Home Novel Cinta Ingat-ingat Lupa
Ingat-ingat Lupa
Zulfati Hanis
1/11/2012 11:02:07
116,676
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Usai mandi dan mengenakan pakaian yang santai, Hasnan keluar dari biliknya. Dia ingat nak berehat sambil menonton rancangan televisyan. Dia dan Eziwan baru pulang dari Labuan setelah seminggu berada di sana bagi memantau perjalanan projek mega mereka. Remote televisyen dicapai dan dia menekan butang siaran.

“Bibik….tolong buatkan saya air oren,” laung Hasnan dari ruang rehat.

Selang beberapa minit Bibik membawa segelas air oren seperti yang diminta oleh anak majikannya.

“Airnya pak.”

“Terima kasih bibik. Mmm…..mama dengan papa mana, bik?” tanya Hasnan bila menyedari dari tadi tidak nampak kelibat papa dan mama.

“Lagirin keluar pak. Bibik ngak tahu sik ke mana mereka pergi,” jawab bibik dengan loghat Indonesia yang masih tidak lekang biarpun sudah 6 tahun bekerja dengan mereka.

“Tak pelah bik. Terima kasih.”

“Saya permisi dulu pak.”

Hasnan hanya mengangguk. Matanya masih tertumpu pada berita yang sedang bersiaran di televisyen. Selang beberapa minit kedengaran enjin kereta di porch. Mungkin Papa dengan Mama baru pulang. Hasnan bangun dan menuju ke pintu.

Tepat tekaan Hasnan bila Datin Zawiyah melangkah masuk bersama dengan Dato Nor Azizi.

“Bila Nan balik?. Kenapa tak beritahu Mama yang Nan balik hari ni?.”

“Baru lagi Ma. Saja Nan tak nak susahkan sesiapa. Lagipun tadi Nan dengan Ez naik teksi aje,” jawab Hasnan sambil menyalami tangan dan mencium pipi Datin Zawiyah.

Datin Zawiyah senyum gembira dengan kepulangan Hasnan. Dia dan suami keluar tadi pun sebab urusan pertunangan Hasnan yang akan berlangsung serentak dengan majlis hari jadinya. Tak sabar dia nak tunjukkan Hasnan cincin yang telah dipilihnya untuk majlis pertunangan Hasnan dan Mysara.

“Mari Mama nak tunjukkan sesuatu pada Nan.” Terus saja Datin Zawiyah menarik tangan Hasnan mengikutnya duduk diatas sofa.

Dato Nor Azizi yang melihat hanya tersenyum. Namun dia turut sama duduk dengan mereka berdua.

“Cantik tak cincin yang Mama pilih ni?. Nan rasa sesuai tak dengan Sara?” Dengan penuh keterujaan Datin Zawiyah menyoal.

Kening Hasnan berkerut. Dia merasakan ada sesuatu yang dirahsiakan disebalik pertanyaan mama itu.

“Cincin ni untuk apa Ma?” soal Hasnan dengan nada curiga.

“Cincin tunang Nan lah. Cantikkan? Mama beli ni khas untuk Mysara tau,” ujar Datin Zawiyah yang amat teruja.

“Ha?....” Hasnan terkejut. Dia memandang wajah Papa dan Mama silih berganti. Terasa tika ini ada batu besar sedang menghempap dirinya.

“Papa dengan Mama dah rancang nak umumkan pertunangan Nan dengan Sara pada majlis hari jadi Mama nanti.” Dato Nor Azizi pulak bersuara.

Semakin Hasnan terlopong mendengarnya. ‘Tidak. Aku tak nak bertunang dengan Sara. Aku tak cintakan dia.’ Hati Hasnan menjerit.

“Kenapa tiba-tiba aje perkara ni timbul? Siap Mama dengan Papa dah belikan cincin tunang bagai,” soal Hasnan tidak puas hati. Padanya soal jodohnya biarlah dia yang tentukan dan bukannya dirancang seperti ini. Dia mahu bebas memilih pasangan hidupnya sendiri.

