Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 52

Majalah yang tersedia di sisi meja dicapai kerana dia perlu menunggu giliran namun bunyi loceng di muka pintu sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya pada pembacaan. Kehadiran seorang wanita yang dia kenali sebagai Kak Lela bersama dengan seorang pemuda berjaya menarik perhatiannya. Daripada jarak usia dan bentuk wajah, dia sudah dapat mengagak yang itu adalah anaknya.

“Assalammualaikum. Ira, Dian ada?” soal Kak Lela pada Kak Ira yang sedang duduk di kaunter.

“Waalaikumussalam. Dian ada kat dalam dengan customer. Akak nak buat sesi ke hari ni?”

“Hari ni tak rasanya. Mungkin minggu depan. Akak nak ajak dia keluar makan tengah hari sama-sama. Sambil tu nak kenalkan dia pada Haikal, anak akak ni.” balasnya, Haikal tersipu-sipu malu dibuatnya. Malu kerana maknya langsung tak berselindung menyatakan hasrat di hati.

“Assalammualaikum.” tuturnya sopan pada Kak Ira tanda pengenalan.

“Waalaikumussalam. Elok orangnya, tapi selama ni tak pernah datang temankan akak.”

“Memanglah tak pernah sebab jarang ada kat sini, belajarnya di Mesir. Ni pun balik tak lama, habis cuti nanti baliklah dia semula ke sana. Dah alang-alang dia balik ni, akak naklah kenalkan dia dengan Dian, biar mereka berkawan.” balasnya menyatakan perancangan.

“Dian tahu ke rancangan akak ni? Dia tahu yang akak nak kenalkan dia dengan Haikal?” soal Kak Ira terkejut.

“Tak, dia tak tahu. Itu yang akak datang sekali harini nak kenalkan mereka dulu. Kalau dia setuju, alhamdulillah. Kita bukan nak buat benda tak elok. Lagipun ada yang akak nak cerita pada dia. Sejak daripada hari tu akak tak bagitahu dia lagi.”

“Cerita apa?” soal Kak Ira ingin tahu.

“Nantilah, biar akak bagitahu Dian dulu. Kalau dah selesai nanti akak cerita.” balasnya pula.

Rancangan untuk menyatukan semula hubungan yang terputus sejak sekian lama dengan arwah Mak Cik Azizah telah dinyatakan kepadanya dan dia agak terkejut pada mulanya, kerana dia belum mencapai apa-apa. Masih banyak yang dia perlu sediakan sebelum menyambut kedatangan orang baru bagi menghiasi rumah tangga yang bakal dibina, tapi hasrat maknya itu sukar untuk ditolak kerana selama ini dia sentiasa berusaha untuk tidak menghampakan.

Mungkin mereka boleh berkenalan dan berkawan terlebih dahulu dan dengan usia sebaya, maka seharusnya lebih mudahlah untuk mereka berinteraksi nanti. Memang mak tak pernah memaksa, tapi daripada cara mak menyatakannya dia tahu maknya itu bersungguh-sungguh tambahan pula tak pernah mak meminta sesuatu apapun daripadanya.

Setelah apa yang mak korbankan selama ini, tak tergamak rasa hati untuk menolaknya mentah-mentah. Mana tahu itu memang jodoh yang dah tertulis untuknya dan sudah tersurat mereka akan dipertemukan untuk menyambung kembali ikatan kekeluargaan yang pernah tercipta? Tiada apa yang pasti kerana hanya Allah yang Maha mengetahui.

Azeem yang mendengar, mula rasa tak tenteram. Memperkenalkan Dian untuk lelaki itu? Maksudnya apa? Mahu mengahwinkan Dian dengannya? Duganya di dalam hati. Serentak wajah pemuda itu dijeling sebelum dia mengakuinya. Pemuda itu kelihatan lebih baik. Terpancar cahaya ketenangan di wajahnya, memang pilihan yang jauh, malah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan dia. Bertemankan hati kecewa, dia akhirnya bangun dan bersedia untuk beredar.

“Zul nak ke mana tu?” soal Kak Ira bila terlihatkan Azeem yang sudah mahu keluar.

“Zul tak jadilah buat rawatan hari ni. Tiba-tiba Zul teringat yang Zul ada hal lain. InsyaAllah, esok atau lusa Zul datang semula. Boleh kan?” soalnya pula.

