Home Novel Cinta Cinta Bun's Girl
BAB 6 - Danish VS Elly

6

DANISH VS ELLY!

Galore Italian Coffee House sememangnya terkenal di kalangan golongan kelas atasan. Ramai ahli korporat berkunjung ke sini untuk membincangkan perihal perniagaan mereka mahupun hanya sekadar meneguk secawan kopi yang enak.

Danish mengambil tempat di sebuah meja yang mempunyai kedudukan yang agak terpencil. Dia tidak mahu kenalan papanya menyedari akan kehadirannya di Galore Italian Coffee House itu. Kedatangannya pada kali ini mempunyai tujuan yang berbeza berbanding dengan kedatangannya sebelum ini. Hari ini dia perlu berjumpa dengan seseorang yang dianggapnya punca kepada segala masalah yang sedang menimpa keluarganya saat ini.

Danish mengerling sekali lagi jam tangan yang berada di pergelangan tangannya. Dia mendengus. Sudah hampir setengah jam insan yang dinantikan kedatangannya, tidak jua muncul tiba. Hatinya membara semula. Terasa mahu sahaja dia melangkah keluar dari coffee house itu. Namun saat terlihatkan kelibat seorang wanita genit yang kian menghampiri mejanya, dia mematikan niatnya itu.

Sorry. I lambat sikit.” Selamba sahaja wanita yang berpakaian seksi itu mengambil tempat di hadapan Danish.

Danish sekadar memerhatikan sahaja tingkah wanita itu. Biarpun amarah kian membuak di dadanya saat terlihatkan bayangan wanita itu, namun cuba dikawalnya agar pergaduhan tidak tercetus.

“You nak minum apa?” soal Danish. Suaranya cuba dikawal agar intonasinya tidak meninggi.

“Tak. I tak nak order apa-apa. Lagipun I memang tak boleh lama-lama dekat sini. I dah janji nak masakkan makan malam untuk papa you malam ni,” senyuman menggoda Elly ukirkan.

Terasa mahu sahaja Danish menyepak muka mama tirinya itu. Terasa meluat benar hatinya dengan lenggok suara yang sengaja dimanja-manjakan oleh wanita yang masih lagi mengukirkan senyuman pada saat ini.

“Papa I tahu yang you datang jumpa I hari ni?” soal Danish. Suaranya sudah kedengaran sedikit kasar.

“Tak. Kenapa? You takut?” Elly sudah mula memintal-mintalkan hujung rambutnya persis wanita miang.

“Takut? I tak takut. Orang yang patut ada perasaan takut itu adalah you. Bukannya I.” Selamba Danish meluahkan isi hatinya.

“Apa maksud you?” Berubah sudah riak wajah Elly. Kemanisan yang ‘ditempekkan’ di wajahnya sebentar tadi sudah ghaib entah ke mana.

“You tak faham apa yang I cuba maksudkan… atau you pura-pura tak faham?” Danish meneguk sedikit latte. Rasa kopi itu benar-benar menyegarkan dirinya.

“Kalau you ajak I datang ke sini semata-mata untuk bermain teka-teki… sorry, I tak berminat.” Elly sudah menyandarkan tubuhnya di kerusi empuk itu. Matanya tajam memandang Danish.

“Sayang ya… muka you cantik tapi otak you… kosong. I sendiri pun tak tahulah macam mana papa I boleh ‘tersangkut’ dengan perempuan murahan macam you ni!”

“Jaga sikit mulut you tu! I ni mama tiri you. Jadi sebagai anak, you harus menghormati I.” Elly sudah menegakkan semula tubuhnya dan riak kemarahan sudah terukir di wajah putih gebu miliknya.

“Sampai mati pun! I takkan mengaku yang you ni mama tiri I. You ingat I tak tahu kenapa you teringin sangat nak berkahwin dengan papa I? You ingat I ni bodoh! Buta! Mungkin you boleh perbodohkan papa I. Tapi bukannya I. Jadi sekarang, I nak you bagitahu I berapa yang you mahukan?” Danish sudah meluahkan secara terang akan tujuan kedatangannya pada tika ini.

“Wau… tak sangka yang anak tiri I ni bukan sahaja kacak. Tapi bijak pulak tu. Jadi… kiranya you nak ‘rasuah’ I lah ni. Berani betul you ni. Tapi… I memang suka dengan lelaki yang berani macam you ni,” senyuman sinis terukir semula.

Elly sedar yang anak tirinya itu hendak ‘bermain’ satu permainan dan ya! Dia amat berminat untuk ‘turut’ serta bagi memastikan gelaran juara menjadi miliknya!

“Berapa yang you mahukan?” Danish sedikit mendesak.

