Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,000
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

SUBUH tadi, doa aku lebih panjang dari biasa. Bersungguh-sungguh aku berdoa. Dalam doa tersebut, aku mohon agar masa berlalu dengan cepat. Tak tahan rasa bila berada dekat dengan tunang sendiri. Terseksa jiwa dan raga.


Usai saja aku aminkan doa, ada yang menganggu. Ada yang sibuk menghantar pesanan whatsapp pagi-pagi buta. Siapa lagi kalau bukan Raid orangnya.


Belum pun sempat baca pesanan tersebut, nama dia naik sebagai pemanggil. Aku lepaskan keluhan berat. Nampak gaya doa aku tidak dimakbulkan. Gara-gara aku selitkan sedikit doa supaya Raid ditimpa kemalangan kecil dan ditukarkan dengan orang lain.


“Ya, Raid.”


“Keluar jom, kita tengok matahari terbit.”


Aku menimang-nimang saranan dia. Dalam waktu yang sama, perut mula berbunyi. Mana tidaknya, malam tadi aku tidur dengan perut kosong. Sibuk fikirkan perut semua pelajar sampai lupa perut sendiri. Bertambah pula kejadian habis madu, tunang dibuang. Maka, sepanjang malam aku puasa.


“Lepas tu, kita keluar. Ambil sarapan dekat bandar. Pihak katering tak sempat nak hantar ke sini. Boleh kita sarap sekali.”


Oh. Aku tak dimaklumkan perkara tersebut. Mungkin pihak katering sudah maklum kepada pihak penganjur.


“Tak lama, Heera. Saya akan pastikan kita pulang awal.” Raid beri jaminan.


Lama aku sepi. Setelah puas berfikir, aku beri kata putus.


“Janji?” Bukan apa, tak manis. Nanti ada suara sumbang yang berbunyi. Lagipun mereka semua pun tak tahu kami sudah pun bertunang.


“Janji.”


Melebar senyumanku. Raid yang aku kenali sangat tepati janji orangnya.


“Cepat. Sementara semua tengah tidur lagi.” Gesa Raid.


Lekas aku cabut telekung dan mula bersiap ala kadar. Mujur aktiviti pagi ini bermula lambat dari biasa. Itupun atas ihsan Raid gara-gara aktiviti night walk tamat lewat pagi.


Menyesal tak pakai baju sejuk. Tak sangka cuaca pagi sesejuk ini. Angin pula boleh tahan kencang. Lengan digosok berkali-kali bagi mengurangkan rasa sejuk yang mencengkam.


“Pakai sweater saya.”


Terbata langkahku. Kepala berpusing ke kanan. Huluran Raid dibiar tak bersambut.


“Saya okey.” Aku paksa bibir senyum biarpun kebas.


Anak mata Raid bergerak-gerak sebelum dia ambil dua langkah. Tanpa pedulikan kataku, dia sendiri menyarungkan sweater ke tubuh.


“Dekat mata saya, awak tak okey. Pipi merah, mata merah. Hidung berair.”


Tangan laju naik meraba hidung. Ya. Ada cecair hangat yang baru saja meleleh. Spontan hujung baju Raid aku capai mengesat hidung.


“Sorry.” Pintaku. Baru sedar aku telah mengotorkan baju dia.


“Nanti saya basuh.”


Respon dia, hanya senyum. Tak kisah kalau baju dia kotor sekalipun.


“Ambillah baju tu. Nanti kita dah kahwin, awak boleh pulangkan semula. Atau kita boleh share.”


Lama aku pandang Raid sebelum akur. Cumanya bahagian kongsi itu akan aku bangkang setelah kami menikah. Lambat-lambat aku mengorak langkah menyaingi langkah dia.


“Macam mana kalau Serina tahu tentang kita?” Bohonglah aku tak merasa bimbang. Aku telah caras tunang orang demi kepentingan sendiri. Dapat aku bayangkan amukkan Serina jika tahu hubungan kami kelak.


“Saya buat keputusan tepat, Heera. Saya yang putuskan pertunangan kami.”


