Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
12,683
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Atas dasar campur tangan pengetua dan pihak berpengaruh, cerita aku diancaman bom palsu tidak tersebar. Yang tahu hanya beberapa orang penting dan pihak berkuasa sahaja. Demi mengelak suasana kacau-bilau dan keselamatan seluruh warga sekolah. Demi imej sekolah juga.


Sebagai proses pemulihan emosi, aku diberi cuti sakit selama dua hari biarpun aku berkeras mengatakan bahawa diriku baik-baik saja. Awalnya, pengetua akur membenarkan aku bekerja seperti biasa. Tetapi bila ada campur tangan pihak polis, aku pula dipaksa turuti supaya rehat secukupnya. Demi kebaikkan.


Pagi tadi, aku sempat berpesan kepada cikgu yang menggantikan aku, supaya mengambil kehadiran pelajar dan maklumkan di dalam group whatsapp jika ada pelajar yang tidak hadir. Berkerut seribu dahi apabila nama Raid juga tersenarai. Baru sebentar tadi aku risaukan dia. Risau jika dia buat onar di dalam kelas. Dia itu sudahlah antara spesis terancam. Spesis yang memerlukan pakar pengurusan untuk menguruskan dia.


'Tuan tak sihat?' – Aku


Semoga Raid maklum keadaan semasa dia. Penting sebagai seorang guru ambil tahu keadaan anak muridnya.


Jeda.


Tiga minit berlalu, hanya kesepian membalas pertanyaanku.

Kali ini, aku ambil pendekatan menelefon Riad terus. Dengar suara dia saja sudah memadai bagiku. Itu tandanya dia masih bernyawa di muka bumi ini.


Dua kali mencuba, hanya operator yang menjawab. Kali ketiga barulah panggilan bersambung. Itupun setelah aku hampir putus asa mahu menamatkan saja panggilan.


"Saya dengar tuan tak sihat?" Tanpa salam aku bertanya.

Respon Raid itu sama lambatnya dengan dia menjawab panggilan aku. Lambat itulah sedikit sebanyak menguji keimanan. Menguji juga bacaan graf kemarahan.


Ajaibnya apabila berdepan dengan Raid, aku mampu menyemaikan rasa sabar. Sangat subur dan merimbun rasa sabar aku menanti setiap bait bicara dia. Terkadang aku sendiri lupa bila waktunya aku marah atau merajuk dengan dia.

Suara orang mengeliat menyapa pendengaran. Disusuli dengan suara menguap panjang.


"Jangan terlalu lurus, Heera. Jangan terlalu percaya dengan cakap orang." Suara Raid serak. Suara macam orang baru bangun tidur.


"Sebab tak percayalah saya telefon tuan terus. Dan Alhamdulillah...Tuan baru bangkit dari kematian rupanya."

Ada ketawa perlahan tercetus. Hairan. Lawak kasar juga yang berjaya mencuit deria ketawanya.


"Baguslah tuan sihat... Dan maaf, saya dah ganggu tidur tuan." Dengar Raid bercakap biarpun sepotong ayat, sudah cukup. Bimbang aku sedang mengganggu lena tuan putera. Lebih menakutkan jika tuan putera mengamuk besar gara-gara tidak cukup tidur.


"Saya ada depan rumah awak, Heera."


"Sorry?" kesan mamai Raid sedang menular dan menjangkiti aku. Kurang jelas apa yang disebut dia. Jadi, mohon dia ulang kembali ayatnya.


"I'm here...Depan rumah awak. Satu malam saya bergilir-gilir dengan anggota lain untuk pantau kawasan sekitar."


Ah! Raid sengaja menjemput rasa terharu. Rasa tersebut bercampur baur dan hampir bikin aku hilang akal. Sikit lagi aku ingin berlari keluar mendapatkan dia. Namun kewarasan menegah aku berbuat demikian. Bikin malu kaum hawa saja. 

Aku berdehem mengenyah rasa gugup.


