Sebaik
selesai makan malam, Datin Aida mengajak Darius dan Dato Firdaus ke ruang tamu.
Sudah tiba masanya untuk dia memberitahu tentang calon isteri Darius.
Pernikahan Darius dan Leya perlu disegerakan. Dia sudah tidak mahu berlengah
lebih lama sementalah perjanjian juga sudah dibuat.
"Mami
dah jumpa calon isteri kamu..."ujar Datin Aida sebaik melabuhkan duduk di
sebelah Dato Firdaus.
Dato
Firdaus dan Darius tergamam mendengarnya.
“Darius
tak setuju. Apa sekalipun Darius tetap membantah…” Dengan tegas Darius
menyatakan pendiriannya.
“Saya
juga tak setuju. Tolong hentikan rancangan mengarut awak tu…” Dato Firdaus
turut membantah. Kali ini dia tidak akan membiarkan isterinya sewenang-wenang
membuat keputusan. Dia akan mempertahankan kebahagiaan puteranya. Cukuplah
selama ini isterinya menjadikan Darius seperti robot yang hanya menurut segala
perintahnya.
“Keputusan
saya muktamad. Sama ada awak dan Darius setuju atau tidak, pernikahan tu tetap
akan berlangsung dua minggu dari sekarang…” Dengan tegas juga Datin Aida
menetapkan keputusannya.
“Kerana
harta, sanggup awak perjudikan masa depan anak sendiri. Tak cukup lagi ke
kemewahan yang dah saya hadapkan pada awak hingga awak sanggup meneruskan
rancangan gila awak tu?”
“Saya
buat semua ni bukan untuk saya tapi untuk Darius, untuk kita….”
“Untuk
awak, bukan untuk kami…” sahut Dato Firdaus lantang. Sikap isterinya kali ini
benar-benar menguji kesabarannya.
Darius
hanya diam tidak berkutik. Dia hanya mampu memandang dan mendengar
pertelingkahan antara mami dan daddynya. Andai dia tidak mengingatkan diri
siapa dirinya dan Datin Aida, pasti akan dilawan sehabisnya tapi kerana dia
seorang anak yang wajib hormat ibunya, maka dia terpaksa menelan segala olahan
maminya. Memberontak pun hanya dalam hati. Sejak dari dulu apa yang keluar dari
mulut Datin Aida harus dilaksanakan. Daddynya sendiri tidak mampu melawan,
apalagi dia sebagai anak.
“Darius
akan ikut cakap mami tapi Darius tak mahu ambil tahu apa-apa pun tentang
pernikahan tu. Darius tak nak campur dan Darius juga tak nak tahu siapa calon
yang dah mami pilih. Mami uruskan semuanya sendiri. ….” Dengan rasa terpaksa,
dia bersetuju juga akan rancangan maminya. Dia tidak mahu daddy dan maminya
bergaduh kerana dirinya. Biarlah dia mengalah andai itu mampu memuaskan hati
maminya.
Dengan
langkah lemah, dia bangun untuk beredar. Kunci kereta dicapai. Ketika ini, dia
mahu jauh dari mami dan daddynya. Dia mahu bertenang setelah ketenangannya
dikocak dek rancangan gila maminya.
Datin
Aida tersenyum lebar sebaik mendapat persetujuan Darius. Jelingan suaminya juga
langsung tidak dihiraukan. Sebaik Dato Firdaus berlalu, dia hanya mencebik.
Biarlah suaminya itu mahu mogok sekalipun. Yang penting, segala harta arwah Tan
Sri Firhad perlu disahkan secepat mungkin. Dia tidak mahu segala aset itu lama
berada di bawah kuasa Dato Amir.
******************************************
“Apa
hal tiba-tiba datang rumah aku…?” soal Ashriq sebaik mendekati Darius. Terkejut
juga dia tadi apabila uminya memberitahu akan kedatangan Darius. Selama ini
Darius selalunya akan menghubunginya terlebih dahulu sebelum ke mari.
