Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,101
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Seminggu berlalu, aku merasa aman dan tenang tanpa sebarang gangguan. Itupun gara-gara aku telah menukar nombor telefon yang baru. Tiada siapa yang perlu tahu nombor baharu aku melainkan keluarga terdekat dan cikgu-cikgu sekolah. 


Keputusan tersebut diambil setelah ditimbang-tara segala aspek selepas kejadian dua kali nyawa hampir melayang. Bertambah lagi dugaan bila ada yang cuba-cuba buat tuntuan palsu tentang kecederaan aku demi meraih wang. Kata Hilman, ada salah faham terjadi. Dan dia tidak melakukan perkara keji tersebut. Dia berjanji untuk mencari tahu siapa dalangnya. Apa pilihan aku ada melainkan percaya kata-kata dia. 


Memikirkan hal tersebut, nafas terus dihela panjang. Gara-gara terlalu jauh mengelamun, aku tersalah pandang waktu mengajar. Sepatutnya sesi aku bermula waktu tengahari. Disebabkan terlalu sibuk memikirkan masalah, dua jam awal aku masuk ke kelas. Mujur semua pelajar berada di makmal sains. Terpaksalah aku patah balik ke bilik guru semula.


Ketika aku melewati kawasan padang sekolah, mata tertancap pada susuk tubuh seseorang. Seseorang yang sangat familiar sedang berlari di tengah-tengah padang. Tanpa sedar aku berhenti melangkah. Ralit memerhati dia yang bermain lagaknya seperti seorang profesional. 


Lariannya begitu tangkas hingga percubaan menghalang berjaya dia lolos dengan mudah. Sekelip mata tendangan dia tepat menuju ke sudut kanan atas dan menembusi gawang gol. Terdengar beberapa pelajar lain bersorak gembira meraikan gol pertama. 


Dari jauh dia cekak pinggang. Berbalas renungan dengan aku. Dititipkan juga senyuman. Tetapi aku belum ada hati mahu membalas senyuman dia.


“Cikgu Heera!”


Niat aku nak beredar terbantut. Kepala terus berpusing mencari si pemanggil. Dan pencarian aku berjaya. Dia, yang senyum pada aku tadi. Yang paling menyerlah di antara mereka semua. Yang sentiasa dambakan perhatian. Yang mempunyai keberanian yang sangat luar biasa bila berdepan dengan aku. Dasar Raid.


“Alang-alang cikgu dah pakai baju sukan, apa kata cikgu join kita orang,”


Jangan mengarut! Aku kenal bola sepak pun tidak, apa lagi nak bermain. Silap hari bulan, entah kepala siapa aku tanduk nanti. Bimbang ada kepala yang mengalami kebocoran teruk saja.


“Saya sibuk, Raid.” Kataku setelah Raid menghampiri. Hanya berjarak dua meter dari aku.


“Awak tak masuk kelas?” Soalku hairan. Bukankah sepatutnya Raid ada bersama yang lain di makmal?


“Dah seminggu saya dikecualikan sebab ada training untuk game esok.”


Oh. Banyak perkara yang aku terlepas rupanya. Paling aku tidak sangka, pelajar sementara pun boleh turut serta ya? Entah apalah yang sedang dirancangkan Raid lagi.


“Good luck.” Titipku. Angkat kaki pilihan terbaik. Ada banyak mata memandang, tak manis.


“Cikgu.”


Aku merengus perlahan. Kepala menoleh ke kiri. Kening berkerut seribu. Tanpa senyuman. Harap Raid faham bahasa badan aku. Dan harus diakui, marah aku pada dia masih tersisa gara-gara dia hilang tanpa khabar. Jadi wajarlah aku tiada hati ingin beborak panjang.


“Esok saya tak ada transport nak ke sekolah.”


Jadi? Apa kena-mengenanya dengan aku? Raid kan punya ramai kenalan, apa kata dia minta bantuan mereka. Andai kata tidak mahu menyusahkan, keluar awal. Berlari. Aku yakin stamina Raid itu lebih daripada cukup.


“Yang lain-lain naik bas.” Kata Raid lagi.


