Salina baru selesai menunaikan solat Isyak. Dia membuka telekung yang
menutupi bahagian atas tubuhnya kemudian melunjurkan kakinya yang telah merasa
kebas. Urat-urat hijau makin jelas kelihatan di betisnya. Dengan begitu payah,
dia cuba bangun dari duduknya. Lututnya terasa lenguh-lenguh.
Terdengkut-dengkut Salina berjalan menuju ke tepi katil.
‘Beginilah kalau dah tua, sana sakit, sini
sakit,’ keluh Salina sambil melipat telekung lalu disangkutkan di tempat
penyidai.
Salina melabuhkan pula punggungnya di birai
katil. Bantal besar di sisi ditepuk-tepuk beberapa kali. Kemudian
perlahan-perlahan dia merebahkan tubuh tuanya ke atas katil. Dia mengerling jam
yang terletak di atas meja kecil di sisi katil. Hampir pukul 10.00 malam.
Petang tadi Faizal menelefonnya dan memaklumkan akan pulang agak lewat kerana
terlibat dengan operasi. Jadi dia tidak perlu menunggu anaknya untuk makan
malam bersama pada malam ini.
Berkumat kamit mulut Salina membaca beberapa
potongan ayat al-Quran sebelum tidur. Memang itulah yang selalu dilakukannya
sebelum tidur. Ustaz Malik yang hadir dua minggu sekali untuk mengajar ilmu
agama kepada penduduk di kawasan perumahan mereka sering mengingatkan mereka
tentang kelebihan membaca surah al-Ikhlas walau di mana sahaja mereka berada.
Kata Ustaz Malik, “Rasulullah s.a.w
pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah. Antara
marhumnya: “Wahai Aisyah isteriku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu
Al-Quran.” Aisyah lalu berkata, “Wahai suamiku, saya tidak mampu khatam
Al-Quran sebanyak 30 juzuk itu.”
Apabila mendengar kata-kata Aisyah
tersebut, Rasulullah s.a.w tersenyum lalu menjawab, “Barang siapa yang
membaca tiga kali surah al-Ikhlas sebelum tidur, seolah-olah ia telah
khatam Al-Quran keseluruhannya.”
Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a., “Siapa
hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia
membaca surah al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia
kembali.”
Sejak itulah, Salina mengamalkannya setiap hari
lebih-lebih lagi sejak dia mula merasakan tekanan hidup bersama Osman. Hanya
solat, al-Quran dan Faizal sahaja yang menjadi pengubat segala kesengsaraan
yang ditanggungnya sejak dia mula bergelar isteri.
Salina mengeluh panjang. Wajah Osman yang
berkulit hitam dan bertubuh tinggi dan besar terbayang di wajahnya. Walau Osman
banyak menyakiti hatinya dan tidak pernah melayannya dengan baik sebagai
seorang isteri, namun dia tidak dapat menafikan masih ada perasaan sayang di
hatinya untuk lelaki bergelar suaminya itu. Sehingga akhir hayat suaminya itu,
dia tidak pernah berhenti mengharap agar suatu hari nanti Osman akan berubah
dan menerima dirinya sepenuh hati.
Salina membawa dirinya jauh ke zaman silamnya.
Semasa pertama kali dia melihat potret Osman yang diserahkan oleh emak
kepadanya, dia sudah jatuh cinta pada bakal suaminya. Dia sentiasa membayangkan
dan mengangankan rumah tangga yang bahagia dengan kehadiran beberapa cahaya
mata yang comel. Tetapi rupanya angan-angannya hanya sebuah mimpi sahaja.
Realitinya sungguh berbeza. Osman yang diharapkannya akan menjadikan mimpinya satu realiti bertindak
sebaliknya dengan melakarkan satu kenangan yang begitu pahit untuk diingati di
dalam hidupnya.
Di sepanjang perkahwinan mereka, Osman hanya
menyentuhinya apabila nafsunya tidak dapat dikekang. Selepas memuaskan
nafsunya, Osman akan bangun begitu sahaja meninggalkannya terkebil-kebil
kehausan di atas katil. Dan selepas itu hanya air mata sahaja yang menjadi
peneman tidur Salina.
Tetapi Alhamdulillah... ALLAH itu Maha Berkuasa
dan Maha Mengetahui. Hubungan badan sekali sekala itu telah membuahkan hasil yang
amat diharapkan oleh Salina. Dia gembira apabila disahkan mengandung. Di waktu
itu Salina masih berharap kehadiran anak mereka akan mengubah sikap Osman
tetapi harapannya hanya tinggal harapan. Osman masih seperti dulu. Malah sikap
dinginnya semakin lama semakin membeku seperti bongkah ais di Atlantik yang
tidak mungkin cair. Dan akhirnya… lama kelamaan, Salina juga menjadi semakin
pasrah. Dia mula menguatkan hatinya dan mendekatkan diri kepada ALLAH untuk
mencari kekuatan diri. Kalau dahulu dia sering meratapi apa yang terjadi
padanya, tetapi kini dia semakin kuat dan bersabar dengan setiap yang berlaku.
