Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
12,678
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Terima kasih di atas tawaran Raid. Terima kasih juga kerana dia menerima baik penolakkan aku atas dasar enggan menyusahkan mana-mana pihak dan juga tak mahu dia buang masa memikirkan masalah aku. Ada misi penting yang perlu dia selesaikan terlebih dahulu.


“Beritahu saya jika awak perlukan bantuan.” Tawar Raid.


Ya. Semestinya dia akan aku cari.


“Kita nak ke mana?” Sejak dari tadi aku hanya memandu tanpa tahu ke mana arah tuju Raid. Kerlingan singgah pada dia.


“Saya nak ke pejabat.”


Aku angguk kepala. Faham. 


“Tunggu saya lima dalam belas minit…Kemudian kita akan bertolak ke sana.”


Tak susah sebenarnya bekerjasama dengan Raid. Biarpun dia sering merombak sesuatu tentatif, dia akan pastikan rancangan seterusnya berjalan dengan lancar. Tidak menyusahkan mana-mana pihak.


“Apa kata mereka nanti kalau nampak kita bersama? Cikgu bercinta dengan murid? Payah saya nak jawab kalau cerita begitu tersebar.” Aku luahkan kebimbangan.


“Apa kata mereka tak penting. Yang paling penting, awak dan saya tahu di mana batas kita.”


Orang lain kalau dengar apa yang baru disebutkan Raid, reaksi mereka pasti biasa-biasa saja. Bagi aku, ayat Raid itu sangat luar biasa. Macam ada tembok besar yang Raid akan tambak dan robohkan sesuai dengan kehendak hati dia. Pantang aku akan rasa terbuai, cepat saja dia pacak benteng. Demi menjaga mata dan hatinya yang sangat suci murni itu.


“Berhenti sini.”


Arahan dia, aku patuhi. Kereta berhenti sejauh seratus meter dari IPD. Ingatkan, aku saja takut dengan gosip. Dia pun lebih kurang sama. Penakut dengan cerita melibatkan perempuan.


“Tunggu saya.” Pesan dia. Tangan sibuk melepaskan tali pinggang keledar.


“Ada apa, drive saja masuk balai. Awak akan selamat.”


Salah tanggapan Raid. Tiada siapa berani buat kerja jahat dekat kawasan balai. Jika terjadi, maka menempah mautlah jawabnya.


“Ada apa, call saya.”


Maaf. Aku belum ada hati nak bagi nombor baru pada dia. Lebih baik kami berhubung secara langsung ketika sesi persekolahan. Supaya kesucian dia tidak tercemar.


Selesai sesi penyampaian amanah, barulah Raid menapak keluar. Dan amanat terakhr menyusul sebelum pintu mengatup rapat. Amanat yang sedikit sebanyak mengugat iman.


“Kunci semua pintu.”


Pesanan Raid itu terdengar seperti aku anak kecil. Yang tak tahu protol bila bersendirian di dalam kereta. Yang memerlukan peringatan berkali-kali.


Bila kelibat Raid menghilang dari pandangan, barulah aku mampu tarik nafas lega. Telefon dikeluarkan dari beg silang. Mula belek telefon sementara menunggu kemunculan dia semula.


Ketenangan aku sempat bertahan selama beberapa minit sebelum ada suara-suara asing yang mengganggu. Belum pun sempat menoleh, kedengaran cermin belakang dipecahkan dengan sesuatu. Bunyi kaca berderai, spontan aku tunduk. Tanpa sedar telefon terlepas dan jatuh ke lantai kereta. Kedengaran lock pintu sebelah aku dibuka dari dalam.


“Keluar!” Tubuhku ditarik secara paksa. Kaki tersadung, nyaris-nyaris aku tersungkur ketika melangkah keluar.


Aku beranikan diri angkat muka. Ada tiga orang lelaki bertopeng, menutup hampir keseluruhan wajahnya. Satu daripada mereka memegang kejap lengan aku yang berlapik dengan baju. Mata mencerun pada pinggang mereka yang tersisip pistol. Percubaan aku merentap, gagal. Malah tangan dikilas ke belakang sehingga aku mendesis perlahan. Menahan rasa sakit yang menjalar.


“Cepat masuk!”


Ada sebuah kereta yang menunggu berjarak dua meter dari sini. Kepala digeleng berberapa kali. Langkah sengaja diberatkan supaya dapat melengah-lengahkan mereka. Dan aku yakin sebentar lagi Raid akan muncul.


Cubaan menggerakkan aku gagal, memaksa mereka bertindak lebih agresif. Seorang yang bertubuh tegap mengambil alih mendorong aku dengan kuat. Sekali tolakkan saja aku mara beberapa langkah. Dalam hati sempat berdoa semoga Raid cepat tiba.


Ketika air mata hampir meremes mengenangkan kudrat seorang perempuan berdepan dengan tiga orang lelaki, terdengar suara dari belakang. Cukup lantang.


“Berhenti!”


Raid! Aku pusingkan kepala, sesaat cuma sebelum seorang dari mereka menolak aku dengan kasar ke dalam kereta. Berpinar sejenak bila kepala terhentak bumbung kereta. Sejurus itu bunyi tembakan memenuhi segenap ruang. Tangan sepontan menekup kedua belah telinga. Mata terpejam rapat. Sedia jika nyawa bakal melayang.


Telinga sempat menangkap tiga das tembakkan kemudiannya suasana yang bingit bertukar menjadi hening. Hilang segala kekecohan. Memaksa aku menbuka mata secara perlahan-lahan. Seluruh tubuh menggigil teruk. Andai ada peluang, aku akan melarikan diri. Lari sejauh yang mungkin.