“Boleh, tak ada masalah. Akak tangguhkan dulu sesi hari ni untuk Zul, tapi jangan tak datang nanti.” balasnya dengan senyuman.

“InsyaAllah, Zul pergi dulu, assalammualaikum.” balasnya dengan senyuman dalam usaha menyembunyikan gelora perasaan. Sukar untuk dia menggambarkannya. Memang dia kecewa, tapi perlukah dia kecewa kerana Dian dan Haikal dilihat lebih sesuai bergandingan bersama. Sedang dia? Dia bukan siapa-siapa dalam hidup Dian. Mungkin sudah sampai masanya dia membebaskan Dian daripada belenggu yang dikenakan pada isterinya itu dan melepaskan Dian pergi pada lelaki yang lebih layak untuknya. Tanpa sedar air matanya sudah mula bergenangan.

“Waalaikumussalam.” balas semua yang mendengar. Kak Ira selesa dengan perwatakan Zul yang serdahana biarpun dia orang berada.

Melihat penampilan Zul saja dia sudah dapat mengagak kehidupannya, dengan pakaian dan perkakasan yang berjenama terutama kereta mewah yang hanya mampu menjadi jamuan mata telah membuktikan perbezaan mereka.

Itu sudah cukup untuk menggambarkan status yang dimilikinya, tapi yang pelik dalam banyak-banyak tempat kenapa pusat rawatan mereka yang dipilih? Sedangkan ada banyak lagi pusat-pusat rawatan yang menawarkan perkhidmatan lebih baik dan selesa sesuai dengan kedudukannya itu. Atau mungkin Azeem memang mahu membantu golongan yang kurang upaya seperti mereka? Itu dia sendiri pun tak tahu.

“Kak Lela dengan Haikal duduklah dulu. Sekejap lagi siaplah Dian tu.” cadangnya setelah kelibat Zul hilang di mata.

 

“Dian, hari ni kita bukan berdua, tapi kita bertiga sebenarnya. Mak nak kenalkan Dian dengan Haikal, nak bongsu mak.” tutur Kak Lela pada Dian ketika mereka baru selesa duduk di dalam kedai makan berkenaan. Sejak tadi dia belum memaklumkan kepada Dian bahawa Haikal ada bersama kerana dia menantikan masa yang sesuai untuk menjelaskan segalanya.

“Assalammualaikum, saya Haikal.” sapanya pada Dian sebagai permulaan satu hubungan persahabatan.

“Waalaikumussalam…” jawap Dian perlahan, terkejut kerana daripada tadi dia menyangka yang mereka hanya berdua. Tak sangka pulak mak datang berteman hari ni. Bisiknya di dalam hati.

“Dian, mak ada benda nak cakap dengan Dian, tapi Dian jangan terkejut. Dah lama dah mak nak terangkan. Mak rasa sekaranglah masa yang paling sesuai untuk mak jelaskan semuanya.” berkerut kening Dian mendengar kata-kata mak angkatnya itu sebelum sebuah senyuman menguntum di bibir. Geli hati kerana buat pertama kalinya mak seserius itu.

“Bunyi mak macam serius sangat tu? Apa bendanya? Mak jangan nak cerita benda pelik-pelik pulak.” balasnya yang masih menguntum senyum. Haikal yang melihatnya mula merasakan sesuatu bila hatinya terasa tenang tadkala melihat senyuman itu.

“Memang bunyi macam pelik, tapi itulah kebenarannya.”

“Ceritalah apa dia?” balas Dian sedikit teruja.

“Macam mana mak nak mula ya? Oklah macam ni, Dian ingat tak masa mak datang rumah Dian hari tu?” tuturnya sebelum memberi penjelasan lanjut.

“Hmm, ingat, tapi kenapa? Apa kaitannya?” soalnya pula hairan sebelum dia merasakan tangannya digenggam erat.

“Masa tu kan mak tanya tentang gambar ummi Dian. Hari ni mak nak beritahu Dian yang arwah ummi dengan mak sebenarnya kawan. Kami berkawan sejak kecil lagi.” jawap Kak Lela dan Dian hanya mampu mendengarnya.

“Sampai usia remaja kami pisah. Dia ke KL cari kerja dengan kawan-kawan sekampung, mak masuk maktab perguruan di Kuala Kangsar dan lepastu kami terus terputus hubungan.” tambahnya lagi sambil menepuk-nepuk tangan Dian lembut.

