Dian duduk menyangkung sambil memerhati kawanan semut yang sedang tertib berbaris menuju ke bahagian penjuru rumah, serentak dia bangun sebelum tangannya mengambil sehelai kertas surat khabar lalu dipintalkan kemas.
“Dian nak buat apa tu?” soal ummi yang baru keluar daripada bilik air.
“Ummi, semut ummi. Ada banyak.” jawapnya sambil mendepangkan tangan sebelum memasang api dapur untuk memulakan kerja-kerja penghapusan.
“Dian jangan! Jangan bakar dia.” tutur ummi segera menghalang.
“Dah tu macam mana ummi? Macam mana nak tidur? Ummi jugak yang cakap, bahaya kalau semut masuk telinga. Dah tu macam mana?” soalnya pula.
“Iyalah, tapi jangan bakar. Tak baik. Ummi ingat lagi dulu nenek pernah pesan, kalau bakar semut nanti jadi pekak. Dian nak ke jadi pekak?” balas ummi, menyampaikan pesanan dan ajaran daripada yang terawal.
“Ummi ni, mananya ada orang jadi pekak sebab bakar semut.” tuturnya sambil ketawa kerana dia sukar untuk mempercaya.
“Mana Dian tahu tak ada? Itu petua, lagipun binatang tu pun kan makhluk Allah, jangan siksa dia. Selagi tak mendatangkan mudarat, janganlah dianiaya. Mana dia semutnya?” soal ummi sebelum menuju ke tempat yang dimaksudkan.
“Ni ummi, tengok. Dah banyak yang masuk. Entah apalah yang dia nak.” tuturnya sambil menggaru belakang kepala sebelum menguap besar kerana matanya sudah penat.
“Agaknya cuaca nak berubah, sebab tulah dia nak pindah. Kan dah dekat hujung tahun, lagipun hari dah lama tak hujan. Takpalah kalau dia nak lalu kat situ, kita ubah tempat tidur. Malam ni kita tidur kat sebelah sini.” arah ummi sebelum menarik alas tidur kearah bertentangan mahu memberikan laluan pada kawanan semut berkenaan.
“Kita tunggu sampai esok, kalau masih ada lagi, baru kita selesaikan. Dah, jom tidur.” tambahnya lagi sebelum kedua-duanya mengambil tempat yang sepatutnya.
“Alhamdulillah…bangun lagi kau Dian hari ni.” bisiknya di dalam hati tanda mensyukuri nikmat Illahi sambil memiat-miat mata dengan belakang tangan. Suasana dalam bilik sedikit terang kerana mendapat pencahayaan daripada lampu bilik air yang sudah terpasang. Tiba-tiba dia teringatkan semut semalam, serentak dia menuju ke situ untuk menelitinya.
“Betullah cakap ummi, dia cuma nak lalu.” tuturnya sebelum tersenyum, gembira kerana kawanan semut itu sudah hilang kesemuanya.
“Nasib baiklah kau tak bakar dia semalam Dian. Kalau tak, entah-entah pagi ni kau dah pekak.” tambahnya lagi sebelum ketawa geli hati bila teringatkan petua ummi malam tadi.
“Apalah ummi ni. Takkan bakar semut boleh jadi pekak.” tuturnya masih sukar untuk menghadam.
“Dian pun dah bangun?” soal ummi yang baru selesai mengambil air sembahyang.
“Dah.” jawapnya sepatah.
“Betullah ummi. Dia dah tak ada. Semut tu dah tak ada dekat situ.” tambahnya lagi.
“Alhamdulillah. Eloklah tu, tak payah kita nak menyelesaikannya.” jawap ummi sambil menyarungkan kain sembahyang di badan.
“Ummi tunggu Dian. Tunggu Dian ambil air sembahyang sekejap.” tuturnya sebelum bergegas ke bilik air kerana dia tak mahu ketinggalan mengerjakan ibadah di sepertiga malam sama seperti ummi.
“Ummi, Dian pergi dulu. Assalammualikum.” ucapnya sebelum mengucup tangan dan pipi ummi seperti biasa.
“Bekal dah ambil? Semua dah bawa?” soal ummi pula sekadar mengingatkan.
“Dah, semua dah. Dian jalan dulu. Assalammualaikum.” tuturnya lagi mendoakan kesejahteraan ummi.
“Waalaikumussalam. Jalan tu elok-elok.” ucap ummi tak penat mengingatkan.
“InsyaAllah. Ummi pun.” balasnya sebelum dia menuruni anak tangga, tak mahu membiarkan Siu Lin menunggu, tak mahu kelewatan janji, tapi mujurlah seperti hari-hari yang sebelumnya, dia yang menanti, bukannya yang dinanti.
