Home Novel Cinta Ingat-ingat Lupa
Ingat-ingat Lupa
Zulfati Hanis
1/11/2012 11:02:07
116,665
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Selesai menunaikan solat Maghrib, Nurul Amira melangkah keluar dari biliknya. Dia bercadang untuk membantu Kak Kiah menyediakan makan malam mereka berdua.

“Akak masak apa tu?” tanya Nurul Amira seraya menghampiri kak Kiah yang sedang mengoreng di atas dapur.

“Inti karipap. Ada orang buat tempahan. Mira makanlah dulu. Lauk dengan nasi ada bawah tudung salji tu,” ujar Kak Kiah yang masih tekun mengoreng inti karipap.

“Rajin kak Kiah ambik tempahan,” puji Nurul Amira dengan ketekunan kak Kiah mencari rezeki.

“Nak buat macam mana Mira. Kita ni bukannya orang senang. Kalau tak bekerja jawabnya makan pasirlah.”

Nurul Amira senyum nipis. Dia kagum dengan kegigihan kak Kiah yang membesarkan seorang anak perempuan dengan titik peluh usahanya selama ini. Setelah diceraikan oleh suaminya kak Kiah tidak menoleh kebelakang lagi. Dia terus bangkit untuk dirinya dan satu-satu zuriat yang dia ada. Kini Atikah anak tunggal kak Kiah sedang mengikuti pengajian kejururawatan di Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST). Insya-ALLAH selepas Atikah bekerja kehidupan kak Kiah anak beranak akan lebih terjamin dan selesa lagi.

“Mira kagum dengan akak yang cekal dalam menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.”

“Nak buat macam mana Mira, dah tanggungjawab akak. Nak harapkan keluarga, akak ni sebatang kara. Nak harapkan duit nafkah bapak si Ika, alamatnya sampai matilah tak dapat. Dahlah Mira, kamu tu pergilah makan.”

“Akak tak makan sama ke?.”

“Kejap lagilah. Akak nak siapkan masak inti ni dulu. Lepas ni bolehlah buat karipapnya.”

“Kalau macam tu Mira tunggu akak lah. Makan sorang-sorang tak sedap.”

Kak Kiah tersenyum. “Ke situ pulak kamu ni Mira. Dah nak siap dah ni pun,” ujar kak Kiah sambil menyeduk inti karipap masuk kedalam bekas yang telah disediakan.

“Mari Mira tolong buatkan,” ujar Nurul Amira yang mengambil alih kerja kak Kiah.

“Terima kasih Mira,” kak Kiah membiarkan saja Nurul Amira menolongnya. Dia senang dengan kehadiran Nurul Amira dirumahnya. Sekurang-kurangnya dia tak kesunyian bila Atikah tak ada. Nurul Amira boleh menjadi temannya berbual.

“Dahlah tu Mira, mari kita makan,” ujar Kak Kiah sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan dan dihulurkan pada Nurul Amira.

“Makanlah Mira. Lauk biasa-biasa aje akak masak,” ujar kak Kiah lagi.

“Tulah Mira ingat nak tolong akak masak. Tapi akak dah siap masak dah.”

“Sementara bendera merah bolehlah masuk dapur awal sikit,” gurau kak Kiah tersengih.

Nurul Amira turut sama tersenyum. Di tarik kerusi untuk duduk mengadap kak Kiah.

“Ummm…..sedapnya bau asam pedas ni,” Nurul Amira memuji sebaik tudung salji di buka.

Kak Kiah tersenyum-senyum bila masakannya di puji. “Dah mari kita makan.”

Usai makan malam dan membantu kak Kiah menyediakan karipap yang ditempah, Nurul Amira dan kak Kiah ke ruang tamu untuk menonton televisyen.

“Mira…boleh Akak tanya sesuatu?” kak Kiah memandang Nurul Amira sewaktu mereka sedang menonton televisyen.

“Tanya ajelah kak,” jawab Nurul Amira ringkas sambil matanya masih mengadap televisyen.

Kak Kiah senyum memandang Nurul Amira. Dah lama dia ingin bertanya sejak 6 bulan Nurul Amira menyewa bilik dirumahnya. Tapi selalu saja tertangguh.

“Mira ni memang orang Thailand ke?” teragak-agak kak Kiah bertanya.

Nurul Amira menoleh memandang kak Kiah. “Kenapa akak tanya?.”

“Tak lah. Tengok gaya Mira bercakap tak ada pulak loghat belah sana. Setahu Akak area Tak Bai tu kalau bercakap ada loghat Kelantan Siam sikit. Tapi Mira ni guna bahasa biasa aje akak dengar,” kak Kiah meluahkan perkara yang memusykilkan dirinya selama ini.

Nurul Amira tersenyum nipis. Perlukah dia menjelaskan pada kak Kiah yang dia hanyalah anak angkat kepada pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Telian, Tak Bai, Thailand. Jasa arwah ayah dan mak yang menjaganya selama dia di sana tidak mampu di bayar dengan wang ringgit.

“Mira dah 2 tahun duduk di Malaysia, kak. Loghat pun dah hilang,” akhirnya Nurul Amira mengambil keputusan untuk merahsiakan dulu kisah dirinya. Biarlah masa yang menentukan bila rahsia dirinya akan didedahkan pada kak Kiah. Buat masa ini dia lebih selesa begini.

Kak Kiah memandang Nurul Amira. Dia antara percaya dengan tidak saja jawapan Nurul Amira. Chombi pun merantau jugak tapi loghat Kedah dia tak pernah hilang. Masih lagi pekat likat lagi.