“Sepanjang tempoh 30 tahun ni, mak tetap ingatkan dia dan berdoa agar kami dapat jumpa semula satu masa nanti. Setiap kali balik ke Langkawi mak mesti lebih ingatkan dia sebab kat situlah tempat kami dibesarkan.” terangnya sambil mengeratkan genggaman tangan. Dian yang mendengar tetap juga sunyi.

“Mak teringin sangat nak jumpa dengan dia, nak tengok rupa dia macam mana. Nak sembang dan bercerita tentang kisah-kisah lama bila berjumpa, itu yang mak selalu fikir, tapi mak tak sangka yang dia dah tak ada.”

“Azizah, kawan mak dah tak ada...” ucapnya sayu. Dian yang masih tersentak segera sedar akhirnya. Suara mak yang terketar-ketar menggambarkan kesedihan di hatinya. Tanpa berlengah dia membalas genggaman tangan itu.

“Mak, janganlah macam ni. Dahlah tu, ummi dah lama pergi. Kita doakan dia sama-sama. Dian sendiri pun tak tahu nak cakap apa, yang pasti Dian gembira sebab dapat tahu hal ni. Semuanya perancangan Allah. Allah temukan kita supaya mak dapat tahu keadaan ummi, maknanya Allah terima doa mak selama ni.”

“Biarpun ummi dah tak ada dengan kita, Dian yakin sangat yang ummi bahagia. Kita sama-sama doakan untuk ummi ya, doakan dia bahagia kat sana.” balasnya. Kak Lela bertambah tersentuh hati mendengarnya. Serentak tubuh Dian didakap kemas.

“Mak nak sambung semula hubungan yang dah lama terputus dulu. Mak harap sangat Dian tak menolak hajat mak ni.” tuturnya sambil mengusap-usap lembut belakang Dian.

“Maksud mak?” soal Dian hairan.

 

“Aimi, kau nak tak kalau aku kenalkan kau dengan abang aku.” tutur Dian saat mereka sama-sama berjalan pulang selesai sesi ceramah yang diadakan.

“Ish, kau ni. Tak nak la. Aku dah serik. Aku dah tak nak terlibat dengan siapa-siapa dah.” balasnya pasti.

“Janganla cakap macam tu. Abang aku lain, dia baik, sama je macam aku, sebijik…tapi bezanya dia tak pakai tudungla.” balas Dian sambil ketawa, turut dikuti Aimi yang tergeletek hati.

“Dah tu nak tak?” soalnya lagi dalam senyuman yang masih banyak berbaki.

“Dian, dalam keadaan macam ni, aku dah tak nak membina harapan. Aku tak nak terima ihsan dan aku tak nak orang terima aku sebab kasihan. Aku kan ada mak dan ayah, diorang boleh jaga aku. Mungkin bukan rezeki aku dengan siapa-siapa, tapi rezeki aku pada keluarga, dah cukup dah tu untuk aku. Aku dah tak nak minta apa-apa.” balasnya menolak kerana tak mahu dikecewakan lagi.

“Hmm…dah tu kau tak nak la ni?” soal Dian kecewa.

“Tak nak. Aku tak nak.” balasnya sambil menggelengkan kepala, pasti dengan jawapannya itu.

“Dah selesai?” tutur Hj. Zakaria yang baru tiba.

“Dah ayah. Dah selesai dah. Dian jom naik sekali dengan aku.” tutur Aimi menawarkan diri untuk menghantar Dian pulang.

“Takpalah, aku boleh balik sendiri.” balas Dian pasti.

“Dian, naik sekali dengan ayah. Biar ayah hantar balik.” celah Hj. Zakaria pula kerana dia sudah berhasrat mahu melakukannya.

“Tak apalah ayah. Dian boleh balik naik LRT.” dengan pantas Dian menolak lagi.

“Dian, biar ayah hantar.” tutur Hj. Zakaria semula, lebih tegas kali ini dan Aimi yang mendengar rasa puas hati.

“Tulah aku dah cakap dah tadi naik sekali. Sekarang kan dah kena marah.” bisik Aimi, gembira kerana Dian tak dapat melepaskan diri lagi. Serentak Dian berdecik perlahan dan dengan separuh kerelaan, hatinya terpaksa juga membenarkan.

Previous: Bab 51
Next: Bab 53a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.