"Tak perlu sampai macam tu sekali tuan. Papa dan abang saya ada. Mereka berdua boleh jaga saya." Aku sekadar mengingatkan dia bahawa aku masih punya orang-orang penting.


"Dan polis peronda dah jalankan kerja mereka. Setiap dua jam mereka meronda kawasan taman. Belum kira lagi beberapa orang anggota polis yang tinggal dekat sini. Bukan ke itu dah terlebih aman namanya?" Sehabis baik aku cuba berdiplomasi.


"Saya lapar."


Payah sebenarnya bercakap dengan insan bernama Raid. Nak mencuri hati Raid, kena curi sekali kemahuan dia. Jadi, aku perlu sabar melayani dan memenuhi setiap kehendaknya.


"Tuan nak makan apa? Saya orderkan foodpanda. Dan saya belanja." Sebagai tanda terima kasih dia berjaga semalaman demi keselamatanku terjamin.


"Awak nak saya makan dalam kereta?"


Diam sejenak. Aku sedang mengarang ayat-ayat terbaik buat bakal kekasih. Biar hati bakal kekasih cair bak iceberg.


"Kalau tuan tak kisah." Mulutku belot. Tiada ayat gula-gula.


"Dah berjam-jam lamanya saya duduk dalam kereta...Dan awak nak saya makan dalam kereta lagi?"


"Jadi tuan nak apa?" Faham sangat dengan soalan tersirat Raid. Ada yang dimahukan oleh dia.


"Teman saya makan, saya tak ada buddies."


Kesunyianlah ni? Sejenis yang nak makan perlu ada teman.


"Tuan text saya location. Nanti saya sampai." Mujurlah aku ini sejak azali sejenis yang mudah mengalah dari segala aspek. Selagi hayat dikandung badan, segala permintaan dia aku tunaikan.


"Kita satu kereta. Saya akan minta kebenaran Tuan Azman. Sebab saya nak bawa awak jauh. Tempat orang yang tak kenal kita berdua."


Tak perlu bertanya banyak. Raid itu teliti orangnya. Semua dia sudah rancang rapi-rapi. Aku pula hanya perlu menurut segala perintah tanpa sebarang bantahan. Sebarang bantahan tidak akan dilayan. Itulah prinsip Raid.


"Bagi saya sepuluh minit." Putusku.


Kurang sepuluh minit aku sudah berada di dalam kereta. Berdua dengan Raid. Sepanjang perjalanan aku celik mata. Bimbang pemanduan dia akan tersasar kerana kekurangan rehat. Sesekali aku jeling dia. Setakat ini, pemanduan dia lancar. Dia juga cergas. Tak terkesan biarpun sepanjang malam berjaga.


Raid lulus ujian memandu hampir satu jam menempuh jalan raya. Satu jam itu juga Raid tenang biarpun tiada perbualan tercipta di antara kami berdua. Hanya suara-suara DJ radio memenuhi kesepian.


"Sampai luar negeri tuan bawa saya. Semata-mata untuk makan saja." Aku sekadar berbasa-basi. Saja nak pancing perhatian dia.


"Biar jauh, asalkan awak selamat. Rahsia saya pun selamat."

Kepala angguk beberapa kali. Setuju dengan pendapat Raid.


"Awak tak kisah kita makan fast food?" Soal Raid sambil melepaskan tali pinggang.


"Asalkan bukan batu...Saya terima."


Ada jelingan Raid lemparkan buat aku. Marah-marah Raid jangan dilayan. Nanti takut merebak. Jenuh aku nak padamkan api kemarahan dia nanti.


"Ni kali pertama saya ke sini." Kataku. Mata masih ralit merenung bangunan bertingkat berwarna oren di depan mata.


"Kedai ni baru launch. Jadi belum ramai yang tahu."

Padanlah kedai lengang saja. Kena pula bukan waktu-waktu kemuncak. Memang beberapa kerat saja orang di dalamnya.


"Jom...Sekarang kosong, sekejap lagi akan full house. Saya tahu sebab saya dah jadi pelanggan tetap muiz hot chicken sejak pelancaran boikot secara besar-besaran."