Bas boleh muat empat puluh empat penumpang. Pemain bola sepak baru separuh dari bilangan tersebut. Jangan bagi alasan tak cukup tempat duduk. Lantai ada. Tangga pun ada. Tak cukup juga, duduk saja atas riba pemandu bas. Jadi, mohon Raid kemukakan alasan yang munasabah sedikit punca dia tidak menyertai mereka semua.


Bukannya alasan diterima, malah Raid rapatkan jurang sehingga aku berundur beberapa langkah. Sikit lagi aku hampir jatuh ke dalam longkang kecil yang ada di sepanjang laluan pejalan kaki.


“Pagi-pagi saya nak ke satu tempat dulu, baru ke sana.”


Itu masalah Raid, bukannya masalah aku. Dia yang rombak tentatif esok, maka silalah selesaikan sendiri isu pengangkutan. Tiada keperluan aku ikut campur.


“Motor saya dah tiga kali buat hal.” Adu dia.


Aduh! Sekadar cadangan daripada aku, motor Raid sudah layak daftarkan diri ke kilang besi buruk. Membazir saja baiki berkali-kali. Ada rezeki lebih, beli yang lain.  


“Jadi?” Soalku bila Raid diam tiba-tiba. Tiada lagi sebarang aduan.


“Tolong jemput saya di rumah.” Pinta dia.


Sikit lagi aku mahu hamburkan ketawa. Esok sabtu, hari minggu. Hari aku beristirehat. Secara tidak langsung, dia telah menganggu cutiku. Apa Raid tidak sedar?


“Esok hari penting, saya mesti sertai pertandingan tu.”


Salah pemikiran Raid. Ada perkara jauh lebih penting daripada itu.


“Awak tak takut kalau terserempak dengan Serina? Dia pun penting juga.” Bisik aku perlahan, suara hampir tidak terluah.


Tubuh Raid sedikit mengeras sebelum dia tenang. Masih mampu mengoyak senyuman tipis. Itu menandakan dia mampu membaca gerakkan bibir aku.


“Dan saya rasa, tangan saya belum pulih sepenuhnya. Nak bawa kereta pun macam siput. Besar kemungkinan awak akan lambat sertai pertandingan tu.” Aku beralasan. Berharap Raid mencari bantuan lain. Buat masa ini, aku hanya mahu mengelak dia. Lebih-lebih lagi berdua-duaan.


“Rumah saya dekat sangat dengan cikgu. Taman belakang je. Cikgu sampai, kita tukar pemandu. Saya boleh drive macam formula 1. Saya jamin tak akan terlambat.”


Kelip-kelip aku pandang Raid. Kenapa aku tak pernah tahu pun Raid tinggal sana? Dan berani-beraninya dia mahu bawa kereta aku lagaknya pelumba F1? Risau ada yang kena viral saja nanti.


“Rumah saya dekat tengah-tengah. Warna oren, bumbung merah gelap, ada pagar automatik. Ada pasu terbiar tiga biji. Awning warna hijau tua. Ada ampai baju."


Menghairankan, kotak memori aku berusaha keras mengingati ciri-ciri rumah yang disebut-sebutkan oleh Raid. Bahkan aku cuba membayangkan kondisi keadaan rumahnya.


“Saya pergi dulu…Jumpa esok.”


Bibir aku bergerak-gerak mahu lancarkan bantahan. Sayangnya, bibir aku belot. Bibir aku elok tersenyum. Mata pula gatal menghantar pemergian Raid yang hilang di tengah-tengah padang. Dia kembali beraksi seperti biasa seolah-olah tiada sebarang perbincangan terjadi di antara kami sebentar tadi.


Sangat hebat penangan lelaki bernama Raid. Penangan dia mendorong aku berpusing kawasan perumahan taman sebanyak lima kali pada keesokkan harinya. Lima kali berpusing, aku masih belum menemukan ciri-ciri rumah yang dia sebut-sebutkan itu.


“Semua rumah warna oren. Mana ada pasu terbiar? Pasu semua elok ditanam bunga-bunga. Sederet semua ada pintu pagar automatik dan awning hijau.” Omel aku sambil kepala berpusing kiri dan kanan. Tercari-cari juga kelibat motor biru milik leaki itu, namun tiada.


