10
KE MANA DANISH INGIN
MEMBAWA NATASHA?
Melihatkan
kelibat pasangan kekasih itu kian menghampirinya, Danish melajukan langkahnya
sehingga dengan sengaja dia melanggar bahu si gadis berambut kerinting itu.
“Buta ke?!” marah Malik tanpa
menyedari siapakah yang melanggar bahu Marlina.
“Maaf saya tak sengaja,” tutur
Danish.
“Eh… Danish. Tak apa, saya tahu yang
awak tak sengaja.” Lembut benar suara Marlina tika ini.
Malik di sisi juga sudah terdiam
seribu bahasa. Tidak berani untuknya berkata apa. Dia tahu seandainya dia
menyinggung perasaan lelaki tinggi di hadapannya itu pasti padah akan
menimpanya. Dia sedar pengaruh sebesar manakah yang sudah ditakluki oleh lelaki
yang sedang mengukirkan senyuman itu.
“Awak okey ke?” senyuman masih kekal
di bibir Danish.
“Saya okey. Maaflah saya tak
perasaan awak tadi.” Suara Marlina kian lembut.
“Tak, saya yang salah. Baiklah,
kalau awak tak ada apa-apa saya minta diri dulu.” Seraya menuturkan kata-kata
itu, Danish sudah melangkah ke hadapan.
Langsung tidak ditolehnya
kebelakangan untuk melihat reaksi pasangan kekasih yang masih berdiri di
belakangnya barangkali.
Agak lama Marlina melihat susuk
tubuh lelaki idamannya itu dari belakang. Sedari dahulu lelaki yang bernama
Danish itulah yang menjadi kegilaannya. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Muda
Danish? Siapa yang tidak mahu menakluki daerah hati lelaki itu? Dan siapa pula
yang tidak menginginkan ‘kegemilangan’ saat berpacaran dengan lelaki tinggi
lampai itu?
Malik yang menyedari akan renungan
‘gatal’ Marlina terus menarik lengan kekasihnya itu untuk segera berlalu dari
situ. Tanpa rela, Marlina terpaksa mengikuti langkah Malik bagi mengaburi
‘kecurangan’ di hatinya.
Kini Danish sudah berdiri di muka
pintu kelas 5 Cempaka. Dari sudut itu dia menyaksikan juraian air mata kian
membasahi wajah Natasha. Sedih benar gadis itu tika ini. Tersentuh hati Danish
dengan apa yang disaksikan oleh sepasang matanya itu.
‘Kenapa begitu sekali tangisan
Natasha?’ Persoalan terlahir saat Danish mengatur langkah sulungnya untuk
memasuki kelas yang hanya tinggal seorang sahaja penghuninya.
“Nah.” Danish menghulurkan sapu
tangan kepada Natasha saat diriannya betul-betul di hadapan gadis itu.
Terkejut Natasha dengan kehadiran
Danish. Entah bila lelaki itu tercegat di hadapannya, dia sendiri tidak tahu.
“Nah. Ambillah.” Sekali lagi Danish
bersuara.
“Tak apalah…. saya tak perlukan sapu
tangan awak.” Perlahan Natasha menjawab.
“Janganlah degil. Ambil.” Saat ini
Danish sudah memegang tangan Natasha dan diletakkan sapu tangan itu di telapak
tangan gadis itu.
Tersentak Natasha dengan kelakuan
Danish dan kerana terpaksa dia mengambil jua sapu tangan bercorak kotak-kotak
di telapak tangannya itu.
“Kesat air mata tu.” Persis seorang
ayah, Danish memberikan arahan.
Natasha pula bagaikan pak turut.
Hanya menuruti kata-kata yang terlahir dari bibir lelaki yang sedang merenung
lembut ke arahnya itu.
“Kenapa awak datang ke sini?” soal
Natasha. Terasa kekok dirinya direnung seperti itu.
“Saya tunggu awak dekat tempat
‘kita’. Tapi awak tak muncul-muncul. Tu yang saya datang sini.”
“Tempat ‘kita’? Bila masa pulak kita
ada tempat?” Berkerut dahi Natasha.
Tersenyum Danish mendengar kata-kata
polos gadis di hadapannya itu. “Maksud saya, bangunan lama tu. Saya panggil
bangunan lama tu, tempat ‘kita’. Sebab hanya kita berdua sahaja yang menjadikan
tempat tu sebagai tempat pertemuan ‘kita’. Kiranya macam tempat rahsialah.”
‘Dulu tempat tu, tempat ‘aku’ dan
bukannya tempat ‘kita’. Kau yang menyebuk datang dekat tempat aku,’ bebelan itu
terlahir di hati Natasha. Sedangkan mulutnya masih terkunci rapat.