Bagus Raid. Support perniagaan melayu. Dan semoga dia ada penyakit kronik gara-gara selalu makan fast food.


"Tuan selalu turun Muar?" Tanyaku sambil menunggu giliran membuat tempahan.


"Jarang-jarang."


Walaupun jarang-jarang, Raid seperti sudah menghafal setiap selok-belok bandar Muar tanpa sesat. Tiada langsung kejadian terlepas atau tersalah jalan.


"Tell me...Awak nak makan apa. Nanti saya orderkan. Awak pergi cari tempat."


Elok benar mood Raid hari ini. Elok juga Percakapannya. Bertambah elok bila Raid itu pandai senyum biarpun senyuman tipis dia berikan.


"Saya tak memilih tuan. Semua saya makan. Lainlah pilih calon suami, saya akan cerewet banyak."


Renungan tajam Raid diabaikan. Aku tinggalkan dia sesuai dengan kehendaknya. Aku memilih meja cukup untuk kami berdua yang terletak di penjuru belakang. Jauh dari semua orang.


Tidak lama selepas itu Raid muncul bersama dulang yang sarat dengan makanan. Berkedut-kedut dahi melihat menu pilihan dia. Bukankah sebentar tadi Raid mahu makan fast food? Mengapa nasi lemak dan seketul ayam goreng menjadi pilihan dia? Ada baiknya makan di warung saja.


"Awak patut cuba nasi lemak muiz...Sedap!" Bersinar-sinar mata Raid. Tumpuan dia hanya pada nasi lemak tersebut. Macam dah jatuh cinta dengan nasi itu pun ya.


Sesudu nasi aku sua ke dalam mulut. Dan aku sependapat dengan dia. Memang sedap. Sesekali aku lirikan singgah pada dia. Berselera sungguh dia makan. Sampai lupa pada aku sebagai teman.


Sedang aku santai-santai menikmati juadah, ada suara bergelak ketawa yang menganggu. Lebih menganggu suara manja sang perempuan di sebelah. Selang-seli dengan sesi bertepuk-tampar manja.


Lima minit menahan geli, berlarutan hingga ke sepuluh minit. Memaksa aku menoleh. Mahu juga melihat aksi pasangan sejoli tersebut. Siapa tahu sebentar nanti ada pula adegan berguling-guling di atas lantai persis cerita hindustan.


Melongo aku sebaik saja melihat gerangan jiran sebelah. Mata sudah tidak pandai mengerdip lagi.


"Tuan..." Panggil aku perlahan.


Bibir aku bergerak-gerak. Tidak sepatutnya aku panggil Raid. Dan Raid tidak boleh tahu bahawa jiran kami adalah tunangannya.

Namun aku terlambat. Raid sudah pun menoleh. Sadisnya, urat-urat leher dia mula menegang dan perlahan-lahan timbul. Beberapa kali halkum dia bergerak-gerak. Ini pemandangan yang tidak sihat. Pemandangan yang boleh mencetuskan peperangan.


"Serina..." Seru Raid perlahan namun ada tegasnya.


Serina yang enak memaut lengan si jejaka tersentak. Lalu menoleh. Raut wajah Serina pucat tidak berdarah. Automatik pautan dia terlepas.


"Ra...Ra...id."


Alangkah indahnya duniaku melihat Serina gugup sebegitu. Lebih indah bila selera Raid putus. Raid marah besar dengan Serina. Perkara ini perlu diraikan.


"You tunggu sini, I nak bincang something." Sempat lagi Serina berpesan dengan kekasih hatinya yang satu itu. Lupa agaknya tunangan dia di depan mata aku menunggu masa untuk menyerang sahaja.


Perlahan-lahan bibir aku mengoyak senyum dalam diam. Tak sabar rasanya nak tonton drama mereka berdua. Dan sabar nak beri tepukan gemuruh jika ada adegan tambahan. Adegan simbah-menyimbah air.




Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.