Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 45

Masuk minggu kedua, keadaan masih berjalan seperti yang diharapkan. Dian tetap tak menyedari kehadirannya yang mengekori saban waktu, menjadi pelindung senyap, mata-mata yang tak merbahayakan. Memerhati dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan apabila diperlukan, paling penting menjaga keselamatannya bila bersendirian, tapi itu mungkin Dian kerana dia tidak mempunyai penglihatan, sebaliknya Udin sudah mula dapat menghidu sesuatu yang pelik lagi ajaib.

Udin sudah dapat mengesan sesuatu. Dia perasan tentang tingkah laku seorang lelaki yang tak dikenali seringkali mengekori kakaknya itu dan lelaki itu adalah lelaki yang berada dihadapannya ini. Pandangan matanya tak lari daripada mengamati wajah lelaki yang mencurigakan itu sebelum Azeem membuang pandang ke arahnya dan serentak dengan itu dia mula cemas, takut kecurigaannya itu dihidu terlebih dahulu.

“Nak pasan apa?” soalnya pantas, menutup gelora di hati. Berdebar-debar hati dibuatnya bila mata mereka bertemu.

“Bagi abang nasi dagang dengan air bali suam.” balas Azeem sebelum mencapai surat khabar yang ada terdapat di atas meja.

“Ok, abang tunggu sekejap.” jawap Udin sebelum segera menghantar pesanan pada maknya di kaunter belakang, sambil itu sempat juga dia mencuri pandang ke arah suspek yang kelihatan mencurigakan itu.

Perasaan ingin tahunya memuncak dan dia sudah merancang sesuatu. Pagi ini adalah penentu segalanya dan dia akan membuktikan kesangsiannya itu berasas atau sebaliknya.

 

Seperti biasa, Dian singgah dulu ke kedai makan Mak Andak untuk mengambil bekalnya sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Udin senyap-senyap memerhati gelagat suspek yang tak dikenali itu sambil berharap sangkaannya meleset kerana dia tak mahu Kak Dian diganggu apatah lagi disakiti, tapi andai itu yang terjadi, dia tak akan teragak-agak kedepan untuk melindungi.

Namun sebaliknya yang berlaku kerana seperti benar sangkaannya, kehadiran Kak Dian telah menarik minat lelaki itu sama seperti semalam dan hari-hari sebelumnya. Daripada cara lelaki itu memandang saja sudah membuatkan dia rasa tak selesa.

“Akak, ni bekalnya. Akak hati-hati kat jalan.” tuturnya sambil menghulurkan bekalan yang telah tersedia sebelum Dian menyambutnya penuh syukur.

“Terima kasih. Akak gerak dulu, assalammualaikum.” balas Dian sebelum beransur pergi.

“Waalaikumussalam.” jawapnya sebelum menyibukkan diri di kaunter semula.

Bila melihat Dian sudah berlalu, Azeem segera menuju ke kaunter untuk membuat bayaran. Udin bertambah tak selesa kerana telahannya semakin menjadi nyata. Mungkinkah benar Kak Dian sedang diekori? Tapi siapa lelaki ni? Bicaranya di dalam hati sambil memandang wajah lelaki yang tak berjaya dikenalinya itu.

“Kira dik berapa? Abang nak cepat.” tutur Azeem sambil mengeluarkan dompet duitnya. Udin mengetap bibir menahan perasaan.

“Ooo…kau nak cepat sebab nak mengendap akak aku ya?” ngomelnya di dalam hati. Geram bila ada yang mahu mengganggu kedamaian Kak Diannya itu.

“Adik berapa? Nasi dagang dengan air bali suam.” tutur Azeem semula, tak mahu ditinggalkan. Tak betah rasanya membiarkan Dian berjalan tak berteman.

“Abang makan apa tadi?” soal Udin setelah mendapat dirinya kembali. Dia sedar segalanya masih belum terbukti.

“Nasi dagang dengan air bali suam, berapa?”

“RM 5.20.” balasnya. Azeem segera mengeluarkan sehelai note RM 10 untuk melangsaikan bayaran. Hatinya mula rasa tak tenang kerana sudah agak lama Dian pergi, tapi dia masih disini.

“Abang ada duit kecil? 20 sen ada?” soal Udin pula sengaja mahu melengah-lengahkan waktu.

“Takpalah dik. Simpanlah bakinya. Abang nak cepat ni.” balas Azeem sebelum melangkah meninggalkan kedai makan tersebut.

“Bakinya!” tutur Udin menghalang, tapi Azeem sudah terlebih dahulu berlalu. Udin mula jadi tak senang duduk dibuatnya kerana dia semakin pasti bahawa lelaki tersebut mempunyai niat yang tak baik pada Kak Dian.

