Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,016
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

“Ada apa Rai?” Lama aku merenung Raisha. Mencari tahu apa punca dia ke sini secara mengejut. Ini bukan Raisha yang aku kenal.


Senyuman terlebih dahulu menjawab pertanyaan. Lebih menghairankan, senyuman itu nampak seperti terpaksa. Demi melegakan hatiku.


“Aku tak dapat contact kau.”


Ya. Aku lupa untuk beritahu Raisha nombor baharu aku. Rungutan dia aku terima dengan lapang dada. 


“Kau sibuk?” Tanya Raisha. Sempat mata dia meliar. Aku geleng kepala. Kebetulan sesi mengajar baru saja selesai. 


“Kita bincang dekat luar.”


Biarpun hairan, aku menurut tanpa bantah bila mengenangkan betapa seriusnya Raisha. Seolah-olah ada perkara penting yang mahu dia sampaikan dengan kadar segera. Tak boleh tertangguh.


Sekarang aku sudah pun duduk semeja. Berdepan dengan Raisha yang sejak dari tadi asyik melarikan pandangan matanya. Sepuluh jari meramas sesama sendiri.


“Ceritalah…” Aku masih mampu bertenang. Masih waras dan bebas dari segala unsur-unsur mendesak. 


“Tentang Seri.”


Dua patah perkataan meluncur dari mulut Raisha berjaya buatkan aku tak senang duduk. Setelah membasahkan tekak, tumpuan aku kembali pada dia. Menanti dengan sabar cerita seterusnya.


“Aku ada dengar cerita kau kena serang.”


Turun naik kepala aku. Boleh jadi penyampai berita tersebut adalah Raid. Maka tak perlulah aku merasa terkejut.


“Nasib baik kau okey, Heera.”


Syukur Alhamdulillah. Allah panjangkan usia aku. Masih mampu bernafas walaupun diuji mental dan fizikal. Terima kasih Allah kerana tiga kali mengutuskan Raid sebagai penyelamat.


“Aku dah siasat siapa dalangnya.”


Tak sangka, adik Raid juga ada bakat besar dalam menyiasat. Mujurlah Raisha memilih untuk meneruskan legasi perniagaan bapanya. Menyiasat mungkin hanya kerja sampingan demi mencari tahu penjenayah yang berani menyerang aku selaku sahabat baik dia.


“Silap besarlah dia serang kau. Dia belum kenal aku siapa. Aku sanggup habiskan beribu cari dia sampai ke lubang cacing.” 


Tanpa sedar aku tersenyum. Adik beradik R sering dahulukan aku tanpa mengira waktu. Gadai nyawa pun mereka sanggup asalkan aku selamat. Dan ketaksuban mereka harus dicegah sebelum kian melarat. Lebih parah jika ketaksuban mereka berjangkit pada yang lain.


“Aku bukan anak jutawan Rai. Setakat anak yatim. Bapa aku pun dah tunggu masa nak pencen. Ada seorang abang yang selalu jadi hero dari jauh. Tak perlu kau susah diri. Jangan bazirkan duit demi aku.” 


Ada riak tidak puas hati Raisha tayangkan. 


“Berbalik pada Seri.” Aku terlebih dahulu bersuara sebelum Raisha lancarkan protes. Protes dia bukan biasa-biasa. Sarat dengan segala ancaman.


“Apa dia buat kali ni? Jangan cakap dia kena cekup khalwat dengan orang lain.” Sekiranya perkara tersebut terjadi, maka separuh nyawa Raid bakal melayang. Serina itu nyawanya. 


Raisha jeling gara-gara mulut lancang aku. Jelingan dia tak memberi kesan langsung. Elok saja aku ketawa biarpun berkali-kali diserang dengan jelingan.


“Dialah yang rancang nak bunuh kau.”


Lenyap terus ketawa aku. Terkejut dengar  cerita Raisha. Namun rasa terkejut bertahan tak sampai seminit sebelum aku ukir senyuman tipis.


“Kau gila? Dia nak bunuh kau…Tapi kau masih boleh tersenyum?” Begitu dalam kerutan di wajah Raisha.


“Cakap tanpa bukti tak guna Rai. Lagipun, tak ada motif pun dia nak serang aku.” Aku masih bersangka baik walaupun rasa syak pada Serina sedang mendaki ke takat paling tinggi.


Raisha campak sampul di atas meja. Mata dia cerun pada sampul, kemudian pada aku semula.


“Bukalah.”


Lambat-lambat aku capai, lalu isinya dikeluarkan. Mata aku tak pandai mengerdip lagi setelah meneliti satu per satu gambar yang diambil dari jauh. Gambar Serina menyerahkan sampul tebal kepada seorang lelaki. Gambar seterusnya lebih mengejutkan bila Serina menyerahkan gambar aku pada lelaki tersebut.

Kepala terus naik memandang Raisha. Memerlukan penjelasan daripada dia.


“Aku upah orang cari lelaki tu. Dan kau tahu apa jadi? Dia mengaku Serina upah dia bunuh kau.”


Aku telan liur payah. Terasa berpasir. Kenyatan yang aku sendiri tahu biarpun payah untuk menerima. 


“Sebab apa? Sebab aku dekat dengan Raid?” Tebak aku.

Anggukkan kepala Raisha menjawab pertanyaan aku. 


“Semua ni salah Rai…” Aku hilang susunan ayat. 


Jika difikirkan secara logiknya, salah itu dari pihak aku juga. Mereka berdua itu sudah bertunang. Hanya selangkah ke jinjang pelamin. Aku merupakan orang ketiga yang merosakkan segala impian mereka.