“Perkara ni dah lama kami bincangkan. Cuma sekarang ni Papa rasa dah sampai masanya. Lagipun Papa ingat lepas Nan dan Lyn kahwin nanti, papa nak bersara. Papa nak habiskan masa temankan Mama dan buat amal ibadah,” ulas Dato Nor Azizi.

Hasnan menghela nafas. “Bab spend time dengan Mama, Nan tak kisah Papa. Nan pun suka. Tapi….bab tunang lepas tu kahwin, I’m not ready Pa, Ma.” Hasnan mempamerkan wajah tidak puas hatinya. Dia mengharapkan pengertian daripada Papa dan Mama.

“Nan…” datin Zawiyah mengusap pipi Hasnan. “Nak tunggu apa lagi. Nan dengan Sara dah lama sangat berkawan. Lagipun kesian dengan Papa dan Uncle Mizi. Mereka dah lama sangat bekerja. Sekarang ni masa mereka berehat. Jadi Nan dengan Sara lah harapan mereka nanti,” pujuk Datin Zawiyah.

Hasnan mendengus kecewa. Dia tahu kali ini dia tak dapat lari lagi. Dia perlu menghadapi jua pertunangannya dengan Mysara yang pada dasarnya tiada dalam kamus hidupnya.

“Kalau macam tu kahwinkan saja dulu Lyn dengan Ez. Nan dengan Sara kemudianlah. Tak perlulah buat serentak dalam tahun ni jugak. Macam terkejut sangat aje,” pinta Hasnan.

Datin Zawiyah memalingkan mukanya memandang Dato Nor Azizi.

“Apa lagi yang Nan nak tunggu?” soal Dato Nor Azizi.

Hasnan menelan air liur. Tengah memikirkan alasan apa yang wajar diberikan pada Papa dan Mama supaya pertunangannya dengan Mysara ditangguhkan lagi.

“Nan, sepatutnya Nan dengan Sara dah lama bertunang. Tapi Nan yang asyik tangguhkan tarikhnya. Sekarang ni papa dengan Uncle Mizi dah capai kata putus Nan dengan Sara akan bertunang bulan depan dan bulan 7 kahwin. Tak ada bantahan lagi,” tegas Dato Nor Azizi tanpa menanti jawapan balas dari Hasnan.


Hasnan terus memandu tanpa arah. Dia tak mahu pulang lagi. Dia ingin menenangkan perasaannya dulu. Perkara yang dibincangkan dirumah tadi masih menghantui fikirannya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk ke rumah Eziwan.

Loceng apartment Eziwan ditekan beberapa kali. “Assalamualaikum….”

“Waalaikumussalam,” kedengaran suara Eziwan dari dalam rumah.

“Masya-ALLAH, Nan?” Eziwan terkejut bila melihat Hasnan berdiri dimuka pintu apartmentnya. Tak pernah-pernah Hasnan bertandang kerumahnya. Tapi hari ini dia tiba-tiba muncul di depan pintu rumahnya.

“Boleh aku masuk.”

“Boleh. Masuklah.” Eziwan memberi laluan pada Hasnan untuk masuk ke dalam rumahnya.

“Duduklah. Aku ambilkan air sekejap,” ujar Eziwan sambil berlalu kedalam dapur.

Hasnan melabuhkan punggungnya di atas sofa dengan perasaan malas. Eziwan kembali dengan 2 gelas air minuman ditangannya.

“Jemput minum.” Eziwan menghulurkan segelas air minuman pada Hasnan.

“Thanks.”

Eziwan mengambil tempat di sofa yang bertentangan dengan Hasnan. Dia menghirup sedikit airnya.

“Kau okay ke Nan?” tanya Eziwan. Dari pengamatan matanya, raut wajah Hasnan melambangkan dia sedang bermasalah.

Tapi sewaktu di LCCT tadi tak ada pulak wajah Hasnan seperti ini. Hati Eziwan terdetik kehairanan.

Hasnan menghela nafas dalam. Dia memandang wajah tenang Eziwan.

“Papa dengan mama nak aku bertunang dengan Sara lah, Ez.” Dengan lemah Hasnan meluahkan apa yang merunsingkan fikirannya tika ini.