“Nak cepat konon. Ooo…kau nak cepat supaya dapat mengekor akak aku tu? Kau ingat aku tak tahu apa yang kau buat ya?” gerutunya sendiri sebelum meminta kebenaran daripada maknya untuk mengekori.

“Mak, ayah, Udin nak keluar sekejap. Sekejap je.” tuturnya sebelum membuka apron yang tergantung di badan.

“Udin nak kemana? Kan orang tengah ramai ni.”

“Ada hal sikit. Sekejap je. Kejap lagi Udin balik.” tuturnya lagi.

“Apa halnya?” soal Mak Andak semula. Masih tak tahu apa yang berlaku.

“Adalah, nanti Udin cerita.”

“Ya lah, tapi jangan lama sangat.” tutur Pak Samad mengingatkan. Tak ada salahnya sekali sekala membenarkan anaknya itu menguruskan perihal sendiri.

“Terima kasih ayah. Udin keluar dulu.” balasnya sebelum segera membuntuti lelaki itu.

 

Berhati-hati dia menapak mengekori langkah suspek. Tak mungkin semuanya adalah kebetulan kerana sudah berhari-hari dia memerhati, Kak Dian memang sedang diekori. Sampai di hujung blok rumah kedai, dia akhirnya bertindak. Dengan pantas dia mencekup tangan dan bahu lelaki itu lalu mendorongnya ke bahagian lorong yang agak tersorok, tak mahu keadaan menjadi bertambah teruk. Perkara itu tak seharusnya diketahui oleh Kak Dian kerana dia tak mahu kakaknya itu takut dan bimbang.

Kini badan dan muka suspek dihimpit ke dinding untuk mengunci pergerakannya. Tangan lelaki asing itu dipulas ke belakang lagak seorang anggota polis yang berjaya memberkas penjenayah dan dengan penuh keberanian dia berusaha untuk mempertahankan ketenangan Kak Dian.

“Kau siapa? Kenapa kau ikut akak aku? Kau nak apa daripada dia?” soalnya marah. Azeem yang sedari tadi menahan diri betul-betul rasa tercabar. Sakit rasanya kulit muka yang tertenyeh ke dinding, sakit juga hatinya kerana tiada siapa yang pernah memperlakukannya begitu. Tanpa berlengah Azeem melancarkan serangan balas. Belumpun sempat mendapat jawapan, kini Udin pula yang menjadi sasaran. Keadaan mula diterbalikkan dan sekarang dia pula yang berada dalam kecemasan.

Benarlah kata orang tua-tua, kalau dah kail panjangnya sejengkal, janganlah lautan hendak diduga, sebab tak ada guna, nanti diri sendiri yang merana. Dia terlupa tadi, suspek tersebut dua kali ganda lebih besar darinya, sampai lengan pun dah dekat besar peha, sedang tubuhnya hanya sebesar batang kelapa.  

“Sebelum aku jawap soalan tu, aku yang patut tanya kau dulu. Kau siapa? Apa hubungan kau dengan dia? Apa hubungan kau dengan isteri aku?” tutur Azeem tegas. Dia juga mahukan jawapan atas segalanya. Siapa gerangan budak hingusan yang sentiasa tersenyum gembira setiap kali memandang isterinya itu kerana mereka dilihat hampir sebaya? Apa hubungan mereka, sekadar kawan atau lebih lagi sebenarnya?

“Aduh aduh, sakit sakit. Kot iya pun nak tahu, lepaslah dulu. Sakit tau tak.” balas Udin dengan muka yang berkerekot menahan sakit. Sekarang, barulah dia tahu lawannya itu bukan calang-calang orangnya dan dia perlu mengatur langkah semula. Serentak Azeem melepaskan cengkamannya kerana dia tak rela diri menjadi samseng jalanan yang bertunjangkan kekerasan.

“Sekarang cakap.” tutur Azeem. Dia mahukan penjelasan.

“Aku ni adik dia, dia tu akak aku, puas hati?” tutur Udin mencabar. Hilang perasaan takut di hati sebentar tadi berganti keberaniaan untuk mempertahankan diri.

“Yang kau ni, siapa? Kau cakap kau suami dia? Kau jangan nak bohong la. Kau ingat aku tak tahu? Kau sebenarnya ada niat jahat pada akak aku tu kan?”

“Jangan sebab dia tak nampak, senang-senang kau nak ganggu dia. Kau ingat, ini tempat aku. Aku nasihatkan baik kau pergi, tapi sebelum tu sekejap…” tutur Udin sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya. Dengan pantas gambar Azeem ditangkap dan disimpan, sebagai bahan bukti andai diperlukan nanti.

“Aku dah ada gambar kau. Kau jangan fikir nak buat hal kat sini. Kalau ada apa-apa jadi pada akak aku pasti kaulah orangnya. Baik kau pergi sekarang.”