“Dia tak salah. Yang salah aku.” Kata aku perlahan.


“Kau tak salah Heeea.” 


Raisha cuba menegakkan benang yang basah. Cuma menutup kesalahan aku selaku penyondol.


“Kita boleh ubah plan.” Aku cuba mencari jalan demi kebaikkan semua pihak supaya tiada di antara kami akan terkenal kerana membunuh atau menjadi mangsa bunuh.


“Aku tak nak.”


“Rai…” belum kemukakan rencana, Raisha sudah membantah keras.


“Kalau dia bertaubat sekali pun, aku masih tak dapat terima dia.”


MasyaAllah. Raisha sudah berdendam.


“Hanya kau…Aku cuma nak kau jadi pendamping abang aku.”


Raisha belum faham konsep jodoh di tangan Tuhan. Jadi tugas aku supaya menerapkan sedikit kesedaran agar Raisha bangkit dari mimpi. Yang sedikit itu lama-lama menjadi bukit. Dan akhirnya Raisha sedar, jodoh itu bukan aturan manusia.


“Jadi aku merayu gandakan usaha kau. Orang lelaki ni mudah tewas dengan perempuan.”


Perkara sebaliknya terjadi. Otak aku pula dicuci. 


“Jangan jadi perempuan murah…Sesekali buat promosi tu boleh, tapi bila ada mangsa terpedaya, naik semula saham. Biar lebih mahal. Biar orang lelaki tahu betapa payahnya nak dapat seorang perempuan.”


Berbelit-belit konsep Raisha. Berdenyut-denyut juga kepala memikirkan yang mahal, kemudiannya murah. Sehingga aku terlupa sejenak tentang kejahatan Serina. 


“Aku kenal Raid macam mana.”


Kenapa aku rasa Raisha belum mengenali abang dia sepenuhnya? Raid itu yang jual mahal. Yang kononnya lelaki terpaling setia di dunia.


“Hanya kau harapan aku, Heera.”


Raisha terlalu menaruh harapan. Aku sendiri pun masih was-was mampu merebut hati Raid. Raid itu umpama pancing. Bila umpan mengena, dia pilih putuskan terus tali pancing. Kemudiannya kembali ke habitat asal. Kembali menagih cintanya Serina.


“Jangan risau tental Serina. Orang-orang aku dah gertak dia sikit. Dia takkan berani sentuh kau lagi lepas ni.”


Bagus perancangan Raisha. Yang tidak bagus, gaya dia menegur mengalahkan samseng jalanan.


“Aku tak nak janji apa-apa Rai.”


Semoga Raisha semaikan sedikit demi sedikit apa itu keredhaan. Supaya tidak kecewa dikemudian hari.


“Aku akan cuba setakat mana yang mampu.” Kataku.


Ada senyuman di wajah Raisha.


“Selebihnya, banyakkan berdoa. Biar hati Raid tu terang. Tak malap dek angaukan Serina.” 


Boleh pula Raisha ketawa. Apa yang keluar dari mulut aku itu fakta. Bukannya jenaka.


“Aku akan bagi upah tambahan…Pastikan kerja kau selesai dengan kadar segera.”


Laju aku geleng kepala. Duit sebelum ini pun belum terusik, Raisha sudah mahu menambah lagi. Sengaja aku tidak mengusik duit tersebut supaya dapat dikembalikan semula jika rancangan aku gagal.


“Aku dah anggap kau macam adik aku.” Ayat aku menambahkan senyuman Raisha. Tangan aku diraih lalu digenggam erat.


“Sebab tu aku sayangkan kau.”


Walaupun berat, aku gagahkan juga bibir untuk senyum. Ada rasa yang datang menyerang. Rasa yang kurang enak kerana terlibat dalam rancangan gila Raisha. 


Terlalu lama duduk bersama Raisha sampaikan waktu berlalu pun aku tidak sedar. Tahu-tahu saja, jam hampir menginjak ke waktu maghrib. Lekas-lekas aku pamit sebelum ada yang buat laporan kehilangan aku nanti. Satu jam hilang saja dua-dua hero di rumah sudah tidak senang duduk, apa lagi berjam-jam lamanya.


“Lambat balik?” Abang Mus terlebih dahulu menyapa sebaik saja kaki jejak ke dalam rumah.


“Tadi jumpa Rai.” Jawab aku pendek. 


“Dah siap-siap nanti, turun bawah cepat.”


Mata terus mencari abang Mus. 


“Heera dah makan dengan Rai tadi.” Aku perlu hapuskan niat abang Mus jika mahu heret aku ke acara makan malam bersama.


“Baguslah.”


Hairan. Kenapa aku merasa tidak bagus?


“Serina datang. Dia nak bincang tentang Raid.”


Bibir aku lumpuh. Tak pandai lagi nak menjawab.


“Cepat, dia dah tunggu setengah jam.”


Tidak setakat bibir, kaki aku juga sama. Bahkan aku gagal untuk bertenang. Sesuai dengan nasihat Raid supaya bertenang dalam segala hal.


“Jangan lama-lama, ingat tu.” Titip abang Mus sebelum dia menghilangkan diri ke belakang. Mahu sediakan air mungkin untuk tetamu.


Bala besar telah datang. Maka aku perlu persiapkan diri menghadapi bala tersebut. Besar harapan aku semuanya mimpi. Lebih besar harapan jika aku ada magis dan menjadi halimunan. Mahu lari dari semua masalah.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.