Baju singkat berkenaan masih juga berada ditangan sedang kepalanya berusaha untuk menentukan kebenaran. Betul ke apa yang aku buat ni? Bisiknya di dalam hati sebelum matanya bertembung semula dengan mata Lilly. Serentak dengan itu, Lilly menganggukkan kepala.
“Pakailah. Mula-mula memanglah rasa kekok sikit, tapi lama-lama nanti dah tak rasa apa dah. Lagipun kat luar tu kan gelap, bukannya ada orang perasan sangat.”
“Aku dulupun macam kau jugak. Kau tanda tempat aku duduk ni, bila kau dah start nanti, rasa susah pulak nak berhenti. Kerja beberapa jam dah cukup untuk belanja seminggu. Kerja seminggu dah lebih untuk buat bayar sewa rumah. Dian kau kena bukak tudung sekali tau, pakai tudung tak dibenarkan kat sini.” arah Lilly sebelum menyalin pakaiannya. Dian segera tersedar. Dia takkan mampu untuk melakukan perkara itu. Bila teringatkan ummi dia cepat menginsafi diri kerana sudah lengkap didikan agama yang diterimanya selama ini.
“Maaf Lilly, aku memang tak boleh nak buat semua ni. Aku akan cuba usahakan cara lain. Aku tahu, aku silap. Aku silap sebab tak tanya awal-awal kerja yang kita kena buat.”
“Tak sepatutnya aku jejakkan kaki ke sini. Kalau ummi aku tahu, mesti dia sedih nanti.” balasnya sebelum meletakkan semula baju berkenaan.
“Dian, Dian.” tutur Lilly yang kekalutan setelah sedar rakannya itu tetap tak mahu meneruskan.
“Takpa, kau teruskanlah. Aku balik dulu.” ucapnya sebelum segera melangkah pergi.
“Dian, nanti dulu!” jerit Lilly yang masih belum selesai berpakaian namun hampa kerana Dian telah keluar daripada situ.
Keriuhan di dalam ruang kelab betul-betul menyesakkan dada. Dian hairan bagaimana pengunjung-pengunjungnya boleh teruja dalam keadaan bising dan binggit sampai mendera jantung dan kepala. Paling mendukacitakan, sebahagian besar daripada mereka adalah anak bangsanya sendiri. Leka berpesta dalam dunia hiburan yang tak ada kawalan dan pemantauan. Bersentuhan sesuka hati tanpa memikirkan kesalahan yang dilakukan demi memuaskan kehandak dan keinginan sendiri.
Dalam kepayahan, dia cuba untuk melepasi segerombolan insan-insan yang dilihat semakin lupa diri dan dalam usahanya itu, tanpa disedari dia telah bertembung dengan seorang wanita yang tiba-tiba muncul dari arah tepi. Datangnya entah daripada mana, tub-tub dah ada di hadapan mata. Basah pakaian keduanya disimbahi dengan air minuman yang sedia berada di tangan.
“Oh, Shit!” sumpah wanita berkenaan bila merasa kesejukan yang mula meresap ke bahagian kulit.
“Maaf, maafkan saya cik. Saya tak sengaja.” ucap Dian berulang-kali. Mengakui kegopohan diri, sambil tangannya cuba untuk membersihkan tumpahan air yang terdapat di tubuh wanita tersebut.
“Mata you kat mana? Habis rosak baju I. Tak guna.” pekik wanita tersebut. Namun suasana kelab yang bergempita telah menenggelamkan suaranya. Wajah Dian di hadapannya dipandang lama, hairan kerana dengan penampilan begitu tak sepatutnya dia berada di situ sebelum dia akhirnya menyedari sesuatu.
“Game on.” bisiknya dalam hati, serentak sebuah senyuman jahat terukir di bibir. Otaknya ligat membuat perancangan sedang Dian masih tercegat menanti hukuman. Senyuman hangit wanita di hadapannya itu turut membimbangkannya kerana senyuman itu seperti menyimpan seribu satu makna.
“You ikut I. You jangan ingat yang you boleh lepas. You ingat murah ke baju ni?” bebel wanita tersebut sambil sebelah tangannya mengheret Dian menuju ke sebuah bilik.
“What the…Aida, who?” soal salah seorang daripada penghuni yang mendiami bilik tersebut.
Meja yang dipenuhi dengan botol-botol kaca yang beraneka rupa dan bentuk, mengejutkannya. Botol-botol yang diisi dengan air kencing syaitan, pendorong kepada kehancuran hidup manusia, bukan saja di dunia bahkan di akhirat sana. Dian masih berusaha untuk menguatkan semangatnya yang semakin lama semakin beransur kurang kerana sudah terlalu banyak kejutan yang diterimanya sejak tadi. Jantungnya rasa macam nak tercabut, malah kepalanya pula sudah jadi semakin berserabut.
