Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 5 - Bukan Sekadar Gosip

5

BUKAN SEKADAR GOSIP

Natasha menguyah laju roti kesukaannya itu. Seketul lagi roti coklat sudah dipegangnya, hanya menunggu signal daripada tekak untuk disumbatkan ke mulutnya.

Bakri menghampiri anak tunggalnya itu setelah menyusun bahan-bahan untuk membuat kek dan roti yang baru sahaja dibeli oleh isterinya itu. Dia mengambil tempat di sebelah anaknya.

“Anak papa ni lain macam je papa tengok hari ni.” Bakri memulakan perbualan.

“Lain macam? Tak adalah, Natasha okey je,” balas Natasha dan kunyahan yang terhenti sebentar tadi diteruskan semula.

“Yalah tu.” Dua patah kata itu sudah menunjukkan yang Bakri tidak mempercayai jawapan Natasha sebentar tadi.

“Terpulanglah sama ada papa nak percaya ke tak. Tapi Natasha okey je.” Natasha meneguk sedikit air kopi.

“Memang papa tak percaya. Kamu tu anak papa. Lain sikit mood kamu tu, papa dapat tahu.” Yakin Bakri.

Natasha terdiam. Roti di tangannya juga sudah habis dimakannya. Dia sedar kini papanya itu menuntut jawapan terhadap perubahan emosinya pada hari ini. Papanya itu memang hebat, sedikit sahaja lenggok tubuhnya berubah sudah dapat ditekanya yang dirinya berada di dalam kesedihan mahupun kekecewaan.

“Natasha ada masalah dengan kawan-kawan dekat sekolah?” Masih belum berputus asa Bakri meneka.

Diam. Natasha tidak menjawab apa. Dia tahu, apa pun penipuan yang disuakan kepada papanya itu tidak akan berkesan. Tetapi untuk memberitahu akan kebenarannya, tidak mungkin dilakukannya.

“Papa… boleh Natasha tanya sesuatu?”

“Tanya apa?” soal Bakri membalas persoalan anaknya itu.

“Kenapa papa tak pernah halang mama sewaktu mama mendesak Natasha untuk belajar di sekolah privatetu?”

Bagi Natasha seandainya papanya itu menghalang desakan mamanya untuk mendaftarkan dirinya ke sekolah anak-anak orang kaya itu, pasti semua musibah ini tidak akan berlaku! Dia tidak mungkin akan jatuh cinta dengan seorang jejaka bernama Malik! Dia tidak mungkin akan dihina sebagai balaci oleh Marlina! Dan dia juga tidak perlu untuk bersua muka dengan Tuan Muda Danish!

“Kenapa tiba-tiba Natasha bangkitkan semula persoalan ni?” soal Bakri lembut. Rasa bersalah ‘mengintai’ dirinya.

“Natasha dah mula rasa menyesal ikut kemahuan mama?” soal Bakri sekali lagi setelah persoalannya sebelum ini tidak dijawab oleh anak tunggalnya itu.

“Memang Natasha rasa menyesal. Kalaulah Natasha tak bersekolah dekat sekolah tu… pasti…” Ayat Natasha tergantung. Dia mula menyedari akan keterlanjurannya.

“Pasti apa Natasha?” soal Bakri, resah.

“Tak ada apa-apalah papa. Roti coklat tu ada lagi tak?” Natasha memesongkan topik perbualan mereka.

“Natasha… jangan tipu papa. Papa tahu yang Natasha ada selindungkan sesuatu.” Bakri memegang lembut bahu anaknya itu.

“Tak ada apa-apalah papa. Cuma dunia kita dengan dunia orang-orang kaya tu, bagaikan langit dengan bumi. Natasha rasa lebih seronok kalau dapat bersekolah di sekolah lama. Orang-orangnya tak adalah ‘plastik’ macam orang-orang kaya tu.”

Bakri menepuk-nepuk perlahan bahu anaknya itu. “Sabar ya sayang. Tahun ni je Natasha perlu bertahan. Lepas habis SPM, Natasha tak payah lagi jumpa budak-budak ‘plastik’ tu.”

Natasha tersenyum. Terasa geli pula hatinya saat papanya menyebut ‘budak-budak plastik’.

“Ha! Macam nilah anak papa. Senyum. Tak adalah muncung je mulut tu.” Bakri mencubit lembut pipi anak kesayangannya itu.

“Natasha tunggu sekejap ya. Papa pergi ambil roti coklat kegemaran Natasha tu.” Bakri bangkit dari duduknya.

“Natasha! Natasha tengok ni!!!” Laju Sarlina mendapatkan anaknya.