Faizal, yang merupakan satu-satunya anak lelaki
yang mereka ada, dididik sebaik mungkin agar tidak sesekali mewarisi sikap
ayahnya. Tetapi dia sedar, semakin meningkat remaja, jiwa Faizal semakin
memberontak apabila melihatkan sikap ayahnya yang tidak bertanggungjawab
terhadap keluarga.
“Apa guna ada ayah kalau tidak bertanggungjawab
pada keluarga?” marah Faizal apabila ayahnya menampar dia pada pagi itu.
Bengkak bibir Faizal akibat dicium oleh tapak tangan kasar Osman. Semuanya
hanya kerana Osman terlalu marah apabila bola yang ditendang oleh Faizal
terkena pada cermin keretanya dan pecah berderai.
“Faizal… tak baik cakap macam tu,” pujuk Salina
lagi. Dia tahu sudah banyak kali dia memujuk dengan ayat yang sama sehinggakan
Faizal juga sudah muak mendengar nasihatnya.
“Faizal bukannya sengaja nak pecahkan cermin
kereta dia tu mak,” luah Faizal dengan wajah yang sedih. Air mata bergenang di
pipi Faizal. Sakit kesan tamparan ayahnya tadi masih berbisa di pipinya. Jika tidak difikirkan yang lelaki itu adalah
ayahnya, mahu sahaja dia membalas tamparan itu.
Salina hanya mampu menggeleng mendengar
kata-kata Faizal. Pipi Faizal yang merah diusapnya perlahan dengan tapak
tangannya. Dia turut sebak kerana sejak melahirkan Faizal, tidak pernah dia
mengasari anaknya itu. Tetapi suaminya yang hanya pulang sekali sekala sahaja
ke rumah mereka pula yang seringkali ringan tangan memukul dan menampar Faizal.
Sudah habis kata-kata Salina untuk menasihati
Faizal. Dulu semasa Faizal masih kecil, dia boleh mendiamkan dan memujuk Faizal
dengan alasan-alasan sebegitu. Tetapi Faizal bukan lagi anak hingusan yang
boleh diperbodoh-bodohkan.
Air mata Salina bergenang. Dia sendiri sudah
tidak mampu menanggung bebanan perasaan ini sebenarnya. Bukan sehari dua
suaminya bersikap begitu malah sejak awal perkahwinan mereka lagi. Perkahwinan
yang diatur keluarga ini bukanlah menjanjikan kebahagiaan sebaliknya
penderitaan yang berpanjangan buat Salina. Dalam dia mengharapkan dapat
menambahkan pahalanya sebagai seorang isteri, semakin pula dia rasa
dosa-dosanya bertambah kerana ada ketikanya dia mengutuki lelaki itu. Mana
tidaknya, dia sering ditinggalkan kesepian seorang diri di rumah. Alasan
suaminya sama sahaja, terlalu sibuk dengan tugas pejabat yang tidak pernah
surut.
Setiap hari hanya air mata sahaja menjadi
penemannya saban hari. Salina sering berfikir, apa salahnya? Apa dosanya?
Bertahun-tahun dia cuba menilai dirinya sendiri. Apa yang kurang pada dirinya,
apa yang cacat pada dirinya, apa yang tidak sempurna dirinya pada mata
suaminya? Hendak bertanya, dia terlalu takut kerana suaminya seorang yang panas
baran. Pantang sekiranya dia menyoal tentang apa sahaja tindakan suaminya itu.
Akhirnya Salina mengambil sikap berdiam diri, mendekatkan diri dengan ALLAH,
bermuhasabah dan berfikir secara positif. Ya... semua yang berlaku tentu ada
hikmah-NYA. Dan dia tetap sabar menunggu hikmah ALLAH kepadanya. Salina yakin,
jika dia tidak sempat menerimanya di dunia, mungkin dia akan memiliknya di
akhirat nanti.
Kini dugaan menimpa lagi dan Salina tetap redha
menerimanya. Suami yang jarang-jarang pulang ke rumah tiba-tiba sahaja telah
menunjukkannya satu borang. Apabila diamati, jantung Salina rasa bagai
ditarik-tarik dengan rakus. Tubuhnya bergetar, peluh bermanik di wajahnya.
Perasaan cemburu dan marah berbolak balik dalam hatinya.
“Tandatangan saja di bawah tu.”
“Kenapa bang?” tanya Salina setelah begitu lama
kata-kata itu tersimpul di dalam fikirannya.
“Jangan banyak tanya! Aku tak mintak pandangan
kau. Tandatangan aje.”