“Your friend?” soal Linda tak percaya. Bagaimana seorang dengan penampilan begitu dapat masuk ke kelab yang ternama seperti itu. Matanya segera menganalisa. Kalau pakai jeans, kemeja dan kasut sukan tu ok lagi, tapi pakai tudung? Are you sure? Bisiknya di lamah hati sebelum dia menghadiakan sebuah senyuman sinis pada Dian.
“Sorry guys. Give us some space. We need to discuss something.” balas Aida pula.
“Of course you can, this is yours. Okey guys, let’s go to party.” ujarnya sebelum merangkul pinggang Danish, teman lelakinya itu. Robert juga tak melepaskan peluang untuk turut serta terkinja-kinja.
Dian tetap membatu di situ, tegak tak bergerak, menanti hukuman yang bakal diterimanya. Wajah wanita seksi yang berada di hadapannya itu dipandang tak berkelip. Lebih jelas kali ini. Sah, anak bangsanya lagi.
“Duduk.” arah wanita itu sepatah. Dalam keadaan yang masih takut-takut, dia akhirnya menurut.
“Maaf kan saya cik. Saya betul-betul minta maaf. Saya tak sengaja.” rayu Dian, berharap dapatlah mengurangkan kemarahan di hati wanita itu.
“Maaf? You ingat dengan maaf semuanya akan selesai?” balas Aida tegang, serentak tompokan wiski di dadanya dikesat geram. Hilang keseronokannya berhibur bila sedar penampilannya sudah tidak sempurna.
“Habis tu cik nak saya buat apa?” soal Dian takut-takut sedang dia sendiri sudah mengetahui jawapannya. Entah berapalah gantirugi yang bakal diminta wanita itu nanti.
“Duitlah apa lagi. You ingat murah ke baju I ni?” balasnya dengan nada yang sengaja memprovokasi suasana.
“Tapi cik, kita sama-sama salah. Semuanya tak disengajakan. Cik yang tiba-tiba muncul masa tu. Saya rasa tak adil kalau cik salahkan saya seorang.” balas Dian lebih tegas kali ini. Dia sudah mula naik geram kerana dilayan seperti pesalah tunggal sedang wanita tersebut turut menjadi penyumbang pada situasi yang menjengkelkan itu. Dia pasti sangat air yang tertumpah di bajunya itu tak lain tak bukan air jahanam yang sedia terhidang diatas meja. Baunya saja cukup berbeza, busuk lagi memualkan.
“Sabar, sabar. I cuma nak test you tadi. I tahu yang I pun silap. I cuma tertanya-tanya, kenapa you datang sini dan dengan penampilan macam ni? Setahu I, hanya yang terpilih dapat masuk ke kelub ni, dan I rasa you bukan salah seorang daripadanya.” duganya sebelum mengangkat tangan tanda damai. Dian hanya diam, tak mahu berkongsi apa-apa dan memanjangkan cerita.
“You datang sini nak cari kerja? Cari duit?” soalnya pula mahu menenangkan suasana yang mula kelihatan tegang.
“Memang, memang saya nak cari duit, tapi saya silap. Saya dah silap tempat. Tempat ni tak sesuai untuk saya.” balas Dian perlahan sambil menghela nafas panjang. Serentak wajahnya berubah kecewa.
Fikirannya, melayang mengingati ummi yang sedang bertarung nyawa, terbaring sepi tanpa sebarang reaksi. Dia mula putus-asa, walau sebanyak manapun dia mencuba kos pembedahan itu tetap takkan dapat disediakannya. Aida tersenyum setelah pasti telahannya sebentar tadi tepat dan rancangannya itu pasti akan berjaya.
“I Aida, you?” soal Aida menghulurkan salam pengenalan.
“Saya Diana. Saya minta maaf sekali lagi. Saya betul-betul tak sengaja tadi. Kalau cik Aida nak minta ganti rugi saya akan cuba usahakan, tapi mungkin akan ambil masa yang lama sikit, sebab saya tak ada duit sekarang.” balasnya. Belumpun selesai masalah ummi, bencana lain pula yang terjadi. Kini bertambah-tambahlah bebanan yang terpaksa dipikul diri.
Dia mula memikirkan cara-cara untuk mencari duit yang banyak menggunakan jalan pintas, tanpa melanggar hukum-hakam agama. Puas memerah otak sampai dah kering airnya tapi tak ada apa yang dapat difikirkan. Mahu dipinjam, tapi dia tak tahu daripada siapa. Nak menyusahkan Mak Andak dan Pak Samad, sedang dia sendiri tahu kehidupan mereka bagaimana? Bisiknya sendiri sebalum dia menyedari perkara seperti itu takkan dapat terjadi.
“Betul you sanggup bayar? Baju yang I pakai ni ditempah khas dari luar negara dan I pasti yang you akan terkejut dengan harganya nanti.” tutur Aida mematikan lamunan Dian. Aida dilihat sudah mula memainkan jarumnya. Sengaja dia mahu memberikan tekanan agar Diana segera termakan umpan. Serentak Dian menghela nafas panjang kerana nilai baju berkenaan sudah dapat diduga dengan hanya dipandang mata.