Akhirnya aku mengalah. Kereta berhenti entah di rumah siapa. Silap aku juga tak minta nombor telefon Raid semalam. Lebih menyedihkan bila aku tidak menolak sekeras-kerasnya permintaan dia.


Sedang aku termenung, ada ketukan di cermin sebelah penumpang. Laju aku menoleh. Lock pintu dibuka. Tangan aku pantas ingin melepaskan tali pinggang.


“No! Just drive. Saya dah lambat. Sampai sana kita tukar.”


Tak jadi nak bertukar tempat duduk. Niat di hati nak membebel juga terbantut sejurus nampak muka Raid. Aku syak, Raid tertelan ubat penenang. Kesan ubat tersebut terpancar di wajah dia sehingga mampu meredakan marah aku dalam sekelip mata.


“Jalan Heera. Pandang muka saya tak akan berjaya gerakkan kereta awak.”


Ya. Benar kata Raid. Aku terlalu lama pandang muka dia sampai malu sendiri.


“Pagi-pagi tuan dah mainkan perasaan saya.” Luahku sebelum perasaan marah mula menular. Bimbang orang sebelah mengalami nasib yang sama seperti aku, patah riuk sana sini nanti. Kesan daripada aku gagal fokus pemanduan dan terbabas.


"Beritahu saya...Dari segi apa saya mainkan perasaan awak? Cinta?"


Aku jeling dia. Kurang gemar bila 'cinta' meniti di bibir. 


"Sebelum tu..." ayat Raid tergantung.


Terlalu banyak permintaan Raid. Aku tunai setakat mana yang mampu saja.


"Berhenti panggil saya tuan. Awak bukannya pekerja saya."


Mujur permintaan Raid mudah. Aku dengan rela hatinya akan tunaikan.


"Baik...Encik." 


Penyakit menjeling aku telah berjangkit pada Raid. Dua kali aku terima jelingan dia.


"Encik pun tak dibenarkan."


Nanti aku fikirkan semula nak panggil dia apa. 


"Memandangkan saya lebih tua, saya prefer abang."


"Saya bantah!" 


Bantahan aku disahut ketawa budiman orang sebelah. Tak tahu apa yang menggelikan hati.


"Rumah yang tuan sebut-sebut semalam, ada lebih kurang lima ke enam biji. Mana saya nak tahu rumah tuan yang mana? Tahniah tuan, atas kejayaan menghuru-harakan emosi saya pagi ni." Aku mula buat aduan secara lisan. Sempat aku kalungkan ucapan tahniah juga.


"Oh, saya terlupa. Pasu terbiar tu ada belakang rumah."


Mujur aku tak berhenti kereta, buka pintu kiri dan usir Raid keluar dari kereta. Bagaimana perkara penting begitu dia boleh lupa?


"Rancangan tuan macam mana? Saya belum nampak sebarang kejayaan lagi." Aku terus ke permasalahan utama yang membabitkan kerjasama kami. Ikutkan hati memang aku nak tarik diri. 


Ekor mata nampak Raid basahkan bibir beberapa kali. Boleh jadi dia sedang sibuk mengarang ayat yang mudah aku fahami.


"Masih macam tu...Tapi bertambah lagi satu kes."


Dahi aku berkerut-kerut. Sepatutnya Raid fokus pada satu kes terlebih dahulu. Barulah rancangan dia berjaya tanpa gagal.


"Kes melibatkan awak, Heera."


Aku pandang dia. Lama.


"Hati-hati."


Tumpuan aku kembali ke jalan raya. Emosi aku berkecamuk teruk. 


"Sebab tu saya tanya, awak ada musuh?" 


Diam di pihak aku. Otak ligat menapis senarai suspek. 


"Dua kali awak nyaris terbunuh, awak masih fikir kebetulan?"


Tanpa sedar kedua belah tangan mencengkam steering kuat. 


"Boleh jadi kejadian yang sama boleh berulang untuk kali ketiga."


Ya. Aku tak nafikan perkara tersebut. 


"Awak nak saya siasat siapa pelaku? Kes awak lebih rumit. Nyawa awak jadi taruhan. Nyawa tidak mampu dibeli Heera." 


Tanpa sedar kereta telah berhenti di bahu jalan. Tumpuan aku hanya pada Raid. Lebih tepat, aku tertarik dengan tawaran dia.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.