“Awak yang minta putus?” Tak percaya Raid yang cinta Serina separuh mati boleh berbuat demikian.


Sisi wajah Raid dicari. Ada awan mendung datang bertandang. Namun awan gelap tersebut diliputi dengan ketawa perlahan.


“Awak tahu, seminggu saya kena serang dengan Serina dekat pejabat.” Cerita Raid dengan ketawa. Ketawa sekadar menyedapkan hatiku supaya tidak terasa.


Wajarlah Raid diserang. Jarang-jarang lelaki minta putus. Dan aku faham dengan pantang larang Serina ketika bercinta. Ditinggalkan, maka peranglah jawabnya.


“Saya sayangkan dia.”


Usia pertunangan mereka hampir setahun lamanya. Mana mungkin tidak timbul rasa sayang. Tetapi entah mengapa ada rasa sedih bertandang. Rasa yang diaduk dengan rasa serba salah tinggi melangit.


“Apa dia nak, saya tunaikan."


Ya. Aku akui hal tersebut. Sepanjang mereka bersama, tiada nama lain yang meniti dibibir dia melainkan Serina. Hanya Serina yang tidak sedar dek untung.


“Saya ingat dia akan berubah, tapi saya silap.”


Aku sekadar diam. Mendengar setiap luahan dia. Sesekali tangan membetulkan sweater yang hampir melorot.


“Betullah orang cakap, cinta tu buta." Ada kesalan pada suara dia.


"Cinta tu indah Raid kalau pilihan tu tak salah. Cuma jangan cintai manusia melebihi cinta pada Tuhan." Aku cakap berdasarkan pengamalan pernah putus cinta. Redha itu penting.


"Kalau awak masih cintakan Serina, apa kata awak pujuk dia. Balik semula pada dia. Saya sedia undur diri." Tak tahu dari mana aku dapat rancang dila tersebut. Lupa akibatnya jika Raid beralih arah.


Serta merta langkah Raid terhenti. Dia menoleh. Kedua belah tangan dia menyeluk poket seluar. Apa aku perasan, Raid juga kesejukkan. 


"Serina cinta pertama awak. Tentu sukar nak melupakan cinta pertama." Sehabis daya aku menahan suara dari bergetar. Bohonglah aku tak merasa sedih. Bohong juga jika aku tidak sayang pada Raid. 


Dia pandang aku. Lama. Aku tercari-cari kemarahan atau cemburu di wajahnya. Namun hampa. Raid itu sangat tenang orangnya.


"Hei, jom." Raid berjalan menghampiri pokok besar tidak jauh dari sini.


Mata aku mengerdip laju. Sengaja aku palingkan wajah sebelum mata aku mencari dia semula. 


Dari jauh aku nampak Raid kutip dua biji batu kecil lalu menghampiri aku semula.


"Ambil ni."


"Nak buat apa?" Tanya aku hairan. Bukan batu zamrud pun, tapi batu biasa.


"Baling dekat laut."


Niat nak tengok matahari bertukar dengan acara lempar batu. Aku ikutkan saja kehendak Raid, asalkan dia bahagia.


"Bukan macam tu." Tegah dia bila aku angkat tinggi tangan kanan.


"Kenapa? Sama je. Batu akan tenggelam juga." 


"Tengok dan ikut saya buat."


Tanpa sedar aku merengus. Bukannya masuk sukan olimpik pun. Tak perlu Raid nak beria-ia sangat.


"Tangan pastikan separa pinggang. Tarik ke belakang, dan baling."


Aku perhatikan dengan teliti. Batu dibaling Raid melompat sebanyak lima kali sebelum tenggelam.


"Not bad." 


Terjuih bibir aku bila Raid puji diri sendiri. 


"Saya boleh buat lebih baik dari tu. Mungkin enam atau tujuh." Aku pun tak nak kalah.


Berbekal teknik diajar oleh Raid, aku lemparkan sekuat hati. Mulut mula mengira sejurus batu melompat di atas permukaan air laut.


"Lima!" Suara orang sebelah berbunyi. Seperti mengejek pun ya.


