Majlis
pernikahannya dengan anak tunggal Datin Aida akan berlangsung minggu depan.
Segala persiapan diuruskan sepenuhnya oleh Datin Aida. Dia hanya perlu
menyiapkan diri sahaja. Mudahnya kehidupan orang-orang kaya. Ada duit segalanya
menjadi mudah. Bak kata orang hanya dengan petik jari, semuanya settle. Bila
dia terfikirkan akan pernikahan tersebut, tubuhnya pasti akan menggigil. Jenis
perkahwinan bagaimanakah akan dilaluinya nanti. Sendat otaknya bila teringatkan
akan perkara itu.
Pernikahannya
juga terpaksa dirahsiakan dari rakan-rakan mahupun keluarganya sendiri. Dia
merahsiakannya kerana tidak mahu ada masalah timbul kelak sedangkan dia tahu
pernikahan ini hanya untuk sementara. Sebaik dia melahirkan zuriat buat
keluarga Datin Aida, dia perlu pergi meninggalkan semuanya. Sedikit pun dia
tidak berhak ke atas zuriat itu. Bunyinya terlalu kejam tapi itulah perjanjian
yang telah ditandatanganinya.
Bila
tiba saatnya nanti mampukah dia untuk menghadapinya sedangkan itu juga
zuriatnya. Zuriat yang akan dikandung dan dilahirkan dan mampukah untuk dia
bertahan andai haknya ketika itu dinafikan. Oh Tuhan, jenis kehidupan apakah
yang akan aku lalui nanti. Akan bahagiakah atau hidup ini akan lebih menderita.
Sesungguhnya dia takut untuk menghadapinya. Takut andai dia tidak cukup kuat
untuk melaluinya. Akan rebahkah dia di kaki takdir andai kudratnya sudah hilang
untuk terus melaluinya. Ya Allah, Kau pimpinlah aku untuk aku terus berdiri di
laluan takdir-Mu. Sesungguhnya hanya pada-Mu tempat aku berpaut. Tempat untuk
aku terus meminta sedikit kekuatan. Bantulah aku untuk aku berdepan dengan
setiap takdir yang telah Engkau catatkan untukku.
Dia
meraup wajah. Keluhan berat juga dilepaskan. Dadanya terasa semakin sesak apa
lagi bila membayangkan akan sikap sebenar bakal suaminya nanti. Jenis
bagaimanakah lelaki itu. Apakah jenis yang baik atau jenis yang kaki pukul.
Risaunya dia bila memikirkannya. Mungkinkah dia akan menjadi mangsa keganasan
rumah tangga yang sering muncul di dada-dada akhbar? Tubuhnya terasa menggigil.
Dia menjadi takut tiba-tiba. Terasa mahu saja dia menghubungi Datin Aida dan
membatalkan semua yang telah dirancang tapi bagaimana pula dengan uminya.
Keadaan uminya semakin parah dan jalan yang ada untuk menyelamatkan uminya
adalah menikahi anak Datin Aida.
Dia
masih ingat lagi akan ketakutannya seminggu yang lepas bila uminya tiba-tiba
jatuh dan terpaksa di kejarkan kembali ke hospital untuk mendapatkan rawatan
segera. Hampir tiga hari uminya tidak sedarkan diri. Di saat itu terasa
jantungnya juga bagai direntap.
Dia
mendongak merenung langit di atas. Andai ini pengorbanan yang harus dia
lakukan, dia rela demi nyawa uminya. Dia pasrah andai memang sudah begitu
takdir hidupnya. Kepalanya kembali merenung depan. Melihat ketenangan tasik di
depannya membuatka dia sedikit lega. Sejak dari dulu, bila dia serabut dengan
masalah pasti dia akan ke sini. Tempat yang menjadi kegemarannya dan juga
Erina. Banyak kenangan bersama Erina tercipta di sini. Kalaulah Erina ada di
sisinya saat ini pasti sahabatnya itu akan cuba untuk menceriakannya. Bersama
Erina, segala masalah yang berlingkar bagaikan hilang dari kotak fikirannya. Sahabatnya
itu memang bijak mencipta suasana bila dia dalam masalah.
“Baliklah
Rin, aku perlukan kau….” getusnya perlahan bersama sendu yang cuba ditahan.
****************************************
Darius
semakin gelisah. Tarikh nikahnya hampir tiba.
Serabut kepalanya bila memikirkan soal itu. Keputusan yang bodoh. Dia
tidak mampu menghalang apalagi membantah keputusan maminya. Sedari kecil
begitulah sikap maminya. Setiap arahannya adalah muktamad. Suka atau tidak
bukan menjadi soal buatnya. Daddynya pula terlalu banyak mengalah hingga
maminya tidak lagi menghormati dia sebagai ketua keluarga. Di saat ini ingin
sahaja dia menghilangkan diri. Dia buntu dengan apa yang terjadi. Dia bagaikan
tersepit. Kiri atau kanan penamatnya tetap sama.
Masalah
yang sedang dihadapinya secara tidak langsung
turut menjejaskan tumpuannya pada tugas-tugasnya. Beberapa perbincangan
dengan pelanggan terpaksa diambil alih oleh Ashriq dan daddynya sendiri.
