Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 11 - Rancangan Danish Buat Natasha

11

RANCANGAN DANISH BUAT NATASHA

Galore Italian Coffee House sudah acap kali dikunjungi oleh Danish. Namun buat Natasha inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Coffee House itu.

Natasha menebarkan pandangannya ke sekitar restoran eksklusif itu. Matanya terpengun. Berlainan benar dekorasi dalaman restoran ini berbanding restoran-restoran yang pernah dikunjunginya sebelum ini.

‘Mewah!’ Kata tunggal itu sekali lagi bergema di hati Natasha bagi mentafsir apa yang sedang dipandang oleh sepasang matanya.

“Pernah datang sini?” soal Danish.

Natasha menggelengkan kepalanya sambil mulutnya terbuka untuk melahirkan kata. “Kenapa bawa saya ke sini?”

Baru sahaja Danish hendak memberikan jawapannya, seorang waiter menghampiri meja mereka.

Setelah menghulurkan kad menu, waiteritu mula berbicara. “Encik dah nak buat pesanan ke?”

“Emm… bagi saya latte dengan chicken chop. Awak nak pesan apa?” Persoalan ditujukan kepada Natasha.

“Saya… saya ikut awak jelah.”

“Okey. Kalau macam tu bagi kami dua minuman latte dan dua hidangan chicke chop.” Danish memandang tapat ke arah waiteritu.

Setelah mencatat apa yang dipesan oleh pelanggannya, waiter itu mengulangi pesanan sebelum berlalu pergi.

“Dekat mana kita tadi?” soal Danish kemudiannya.

“Dekat mana? Maksud awak?” soal Natasha, bingung.

“Tak… maksud saya. Apa yang awak soal saya tadi?”

“Ooo… saya tanya kenapa awak bawa saya ke sini?”

Danish tersenyum. Dia merenung lembut gadis polos di hadapannya. ‘Cantik juga si polos ni,’ pujian itu terlahir di hati Danish.

“Sebenarnya saya bawa awak ke sini sebab saya nak awak buka mata.”

“Buka mata? Saya tak faham.” Jujur Natasha.

Danish menghelakan nafasnya. Otaknya ligat menyusun ayat agar bicaranya sebentar nanti tidak akan menyinggung perasaan Natasha.

“Natasha… awak kenal siapa Malik dan Marlina?”

“Malik?... bagi saya dia seorang lelaki yang baik dan jujur. Tapi sayangnya dia sudah bertemu dengan perempuan yang tidak sepatutnya. Marlina tak sesuai dengan Malik. Mereka bagaikan langit dengan bumi. Sikap mereka jauh berbeza. Tapi… jangan pula awak fikir yang saya cemburukan Marlina sampai sanggup memburuk-burukkan dia. Saya hanya memberikan pendapat peribadi saya sahaja.”

Danish menganggukkan kepalanya. “Selain dari tu? Awak tahu tentang latar belakang mereka?”

“Tak banyak yang saya tahu. Saya tak mempunyai banyak peluang untuk mengenali mereka dengan lebih rapat. Lagipun… status saya jauh berbeza dengan mereka.” Natasha tertunduk. Mengingatkan diri akan statusnya.

“Itulah jawapannya. Jawapan kepada persoalan awak tadi. Awak tanya saya kenapa saya bawa awak ke sini? Dan jawapannya adalah kerana saya nak awak tahu yang cara hidup mereka malahan para pelajar di sekolah tu tak sama dengan awak. Mereka tak biasa makan di warung-warung kecil. Mereka tak biasa pakai pakaian murah malahan mereka tak biasa berbicara dengan orang kebanyakan macam awak.” Biarpun kata-kata Danish itu lembut, namun calar di hati Natasha sudah kelihatan.

Bergenang air mata Natasha. Kenapa? Kenapa begitu kejam sekali lelaki itu memperkatakan tentang semua itu? Kenapa?!

“Saya tak minta awak bawa saya ke sini! Dan saya juga tak minta awak mengingatkan saya tentang status diri saya!” Linangan air mata Natasha kian ‘bernyawa’.