Ummi juga sudah bersiap-siap untuk ke kedai makan tempat dia menumpang mencari rezeki sebelum dia terpandangkan payung lipat Dian yang tertinggal di situ.
“Ya-Allah budak ni. Tadi kata dah bawa semua.” tuturnya sambil menggelengkan kepala.
“Nanti kalau hari hujan macam mana?” getusnya didalam hati mula bimbangkan keadaan Dian pula.
“Dian…Dian.” panggilnya sambil tangannya menguncikan pintu bilik berkenaan, tapi tidak bersahut.
“Ya Allah. Dian…” tuturnya lagi sebelum bergerak berhati-hati menuruni anak tangga, takut tersalah langkah, kerana kesunyian Dian membuatkan hatinya bertambah tak keruan.
“Dian…” panggilnya lagi sedang payung berkenaan masih juga berada di dalam genggaman.
“Ha!” sergah Dian pada ummi dari sebalik dinding sambil ketawa suka.
“Astaghfirullah hal adzim…Dian ni…terkejut ummi!” ucap Ummi sebelum mengurut dada berkali-kali. Terkejut kerana dikejut.
“Eee Dian ni…Kalau ummi pengsan macam mana? Dian memang suka sangat buat ummi macam ni kan? Sini! Mari sini.” arah ummi sambil menjenggilkan matanya buat-buat marah.
“Ummi tak nak ummi. Dian geli…” balasnya sebelum segera melarikan diri kerana dia tahu ummi pasti mahu menggeleteknya lagi.
“Ummi ni, Dian bergurau je lah. Ummi tulah yang mudah sangat terkejut. Kenapa pulak tiba-tiba panggil Dian lagi? Kan Dian dah ucap Assalammualaikum tadi.” tambahnya membela diri.
“Sini!” arah ummi lagi sambil menggamit-gamitkan tangan.
“Dian tak nak. Dian tahu ummi ada niat lain.”
“Niat apanya. Sini. Ambil ni. Payung Dian ni. Tadi Dian kata semua dah sedia. Ni, kenapa tinggalkan payung ni? Nampak gaya, hari macam nak hujan. Tu nampak, kat atas tu gelap je pagi ni.” arahnya sambil menyuakan payung lipat berkenaan. Serentak Dian memicit beg sekolahnya.
“Alamak, alapak, Dian terlupa. Patutlah ringan je beg ni.” balasnya sebelum segera merapatkan dirinya kepada ummi semula.
“Dian ni muda lagi dah jadi pelupa. Kalau dah tua macam ummi lain la. Nah ambil ni simpan.” arah ummi sambil menghulurkan payung berkenaan kepada Dian.
“Bukan pelupa, cuma tak ingat. Tapi janji ya, ummi jangan usik tengkuk Dian. Dian geli. Nanti Dian jerit baru ummi tahu.” ucapnya ingin memastikan kerana dia masih ragu-ragu.
“Iya. Cepatlah ummi dah lambat ni. Nanti Mak Andak marah ummi pulak.”
“Janji!” tutur Dian lagi kerana dia betul-betul tak menyukai perasaan geli itu sampai meremang bulu tengkok. Betul-betul tak seronok.
“Ya-Allah, budak ni. Kalau taknak takpa, tak payah bawak. Biar ummi pakai kat kedai. Malas ummi nak layan Dian. Ummi nak cepat.” jawapnya sebelum bersedia untuk melangkah pergi.
“Ummi, ummi, ummi. Dian nak, janganlah bawak.” rayunya sambil mencapai payung di tangan ummi menghalang, sebelum menyedari senyuman yang terukir di bibir ummi. Dia kenal sangat dengan bentuk senyuman ummi yang satu ni dan senyuman itu hanya akan timbul bila ummi mahu mengenakannya. Senyuman serigala lapar yang menyamar sebagai pengembala untuk kepentingannya.
“Ha…dapat pun dia.” tutur ummi sebelum mencengkam tangan Dian.
“Ummi taknak ummi, Dian geli.” balasnya sambil meronta untuk melepaskan diri, tapi dah tak ada arah kerana tangannya telah terkunci rapi.
“Dian? Ummi? Kenapa? Gaduh ka?” tegur satu suara yang baru menghampiri mereka. Dian lega kerana Siu Lin telah menjadi penyelamatnya.
“Hish kau ni, mana ada gaduh. Kami cuma bergurau.” jawap Dian sebelum segera melepaskan diri. Serentak tangan ummi disalami dan pipi ummi dikucupi.
“Ummi, kami pergi dulu. Assalamualaikum.” tuturnya sebelum melambai-lambaikan tangan sebagai tanda perpisahan sambil diikuti Siu Lin yang tak mahu ketinggalan.
“Waalaikumussalam. Allah, lindungilah mereka.” balas ummi turut sama mendoakan kesejahteraan anak-anaknya itu.