Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
12,549
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Sesi menemani Raid diteruskan lagi dengan pakej tambahan baru. Pakej sesi menemani ibunya pula. Kini aku berada di ruangan menunggu sementara menanti ibunya Raid selesai mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.


Ada dalam setengah jam aku duduk tercegat di situ. Dan akhirnya aku putuskan untuk bertanya kepada pembantu klinik. Hasil dari pertanyaan, ibu Raid sedang melakukan imbasan X-ray. Sesi tersebut akan mengambil masa kerana perlu berjumpa doktor semula selepas itu.


Enggan menyusahkan, aku putus untuk menggunakan khidmat grab car. Ibu Raid lebih memerlukan dia ketika ini. Wajarlah aku berbuat demikian. Sempat aku titipkan pesanan ringkas kepada dia supaya tidak perlu risaukan aku. Pandai-pandailah aku mencari jalan pulang.


Sedang aku berjalan-jalan di kaki lima menunggu ketibaan grab car, ada seseorang yang menegur. Seseorang yang entah datangnya dari mana.


"Heera? Awak buat apa dekat sini?" Jelas suara dia terkejut.


Aku menoleh. Tiga saat cuma sebelum aku berpaling semula. Mengabaikan dia adalah pilihan yang tepat.


"Hei, saya cakap dengan awak."


Daripada mendengar suara, sekarang aku diperlihatkan keseluruhan wajahnya. Dia berjaya memintas dan berdiri tegak di depan aku.


Pandangan pertama, tiada yang berubah pada dirinya. Masih seperti dahulu. Kacak. Nampak seperti lelaki budiman. Disebalik kacak dan budiman itu, hanya aku saja yang tahu.


"Ada apa Hilman?" Soal aku acuh tak acuh.


"Awak sengaja melarikan diri."


Salah tuduhan Hilman. Aku sedang bersiar-siar sebenarnya. Secara tidak sengaja, berjumpa pula dengan dia.


"Sini panas...Kita duduk mana kedai atau restoran." Tawar Hilman.


"Terima kasih Hilman, grab car saya dah sampai. Lagipun baju saya dah basah lencun." Aku beralasan. Mata turun pada lengan baju yang berwarna coklat sebagai bukti.


"Apa kata saya hantar awak balik? Saya tak kisah kalau kereta saya kotor."


Ah. Hilman sedang melengah-lengahkan masa. Bimbang sebentar lagi Raid pula muncul. Keadaan yang sedia huru-hara bakal menjadi ribut taufan.


"Kali ni saja, okey?" Sifat mengalah aku mengundang senyuman lebar Hilman. Hilang separuh mata galaknya.


"Thank you Heera." Ucap Hilman gembira.


Di dalam kereta nanti, aku akan letakkan tembok besar-besar. Supaya Hilman tahu batas kami berdua sebagai bekas kekasih. Jangan ada yang kupas cerita-cerita lalu. Benda yang lalu tak manis dikenang.


Sepanjang berdua-duaan dengan Hilman, gegaran dari beg silang aku tidak henti-henti. Niat di hati mahu abaikan saja. Namun niat aku terbantut apabila mengenangkan kebimbangan Raid. Tak baik biarkan Raid runsing memikirkan aku.


"Awak tak ada apa nak tanya pada saya?"


"Huh?" Aku menoleh pada Hilman. Fokus pada dia merosot bila nama Raid naik di notifikasi.


Aku sibuk membalas whatsapp Raid yang bertanyakan keberadaan aku. Belum sempat menekan butang hantar, Raid menelefon. Dengan berat hati aku jawab juga.


"Yes?"


"Mana awak?" Soal Raid.


Aku kerling Hilman. Sempat pandangan kami bertaut sesaat sebelum aku terlebih dahulu melarikan pandangan.


"On the way balik. Tuan tak perlu risau." Beritahuku.


"Selesaikan dahulu urusan mak awak. Kemudian baru kita bincang." Potong aku bila Raid mula bebel di hujung talian. Belum sempat Raid bercakap lagi, aku beri salam dan putuskan talian. Selesai masalah.


Dalam diam, aku cuba menyedapkan hati bahawa marah Raid itu tidak akan lama. Jika marah Raid berlarutan, bakal aku hulurkan senyuman paling manis. Biar Raid takut terkena penyakit jatuh cinta.


"Jangan cakap awak dah jumpa pengganti saya." Celah Hilman tiba-tiba. Kerap sekali dia mengerling ke sini.


"Fokus Hilman. Awak angkut nyawa saya sekali. Saya sayang nyawa saya. Lebih dari saya sayang awak." Titipku.


"Beri saya peluang Heera."


Hilman terlalu banyak mencuba. Dan Hilman perlu sedar bahawa peluang tidak datang dua kali.


"Awak memandu terlalu laju Hilman."


Bayang di kiri dan kanan semakin menghilang. Apa lagi Hilman sedang memegang steering kejap.


"Saya dah berubah, Heera. Semua perempuan dah tinggalkan saya." Luah Hilman.


Baguslah. Hanya aku satu-satunya yang bodoh kerana ditinggalkan.


"Awak masih bekerja di syarikat insurans?" Jangan dilayan gundah-gulana Hilman. Itu semua hanya perangkap semata-mata. Aku tak mahu terjerat buat kali kedua.


"Yes, Heera."


Lama juga Hilman berkecimpung di dalam dunia insurans. Sejak aku mengenali dia lagi. Bahkan dia pernah dianugerahkan pekerja terbaik kerana mencapai piawaian yang ditetapkan oleh syarikat.


