyebut namanya.

‘Tahulah! Siapa tak kenal dengan anak orang kaya macam kau ni!’ rungut Natasha. Namun rungutan itu hanya bergema laju di hatinya selaju aturan langkahnya untuk mendapatkan mamanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.