“Saya… minta maaf kalau kata-kata saya tadi mengguris perasaan awak. Tapi niat saya baik. Saya nak awak tahu kenapa Marlina boleh memilik Malik! Dan saya juga nak awak sedar kenapa Malik menolak awak.”

“Awak ingat saya tak tahu tentang semua tu?! Saya sedar siapa diri saya… sebab itulah saya hanya boleh menyintai Malik dalam diam. Saya tak berani untuk meluahkan isi hati saya. Tapi… saya sedar biarpun kata cinta belum saya lahirkan… Malik sudah lama ‘menolak’ saya dengan menjadikan Marlina sebagai pasangannya.” Natasha cuba menghapuskan air mata saat dilihatnya waitertadi kembali semula ke meja mereka dengan menatang ke semua pesanan mereka tadi.

Setelah meletakkan kesemua hidangan di atas meja, waiter itu kembali semula menjalankan tugasnya.

“Jadi maknanya awak belum meluahkan kata cinta itu?”

Natasha menggelengkan kepalanya. Hatinya masih terasa dengan bicara lelaki di hadapannya itu sebentar tadi.

“Kalau macam tu awak masih mempunyai peluang untuk merebut cinta awak tu.”

Natasha diam. Dia tidak mahu menaruh sebarang harapan lagi. Biarlah seandainya Marlina terus menjadi pilihan Malik sampai kapan pun.

“Awak dengar tak apa yang saya cakapkan ni?” Danish meneguk sedikit latte, minuman kegemarannya.

“Saya nak balik!” Natasha bangkit dan cuba untuk berlalu. Namun sempat dihalang oleh Danish.

“Duduk dulu. Dengar apa yang saya nak cakapkan dan selepas itu saya akan hantar awak pulang,” rayuan bersama pandangan sayu mencairkan hati Natasha. Dia kembali mendapatkan kerusinya.

“Cakaplah apa yang awak nak cakap. Tapi saya tak suka awak merepek benda yang bukan-bukan.”

“Okey… mula-mula saya nak minta maaf kalau kata-kata saya tadi mengguris perasaan awak. Kedua saya ada rancangan untuk menyatukan awak dengan Malik sekaligus menolak Marlina. Tapi sebelum tu saya nak awak baca ni.” Danish menghulurkan sekeping sampul surat yang bercorak bunga.

Lambat Natasha mengambil apa yang dihulurkan kepadanya.

“Baca surat yang ada dalam sampul tu,” arah Danish.

Natasha menuruti kemahuan Danish. Dia membuka sampul surat yang berbau wangi itu dan sekeping kertas berwarna ungu bercorak bunga kecil diambilnya sebelum mulutnya perlahan membaca baris-baris ayat yang tertera di dada kertas itu. Hampir 15 minit dia menekuni bait-bait kata si pengirim.

“Betul ke apa yang saya baca ni dan betul ke dia yang hantar surat ni pada awak?” Natasha bagaikan tidak percaya dengan kebenaran yang baru sahaja diketahuinya sebentar tadi.

“Kenapa? Awak tak percaya? Takkan awak tak kenal milik siapa tulisan tu?”

“Saya kenal. Kenal sangat. Tapi… bukan ke dia dengan Malik? Jadi kenapa mesti dia hantar surat ni pada awak?” soal Natasha lagi. Masih belum puas mencari kebenarannya.

“Surat ni saya dapat awal tahun ni. Marlina tu budak baru di sekolah kita, kan? Jadi… masa tu mungkin dia berharap yang saya akan menerima cinta dia dan sebab tu dia hantar surat tu. Tapi saya tak layan pun. Dahlah kolot. Hantar surat bagai. Mana ada orang hantar-hantar surat lagi zaman sekarang ni.” Danish tersenyum sinis.

“Awak tolak dia sebab cara dia meluahkan perasaan dia pada awak kolot atau… memang awak tak pernah sukakan dia?”

Of courselah sebab saya tak pernah sukakan dia! Dan selama ni saya langsung tak sedar bahaw si pembuli Marlina awak tu adalah orang yang sama memberikan surat cinta ni kepada saya. Kalau saya tahu… dah lama saya ‘kerjakan’ dia.” Serius benar wajah Danish tika ini.