“Tak
boleh ke aku singgah sini? Kalau kedatangan aku mengganggu kau, aku balik dulu
la…” sahut Darius seakan berjauh hati.
“Weh,
sejak bila dah pandai merajuk dengan aku ni? Itu pun nak sentap. Macam
perempuan la kau ni….” ujar Ashriq lalu ketawa perlahan. Alahai, sensitif pulak
sahabatnya malam ini.
“Aku
tengah tension ni…” Keluhan
dilepaskan. Hanya pada Ashriq tempat dia mengadu. Sejak dari kecil lagi mereka
berkongsi rasa hati. Andai dia tidak puas hati dengan mami atau Emelda,
Ashriqlah tempatnya meluah kata.
“Apa
pulak halnya kali ni? Emelda buat perangai lagi? Ke mami kau yang buat
perangai…” soal Ashriq ingin tahu. Wajah muram Darius sudah cukup untuk buat
dia mengerti. Hanya dua manusia itu sahaja yang mampu membuat riak wajah
sahabatnya ini berubah. Darius yang dikenali sejak kecil tidak mudah melatah
tapi cukup bijak menyelesaikan hal-hal yang berlaku di persekitarannya tapi
tidak kalau ia berkaitan Datin Aida dan Emelda. Darius lebih banyak mengalah
dari mempertahankan pendapat dan kehendaknya.
“Mami
aku dah jumpa calon isteri aku…”
“Maksudnya…?”
“Calon
isteri yang bersedia dinikahkan dengan aku dan kemudian lahirkan anak aku…”
terang Darius.
“Cepatnya
mami kau buat kerja. Dia pergi agensi cari jodoh ke..?” soal Ashriq lalu ketawa
perlahan. Dia sebenarnya langsung tidak terkejut kerana dia juga mengenali
siapa Datin Aida. Mami sahabatnya itu akan melakukan apa saja demi mencapai
matlamatnya.
“Ash,
aku tengah serius ni. Kepala aku dah cukup berselirat nak-nak bila fikirkan
yang pernikahan tu akan berlangsung dua minggu dari sekarang…”
Melihat
wajah bengang Darius, ketawa Ashriq terus mati. Aduh, silap timing pulak.
“Mami
kau memang pantas. Siapa gadis tu..?” soalnya lagi selepas berdehem beberapa
kali.
Darius
menjungkit bahu. Tidak kuasa dia hendak ambik tahu siapa gadis yang turut gila
seperti mami dan Emelda.
“So
apa kau nak buat sekarang…?”
“Apa
lagi yang aku boleh buat Ash selain siapkan diri untuk majlis tu nanti. Kau pun
tahu perangai mami aku tu macam mana kan….” ujar Darius dengan suara perlahan.
Wajahnya diraup berkali-kali.
Ashriq
hanya diam mendengar. Memang sudah dijangka ini keputusan Darius. Sejak Darius
bercerita akan rancangan Emelda dan persetujuan Datin Aida lagi dia sudah dapat
mengagak yang Darius terpaksa mengikut juga walau dia tidak bersetuju.
“Kau
rasa betul ke keputusan yang aku buat ni. Macam mana hidup kami selepas
pernikahan tu nanti. Dengan Emelda lagi.
Hisy serabut la kepala otak aku…”
Bahu
Darius ditepuk perlahan.
“Kalau dah itu keputusannya, mahu atau tidak kau kena
juga tempuh. Tak payah kau nak serabutkan kepala otak kau. Serahkan saja pada
Allah. Ini yang Emelda dan mami kau nak jadi kau teruskanlah. Apa-apa sekalipun
yang akan terjadi di kemudian hari, biar Allah yang tentukan….” Dia hanya mampu
menasihati dan memberi sokongan buat sahabatnya ini. Meskipun dia bersimpati,
apa daya dia untuk menolong Darius. Hanya dengan menjadi sahabat dan pendengar
sahaja dia mampu. Sekurangnya tindakannya ini mampu mengurangkan sedikit
bebanan yang dipikul Darius.