“Kenapa awak tak datang ke sana?”
soal Danish. Tidak betah dengan kebisuan Natasha.
“Sebab saya ada dekat sini. Saya
hanya ada satu tubuh sahaja. Mustahilkan saya boleh belah badan saya ni untuk
pergi ke dua tempat yang berbeza.” Kata-kata Natasha pada hari ini berlainan
dari kebiasaannya. Ternyata emosi gadis itu sedang terganggu tika ini.
Natasha terus mengemas buku-buku
yang masih bersepah di atas mejanya. Danish yang terperasankan sesuatu,
mencapai sebuah buku yang telah menarik perhatiannya.
“Kenapa awak kena bawa balik buku
ni?” Danish menunjukkan buku tersebut kepada Natasha.
“Saya tak perlu jelaskan kepada
awak! Sebab ianya tak ada kena mengena dengan awak.” Natasha pantas merebut
buku yang masih dipegang kuat oleh Danish. Namun lelaki itu enggan
melepaskannya.
“Sampai bila awak nak jadi kuli
batak Marlina?! Sampai bila?!” Tiada niat untuk Danish berkasar dengan Natasha.
Namun tujuannya baik, hendak menyedarkan Natasha bahawa dia tidak perlu menjadi
‘balaci’ kepada sesiapa lagi!
Natasha menangis lagi. Bukan kerana
tengkingan Danish itu tetapi kerana segala kata-kata lelaki itu benar belaka.
Memang! Memang dia kuli batak kepada pasangan kekasih itu! Memang dia balaci
kepada Malik dan Marlina!
“Natasha… saya tak nak awak terus
ikut telunjuk Marlina mahupun Malik. Awak tak rasa sakit hati ke bila awak
terpaksa menjadi orang suruhan Marlina sedangkan Malik hanya membiarkan sahaja.
Saya tahu perasaan apa yang awak simpan buat Malik.”
“Apa… maksud awak?” Lambat Natasha
menyoal.
Danish membalas pandangan berkaca
Natasha. Hatinya kian runtun melihat kesedihan gadis itu. Entah kenapa bila
bersama si polos ini, hatinya mudah tersentuh.
“Sebenarnya… saya tahu yang awak ada
menyimpan perasaan pada Malik dan saya juga tahu yang Malik menolak awak kerana
Marlina.”
Natasha terdiam. Tangisannya kian
beria. Nampaknya rahsia yang selama ini cuba untuk disorokkan dari lelaki di
hadapannya itu terbongkar jua.
“Jadi sekarang… awak nak ketawakan
sayalah? Awak nak cakap yang saya ni betul-betul bodoh kerana menyintai lelaki
yang telah menolak saya. Macam tu?”
“Tak. Tapi saya datang ke sini kerana
ingin menawarkan sesuatu kepada awak.”
“Saya tak faham.” Berkerut dahi
Natasha dan air mata yang masih ‘segar’, dihapuskannya.
“Saya ada cara untuk awak
mendapatkan Malik dan menyingkirkan Marlina!” Tegas Danish.
Natasha tersentak sekali lagi. Otaknya
cuba mencernakan makna yang tersirat di sebalik bicara lelaki yang masih
merenungnya ini.
“Saya nak awak ikut saya pergi satu
tempat. Dekat sana nanti saya akan terangkan pada awak apa yang sedang saya
rancangkan.”
“Pergi mana?” Lambat Natasha bertanya.
“Ambil beg tu. Kita pergi sekarang.”
Masih tegas bicara Danish.
Hati Natasha kian resah. Haruskah
dia mengikuti lelaki yang sudah memegang lengannya itu?
“Cepatlah,” gesa Danish.
“Tak boleh! Saya kena tunggu mama
saya. Saya tak boleh ikut awak!” Natasha menyentak lengannya. Namun Danish
masih enggan melepaskan dirinya.
“Nanti dalam perjalanan awak hubungi
mama awak dan katakan pada dia yang saya akan hantar awak balik!” Seraya
menuturkan kata-kata itu Danish menarik terus lengan Natasha.
“Tapi… saya…” Kata-kata Natasha
tersangkut. Rasa takut dan cemas bersatu.
“Tak ada tapi-tapi! Kali ni awak
harus ikut saya!”
Tanpa rela Natasha terpaksa menuruti
langkah panjang Danish. Mustahil untuknya melepaskan diri apatah lagi lelaki
itu kian mencengkam kuat lengannya.
‘Ya Allah. Selamatkanlah aku.’ Hanya
rintihan itu terlahir di hati Natasha.