Lambat-lambat aku capai pemegang pintu biarpun tangan mengeletar. Belum sempat pintu dibuka, ada tangan lebih pantas membuka pintu dengan kasar. Sontak aku berundur sehingga badan berlanggar dengan pintu.


“Heera! Ni saya.”


Aku angkat muka. Terpampang raut wajah resah milik Raid.


“Raid…” Aku paksa bibir tersenyum biarpun payah.

“Awak selamat.”


Gembira bukan kepalang bila Raid tiba tepat pada waktunya. Sialnya, kegembiraan tersebut menjemput air mata aku. Meleleh tanpa mampu dibendung lagi.


“Hei…Hei…Calm down.” Sehabis daya Raid menenangkan aku.


“Awak cedera?”


Laju aku geleng kepala.


“Good.”


Bibir masih tersenyum biarpun payah.


“Jangan dekat!” Sepuluh jari terbuka bila separuh tubuh Raid sudah masuk ke dalam.


“Bahaya.” Kepala perlahan-lahan tunduk pada badan sendiri.


Urat-urat leher Raid mula timbul. Bibir mengetap kuat. Mata tidak lepas pandang pada lilitan di badan aku. Sehabis daya aku menahan gigil satu badan.


“Tolong panggil unit pemusnah bom. Sekarang!” Kata Raid pada salah seorang anggota yang baru mendekati.


Besar kemungkinan mereka sudah menjangkakan kegagalan membawa aku lari. Langkah terakhir, ketika kemunculan Raid, salah seorang dari mereka segera melilitkan bom buatan tangan sebelum mereka semua terbunuh. Tersilap langkah, maka aku juga akan menyusul mereka bertiga sebagai daging kisar.


“Jangan risau, saya ada.”


Bunyi detikan sedikit pun tidak menakutkan Raid. Malah perlahan-lahan dia menapak masuk. Duduk di sisi aku.


“Saya akan okey ke Raid?” Takut-takut aku bersuara. Hilang gelaran tuan seperti selalu.


“Selagi saya ada, awak akan selamat.”


Ayat Raid sekadar nak menyedapkan hati. Bahkan tubuh badan aku yang tetap saja mengeletar memikirkan segala kemungkinan yang akan berjadi.


“Tuan!” Satu suara menyapa.


“Ada dalam lima minit lagi.” Kata Raid.


Tanpa berlengah, mereka yang pakar mengendalikan bom mulakan tugas. Pintu sebelah aku dibuka. Raid sedikit pun tidak berganjak. Setia berada di sebelah.


Ada dua orang. Seorang mengeluarkan segala peralatan. Seorang lagi bertindak sebagai menghentikan bom. Ditangannya sudah tersedia seakan-akan gunting untuk memotong wayar.


“Tenang…Kami akan potong satu per satu.”


Sayangnya, aku gagal bertenang. Semakin teruk aku menggigil.


“Heera…pandang saya.”


Lambat-lambat aku menoleh.


“Berhenti fikir yang bukan-bukan. Awak akan selamat.”


Mata turun memerhati Raid menghulurkan telapak tangannya sebagai penyalur semangat. Untuk kali ini, tanpa berfikir panjang huluran dia disambut. Demi semangat aku yang hampir hilang sepenuhnya. Tindak balasnya, dia tersenyum.


“Kempunan kita orang tuan.” Mereka mula mengusik. 


"Di...Aku pun nak tangan." Usikan mereka semakin menjadi-jadi.


"Tak dapat tangan, kaki pun jadilah. Buat tidur malam."


Usikan mereka tidak memberi kesan pada aku kerana ada empat nyawa menjadi taruhan.

Ekor mata menjeling Raid yang tetap tenang. Sengaja mengabaikan kewujudan mereka. Sengaja juga tidak melayani usikan mereka. 


“Seminit lagi.”


Kali ini aku mula bergerak sedikit. Mula tidak keruan bila rasa takut mula menjalar. Bahkan semakin menjadi-jadi badan aku mengigil.


“Tuan…Tolong suntik ketenangan tuan, jangan nanti semua jadi daging kisar.” Yang ditugaskan menghentikan bom bersuara. Ada dua wayar lagi sebelum mereka berjaya. Pergerakkan aku menyulitkan tugasnya.


“Hei, Heera. Abaikan mereka, pandang saya.”

Tumpuan aku berikan sepenuhnya pada Raid. Genggaman tangan semakin erat. Malah, Raid sempat memberikan senyuman sebagai penenang.


“Saya dah janji akan ada dengan awak tak kira masa.”


Ya. Setakat ini, Raid belum pernah mungkir janji. Di mana ada bahaya, di situ adanya Raid sebagai penyelamat.


“Almost tuan…” kata pembantu pemusnah bom.


“Bom memang makanan dia orang. Setakat ni, belum ada yang pernah jadi daging kisar.”


Ada rasa lega. Itu tandanya mereka bukan calang-calang orang. Mereka dari unit khas yang terlatih.

Bila ada pergerakkan dari aku, suara Raid berbunyi lagi.


“Pandang saya…Hanya saya.” Aku perasan Raid jeling badan sebelum dia kembali menatap wajah aku.


“Done!”


Suara mereka mengucup syukur menyapa pendengaran. Tiada lagi bunyi detikkan bom. Tiada lagi suasana tegang. Yang ada suara-suara gembira mereka meraikan kejayaan. Ada senyuman terbias. Lantas aku menoleh, mahu mengucapkan jutaan terima kasih pada Raid. Sayangnya, senyuman dia terlebih dahulu menyapa sehingga lidah aku kelu. Yang ada hanya terkesima.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.