Home Novel Thriller/Aksi ELOPE
ELOPE
Zulfati Hanis
5/11/2012 21:54:24
19,801
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6 (Dia Muncul Lagi)

Shima mengemas meja sebelum memulakan tugasnya pagi ini. Komputer dihidupkan dan dia mula mengadap skrin komputer untuk menyudahkan kerja semalam yang tidak siap lagi.

“Shima, kenalkan ini encik Yusof. Pengurus projek kita yang baru. Yusof, ini Shima. Tugas dia sebagai projek coordinator. So you boleh tanya dia tentang semua status site yang kita tengah handle sekarang ni,” ujar Tuan Haji Bakri pada Yusof.

“Selamat datang encik Yusof,” ucap Shima sambil tunduk hormat.

“Salam perkenalan,” balas Yusof sambil melemparkan senyuman.

‘Aduh…terserlah lesung pipitnya. Manisnya lelaki yang ada lesung pipit ni.’ Puji Shima di dalam hati. Matanya tidak berkelip memandang lesung pipit Yusof yang dalam.

“Hai Tuan Haji tak kan kenalkan dengan Shima aje kot. Kami-kami ni tak kenalkan ke?” tiba-tiba Mel muncul.

Shima menghela nafas. Semak matanya dengan gedik Mel. Itu nama glamour saja. Nama dalam I.C. sebenarnya Zamilah. Datang Kuala Lumpur habis bertukar jadi ‘Mel’. Perasan minah salleh. Kutuk Shima dalam hati.

“Kamu ni Zamilah tak sabar-sabar pulak,” usik Tuan Haji Bakri yang tahu benar dengan perangai Mel yang tidak boleh lihat lelaki kacak, muda seperti Yusof ini.

“Alah….Tuan Haji ni, berapa kali saya nak cakap jangan panggil nama tu,” Mel menarik muncung panjang. Dia tidak suka dikenali dengan nama sebenarnya. Nama itu agak kekampungan baginya. Tak sesuai dengan penampilannya yang elegent ini.

“Nama Zamilah tu dah cukup sedap. Betul tak Yusof?” Tuan Haji Bakri menoleh memandang Yusof sambil tersenyum.

“Betul tu Tuan Haji. Secantik orangnya,” Yusof menghadiahkan senyuman pada gadis bernama Zamilah a.k.a Mel.

Mel tersenyum lebar bila Yusof memuji dirinya. Dihulurkan tangan pada Yusof.

“Apa-apa pun panggil I, Mel. I akauntan kat sini,” tanpa segan Mel memperkenalkan dirinya pada Yusof.
Shima sekadar mencebik. ‘Dah mula dah. Ulat bulu dah naik daun.’ Shima menyanyi dalam hati.

“Mari Yusof, saya kenalkan awak pada staf yang lain.”

“Silakan Tuan Haji,” Yusof memberi ruang pada Tuan Haji Bakri untuk berjalan.

Sebelum mengekori Tuan Haji Bakri, Yusof melemparkan senyuman manis buat Shima dan Mel.

“Hensemnya…” Mel memuji sambil berangan untuk mendampingi Yusof.

“Kau ni pantang tengok lelaki ek?” sindir Shima.

Mel menjeling tajam. “Kau cemburu ke?”

“Tak kuasa aku,” bidas Shima geram.

“Tulah kau. Aku suruh kau tukar penampilan kau degil. Lelaki kalau pandang aku mesti terpikat punya. Kau?....ha…ha…ha…” Mel ketawa sebelum melangkah pergi.

Shima mengetip bibirnya geram dengan ayat Mel itu.

“Dasar perempuan gedik!” rungut Shima sebelum kembali menyelesaikan kerjanya yang tertangguh tadi.


Shima membasuh tangannya sebaik keluar dari tandas. Tatkala dia mengangkat sedikit kepalanya ke atas untuk memandang wajahnya di cermin dia terkejut bila ada orang di belakangnya.

Pantas Shima menoleh kebelakang. Dia seperti pernah lihat gadis yang berada dibelakangnya.

“Macam mana awak boleh masuk sini?” tanya Shima pada gadis yang berwajah pucat itu. Dia pasti gadis itu yang muncul sewaktu keretanya pancit tempoh hari.

“Siapa awak?” tanya Shima lagi.

“Tolong saya….” Bergetar suara gadis itu.

Kening Shima sudah berkedut seribu. Kenapa gadis itu tidak habis-habis minta dia menolongnya.

“Awak siapa?” soal Shima cuba meneliti raut wajah gadis itu yang kelihatan pucat. Pakaian yang dipakai pun kelihatan lusuh dan lembab.

“Saya sejuk…” gadis itu mengeletar.

“Sejuk?” soal Shima hairan. Dia tidak rasa sejuk pun. Tapi gadis itu di lihat sedang mengeletar. Bibirnya kebiruan.

“Tolong saya Shima. Awak saja yang dapat tolong saya…” kata gadis itu dengan esak tangisnya.

Shima mula cemas bila melihat gadis itu menangis.

“Eh! Jangan menangis. Cuba awak beritahu saya siapa awak dan macam mana saya boleh tolong awak,” Shima cuba menenangkan keadaan.

“Saya sejuk sangat. Tolong saya…” gadis itu tiba-tiba memeluk tubuhnya. Badannya semakin kuat mengeletar.

“Tunggu sini,” ujar Shima lantas keluar menuju ke meja kerjanya. Di capai baju sejuk yang tersangkut di kepala kerusinya.

“Shima! Kau nak ke mana tu?” tanya Selvi bila melihat Shima tergesa-gesa berjalan.

“Aku nak ke toilet kejap,” pantas Shima menjawab dan terus kembali semula ke toilet untuk bertemu dengan gadis misteri tadi.

Setibanya di toilet langkah Shima terhenti. Gadis itu hilang lagi. Dia mengeledah seluruh toilet. Namun bayang gadis misteri itu tiada lagi. Shima kebinggungan. Tidak putus asa dia keluar menuju ke tingkat bawah. Mungkin gadis itu ada di situ.

Ruang lobi lenggang. Yang ada hanyalah Zila penyambut tetamu. Shima memandang sekeliling buat sekian kalinya.

“Akak cari siapa tu?” Zila bertanya bila di lihat Shima seperti mencari seseorang.

Shima menoleh memandang Zila.

“Zila ada nampak tak ada seorang perempuan lalu sini tadi?”

Zila mengerutkan keningnya. “Rasanya tak ada kak. Dari tadi saya seorang aje kat sini. Kenapa kak? Akak cari siapa?”

Shima mengeluh. Gadis itu benar-benar misteri. Dia muncul dan hilang dalam sekelip mata saja. Tapi setiap kali muncul gadis itu akan merayu padanya untuk menolongnya. Siapa gadis itu?

“Kak Shima? Akak okay ke?” Zila bertanya lagi.

“Betul Zila tak nampak ada perempuan muda lalu sini tadi?”

“Betul kak. Dari tadi saya seorang aje kat sini. Akak cari siapa ni?”

Shima mengeleng. “Tak apalah Zila. Terima kasih.”

Tak perlulah dia jelaskan pada Zila kerana dia sendiri tengah binggung memikirkan tentang gadis itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.