Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 9

Dian masih fokus pada pelan projek yang sedang diusahakan. Nora, Jan, Rozi dan Yatt juga ada bersama memenuhi ruang studio yang terdapat diaras atas bangunan fakulti. Puas dia memerah otak, tapi entah kenapa mindanya sentiasa melayang dan setiap kali terjadi, ianya akan berarah kepada ummi.

“Ya-Allah, kenapa aku rasa macam ni?” bisiknya didalam hati setelah sedar dia mula rindukan ummi.

“Tak boleh jadi, minggu ni mesti kena balik.” tambahnya lagi. Serentak jam di tangan dijeling. Jarum pendek sudah melebihi angka 10 malah jarum panjangnya pula sudah menghampiri angka 9.

“Kalau call sekarang ummi mesti dah tidur. Nampak gayanya kenalah tunggu sampai subuh.” bisiknya perlahan sebelum menghela nafas panjang. Serentak dia terasa gegaran pada permukaan meja sebelum dia segera mencari puncanya.

“Ummi.” ucapnya riang diiringi senyuman yang sudah sampai ke telinga.

“Assalammualaikum…waalaikumussalam…” tutur mereka serentak sambil sama-sama menjawap salam juga secara serentak sebelum akhirnya mereka tergelak.

“Dian buat apa tu? Dian sibuk ke? Dian dah makan?” soal ummi memulakan perbualan.

“Ummi ni, tanyalah satu-satu. Dian sampai tak tahu nak jawap yang mana dulu.” balasnya suka. Suka bila ummi mengambil berat begitu.

“Dian kat studio ni, ada kerja sikit. Nora, Yatt, Rozi dengan Jan pun ada sekali. Ummi kenapa tak tidur lagi? Bukan sepatutnya masa macam ni ummi dah berdengkor ke?” tuturnya mahu memulakan aksi mengganggu ummi.

“Siapa yang berdengkor Dian tu yang tidur berbunyi, bukan ummi.” balas ummi segera membela diri.

“Mana ummi tahu ummi tidur tak bunyi? Ummi dah tidur memanglah ummi tak dengar.” tuturnya sambil ketawa.

“Ha, tahupun dah tidur. Samalah macam Dian, masa Dian dah tidur, mananya Dian sedar. Cuba Dian tanya Nora, Dian tidur berdengkur ke tak? Kita tengok siapa yang cakap benar.” jawab ummi pula, sengaja ingin bergurau senda.

“Taknak lah.” tutur Dian mahu mengelak.

“La, tanya jelah. Tak pun, biar ummi tanya sendiri. Dian bagi telefon pada Nora.” balas ummi pula, sambil berusaha menahan ketawa.

“Taknak…” jawabnya lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Dian apa? Apa yang kau tak nak?” soal Nora yang sudah berada di sebelahnya.

“Tak ada apa-apa. Ummi aku ni saja je nak main-mainkan aku.” balasnya.

“Kau cakap dengan ummi kau macam cakap dengan kekasih.” balas Nora sambil tersenyum suka, gembira melihat keakraban hubungan kekeluargaan Dian.

“Ummi dengar tak apa yang Nora cakap?” soalnya pada ummi pula.

“Apa Nora cakap? Dia cakap Dian tidur bunyi?” pantas ummi membalas.

“Bukan tu…ummi ni.” tuturnya yang sudah mula lemas dalam permainan yang diciptanya sendiri.

“Ok, ok. Dian mengaku. Dian main-main je tadi, ummi tidur mana ada bunyi.” tambahnya menyerah kalah, biarpun tak semuanya benar sebab dia memang pernah mendengar.

“Kenapa ummi call malam-malam macam ni? Ada hal penting ke ummi?”

“Tak ada apa-apa, cuma ummi tiba-tiba teringatkan Dian.”

“Ummi rindu Dian la ni. Ummi, bukan ke semalam kita dah borak panjang. Panjang sangat, sampai dah panas telifon kat telinga. Takkanlah hari ni dah boleh rindu lagi.” balasnya gembira sedar yang dia juga berperasaan sama.