“Ooo…dah kena tangkap, banyak pulak alasan kau ya? Senang-senang kau nak mengaku yang kau ni suami, dia tu isteri la. Kau ingat aku tak tahu kau siapa? Memang dasar penyangak!” tambahnya lagi sengaja ingin menunjukkan kemarahan dihadapan lelaki itu. Dalam hati dia sudah memikirkan cara untuk melarikan diri apabila keadaan menjadi terdesak.

“Kau cakap aku tipu? Kalau tak percaya, tengok ni.” balas Azeem sambil mengeluarkan kad perkahwinannya daripada beg duit dan tanpa berlengah Udin mencapainya sebelum dia turut ternganga.

“Sekarang dah percaya?” tutur Azeem lagi. Udin masih kaku dan lidahnya tetap kelu. Wajah lelaki di hadapannya itu memang sama dengan wajah yang tertera dikad tersebut, bukan itu saja, maklumat Kak Dian juga ada sama. Dua kali sah, dia memang suami Kak Diannya itu.

“Kalau abang suami Kak Dian, kenapa terkendap-kendap macam penjenayah? Pergilah jumpa, cakap dengan dia elok-elok.” tuturnya kesal. Azeem terlupa selama ini yang tindakannya itu bakal mengundang musibah, mendatangkan kecurigaan pada mata lain yang memandang.

Matlamatnya untuk menjaga keselamatan Dian, hanya itu yang dia ingin lakukan. Mendekatinya? Mungkin belum tiba masa kerana dia masih takut untuk bersemuka, lebih menakutkan bila memikirkan dia bakal menyakiti perasaan Dian semula. Dosanya melangit, dan dia tak layak untuk dimaafkan.

“Kenapa abang diam? Cakaplah? Tadi abang yang beriya-iya sangat.” tutur Udin tadkala melihat kebisuan Azeem.

“Abang dah banyak buat salah pada dia.” balas Azeem perlahan. Sedih pula Udin mendengarnya.

“Kalau abang tahu abang dah buat salah, minta maaf. Bukannya main sorok-sorok macam ni. Pergilah jumpa dengan Kak Dian, cakap elok-elok dengan dia. Udin kenal sangat dengan Kak Dian tu. Kalau dia marah pun dia akan senyap je, dia takkan maki hamun abang punya.”

“Tapi, kalau dia dah maki, terima je lah, apa susah? Apa yang abang buat sampai dia boleh marah sangat?” soal Udin sambil memandang tepat ke arah Azeem. Azeem hanya diam, tak mampu untuk menjelaskan segalanya. Kalau dia berada di tempat Dian pasti sampai matipun dia tak mahu bertemu lagi malah mengingatinya pun jauh sekali kerana tak ada maknanya mengingati sesuatu yang manyakitkan hati.

“Takpalah, kalau abang tak nak cakap, Udin tak paksa. Udin pergi dulu, sebab dah lama Udin kat sini. Kedai mesti makin sibuk tu. Assalammualaikum.” ucapnya sebelum berlalu pergi, tak betah terlalu berlama-lama di situ. Kebenaran telah diketahui dan dia ada janji yang harus ditepati.

“Udin tunggu. Udin tolong abang boleh?” tutur Azeem menghalang.

“Tolong? Nak tolong apa?” soal Udin pula sambil mengerutkan alisnya.

“Tolong ceritakan apa yang berlaku pada Kak Dian. Abang nak tahu semuanya. Terutamanaya tentang mata dia. Kenapa dia dah tak boleh nampak dan sejak bila semua ni jadi?” tutur Azeem mengharap.

“Boleh tu memang boleh, tapi bukanlah sekarang. Udin kena balik cepat. Tadi Udin janji keluar sekejap je dengan mak dengan ayah. Petang nanti dalam pukul 3 lebih macam tu kita jumpa, lepas kedai tutup. Udin tunggu abang kat kedai.” balas Udin memberi penyelesaian.

“Ok, nanti abang datang kedai. Terima kasih sebab Udin sanggup tolong abang, tapi sebelum tu, kita tak berkenalan lagi tadi kan? Nama abang Azeem.” tuturnya sebelum menghulurkan tangan, untuk memulakan pengenalan.

“Udin, yang dekat kedai tu mak dengan ayah Udin. Orang kat sini panggil Pak Samad dengan Mak Andak. Apa-apa kita sambung petang nanti, kacang je tu, lagipun Udin sayang Kak Dian. Kalau boleh Udin tak naklah tengok dia duduk sorang-sorang macam tu. Takpa petang nanti kita jumpa baru Udin cerita semua. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum bergegas untuk kembali semula ke kedai makan mereka.

“Waalaikumussalam…” balas Azeem lega. Lega kerana masih ada yang sudi membantunya.

Previous: Bab 44
Next: 46/edit

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.