3
DENDAM TERBUKU DI HATI
DANISH!
Ketukan
di muka pintu diabaikan sahaja. Tubuh yang sudah direbahkan juga terasa malas
untuk dibangkitkan. Mata yang tidak mengantuk juga dipaksa untuk dilenakan.
Ketukan yang tadinya bertalu, senyap
sepi. Namun bukan petanda si pengetuk sudah berputus asa.
“Danish. Buka pintu ni sayang. Mama
ada perkara hendak dibincangkan.” Lembut Datin Sri Mastura memujuk anak
tunggalnya itu.
Danish masih mematungkan tubuhnya
dan mulutnya juga tetap dikunci serapatnya. Tiada sahutan ataupun jawapan
diberikan terhadap permintaan mamanya itu. Bukannya dia tidak mengasihi mamanya
itu. Tetapi untuk waktu ini dia memerlukan ruang untuk bersendirian.
“Danish. Buka pintu ni…” Kali ini
terdengar rayuan berserta ketukan direntakkan sekali oleh Datin Sri Mastura.
Mendengarkan rayuan itu, akhirnya
Danish kalah dengan kedegilannya yang sebentar. Dia bangkit dan perlahan
memulakan langkahnya untuk menghampiri daun pintu yang masih tertutup rapat.
“Danish dah tidur ke?” soal Datin
Sri Mastura saat terlihatkan wajah sayu anaknya itu.
“Belum. Masuklah.”
Datin Sri Mastura mengekori Danish
dan duduk di atas sofa empuk yang mempunyai kedudukan bertentangan dengan katil
anaknya itu.
“Mama nak bincangkan apa?” soal
Danish. Suaranya perlahan.
Datin Sri Mastura terdiam. Jiwanya
menjadi resah dan semerta lidah yang tadinya bergetar untuk bersuara kini
‘lumpuh’ sepenuhnya.
“Mama… tadi mama kata ada perkara
yang hendak dibincangkan. Apa dia?” Ulangan soalan dilakukan. Hanya susunan
ayatnya sahaja yang berbeza.
“Sebenarnya… mama nak bincang
mengenai papa kamu.” Agak tergagap-gagap Datin Sri Mastura meluahkan tujuannya.
“Danish tak nak dengar!” Suara
Danish meninggi. Sudah dijangkakan perkara itulah yang hendak dibincangkan olah
mamanya itu.
“Danish… dengar dulu apa yang mama
nak perkatakan ni.”
“Nak dengar apa lagi? Mama nak katakan
apa yang dah tersebar dekat surat khabar tu semuanya dusta?! Wartawan-wartawan
tu semuanya gila? Tak betul? Sebab tulah dia orang reka semua cerita tu?! Macam
tu?” Berombak dada Danish melawan amarah di jiwanya. Sungguh dia sesal kerana
mamanya itu masih cuba hendak menegakkan benang yang sudah basah.
“Tak… mama takkan sangkalkan lagi
kebenarannya.” Bergenang kelopak mata Datin Sri Mastura saat dia melahirkan
kata-katanya itu.
“Apa maksud mama?”
“Danish… apa yang dah tersebar dalam
surat khabar tu… semuanya betul.” Kali ini tangisan kecil sudah kedengaran.
“Jadi… betullah apa yang…” Kata-kata
Danish terhenti. Dadanya kian terasa sakit. Bagaikan amukan yang hendak
meletuskan laharnya dan semerta rasa bencinya terhadap papanya itu menjelma
semula.
“Sejak bila mama tahu tentang
perkara tu?” Setelah agak lama kedua beranak itu membisu, persoalan itu
diluahkan oleh Danish. Dia ingin terus mencari kebenarannya, biarpun pahit!
“3 bulan yang lepas.” Terdengar
getaran dalam bicara Datin Sri Mastura. Petanda yang emosinya masih terganggu.
“3 bulan? Jadi dalam tempoh 3 bulan
ni mama diamkan je?! Mama izinkan papa terus bermaharajalela dengan betina tak
guna tu?! Macam tu?!” Lahar amarah sudah meletus. Tidak mampu untuk Danish
memadamkannya dengan kesabaran yang sudah tiada.
Danish bangkit. Dia tidak mahu untuk
melanjutkan lagi perbualan. Dia sedar semakin dia mengetahui tentang topeng
sialan yang papanya tempekkan di mukanya itu, semakin itulah jiwanya berdarah,
merana serta kecewa kerana berbapakan seorang lelaki yang tidak berguna!
“Danish! Tunggu. Tunggu dulu
sayang…” Datin Sri Mastura sempat meraih lengan anaknya itu.
“Mama nak suruh Danish tunggu di
sini? Untuk apa?! Danish dah tak boleh nak bersabar lagi. Bukan sekali papa buat
perkara tak senonoh ni. Tapi dah berulang kali. Danish dah tak boleh bersabar
mama… Danish harus tegakkan hak mama. Mama isteri papa. Isteri yang sah dan
seharusnya papa sedar tentang hakikat itu.”
“Dah terlambat sayang… dah terlambat.”
Merembes semula air mata Datin Sri Mastura.
“Apa maksud mama? Apa yang dah
terlambat?!”
“Papa kamu… dia dah… dia…”
“Dia apa mama?! Cakap mama! Dia
apa?” Resah kian menari-nari di jiwa Danish.
“Papa kamu dah bernikah dengan model
tu!”