“Ummi sayang Dian.” ucap ummi tiba-tiba, serentak Dian terkesima kerana hatinya mula rasa macam ada yang tak kena.

“Ummi kenapa?” soalnya pula.

“Tak ada apa-apa. Dian belajar rajin-rajin. Dian balik minggu ni?” soalnya pula.

“InsyaAllah, Dian balik. Ummi tunggu Dian ya.” balasnya yang sudah mula sebak kerana itulah soalan yang paling tak boleh ditolak. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia terbang ke sana untuk bertemu dengan ummi saat ini, tapi dia bukan burung dan dia tak bersayap.

“Hmm. Ummi tunggu Dian. Ingat pesan ummi jangan lupa solat. Ummi sayang Dian.” tegasnya lagi.

“Dian pun sama, Dian pun sayang ummi.” balas Dian turut sama menyatakan perasaan.

“Assalammualaikum.” ucapnya mengakhiri perbualan sambil mendoakan kesejahteraan Dian.

“Waalaikumussalam…” jawap Dian perlahan, ditemani perasaan yang sukar untuk dimengertikan.

 

Suasana dalam bilik kuliah riuh rendah bila ketua kelas, Suffian mengumumkan pembatalan kelas Doc.Ting. Semua rakan-rakan sekelasnya berpusu-pusu meninggalkan dewan kuliah yang terletak di aras 2 bangunan fakulti kejuruteraan awam itu. Dian, Nora, Jan, Yatt dan Rozi beriringan pulang dengan senang hati.

“Dah tu, kita nak ke mana sekarang ni?” soal Jannah atau nama glamornya Jan itu.

“Kita dah sarapan tadi. Apa kata kita ke library, cari bahan-bahan untuk assignment Prof.Titek tu, nak tak?” ujar Nora memberikan cadangan.

“Ok boleh. Aku tak ada masalah. Kalau ke studio nanti ada je lah kerjanya. Assignment tu kena submmit minggu depan kan? Apa tajuk group kita? Aku dah lupa la.” tutur Yatt pula sambil tersengih malu. Sedar yang dia kurang mengambil tahu.

“The Malay Reserved Land, kau tahu ke apa bendanya tu Dian? Apa kaitannya dengan kita? Kau kan perpustakaan bergerak. Semua benda kau tahu.” soal Rozi pula yang berada di belakang. Dia mahukan sedikit pencerahan.

“Setahu akulah Malay Reserved Land adalah pemilikan hartanah daripada segi perundangannya hanya boleh dipindahmilik kepada bangsa melayu, iaitu orang melayu macam kita dan kaum-kaum pribumi di Sabah dan Serawak sahaja. Sebarang urusan yang dijalankan dengan orang bukan Melayu adalah tak dibenarkan dan terbatal.”

“Banyak isu yang timbul dalam mengekalkannya. Ada yang berpendapat tanah-tanah ni perlulah dibangunkan dan tak kurang juga bertegas untuk mengekalkan.” terang Dian kerana dia sudah membuat sedikit pencarian berkaitan dengannya. Yatt, Nora, Jan serta Rozi mengangguk faham.

“Tapi kau tak jawap lagi soalan aku tadi. Apa kaitannya dengan course kita?” soal Rozi semula.  

“Pembangunan Vs perundangan. Itulah kaitannya dengan kita. Enakmen Tanah Rizab melayu yang ditubuhkan lama dulu dah menetapkan sebarang pembangunan takkan dapat dijalankan di atas TRM tanpa mendapat kelulusan daripada pemilik berdaftar tanah dan kalaupun kelulusan diperolehi ia memakan masa yang panjang untuk meminda semula enakmen.”

“Kita sebagai bakal-bakal Jurutera Awam, insyaAllah satu masa nanti perlulah kiranya mengambil tahu, sebab sebarang kelewatan proses pembinaan maksudnya apa?” soal Dian mahu menguji rakan-rakannya yang lain.

“Kos!” jawap mereka serentak. Dian pantas mengiakan.

“Betullah tu, kos, dan benda yang paling kita takut dalam pembangunan sesebuah projek ialah kos. Dalam pada kita berlumba-lumba untuk memajukan TRM, tanpa kita sedar keluasannya semakin mengecil hari demi hari. Sebabnya satu je. Bila dah ambil tak ganti balik.”