“Berapa yang I mahukan? Maksud you?” Sekali lagi Elly memintal-mintalkan hujung rambutnya dan riak wajah seksi sengaja dipamerkan.

“Berapa jumlah yang you mahukan untuk bercerai dengan papa I? Sebut je berapa. I akan uruskan!” Begitu yakin Danish.

“Hahaha…” Elly tertawa. Terdengar ‘plastik’ benar tawanya itu.

Danish sudah berasa jelik melihatkan tingkah mama tirinya itu. Amarah yang membuak cuba dipadamkan dengan meneguk sedikit lagi latte.

Elly sekadar memerhatikan tingkah anak tirinya itu. “Nampaknya, you suka sangat dengan minuman latte tu. Papa you pun sukakan minuman tu. Nampaknya cita rasa you all memang sama.”

“Tak! Papa I sukakan perempuan murahan! Tapi I jijik untuk mendekati perempuan hina macam you ni! So, sekarang beritahu I berapa ‘harga’ diri you?” Puas hati Danish dapat melemparkan penghinaan ke atas wanita yang sememangnya tidak layak untuk mendapat sanjungan.

“Kurang ajar! You ingat dengan duit you tu boleh ‘beli’ maruah I? Boleh musnahkan perkahwinan I dengan papa you? Macam tu?!!!” menjerit Elly. Tidak dipedulikan akan jelingan seorang pelayan yang kebetulan lalu di sisinya.

Danish tersenyum. Kali ini senyumannya lebih kepada menghina. “Bukan ke you sanggup berkahwin dengan papa I yang dah tua bangka tu sebab duit? Sekarang ni I bagi you peluang untuk hidup mewah tanpa perlu bersusah payah melayan lelaki yang selayaknya you gelar ‘ayah’! Mustahil wanita secantik dan semuda you ni tak mahukan lelaki yang lebih sesuai dengan you. You tak rasa sayang ke habiskan usia muda you dengan lelaki tua yang cukup membosankan tu?”

Elly terdiam. Sememangnya kata-kata anak tirinya itu benar belaka. Andai tidak disebabkan Dato Sri Jasir itu merupakan antara orang terkaya di Malaysia ini, tidak ingin rasanya dia berkahwin dengan lelaki tua yang sudah berperut boroi dan berkepala botak itu.

Menyesal? Ya! Sedari awal perkahwinan lagi Elly sudah mengerti akan makna penyesalan tetapi disebabkan kemewahan dan harta benda yang dicurahkan kepadanya maka perkataan ‘penyesalan’ itu dikambuskan terus dari kamus hidupnya.

“Kenapa you diam?” soal Danish kemudiannya setelah melihatkan kebisuan yang berpanjangan mengunci bibir mama tirinya itu.

“I… I tak boleh bercerai dengan papa you.” Perlahan Elly bersuara.

“Kenapa pulak tak boleh? You ada hak! You boleh buat pelbagai cara untuk menuntut cerai dengan papa I.” Danish kian mendesak.

“You tak faham!”

“Apa yang I tak faham? Kalau you runsing mengenai kos yang you perlu tanggung selepas you bercerai dengan papa I… you jangan risau. Hal duit biar I yang uruskan. I yakin mama I sanggup keluarkan sebanyak manapun duit untuk membantu you selepas proses penceraian tu.”

Elly terdiam sekali lagi. Dia mengeluh dan mendengus sekali gus. “Jadi mama youlah yang hantar you ke sini untuk ‘berurusan’ dengan I?”

“Tak. Mama I langsung tak tahu tentang pertemuan kita.”

Biarpun kejujuran yang Danish suakan, namun senyuman sinis yang dibalas oleh Elly sudah menunjukkan yang dirinya tidak mempercayai kata-kata Danish itu.

“Macam nilah! You tolong sampaikan dekat mama you tu yang I tak berminat untuk berurusan mengenai hal ‘jual-beli maruah’ I ni. I tetap akan meneruskan ikatan perkahwinan I dengan papa you dan sampai mati pun I akan menjadi mama tiri you!” Habis menjelaskan pendiriannya itu, Elly bangkit dan berlalu.

Tidak sempat untuk Danish menghalang langkah panjang mama tirinya itu. Danish mengeluh dan tanpa sedar dia menumbuk kuat dada meja kayu itu. Biarpun rasa sakit di buku limanya sudah terasa, namun kesakitan itu tidak setanding dengan kegagalannya memusnahkan mahligai perkahwinan papanya dengan mama tirinya itu.

“Mama… maafkan Danish. Danish gagal selamatkan kebahagiaan mama.” Sebutir permata jatuh di pipi Danish bersama kata-kata penyesalannya itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.