Leya
bergegas keluar dari pejabatnya menuju ke hospital setelah mendapat panggilan
dari Hamidah tentang uminya. Langkahnya dipercepatkan menuju ke unit kecemasan.
Dalam hati, dia berdoa tidak putus agar uminya baik-baik sahaja. Sebaik
terpandangkan kelibat Hamidah di luar unit kecemasan, dia terus berlari
mendapatkan jirannya itu.
“Bagaimana
dengan umi, Kak Midah?” soalnya sebaik mendapatkan Hamidah. Gusar benar hatinya
memikirkan kesihatan uminya sejak akhir-akhir ini. Dia takut andai jantung
uminya kembali bermasalah.
“Entahlah,
Leya. Sampai sekarang masih belum dapat apa-apa makluman dari doktor…”
“Macam
mana umi boleh pengsan, kak? Pagi tadi Leya tengok umi sihat saja…”
“Akak
pun tak tahu. Kak Midah jumpa umi kamu pengsan kat halaman rumah kamu masa Kak
Midah keluar nak ke tempat kerja…” Hamidah melepaskan keluhan. Masih dia ingat
bagaimana terkejutnya dia sebaik terpandangkan Puan Dalilah yang pengsan di
halaman rumah.
“Semua
salah Leya. Umi sakit sebab Leya….” Sejak pernikahannya terbatal dan sikapnya
yang berterusan dihanyutkan dek kekecewaan, secara tidak langsung memberi kesan
pada kesihatan uminya. Sejak akhir-akhir ini, dia perasan kesihatan uminya
semakin merosot. Bila diajak ke klinik, uminya sentiasa berkeras mengatakan dia
tidak apa-apa.
“Jangan
sekali-kali menyalahkan diri, Leya. Apa yang berlaku bukan kehendak kita.
Banyakkan berdoa agar umi Leya tidak apa-apa,” pujuk Hamidah sekaligus cuba
meredakan kebimbangan gadis di depannya itu.
Hampir
sejam mereka menunggu di luar unit kecemasan sehinggalah kehadiran seorang
doktor yang melangkah menghampiri mereka.
“Assalamualaikum.
Ini keluarga Puan Dalilah?”
Salam
dijawab dan Leya terus berdiri sebaik nama uminya disebut.
“Saya
anaknya, doktor. Macam mana dengan umi saya?” Terus sahaja Leya menyoal sebaik
berdepan dengan doktor tersebut.
“Dari
pemeriksaan kami tadi, kami terpaksa menahan Puan Dalilah untuk pemeriksaan
lanjut tambahan pula Puan Dalilah pernah menjalani pembedahan jantung setahun
yang lalu. Untuk sementara ni, kami masih belum dapat memberikan keputusan
sebenar tentang tahap kesihatan Puan Dalilah. Saya harap cik bersabar…” Usai
berkata doktor tersebut terus berlalu.
Leya
terduduk setelah doktor yang merawat uminya berlalu. Dia terus memeluk Hamidah
dan menangis dalam pelukan wanita itu yang telah dianggap seperti saudaranya
sendiri.
Sebaik
mendapat kebenaran untuk menjenguk uminya, Leya melangkah menghampiri katil
yang menempatkan uminya. Tangan uminya disentuh dan dicium berkali-kali.
Melihat uminya yang kelihatan lemah ketika itu benar-benar meruntun hatinya.
“Leya
datang…” Dengan suara yang lemah Puan Dalilah bersuara menegur puteri
tunggalnya. Dia cuba bangun namun ditahan oleh anaknya itu.
“Umi
tak boleh bergerak sangat. Tubuh umi masih lemah,” larang Leya menghalang
uminya yang ingin bangun.
“Umi
tak apa-apa, Leya. Mungkin sebab cuaca panas sangat tu yang umi sampai
pengsan….” Puan Dalilah cuba meredakan kegusaran yang bersarang di jiwa
puterinya. Dia tidak mahu Leya risaukan dirinya sementelah puterinya itu baru
sahaja pulih dari kekecewaan lalunya.
“Leya
minta maaf, umi. Leya tahu umi susah hati sebab Leya. Leya janji selepas ni
Leya tak akan susahkan hati umi lagi. Leya tak mahu umi sakit…” Dia menangis entah
untuk kali keberapa. Dia benar-benar risaukan uminya.
“Jangan
cakap begitu, Leya. Sakit umi bukan Leya penyebabnya. Semuanya dari Allah
sayang…” pujuk Puan Dalilah dengan suara yang jelas kedengaran lemah. Dia amat
berharap pujukannya ini mampu meredakan kegusaran Leya. Dia tidak mahu Leya
berterusan menyalahkan diri sendiri. Wajah sendu Leya direnung dengan rasa
sebak.
Ya Allah, andainya hayatku sudah di penghujungnya, kau
temukanlah puteriku ini dengan seorang Adam yang mampu menjaga dan melindunginya
bila aku tiada lagi di bumi-Mu ini.