“Maksudnya, setiap TRM yang dibangunkan perlu diganti semula? Tapi ada cara ke? Seronok jugak kan tajuk ni sebenarnya. Selama ni aku selalu dengar tentang TRM tapi tak tahulah sangat tentang hal-hal yang berkaitan, yang aku tahu contoh yang paling dekat Kampung Baru. Makin lama, makin seronok pula aku dengar. Dian kau ceritalah lagi.” tutur Yatt yang sudah mula mendapat idea untuk projek mereka nanti.

“Nak lagi? Kata tadi nak pergi cari.” tutur Dian pula. Yatt, Jan, dan Nora pantas mengangguk. Dalam hati dia gembira dapat berkongsi maklumat kerana bagus juga untuk dirinya sendiri bila dia turut dapat membuat ulangkaji.

“Kalau ikut undang-undang, memanglah TRM yang telah diambil untuk tujuan pembangunan perlu diganti dengan tanah lain yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti tanah yang dah dilucutkan haknya, tapi yang sedihnya benda tu tak berlaku. Terutamanya bagi tanah-tanah yang berada di kawasan bandar yang bernilai tinggi. Kesannya TRM semakin mengecil dan mengecil saban waktu.” terang Dian kesal. Atas alasan pembangunan, kepentingan TRM dilihat semakin dipinggirkan.

Apakah konsep pembangunan sebenarnya? Adakah pembangunan bermaksud pembersihan dan penerokaan semata-mata tanpa langsung memikirkan hak bumi dan tanah itu sendiri? Perlukah kita membina seluruh hutan konkrit mengganti hutan semulajadi yang dianugerahkan dari Illahi? Serentak dia menghela nafas panjang bila memikirkan cara pemikiran manusia yang terlalu mengagungkan dunia.

“Kalau macam tu, nanti kita bolehlah masukkan sekali tentang TRM vs Pembangunan. Kebaikan dan keburukannya tak lupa isu-isu yang terlibat. Kita boleh refer Kampung Baru sebagai case study kita.” balas Jan pula.

“Kejap. Telefon siapa yang bunyi tu?” soal Jan lagi. Serentak semuanya memandang ke arah beg Dian.

“Dian phone kau bunyi.” ucap Rozi pula sambil mencuitnya.

“Alamak. Tak perasan aku.” balasnya sambil pantas menyeluk ke dalam beg kain.

“Ummi aku. Korang kejap ya.” tuturnya tadkala terpandangkan nama ummi yang tertera di situ sambil tersenyum gembira.

“Assalammualaikum, ummi.” sopan dia memulakan bicara.

“Waalaikumussalam. Maaf saya nak tanya. Cik kenal dengan Pn.Azizah?” soalnya.

“Ya, itu ummi saya, tapi ummi saya mana?” soal Dian mahu mengetahui apa yang terjadi. Kemana ummi? Serentak hatinya mula dilanda resah.

“Kami daripada hospital. Saya nak beritahu yang dia kemalangan dan dikejarkan ke sini. Sekarang dia berada di wad kecemasan. Kami sangat perlukan kerjasama daripada waris terdekatnya. Diharap cik dapat datang ke sini dalam kadar segera untuk menguruskan prosedur yang berkaitan.” terangnya lagi.

“Baik, baik. Saya datang sekarang.” tuturnya terketar-ketar. Rozi, Jan, Nora dan Yatt kehairanan. Dari riak wajah Dian mereka pasti sesuatu yang tidak baik telah berlaku.

“Kenapa Dian? Kenapa dengan ummi kau?” soal Yatt yang berada di sebelahnya.

“Ummi aku…dia accident. Sekarang dia di hospital. Aku kena gerak ke sana. Ummi perlukan aku. Korang, aku pergi dulu.” tuturnya cemas sebelum melangkah pantas.

“Dian, kau naik sekali dengan aku. Biar aku hantarkan. Waktu macam ni kalau nak cari teksi susah sikit.” pelawa Yatt yang mempunyai kenderaan sendiri. Dia turut bimbang setelah mengetahui apa yang terjadi.

