Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 1 - Siapa Natasha?

1

SIAPA NATASHA?

Sekolah Menengah Kenanga Indah sunyi sepi setelah waktu rehat tamat. Para pelajar menggalas semula tanggungjawab untuk menuntut ilmu. Namun tidak semua pelajar menumpukan perhatian sewaktu proses pembelajaran berjalan.

“Natasha! Awak dengar tak apa yang cikgu soalkan pada awak?!” Meninggi suara Cikgu Salmah.

Natasha tersentak. Lamunannya terhenti dan angan-angan bersama sang putera berderai.

Cikgu Salmah menghampiri Natasha. Rasa sakit di hatinya kian bertambah akibat kebisuan pelajar yang seorang itu. Kini diriannya betul-betul di hadapan Natasha.

“Cikgu tanya awak. Awak dengar tak apa yang cikgu soalkan tadi?!” Masih kasar tuturan Cikgu Salmah.

Natasha menjadi kaku. Rasa takut sudah lama bermukim di hatinya, apatah lagi saat berhadapan dengan Cikgu Salmah. Guru yang sepanjang tahun merangkul gelaran guru tergarang di sekolah persendirian itu.

“Awak pekak ke?! Saya tanya ni. Jawablah.”

“Saya… tak dengar cikgu.” Perlahan suara Natasha.

“Macam mana awak nak dengar, kalau dalam kepala otak awak tu asyik ingat benda lain je. Nasib baiklah sekolah ni, sekolah persendirian. Kalau tak! Dah lama dah saya halau awak dari kelas ni!” ugutan secara berselindung Cikgu Salmah kiaskan.

Natasha tertunduk. Dia takut hendak menatap pandang ‘singa betina’ di hadapannya itu.

“Lepas kelas ni. Saya nak awak angkat semua buku-buku latihan dekat atas meja saya tu dan bawa ke bilik guru. Faham!”

“Faham cikgu.”

Biarpun timbunan buku-buku di atas meja itu agak berat untuk diangkat seorang diri, namun Natasha takut hendak membantah. Apatah lagi, arahan yang diberikan oleh Cikgu Salmah itu sebenarnya merupakan denda di atas kesilapannya sebentar tadi.

Natasha hanya memandang sayu langkah bongkak Cikgu Salmah itu. Dia tahu sedari dulu lagi cikgu yang seorang itu tidak pernah menyenangi kehadirannya di kalangan rakan-rakan sekelasnya. Natasha sedar kenapa perkara itu berlaku. Semuanya kerana status! Statusnya hanyalah anak orang pertengahan, berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Semuanya berstatus. Ada yang ibu bapanya bergelar Tan Sri, Dato dan bermacam lagi. Tetapi Natasha hanyalah berbintikan Mohd. Bakri. Tiada langsung pangkat Dato, apatah lagi Tan Sri di hadapan nama bapanya itu.

Natasha menarik semula nafasnya dalam dan dihembuskannya perlahan. Dia mengukirkan senyuman. Cuba mencari ketabahan untuk menghabiskan waktu pembelajarannya dengan wanita yang bersuara lantang di hadapan papan putih itu. Namun sesekali matanya meliar, mengintai putera idamannya, Malik.

Lelaki bertubuh tinggi dan berkulit sawo matang itu sudah lama mencambahkan rasa cinta dan bahagia di hati Natasha. Cukuplah sekali sahaja lelaki itu melemparkan senyuman kepadanya, pasti segala arahan lelaki itu akan dituruti. Dia sanggup menjadi kuli kepada lelaki itu dalam menyiapkan tugasan berkumpulan, dia sanggup menyiapkan kerja sekolah lelaki itu dan dia juga sanggup menukarkan kertas ujiannya dengan putera idamannya itu. Tetapi sehingga kini segala pengorbanannya sia-sia.

Malahan Malik dengan beraninya meluahkan rasa cintanya kepada gadis manis di sebelahnya. Marlina, itulah nama gadis yang digilai ramai lelaki. Tetapi akhirnya Malik berjaya ‘mengikat’ gadis itu dan semerta khabar cinta mereka terhebah di seluruh Sekolah Menengah Kenanga Indah.

Mengenangkan itu kesedihan mengikat semula rasa cinta di hati Natasha. Dia mengeluh. Tetapi sayangnya keluhan itu tidak dapat mengubah hakikat. Hakikat bahawa dirinya hanyalah sandaran kepada Malik saat lelaki itu memerlukan pertolongan daripadanya dan sudah pastilah dirinya tidak mungkin dapat menandingi Marlina. Gadis jelita yang sentiasa anggun biarpun dirinya hanya mengenakan seragam sekolah.

 

“Letakkan buku tu dekat atas meja.” Tiada ramah Cikgu Salmah berbahasa.

Natasha hanya mengikuti sahaja arahan cikgunya itu.

“Emm… ada apa-apa lagi yang saya boleh bantu, cikgu?” Lembut Natasha bertanya.

“Tak ada. Tapi ingat! Lain kali dalam kelas jangan asyik nak mengelamun je.”

Hanya anggukan tanpa suara, Natasha berikan. Berpuas hati dengan bahasa tubuh pelajarnya itu, Cikgu Salmah memberikan arahan kepada Natasha untuk keluar dari bilik guru itu.

Langkah Natasha perlahan. Terasa malas kakinya hendak melangkah. Namun saat terlihatkan lambaian mamanya di luar pintu pagar sekolah, dia memaniskan semula wajahnya.

“Kenapa anak mama ni?” soal Sarlina saat kereta Saga BLMnya meluncur di jalan raya.

“Kenapa apa?”

“Muka tu… mama tengok, masam semacam je. Ada apa-apa yang tak kena ke?” Persoalan masih mendesak ke arah jawapan.

“Tak ada apa-apalah. Mungkin Natasha penat je.”

Diam. Tiada lagi persoalan yang Sarlina luahkan. Dia tahu anaknya itu berdusta, tetapi dia juga pasti yang anak tunggalnya itu masih belum bersedia untuk berkongsi rasa dengannya.

“Siapa jaga kedai?” soal Natasha bagi mengusir kesunyian yang sekejap.

“Siapa lagi. Papa kamulah.”

“Emm… Kak Suri tak datang lagi?”

“Tak. Semalam dia janji nak datang hari ni. Dah banyak hari dah dia ponteng kerja. Tak tahulah, apa masalah dia. Kalau nak ikutkan hati mama ni, nak je mama buang dia tu kerja. Tapi papa kamu tu lembut sangat. Bagi muka sangat dekat pekerja, itulah jadinya,” bebel Sarlina.

“Mungkin Kak Suri ada hal kecemasan kot, mama. Tak apalah. Mama tak payah hantar Natasha balik rumah. Mama terus je pergi kedai. Bolehlah Natasha tolong mama dengan papa.”

Sarlina tidak terus memberikan kata putus. Memanglah andai diikutkan kata hatinya, mahu sahaja dia menerima cadangan Natasha itu. Namun, dia khuatir kepenatan akan terus ‘mengekori’ anaknya.

“Bolehlah mama. Lagipun, Natasha nak makan roti kegemaran Natasha. Boleh ya, mama,” rayu Natasha.

“Yalah. Tapi mama tak nak Natasha buat kerja sangat. Faham tu.”

“Okey, bos.” Bersama gurauan itu, Natasha tersenyum manja.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.