"Kita memang berjodoh,Heera."


"Orang dulu-dulu cakap, kalau lima kali melompat...Kita akan dapat lima orang anak."


"Awak percaya?" 


"Tak." Jawab Raid pendek.


"Dengar boleh, tapi percaya jangan." Kata Raid lagi.


"Tapi abang memang tak kisah kalau ada lima orang anak."


"Iya?" Aku pura-pura teruja.


"Ya. Abang suka budak-budak." 


"I see..." Aku tak pernah tahu apa kesukaan Raid. Tapi apa yang aku tahu, Raid punya impian yang sukar digapai.


"Encik...Tolong ambil statement saya. Saya nak buat pengakuan, pagi tadi saya doa supaya envik cedera...Tapi rasanya, saya lupa doakan encik ambil alih tugas melahirkan anak. Biar encik tahu betapa peritnya melahirkan anak."


Sweater ditanggalkan lalu diberikan pada dia semula. Lalu aku angkat kaki dengan muka mencuka. Sedikit geram bila Raid tanpa segan bercerita hal anak. Sedangkan baru tadi aku menyuruh dia kembali ke pangkuan Serina.


Ada ketawa yang mengekori rapat dari belakang. 


"Sampai hati..." Raid berjaya menyaingi langkahku.


Ekor mata aku nampak betapa lebarnya senyuman dia. Mata dia asyik melekat padaku sampai lupa nak pandang depan.


"Jom, ambil makanan dia orang. Matahari dah pun naik. Nanti orang nampak kita dekat sini." 


Ini semua Raid punya pasal. Tak sempat nak tengok matahari terbit. Dia sibuk ajak aku sertai acara sukan padang.


"Tunggu sini, saya ambil kereta."


"Kita jalan sama-sama." Putusku. Enggan dilayan bak puteri kayangan. Biar sama-sama penat.


“Awak tak makan?” Tanyaku bila dia hanya pesan air milo panas kosong. Sedangkan di depan aku sudah terhidang nasi lemak dan teh o panas.


“Pagi saya jarang sarapan. Selalunya saya skip.”


“Jaga badanlah ni?”


“Ermm...Saya nak jaga BMI.”


Tersenyum aku dengar jawapan dia. Ingatkan perempuan saja ada masalah nak kekalkan berat badan ideal. Lelaki pun lebih kurang.


"Betul ni tak nak?" Aku pelawa lagi. Jarang-jarang aku nampak Raid makan bersama mereka sepanjang berada di sini. 


Diam di pihak Raid. Dia mula menimang pelawaan aku.


"Saya makan kalau awak yang suap."


"Tangan saya tak sesedap Serina." 


"Serina tak pernah suap saya walaupun sekali." 


Aku pandang dia. Serina yang daring itu tak pernah buat begitu? Teruk benar layanan Serina terhadap Raid. Walhal kami pernah nampak bagaimana manjanya Serina bersama lelaki lain. Saling suap menyuap pun pernah.


Sudu baru atas meja aku capai. Untuk kali ini, aku akan tunaikan. Hanya kali ini. Tiada lagi selepas ini.


"No. Saya nak guna sudu awak."


Tak jadi nak ambil sudu. Mata pandang dia tak percaya.


"Saya serius."


Aku pun serius bila buat jenaka kurang menjadi.


"Bagi saya peluang...Saya akan beri sepenuh sayang dan perhatian pada awak. Saya tak akan abaikan awak macam mana saya abaikan Serina."


"Boleh percaya ke?" Masih ada sedikit was-was. Lelaki kalau bercakap, kalah buaya.


"Percaya saya."


Aku berura-ura nak sambung makan. 


"Sebab saya sedar saya sayang awak lebih dari saya sayang Serina." Dia tak jemu-jemu sebut sayang. 


Nasi aku gaulkan dengan sedikit sambal. Tak lupa sedikit telur. Lalu sudu diangkat sua ke arah Raid.


"Cepat...Sebelum saya ubah fikiran." Kataku bila Raid teragak.


Perlahan-lahan aku nampak bibir rata dia mula berubah corak.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.