“Tak menyusahkan kau ke nanti? Kan ada kelas lagi lepas ni.” soal Dian. Dia tak suka membebankan sesiapa.

“Susah apanya. Hari ni hari kau. Manalah tahu, esok lusa hari aku pulak. Kelas takpa, kalau sempat nanti aku pergi. Jomlah cepat, tak payah fikir banyak sangat. Kereta aku parking kat hujung sana.” balasnya sambil menarik tangan Dian untuk mengikutnya.

“Korang hati-hati. Dian apa-apa bagitahu kami.” tutur Nora yang turut dipalit rasa bimbang.

“InsyaAllah.” balasnya. Dalam kekalutan, langkah kaki dihayun sekuat yang termampu. Wajah ummi terbayang di mata sebelum perbualannya bersama ummi beberapa hari lepas muncul semula.

Dia tak menduga keadaan seperti ini boleh terjadi dalam sekelip mata. Sudah hampir dua minggu dia tidak pulang ke rumah. Esok dia baru bercadang untuk balik menziarahi ummi selesai menghantar tugasannya nanti. Kepalanya sarat dengan pelbagai persoalan. Bagaimana keadaan ummi, dan bagaimana ia boleh terjadi? Hatinya sangat tak tenteram dan selagi dia tak dapat melihatnya sendiri, selagi itulah dia takkan tenang.

Serentak dia beristigfar berkali-kali, minta diberikan ketenangan hati kerana itulah yang sangat diperlukannya saat ini. Dalam tak sedar, air matanya meluncur deras membasahi pipi.

“Ummi…Allah, lindungilah ummi.” bisikya dalam hati sambil mendoakan keselamatan ummi yang dikasihi.

 

“Cik saya nak cari ummi saya, Pn.Azizah. Tadi pihak hospital ada maklumkan yang dia admit di sini. Boleh saya tahu di mana dia berada sekarang?” soal Dian kepada jururawat yang bertugas.

“Sekejap ya cik. Bagi saya check dulu.” tuturnya sambil menekan-nekan papan kekunci komputer.

“Sekarang dia berada di wad 3, bahagian ICU. Cik jalan terus, kemudian ambil kanan.” tuturnya memberikan pertolongan.

“Terima kasih.” balas Dian. Biarpun dalam kecemasan dia tetap tak lupa menghargai jasa yang diberikan sebelum dia dan Yatt menuju ke tempat yang dinyatakan.

Seketika kemudian mereka tiba ke wad yang dimaksudkan. Alangkah terkejutnya dia bila melihat keadaaan ummi yang terbaring kaku di situ. Helaian wayar berseliratan di bahagian tubuhnya. Kepala ummi berbalut, tapi masih terdapat kesan darah di situ. Serentak dia terpaku, keras macam tunggul kayu.

“Dian, kau ok tak ni?” soal Yatt yang terkejut melihat wajah Dian yang berubah pucat sebelum tangannya menggoyangkan bahu sahabatnya itu perlahan. Serentak Dian tersedar. Dia berharap segalanya hanya sekadar mimpi, namun dia sedar yang dia kini berada di alam realiti. Ummi benar-benar sedang terbaring di situ.

“Ummi…” tuturnya sayu disambut dengan deraian air mata yang sudah tak dapat lagi ditahan. Yatt yang melihat turut sama berkongsi kesedihan. Tangan Dian digenggam kemas sebelum tubuh itu dipeluk erat.

“Sabar Dian. Kau sabar ya. Kita doa sama-sama. InsyaAllah ummi takkan apa-apa.” pujuknya ingin menenangkan kesedihan sahabatnya itu.

“Yatt, ummi aku…” tuturnya dalam sendu yang dah tak tertahan. Benarkah dia akan kehilangan teman sejatinya itu? Sedang matanya masih tetap memandang ummi, yang sunyi tanpa sebarang reaksi.

“Ya-Allah, aku merayu padamu Ya-Allah, selamatkanlah ummi. Tolonglah selamatkanlah ummi.” doanya dalam tangisan. Yatt yang mendengarnya turut tersentuh sebelum dia turut sama menangis.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.