“Takkan awak tak ingat wajah orang yang menghantar surat cinta ni pada awak?” uji Natasha.

“Dia tak hantar sendiri. Dia minta entah minah mana tah yang jadi kuli dia untuk berikan surat ni pada saya. Sebab tu saya langsung tak tahu tentang budak Marlina ni.”

Natasha terdiam. Akhirnya dia berpuas hati dengan penjelasan Danish. Tanpa sedar Natasha meneguk sedikit latte dan dia tersedak. Mana tidaknya, minum itu langsung tidak bersesuaian dengan tekaknya.

Danish menghulurkan tisu dan bibirnya menguntumkan senyuman. “Awak tak biasa minum minuman tu sebab tu awak tersedak. Tapi bila dah lama-lama, awak akan tahu menikmati rasa pahit dan manisnya.”

Natasha mengesat bibirnya. Kata-kata Danish bagaikan angin yang melintasi pendengarannya. Sedikitpun tidak terkesan di mindanya. Ada sesuatu yang harus ditanyai kepada Danish dan itulah keutamaannya tika ini.

“Jadi… apa kaitan surat ni dengan rancangan awak tadi?”

Kali ini senyuman Danish kian melebar. Nampaknya Natasha sudah termakan ‘umpannya’.

“Macam ni… bila diteliti surat cinta tu ternyata yang Marlina hanya menyintai saya dan oleh kerana cintanya ditolak, dia harus mencari ‘pokok’ yang lain untuk terus menjadi parasit kerana Marlina tidaklah sekaya yang awak sangkakan. Dia memerlukan lelaki yang berharta dan berstatus untuk terus berlagak sebagai queen di sekolah tu. Jadi maknanya sekarang ni awak mempunyai peluang untuk mendapatkan Malik dengan cara membuatkan Marlina berpaling tadah daripada Malik iaitu melalui saya. Selepas tu awak harus menambat hati Malik... juga melalui saya.”

Natasha mengerutkan dahinya. Dia tidak faham akan makna di baris ayat kedua terakhir bicara Danish itu.

“Awak tak faham?”

Natasha menggelengkan kepalanya.

“Macam ni… mula-mula saya akan buat seolah-olah saya ingin mendampingi serta memikat Marlina dan dalam masa yang sama kita harus menunjukkan seolah-olah yang kita ni pasangan kekasih untuk membuatkan Malik berasa cemburu setelah dia kehilangan Marlina.”

“Kenapa pulak Malik nak cemburu kalau dia tahu yang kita ni konon-kononnya bercinta?”

“Sebab waktu tu dia sudah kehilangan Marlina dan awak orang yang paling rapat di samping dia, jadi bila dia mendapat tahu yang awak sudah menjalinkan hubungan dengan saya… sedikit sebanyak perasaan cemburu tu mesti muncul jua. Pada waktu tulah awak harus menarik perhatian dia dan meluahkan rasa cinta awak.”

“Tapi… macam mana kalau Marlina tak percaya yang awak sukakan dia? Yalah masa tu mesti hal percintaan olok-olok kita dah tersebar di serata sekolah.”

Danish tersenyum. Kali ini chicken chop di hadapannya pula yang menjadi ‘mangsanya’.

“Pasal Marlina tu awak jangan risau. Pandailah saya nak handlemacam mana. Apa yang penting awak harus bersetuju dengan rancangan ni.”

“Tapi kenapa? Kenapa awak lakukan semua ni? Sedangkan awak tak kenal rapat dengan saya.” Persoalan terakhir itu begitu penting untuk Natasha mendapatkan jawapannya agar keputusan dapat dipertimbangkan.

Persoalan Natasha tidak dijawab secara lisan. Hanya renungan mata Danish yang begitu lembut seolah-olah memberitahu Natasha bahawa dirinya mempunyai tempat yang tersendiri di hati lelaki itu. Mungkinkah sebagai teman untuk berkongsi derita?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.