“Baguslah tu. Kau dengan Sara pun dah lama kenalkan?.”

“Itulah masalahnya, Ez. Aku dengan Sara memang dah lama kenal. Tapi cinta…..jauh panggang dari api, Ez. Aku hanya anggap dia kawan aje,” luah Hasnan lagi.

Eziwan terdiam. Dia tak berani untuk komen dalam perkara seperti ini. Soal hati dan perasaan hanya orang yang mengalaminya saja yang faham.

“Apa aku nak buat, Ez?” soal Hasnan tiba-tiba. Fikirannya dah buntu untuk memikirkan jalan keluar dari masalah ini. Semua jalan yang difikirkan menemui jalan buntu.

Eziwan terkedu seketika. Dia mengusap dagunya perlahan-lahan.

“Nan….aku nak cakap lebih-lebih pun aku tak tahu macam mana. Tapi satu aje yang aku nak kau ingat. Selama ini Sara amat menyintai kau dan sepatutnya kau cuba untuk membalas cinta dia kembali.”

Hasnan melemparkan senyum sinis. “Aku kagum dengan kau, Ez. Aku tahu selama ni kau bertunang dengan Lyn pun bukan sebab kau cintakan adik aku sangat.”

“Apa yang kau cakapkan ni, Nan. Aku dengan Lyn tak ada masalahlah,” kata Eziwan cuba menafikan tuduhan Hasnan.

Hasnan senyum sinis. “Kau tak payah bohong dengan aku lah, Ez. Lyn yang tergedik-gedik, yang tergila-gilakan kau. Sebaliknya kau, aku rasa anggap dia macam kawan aje. Tapi sebab kau hormatkan papa aku dan mungkin kau rasa terhutang budi, kau terima adik aku tu,” kata Hasnan lagi.

Eziwan terdiam. Tak dinafikan ada kata-kata Hasnan itu yang benar. Namun lama kelamaan dia dah mampu untuk menerima Linda dalam hidupnya. Biarpun cinta yang lahir tidak sehebat cintanya pada Khyrulhydza, namun ia tetap cinta. Itu lebih baik daripada tiada rasa cinta langsung.

“Betulkan apa yang aku katakan tadi?” ulas Hasnan sambil menjungkitkan keningnya pada Eziwan.

“Masa mula-mula dulu ia. Aku terima Lyn kerana orang tua kau. Tapi itu tak bermakna aku tak menyintai dia langsung, Nan,” bidas Eziwan pada sindiran Hasnan.

Hasnan tidak segera menjawab. Dia bangun dan berjalan menuju ke balkoni. Kemudian dia menoleh kebelakang memandang Eziwan yang sedang menunggu jawapannya.

“Aku kagum dan pada masa yang sama cemburu dengan kau, Ez. Aku tengok perempuan mudah sangat terlekat dengan kau. Tengok ajelah adik aku tu. Ramai lelaki yang nak kat dia. Tapi dia tetap nak kejar kau. Apa ayat yang kau guna, ha?”

Eziwan turut melangkah ke balkoni. Dia menyilangkan tangannya sambil mengeleng-geleng.

“Pandai ajelah kau ni, Nan. Tak ada ayat-ayat power pun yang aku gunakan. Apa yang penting keikhlasan kita menerima pasangan kita seadanya,” ujar Eziwan dengan nada tenang.

“Kau rasa aku dengan Sara macam mana? Boleh ke aku jatuh cinta dengan dia?” Hasnan memandang Eziwan.

“Tepuk dada tanya selera. Kalau kau ikhlas untuk terima dia dalam hidup kau, perasaan cinta boleh dipupuk. Aku nak masuk nak solat Isyak sekejap,” jawab Eziwan sambil menepuk bahu Hasnan. Dibiarkan Hasnan keseorangan di balkoni. Eziwan melangkah masuk ke dalam biliknya.

Hasnan kembali merenung langit malam yang pekat. Bintang-bintang yang berkelipan dilangit malam dihayati oleh mata Hasnan.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.