“Kenapa Mira berhijrah ke sini?” soal Kak Kiah lagi.

Nurul Amira menghela nafas panjang. “Saya dah tak ada sesiapa kat sana lagi kak. Arwah ayah dengan mak dah lama meninggal. Jadi saya ambil keputusan untuk merantau mencari kerja. Kat sana susah nak cari kerja. Akak pun tahukan suasana kat sana belum tenang lagi. Ekonomi pun tak stabil. Jadi daripada saya duduk menganggur aje kat sana, baik saya kerja kat sini.”

Kak Kiah menganggukkan. Ada betul jugak apa yang dikatakan oleh Nurul Amira. Memang buat masa ini keadaan ekonomi Thailand pun tidak berapa memberangsangkan. Bukan hanya rakyat Thailand saja yang mencari rezeki di bumi Malaysia ini, malah Indonesia, Vietnam, Bangladesh pun ada. Rakyat majmuklah katakan.

“Habis masa kat sana Mira belajar sampai mana?” semakin galak pulak kak Kiah menyoal Nurul Amira.

Pertanyaan kak Kiah kali ini membuatkan Nurul Amira terkedu seketika. Apa jawapan yang nak diberikan pada kak Kiah ni. Hati Nurul Amira berbisik.

“Errrr…..sekolah rendah aje kak. Kami miskin kak Kiah. Dapat kenal huruf dan angka pun dah cukup bersyukur kak,” hanya itu jawapan yang mampu Nurul Amira berikan. Dia sendiri tak tahu sejauh mana dia belajar. Malah segala-galanya tentang dirinya, dia sendiri tidak tahu.

Peristiwa 4 tahun lalu kembali menerjah memorinya. Kalau tidak kerana bantuan arwah ayah dan mak masa itu pasti kini dia sudah tidak bernyawa lagi. Tak terbalas jasa arwah ayah dan mak.


“Salmah!.....” Pak Mat menjerit memanggil isterinya.

“Gaponyo abe…” laung Mak Mah dah dalam rumah.

“Mari tulong ambo ni!” laung Pak Mat dalam loghat Kelantan-Thailand.

“Wat gaponyo abe duk tepik mace ore gilo ni?” geram jugak Mak Mah dengan

perangai suaminya. Sambil membetulkan lengan baju yang disinsing tadi Mak Mah melangkah menuju ke ruang tamu rumah papannya.

Langkahnya terhenti bila melihat suaminya sedang meletakkan seseorang dilantai ruang tamu rumah mereka.

“Sapo ni abe?” tanya Mak Mah hairan.

“Abe jupo dio maso ke laut takdi. Palo dio pung darah ni,” jelas Pak Mat cemas.

“Idup lagi ko budok ni abe weh?” tanya Mak Mah takut-takut.

Pak Mat memegang pangkal lengan gadis yang ditemui tadi. Dia menghela nafas lega.

“Idup lagi ni. Moh tulong jago dio semeta. Saling baju dio, abe nok gi panggil tok bomoh meta,” ujar pak Mat sambil membetulkan sarung kepalanya.

“Iyo la. Jange lamo abe,” pesan Mak Mah.

“Meta jah.”

Sementara menanti suami pulang bersama dengan tok bomoh, Mak Mah menyalinkan pakaian yang gadis itu serta membersihkan luka dikepalanya. Besar jugak kulit yang terkoyak dikepala gadis itu.

“Guano tok?” Pak Mat bertanya sebaik tok bomoh selesai merawat.

“Hummm…..luko dio lepah bubuh ubat ni molek la, nati dio sedar mung buwi dio minum air ni,” jelas tok bomoh.

“Budok ni tak dok gapo-gapo ko tok?.”

“Insya-ALLAH. Luko kat palo jah, aku raso tak dok gapo-gapo tu. Aku kelik dulu la Mat,” ujar tok bomoh sambil menepuk mesra bahu pak Mat.

“Terimo kasih tok,” ucap Pak Mat sambil mengiringi tok bomoh sehingga ke laman

rumah mereka. Sebaik bayang tok bomoh hilang dari matanya dia kembali semula ke dalam rumah.

Kelihatan Mak Mah sedang memperkemaskan selimut yang menyelimuti badan gadis itu. Pak Mat menghampiri Mak Mah. Dipegang bahu Mak Mah lembut. Mak Mah menoleh ke atas memandang suaminya.

“Comey budak ni abe, kalu anok kito idup lagi mesti comey lagu ni jugok?.”

Pak Mat terkedu. Satu-satunya anak yang mereka ada telah meninggalkan mereka di awal usianya mencecah 12 tahun akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu mengikuti rombongan sekolah ke Bangkok.

“Abe raso dio ni ore sini ko?” soal Mak Mah lagi.

“Tok tahu la moh. Kelih ko pakaye mace bukey ore alik siye. Kad gambo pung takdok. Hok adonyo ghata (rantai) hok dio papa tu jah la,” ujar Pak Mat bingung. Kalau benar gadis ini bukan rakyat Thailand dia perlu laporkan perkara ini pada pihak berkuasa.

“Tok leh ko kito jago dio, abe?. Buleh jadi anok kito,” pinta Mak Mah sayu.

“Hummm……kito kelih la dulu lagu mano. Nati dio sedar kito tanyo mano rumoh dio,” jawab Pak Mat lemah. Dia memahami perasaan isterinya tika ini. Namun keputusan bukan ditangan mereka. Pasti gadis ini mempunyai keluarga dan tentunya sekarang ini keluarga gadis ini sedang risaukan akan keselamatannya.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.