“Apa?!!!” jeritan Danish tidak mampu
untuk mengurangkan titisan air mata yang kian menghujani wajah Datin Sri
Mastura dan akhirnya Danish juga tumpas! Dia menangisi nasib diri dan mamanya
yang telah dicurangi oleh papanya sendiri!
Danish kini bersendirian di atas
bukit berhampiran sebuah lebuh raya. Dia mendongakkan kepalanya. Tapi sayangnya
malam ini tiada kerdipan permata di dada langit. Langit yang terbentang luas
itu suram, sesuram jiwanya saat ini.
Dia mengeluh lagi. Matanya yang
pedih akibat tangisannya sebentar tadi masih terasa sehingga kini. Dia
memejamkan semula matanya, cuba untuk mengusir jauh kesedihan serta kekecewaan
yang masih bermukim di hatinya.
“Woi! Kau buat apa tu?” sergah
Rashid.
Danish tersentak dan semerta dadanya
berombak. Rasa terkejut terus merencatkan usahanya sebentar tadi.
“Kau ni… agak-agaklah. Tak reti nak
bagi salam ke apa,” marah Danish.
“Sorry
bro. Assalamualaikum,” tersenyum Rashid. Gembira hatinya dapat menyakat
sahabatnya itu.
“Bila kau sampai?” soal Danish.
“Baru je. Takkan kau tak dengar
bunyi kereta aku?” Rashid melabuhkan punggungnya di sebelah Danish.
Diam. Tiada kata balasan daripada
Danish.
“Kau okey ke?” soal Rashid setelah
melihatkan kebisuan sahabatnya itu.
“Maksud kau?” Danish berteka-teki.
“Yalah. Maksud aku… bila kau call aku, suruh aku datang sini… mesti
ada benda yang kau runsingkan. Betul tak?”
Danish mengeluh sebelum mulutnya
berbicara. “Kalau kau jadi aku. Kau akan runsing tak?”
Rashid mengerti akan maksud
sahabatnya itu. Dia lebih jelas mengenai keadaan Danish berbanding insan
lainnya. Keakraban kedua mereka bukannya terjalin setahun dua, tetapi sudah
hampir 15 tahun mereka menjadi sahabat sejati. Tiada istilah RAHSIA di antara
mereka.
“Entahlah… kalau aku jadi kau…
mungkin aku dah blah ke luar negara kot,” jawab Rashid.
“Kalau aku tak fikirkan tentang mama
aku, memang dah lama aku ke luar negara. Tapi… aku tak sampai hati nak biarkan
mama aku tanggung semua penderitaan ni seorang diri.”
“Aku faham. Tapi aku yakin yang
semua masalah ni akan selesai. Yalah… gosip macam ni memang selalu melanda
golongan atasan macam kita ni. Kau tahu jelah wartawan ni, dia orang ni sanggup
buat apa sahaja untuk mengaut keuntungan. Jadi tak hairanlah kalau dia orang
sanggup fitnah papa kau tu.”
“Fitnah? Kau rasa papa aku kena
fitnah?” sinis suara Danish.
Rashid mengerutkan dahinya. Dari
intonasi Danish itu, dia tahu masih ada sesuatu yang cuba untuk diluahkan oleh
sahabatnya itu.
“Rashid… sepanjang kau mengenali
papa aku, kau rasa papa aku tu… orangnya macam mana?”
“Papa kau? Emm… bagi aku, papa kau
tu mudah mesra dengan orang sekeliling. Pemurah. Setiap kali ada badan NGO
ataupun orang-orang yang memerlukan bantuan, mesti dia akan bantu. Lagi satu…
papa kau ni tak suka sangat berkira dengan kawan-kawan dia. Kenapa kau tanya
aku soalan macam tu?”
Danish tersenyum. Namun senyumannya
lebih kepada menyindir.
“Kau ni dah kenapa? Aku tanya kau
tak jawab. Lepas tu boleh pulak kau senyum menyindir macam tu. Peliklah kau
malam ni,” rungut Rashid.
Namun rungutan Rashid hanya disambut
dengan keluhan. Wajah Danish juga sudah bertukar sayu semula.
“Kenapa ni Danish? Aku tahu kau ada
sembunyikan sesuatu daripada aku.” Rashid menggenggam kuat bahu Danish. Dia
tahu yang sahabatnya itu memerlukan sokongan daripadanya tika ini.
“Rashid… kalau aku katakan yang…”
Ayat Danish tergantung. Kekuatan cuba dikumpulkan untuk meluahkan kebenaran
yang bakal memesongkan tanggapan sahabatnya itu terhadap papanya.
“Apa dia?” soal Rashid, resah.
“Kalau aku katakan perkara yang
sedang tersebar di surat khabar tu buakannya sekadar fitnah. Kau percaya tak?”
Perlahan suara Danish. Tetapi masih mampu didengari oleh Rashid.
“Apa maksud kau sebenarnya?” Laju
Rashid bertanya.
“Rashid… kalau kau nak tahu…
sebenarnya papa aku dah bernikah dengan perempuan tak guna tu!” Serentak dengan
kebenaran itu Danish memandang tepat sepasang mata milik sahabatnya itu.
Rashid tersentak. Di dalam
ketidakpercayaan hadir keyakinan mengenai kenyataan sahabatnya itu. Andai
tidak, mengapa harus Danish mengalirkan air mata?