"Awak dah pun jadi pelanggan tetap saya." Kata Hilman lagi.


Benar kata Hilman. Gaya dan keyakinan dia itulah yang membuatkan aku terheret sama membeli insurans nyawa. Sampai sekarang aku tidak pernah culas. Setiap bulan aku bayar tepat pada masanya.


"Kalau ada insurans yang boleh cover cinta saya pada awak, awal-awal saya beli."


Aku tergelak. Baru ditinggal kekasih, fikiran dia sudah tidak waras. Sebab itu percakapannya juga merepek.


"Hilman...Awak dah melebihi had laju." Buat kali keduanya aku mengingatkan.


Raid pemanduannya sangat lancar dan tidak menakutkan. Aku lebih selesa satu kereta dengan Raid berbanding Hilman. Aura Hilman itu menyeramkan.


"Awak takut?"


Perubahan ini yang aku kurang gemar mengenai Hilman. Baran Hilman boleh muncul bila-bila masa tanpa mengira waktu.


"Orang gila saja tak sayang nyawa. Nyawa tak boleh dijual beli."


Ayat aku gagal menyejukkan hati Hilman. Balasannya, tombol gear ditolak ke depan. Pedal minyak ditekan. Sempat aku mengucap panjang. Tangan automatik mencengkam kerusi.


Mata terpejam apabila Hilman nyaris terbabas ke kanan jalan gara-gara mengelak motorsikal yang keluar mengejut dari simpang. Nyaris juga aku menjerit bila pemanduan Hilman sedikit terhuyang-hayang sebelum dia berjaya mengawal semula.


Turun naik dadaku mengawal jantung yang berdegup laju dari biasa. Nyaris jantung aku mahu meletup.


"Skill memandu awak ada perubahan besar Hilman...Semakin cekap." Puji aku setelah keadaan reda. Memarahi Hilman akan buat keadaan lebih tidak terkawal.


"Cuma skill memujuk saya masih tumpul. Masih perlu diasah supaya orang tu nak balik semula pada saya."


Dan harus aku akui, pujian aku berjaya meredakan sedikit baran Hilman. Buktinya, kelajuaan kereta semakin menurun. Barulah aku diperlihatkan deretan bangunan di kiri dan kanan jalan.


"Percaya pada takdir, Hilman. Kalau jodoh awak dengan saya...Tak akan ke mana." Sehabis baik aku menyusun ayat demi mengelak baran Hilman datang kembali. Emosi Hilman ada kalanya pasang surut. Ada kalanya sukar diduga.


"Saya boleh bersabar...Tapi sabar saya boleh juga hilang jika awak berjaya menemukan pengganti saya."


Hilman sedang melancarkan ugutan. Ugutan supaya mata dan hati hanya berpaksi pada dia seorang saja. Mengugut itu merupakan senjata terakhir jika segala usahanya menemui kegagalan.


"Awak tak nak canang kesabaran saya Hilman? Saya bersabar dengan awak bila awak curang. Dan awak pilih curang berbanding saya."


Salah lagi pilihan ayat aku. Bahananya, Hilman kembali memecut kereta. Lebih laju dari tadi. Timbullah rasa menyesal bila aku setuju menumpang kereta dia. Dan lihat saja pemanduannya, sekejap ke kiri. Kemudiannya ke kanan secara melulu tanpa menghiraukan bunyi hon panjang yang datang dari segala penjuru.


"Calm down Hilman. Nyawa awak juga sedang dipertaruhkan." Aku mengingatkan dia.


"Nasihat awak akan dipertimbangkan kalau awak tawarkan saya peluang kedua."


Berdenyut-denyut kepala bila Hilman masih menagih peluang. Ikutkan hati, dia tidak mahu berkasih lagi. Apa lagi pengalaman berkasih dengan Hilman itu putus sekerat jalan dan sangat memenatkan emosinya.


Belum sempat bersuara, bukaan mata aku meluas bila ada bayang besar di depan. Spontan aku menoleh pada Hilman yang sedang memberi sepenuh perhatian kepada aku. Lupa tugasnya sebagai pemandu.


"Hilman! Lori..." Kata aku cemas bila bayang besar tersebut semakin dekat.


"Shit!" Hilman paut steering ke kiri sekuat hati.


Aku yang tidak bersedia dengan impaknya, gagal mengawal tubuh yang hampir terhuman ke sebelah pemandu dan dada menghentam dashboard sebanyak dua kali. Apa lagi ketika Hilman ingin mengelak, terlanggar pula bucu belakang treler, menyebabkan kereta dia berpusing-pusing sebelum menghentam pembahagi jalan dan sepi setelah itu.


Sayup-sayup terdengar suara Hilman memanggil. Hanya erangan halus aku yang menyahut. Bayang Hilman yang satu menjadi dua, kemudiannya tiga, dan tidak terkira banyaknya.


"Hilman..." Pandangan aku semakin memberat.


Ah. Kenapa bayang Hilman sudah bertukar menjadi Raid? Bayang Raid itu ada di mana-mana. Suara Raid juga ada di mana-mana.


"Saya nak tidur Hilman, mata saya mengantuk." Aku gagal mengawal lena. Tidur merupakan ubat paling mujarab untuk mengusir jauh sakit kepala yang berdenyut-denyut.


Akhirnya seluruh pandangan aku gelap. Tiada lagi suara yang sibuk memanggil. Aku mahu berehat. Rehat panjang. Rehat dari masalah dunia.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.