Mujurlah mereka memahami akan keadaan dirinya kala ini. Daddynya pula sentiasa
memberinya semangat meskipun tidak dapat menghalang keputusan yang telah dibuat
maminya.
“Apasal
termenung ni..?” soal Ashriq sebaik melangkah masuk ke ruang pejabat sahabatnya
itu.
Darius
mendongak. Melihat Ashriq yang sudah pun duduk di depannya membuatkan dia
menggelengkan kepala perlahan. Sahabatnya ini suka benar meredah masuk ke
biliknya sesuka hati.
“Aku
tengah pening. Tarikh nikah aku dengan entah mana-mana perempuan tu ada
seminggu saja lagi. Buntu kepala otak aku ni Ash…”
“Kau
dah tak ada pilihan lain Darius selain menuruti arahan mami kau tu. Emelda
macam mana? Dia dah tahu ke yang kau nak nikah lagi seminggu..?” Ingin sekali
dia melihat apakah reaksi Emelda sebaik berita ini disampaikan. Sungguh dia
tidak mengerti bila Emelda sanggup melepaskan Darius menikahi gadis lain.
Benar-benar tidak mengerti akan pendirian gadis itu.
“Aku
belum bagitahu dia lagi. Dia ada kat Hong Kong sekarang ni. Lagi dua hari baru
dia balik…” terang Darius. Dia mahu menyampaikan berita itu bila Emelda ada di
depannya. Mahu melihat reaksi kekasihnya itu.
“Apa
agaknya reaksi dia ye. Mungkin ke dia akan bersedih..?” Pertanyaan Ashriq
dibiarkan sepi kerana dia sendiri tidak tahu apakah kekasihnya itu akan bersedih
dengan berita ini atau sebaliknya.
“Apa
pun aku harap kau terima semua ini dengan reda. Keputusan telah pun di buat.
Pengantin perempuan pun dah ada. Hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Meskipun
aku bersimpati namun aku pun tak mampu lakukan apa-apa untuk menolong kau.
Mungkin ini adalah takdir hidup kau…”
“Cukuplah
kau sentiasa ada bila aku perlukan kau. Aku dah bersyukur sangat ada sahabat
macam kau. Sahabat yang tak pernah tinggalkan aku meski dalam apapun situasi
yang aku hadapi. Terima kasih banyak-banyak Ash. Kau sebenarnya dah banyak
bantu aku….” sahut Darius dengan senyuman. Sokongan Ashriq sudah cukup untuk
dirinya. Benar kata sahabatnya ini. Keputusan telah pun dibuat. Pengantin
perempuan pun sudah ada. Segala persiapan juga telah dibuat. Apa lagi yang
boleh dia lakukan selain menerimanya dengan reda. Mungkin sudah begini takdir
hidupnya.
Sebaik
Ashriq keluar dari biliknya, dia turut melangkah keluar. Keluar untuk mencari
sedikit ketenangan.
Sekali
lagi Darius membawa diri ke tasik di Putrajaya ini. Dia melangkah perlahan dan
langkahnya terhenti sebaik menyedari seseorang yang sedang termenung tidak jauh
darinya. Lama dia perhatikan wajah itu akhirnya dia mengukir senyum.
“Berjumpa
lagi kita…” bisiknya perlahan lalu dia kembali meneruskan langkah ke bangku
yang pernah dia duduki berbulan dulu. Saat pertama kali dia menemui gadis
itu.Di bangku inilah dia duduk sambil
merenung gadis yang tidak dikenalinya.
Dari
jauh dia memerhati. Wajah itu kelihatan mendung. Entah apa pula yang sedang
melanda kali ini. Wajah mendung itu mengundang rasa aneh dalam hatinya.
Jantungnya tiba-tiba berdegup pantas. Berkali-kali dia cuba mencari jawapannya
namun ia tetap kosong tanpa berjawab. Persoalan itu seakan pertanyaan yang
tiada jawapannya. Lama dia memandang wajah itu sebelum melarikan pandangan
mengadap tasik di depannya.
Mindanya
mula berfikir maksud di sebalik pertemuan ini. Entah apa yang ingin Allah
tunjukkan padanya. Sejak akhir-akhir ini wajah gadis ini sering sahaja
mengganggunya. Bila matanya terpejam, bayangan gadis ini juga yang muncul dan
bukannya wajah Emelda si kekasih hati.
Setiap
kali wajah itu hadir, rentak rasa dalam hatinya berubah aneh. Dia tidak tahu
perasaan apa. Apa
yang pasti, ada rasa damai dan indah.
Dia
kembali menoleh ke arah kirinya namun kelibat gadis itu sudah tidak ada lagi.
Melilau matanya mencari sehinggalah dia melihat gadis itu yang sedang berjalan
menghampiri tempat parkir dan kemudiannya berlalu dengan kereta MyVi putih.
Terlayar
senyuman di bibir. Entah kenapa di hatinya berharap benar agar gadis itu masih
di situ. Walau hanya dapat memandang dari jauh namun ia sudah cukup untuk
mendamaikan jiwanya yang sedang sarat dengan macam-macam perkara. Siapakah dia?
Ya Allah, andai diberi kesempatan, ingin aku
mengenalinya. Mengenali dia yang mendamaikan jiwaku ini.