“Kalau itu yang cik Aida nak, saya dah tak boleh nak buat apa. InsyaAllah saya akan cuba usahakan, tapi macam yang saya kata tadilah, mungkin makan masa sikit sebab saya betul-betul tak ada duit sekarang. Kalau cik tak percaya saya boleh tinggalkan alamat dan no telefon, sekali dengan no ic. Kalau cik nak salinannya pun saya boleh bagi.” balas Dian sebelum mengeluarkan dompet duitnya. Dia sedar yang dia telah menempah maut dengan bertindak menyerahkan diri ke tali gantung.
Dimanalah dia mahu mencari duit itu? Atau haruskah dia mengikut saja cadangan Lilly tadi? Perlukah dia menjual maruahnya sendiri? Ya-Allah, bantulah aku Ya-Allah. Rintihnya didalam hati. Akalnya membeku sampai tak jumpa hala yang perlu dituju. Masalah datang timpa-menimpa dan langsung tak dapat dijangka. Pendiriannya sudah goyah, serentak dia mula memikirkan kewajarannya untuk mengikut jejak langkah sahabatnya itu.
“Diana, you nak tak kalau I beri you kerja?” soal Aida tiba-tiba. Dia tahu sudah tiba masanya untuk dia mengambil langkah kerana Diana sudah mula dilihat seperti sesat arah.
Dian terkejut saat mendengar cadangan Aida. Lebih mengejutkan bila melihat senyuman yang penuh muslihat itu, nampak sangat sengaja dibuat-buat, betul-betul macam penjahat. Buat seketika mereka bertentang mata, sebelum Dian tersedar akhirnya.
“Maaf cik Aida. Saya takkan tergamak buat perkara terkutuk macam tu. Saya masih ingat tuhan. Saya tak rela jual diri semata-mata kerana wang ringgit. Walau terdesak macam mana sekalipun saya takkan buat kerja mengarut macam tu, insyaAllah, selagi saya ingat, selagitulah saya takkan buat.” tuturnya yakin. Dia masih waras untuk membezakan yang hak dan yang batil dan sesekali dia takkan lupa pesanan ummi itu. Tidak, selagi dia mampu untuk bernafas.
“No, no, no. I rasa Diana dah salah faham. Bukan kerja itu yang I maksudkan.” balas Aida menyangkal segala sangkaan Diana yang dilihat sudah condong ke arah lain. Dia tahu Diana sudah tersalah sangka.
“Kalau bukan kerja tu, cik Aida nak suruh saya buat kerja apa sebenarnya?” soal Dian yang masih ragu-ragu.
“I nak you kahwin dengan suami I.” jawap Aida lancar. Dian ternganga. Terkejut, kerana tak menjangkakan jawapan yang bakal diterima. Mana ada isteri yang sanggup carikan suaminya isteri lain semudah itu. Itupun dapat di tempat sebegini.
“Tapi kenapa saya, dan apa tujuannya?” balas Dian tak percaya, pasti Aida ada agendanya yang tersembunyi duganya di dalam hati. Pelik untuk dia menerima tawaran yang datang secara tiba-tiba itu. Benarkah apa yang Aida maksudkan? Atau dia sengaja dipermainkan?
“Simple je sebabnya. Sebab kami perlukan baby. Itu saja yang Diana perlu tahu dan I sanggup bayar you sepanjang proses itu. Kalau you setuju, I akan bayar you wang pendahuluannya sekarang.”
“So, macammana? I rasa ia urusniaga yang menguntungkan semua. You dapat apa yang you perlukan begitu juga dengan I. Selesai semuanya, you bebas untuk kembali jalani hidup you seperti biasa. Menarik kan? You setuju?” soal Aida setelah menyedari Diana adalah pilihan yang paling sesuai untuk menjadi isteri kedua Azeem kerana suaminya itu takkan tertarik dengan wanita berpenampilan begitu. Konservatif dan kolot, tidak sepertinya yang vouge dan seksi.
Azeem pasti takkan sesekali menaruh hati, dan dia juga tak perlulah terlalu bimbang nanti. Kalau Azeem berkahwin dengan calon pilihan opah, pasti sukarlah untuknya mengawal keadaan.
“Saya…saya setuju.” balas Dian tanpa berfikir panjang. Baginya menjadi isteri kedua tidaklah seteruk mana berbanding terpaksa menjaja maruah diri pada insan-insan yang tak dikenali.
“Betul Diana setuju?” balas Aida terkejut bercampur gembira kerana Diana telah memudahkan tugasnya.
“Ya, saya setuju.” jawap Dian lagi. Kali ini lebih yakin. Andai itu jalan keluar pada semua masalahnya dia redha. Semuanya dilakukan demi ummi. Anggap sajalah duit yang bakal diterima itu sebagai wang hantaran perkahwinan, bisiknya sendiri untuk mengurangkan rasa bersalah yang mula menguntum di taman hati.