Hati Salina semakin sebak, kolam hatinya semakin
berkocak-kocak. Semakin lama semakin bergelombang dan akhirnya air tersebut
melimpah keluar dari celahan kelopak matanya. “Abang... selama kita berkahwin
saya tidak pernah mempersoalkan segala tindak tanduk abang. Ke mana abang
pergi, dengan siapa abang keluar dan apa yang abang lakukan. Tapi hari ini
bang, cuma untuk hari ini saya ingin tahu kenapa abang mahu berkahwin lain sedangkan
tanggungjawab abang di rumah ini pun banyak yang abang gagal laksanakan dan
tunaikan.
Abang minta saya izinkan abang berkahwin lain,
sedangkan kami di rumah ini sendiri gersang dengan kasih sayang dan belaian
abang. Nafkah zahir dan batin saya pun gagal abang lunaskan tetapi kini abang
mahu menambahkan tanggungjawab abang sebagai seorang suami kepada wanita lain.
Mampukah abang bersikap adil sedangkan dengan keluarga yang sedia ada juga
abang tidak mampu bersikap adil?” Suara Salina yang pada mulanya perlahan
semakin lama semakin kuat memukul gegendang telinga Osman.
“Berani kau menjawab ya! Siapa yang ajar kau
menjadi biadap sampai macam ni?! Ini ke yang kau belajar setiap hari bila kau
pergi masjid kat depan tu? Selama ini aku izinkan kau keluar sebab kau kata kau
nak pergi mengaji Quran dan belajar agama. Tapi ini ke yang kau belajar selama
ni? Belajar melawan suami? Setiap apa yang aku lakukan adalah hak aku sendiri!
Aku suami dan aku boleh melakukan apa sahaja yang aku suka! Lainlah kau! Isteri
kena sentiasa patuh kepada arahan suaminya! Kalau mak kau meninggal dunia
sekalipun, kalau aku tak bagi melawat, kau tak boleh pergi tau tak. Jadi sedar
diri tu sikit!” bentak Osman sambil dua tiga kali menujah nujah kepala Salina
dengan jari telunjuknya.
“Abang! Saya ni isteri abang. Bukannya barang
perhiasan dalam rumah ni. Buat apa abang setuju kahwin dengan saya dulu kalau
abang tak suka saya?” Kali ini suara Salina semakin kuat. Salina juga menepis
tangan Osman yang masih lagi mahu menunjal kepalanya.
“Kau jangan salahkan aku! Yang kau sendiri tak
menolak kenapa? Kenapa kau yang gatal-gatal sangat nak jadi bini aku?” bentak
Osman lagi. Matanya bulat memandang wajah Salina yang diselubungi kesedihan.
Air mata yang berguguran di mata wanita itu langsung tidak berjaya mencairkan
keegoaan di hatinya.
“Astaghfirullah...” Salina mengucap panjang.
Kenapa dia juga dipersalahkan dalam hal ini? Kenapa pula dia yang harus menolak
sedangkan dia tidak ada masalah hendak menerima lelaki asing itu dalam
hidupnya?
“Abang... saya sanggup terima abang walaupun
saya tidak kenal abang sebab saya tidak ada apa-apa masalah untuk berkahwin.
Saya tidak menyukai orang lain dan saya sanggup membuka pintu hati saya untuk
suami yang telah saya nikahi. Saya berikrar akan menjadi seorang isteri yang
baik untuk abang selepas kita berkahwin. Tetapi tengoklah diri abang. Abang
takut untuk membantah kehendak ibu bapa abang tetapi menjadikan saya mangsa di
dalam perkahwinan ini. Kalau abang benar-benar sudah tak mahukan saya lagi, buat
apa abang seksa saya macam ni, bang. Mengikat saya sebagai seorang isteri
tetapi tidak melayan saya seperti yang sepatutnya saya berhak dilayani,” jawab
Salina dengan deraian air mata yang semakin lebat. Hatinya hancur luluh
mendengar kata-kata Osman.
“Sudah! Kau jangan banyak cakap lagi.
Tandatangan cepat borang tu. Minggu depan aku nak nikah,” gesa Osman sambil
menunjukkan borang yang terletak di atas meja kopi.
Salina sudah malas hendak bertekak dengan Osman.
Jika lelaki itu hendak berkahwin sehingga empat sekalipun dia sudah tidak
peduli. Hatinya sudah tawar hendak mempertahankan pendiriannya lagi. Mungkin
benar, lebih baik sekiranya lelaki ini tidak pulang ke rumah mereka. Biarlah
jika dia digantung tidak bertali asalkan dia memperolehi ketenangan dan
mempunyai masa yang lebih banyak untuk beribadat kepada ALLAH. Dengan tangan
yang menggeletar, Salina mengambil pen yang terletak di sebelah borang tersebut
dan terus menurunkan tandatangan.
Dengan pantas, tanpa perkataan terima kasih,
Borhan terus merampas borang tersebut dan melangkah keluar dari rumah. Salina
hanya memerhati dengan pandangan kosong mengiringi pemergian lelaki itu.
‘Biarlah jika itu kehendakmu bang,’ bisik Salina
sendirian.