“Mama ni! Lain kali tak payahlah nak jerit-jerit. Terkejut orang dibuatnya,” bebel Natasha.

Sorrylah. Mama tak sengaja. Mama tengah excited sangat ni. Tengok ni Natasha.” Sarlina mengunjukkan senaskah surat khabar tempatan kepada anaknya.

“Apa lagi ni mama. Gosip apa pulak hari ni.” Biarpun malas hendak melayan kerenah mamanya itu, namun Natasha mengambil juga surat khabar yang diunjukkan kepadanya.

“DATO SRI JASIR SAH MENIKAHI ELLY DI NEGARA SEBERANG.” Lancar Natasha membaca tajuk utama di dada akhbar itu.

“Kan mama dah cakap yang gosip tu betul. Memang dasar perempuan miang! Model tak sedar diri! Gedik!” cemuh Sarlina.

Bakri yang melihat tingkah isterinya itu, hanya menggelengkan kepalanya sahaja. Malas dia hendak menegur sikap mulut murai isterinya itu. Roti coklat kegemaran Natasha diletakkan di hadapan anaknya itu.

Mati terus selera Natasha saat melihatkan roti kegemarannya itu. Bukannya dia tidak menginginkan makanan yang lazat itu. Cuma buat masa sekarang otaknya ligat memikirkan pertemuannya dengan anak Dato Sri Jasir, Danish sewaktu di sekolah tadi.

‘Patutlah aku tengok mukanya muram semacam je tadi,’ omel hati Natasha.

“Natasha! Dengar tak apa yang mama cakapkan ni?” sergah Sarlina saat melihatkan anaknya itu seolah-olah mengelamun.

“Dengar.” Sepatah jawapan Natasha.

“Mama nak tanya ni.”

“Tanya apa?” Natasha sudah berasa tidak sedap hati. Pasti mamanya itu hendak melanjutkan perihal gosip yang telah dibacanya itu.

“Siapa nama anak Dato Sri Jasir tu?” Berhati-hati Sarlina bertanya.

“Danish. Kenapa mama tanya?”

“Emm… dia masih bersekolah dekat situ ke?” Sikap menyibuk Sarlinan kian terserlah.

“Yalah. Papa dengan mama diakan antara penyumbang dana terbesar sekolah tu. Mestilah dia terus bersekolah dekat situ.”

“Ooo… kiranya, dia masih boleh terimalah ya tanggapan masyarakat terhadap papa dia.” Mulut joyah Sarlina sudah kelihatan muncungnya.

Bakri mengeluh. Tidak berkenan sungguh dirinya dengan sikap isterinya itu. Kalau dok menjaga tepi kain orang lain, isterinya itulah juaranya.

“Apa maksud mama ni?”

“Yalah… papa dia tukan ke dah bernikah dengan model gedik tu. Mestilah cikgu-cikgu dengan para pelajar sekolah tu seronok mengumpat dia. Kalau mamalah jadi dia, dah lama dah mama blah dari sekolah tu,” sinis benar umpatan Sarlina.

“Tak semua orang macam awak tu. Suka menyibuk hal orang lain,” sela Bakri.

“Eh! Awak tu apa tahu? Awak tu cuma tahu buat roti dengan kek je tau. Kalau tak disebabkan saya ni… tak dapatlah Natasha ni bersekolah dekat sekolah anak-anak orang kaya tu.”

“Awak ingat Natasha ni nak ke bersekolah dekat situ?” Bakri melawan kenyataan isterinya itu.

Natasha kian berasa rimas dengan pertelingkahan kedua orang tuanya itu. Lantas…

“Dahlah tu. Mama, papa… cukuplah. Takkan disebabkan hal rumah tangga orang lain, mama dengan papa nak bergaduh pula? Lagi satu. Mama… tolong jangan asyik nak menyibuk je tentang gosip sana, gosip sini. Lagipun apa yang ada dalam surat khabar ni… belum tentu lagi kebenarannya. Wartawan ni kadang-kadang sanggup buat apa sahaja untuk lariskan jualan surat khabar dia orang ni.” Habis menuturkan kata-kata, Natasha bangkit untuk berlalu.

“Eh! Natasha nak pergi mana tu? Mama belum habis cakap lagi ni.”

“Natasha nak jaga kaunter. Nanti kalau ada curi makanan susah pulak.” Natasha meneruskan langkahnya. Meninggalkan papa dan mamanya di dapur.

“Ni semua salah awak!” tutur Bakri dan mengekori langkah anak tunggalnya itu.

Sarlina mencebik. Masih menganggap yang dirinya tidak bersalah!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.